Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

28 September 2009

Malam Raya 2009


Rasanya masih belum terlambat bagi saya untuk mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada semua pembaca blog ini. Maafkan saya andai adanya sebarang keterlanjuran kata-kata sepanjang perkenalan kita, sama ada di luar ataupun di dalam alam maya ini. Saya dengan rendah dirinya, mengharapkan kemaafan daripada tuan-tuan. Yang baik itu datang daripada Allah S.W.T manakala yang buruk itu datan daripada kelemahan saya sebegai seorang manusia.

Bercerita mengenai sambutan hari raya, pastilah ramai di kalangan kita akan sibuk membuat persiapan untuk balik ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut lebaran. Saya pula, setiap tahun akan meraikan kedatangan Syawal di kediaman keluarga di Petaling Jaya. Beraya di kota ini ada sedikit bezanya berbanding di kampung halaman.

Secara tradisinya, kami sekeluarga akan berbuka puasa pada malam raya di rumah nenda sebelah bapa di Kampung Melayu Ampang. Waktu itulah kesemua anggota keluarga akan berkumpul bagi meraikan kedatangan Aidilfitri yang menjelang tiba. Malamnya, saya dan saudara-saudara lelaki yang lain akan bertakbir dari rumah ke rumah mengikut rombongan masjid. Kalau dahulu, waktu inilah yang paling saya tunggu-tunggu kerana berpeluang menuai duit raya. Namun, sekarang ini tentunya sudah tiada kutipan lagi. Begitu masa pantas berlalu meninggalkan kenangan.

Saya teringat waktu dahulu apabila boleh dikatakan hampir kesemua saudara-mara saya berkumpul di rumah nenda pada malam raya. Seronok sungguh. Waktu itu, Kampung Melayu Ampang seolah-oleh bertukar menjadi sebuah medan perang apabila percikan bunga api dan mercun meletup di sana-sini. Sepupu-sepupu bermain di luar, manakala yang dewasa berkumpul di dalam rumah sambil berborak dan bergurau senda. Ah, betapa bahagianya.

Tetapi, kemeriahan tersebut saban tahun makin berkurangan. Maklumlah, ibu-ibu saudara saya kebanyakannya sudah bergelar nenek dan keluarga masing-masing sudah berkembang. Jadi tentulah masing-masing sudah ada komitmen masing-masing. Ramai yang memilih untuk meraikan bersama keluarga induk masing-masing. Kemeriahan yang dahulunya dinanti-nantikan sudah menjadi semakin suram. Tidak mengapalah, yang penting kita berada di samping keluarga tercinta.

Tahun ini, ada sedikit kelainan apabila malam raya saya ke Jalan Tunku Abdul Rahman. Kalau setiap tahun, saya sekadar melalui sahaja jalan tersebut untuk balik ke Petaling Jaya - tahun ini saya telah dijemput oleh sepupu saya, Kak Intan untuk menyertai beliau membeli-belah di sana. Waktu malam raya inilah barang-barang akan dijual dengan harga lelong dan potongan yang istimewa.

Tapi, kalau anda hendak pergi ke Jalan Tunku Abdul Rahman, bersedialah dengan lautan manusia yang begitu ramai hingga membuatkan kesesakannya lebih teruk berbanding kesesakan jalan raya. Khabarnya, semakin larut malam, semakin murah barangan tersebut akan dijual. Kalau anda ada masa tahun depan, mari kita serang Jalan TAR!

(Esok - Pengalaman Beraya di Kuala Lumpur)

03 September 2009

Saya Anak Merdeka!!!

Kalau sekarang ini sedang dilaungkan sana-sini slogan keramat merdeka, saya juga merasainya pada waktu dan ketika ini. Tapi ini merdeka yang lain. Bukan bebas daripada penjajah, tetapi bebas dengan penuh rasa kelegaan. Sepanjang malam tadi saya tidak tidur untuk menyediakan pembentangan Public International Law 1 yang saya ambil dengan Dr Hisham Kamal.

Begitulah, kalau sudah kerja saat-saat akhir, mestilah rasa hati ini berdebar-debar sungguh. Sempat lagi pula itu, malam semalam menghadiri mesyuarat Syura Unit Kebudayaan UIA. Bila balik bilik, melihat soalan pembentangan itu, baru tangan merasa terketar-ketar. Aduhai, penangan tekanan saaat akhir rupanya yang menggerakkan jari ini menaip-naip papan kekunci ini. Oh, selepas ini tak boleh lagi begini.

Pembentangan pukul 2 petang, jadi memang harus bersiap-sedia. Saya berpasangan dengan Kak Aishah Fauzi membentangkan sebuah presentation yang bertajuk The Relationship Between National Law & International Law. Kami membahagikan tugas kami siap-siap. Masa diberi adalah 20 minit tepat. Tidak lebih, tidak kurang. Ala-ala mooting. Maka, secara tak semena-menanya, mulut kami pun terkumat-kamit bersuara dengan lantang menyatakan fakta dan komentar kami mengenai isu yang diutarakan.

Kak Aishah menumpukan terhadap isu sama ada Malaysia sebuah negara Dualist atau tidak. Beliau juga meyentuh isu berkenaan kemasukan customary international law terhadap undang-undang negara. Saya pula akan bercerita mengenai kemasukan undang-undang treaty ke dalam undang-undang negara. Alhamdullillah, pembentangan berjalan lancar. Semasa sesi soal dan jawab juga, saya dan Kak Aishah telah menjawab soalan yang datang dengan tenang. Syukur tidak ada soalan yang membunuh!

Oh, Selamat Menyambut Hari Kebangsaan!
(walaupun sedikit terlambat. :) )
.
.
.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan