Subscribe

12 Mei 2010

Puisi atau Sajak?

Saya bukanlah pelajar jurusan kesusasteraan, tetapi ini apa yang saya perhatikan dan ingin perbetulkan.

Ramai yang selalu keliru perbezaan antara puisi dan sajak. Penglibatan dalam Kelab Puisi UIAM menemukan saya dengan ramai orang yang menyebut “puisi dan sajak” secara berasingan ketika perbincangan dan pertemuan kami. Kekeliruan ini meskipun kecil, tapi boleh menyebabkan orang yang mendengar kadang-kadang terasa ‘sakit telinga’ sebab kedua-duanya pada hakikatnya adalah sama, walau sedikit berbeza.

Puisi, seperti apa yang kita sedia tahu adalah karangan berangkap menggunakan kata-kata terbaik dan susunan yang terbaik. Ada begitu banyak definisi tentang puisi, tapi saya yakin anda faham apa yang saya maksudkan. Di dalam kesusasteraan, puisi dibandingkan dengan prosa – iaitu bentuk yang digunakan dalam cerpen dan novel.

Secara umumnya, puisi terbahagi kepada dua iaitu puisi tradisional dan puisi moden. Puisi tradisional biasanya terikat dan mengikut format-format tertentu. Contoh puisi tradisional Melayu ialah pantun, syair, gurindam, nazam, seloka, dan banyak lagi. Kebudayaan lain juga punya puisi-puisi tradisional mereka yang tersendiri seperti orang Inggeris dengan sonnet-nya, manakala orang Jepun dengan tanka dan haiku-nya.

Puisi moden adalah apa yang kita sebut sebagai SAJAK.  Sajak adalah puisi yang tidak terikat dengan apa-apa bentuk dan peraturan. Dalam erti kata lain, terpulang lepada penulis untuk mencipta puisi dalam bentuk apa pun yang dimahukan baik dari segi tema, rima, bentuk, kata, dan sebagainya. Maka, puisi-puisi yang kita selalu dengar orang deklamasikan itu biasanya berbentuk sajak.

Ada juga pendapat lain berkenaan Puisi dan Sajak. Menurut pembacaan saya, Prof Rahman Shaari dalam bukunya (saya kurang ingat tajuknya) menyatakan bahawa ‘puisi’ digunakan untuk karya puisi yang bertaraf tinggi manakala ‘sajak’ digunakan untuk puisi yang bermutu rendah.

Pokok pangkalnya, sajak itu adalah puisi dan puisi itu pula tak semestinya sebuah sajak. Sebab itu, saya lebih menggemari perkataan ‘puisi’ berbanding ‘sajak’ kerana maknanya yang lebih luas. Apa pun perkataan yang digemari, saya harapkan penggunaannya tepat dengan maksud supaya tidak berlaku kekeliruan lagi.

Sekian.

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan