Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

29 Ogos 2009

Nikmat Berkawan

Baru sebentar tadi saya telah menghantar seorang teman ke mahallah (asrama) beliau. Teman saya ini seorang perempuan. Beliau telah sakit selama beberapa hari. Lemah sahaja saya lihat cahaya di wajahnya.

Beliau kelihatan kurus jika hendak dibandingkan dengan kali terakhir kami berjumpa. Kami bertemu dalam satu mesyuarat yang dikendalikan oleh kami berdua. Saya kagum, walaupun sakit-sakit, tetapi beliau masih tetap teguh meneruskan perancangan yang telah kami lakukan berbulan-bulan. Terasa serba salah pula melihat beliau bekerja dalam keadaan yang kurang sihat.

Sebelum menghantar beliau balik, saya ada bertanyakan kepada beliau - siapa kawan baik beliau. Maklumlah, dalam keadaan sakit-sakit ini, penting untuk ada seorang teman setia yang sentiasa ada di sisi.

"Awaklah kawan baik saya," jawabnya ringkas.

"Oh saya kawan baik awak? Tidak adakah kawan perempuan yang rapat?"

"Saya tak ramai kawan di kampus ini. Yang paling rapat pun, awak. Sebab itu awak selalu nampak saya berseorangan." Beliau membalas sambil mata sedikit berkaca.

Selepas beberapa ketika, kami pun bersurai dan saya menuju ke Mahallah saya. Dalam perjalanan tersebut, saya mengingati kembali jawapan teman saya tadi. Ia membuatkan saya tersedar akan satu perkara. Satu nikmat yang saya miliki, tetapi kadang-kadang terlupa untuk menghargainya.

Nikmat Berkawan.

Begitu banyak nikmat yang telah dikurniakan oleh ilahi. Dikurniakan dengan kawan yang baik dan mengambil berat, yang selalu ada di sisi sewaktu saya memerlukan. Menjadi peneman sewaktu saya kesepian. Oh, betapa saya terlupa bahawa itu semua adalah nikmat!

Bayangkanlah anda satu hari nanti semua itu direngguk dan diambil balik oleh Allah S.W.T. dan kita tertinggal bersendirian sahaja di muka bumi ini. Apalah makna hidup tanpa ikatan persaudaraan dan persahabatan.

Lantas, saya pun tiba di Mahallah sambil fikiran larut di dalam jiwa.


22 Ogos 2009

Berkongsi Pentas Dengan Opick


Sekali lagi, kita bertemu dengan bulan yang sungguh diberkati, Ramadan Al-Mubarak. Sewaktu bulan inilah, terasa lain benar suasananya. Saya mengharapkan semoga sekalian pembaca akan memperoleh ketenangan sentiasa, dan juga kekuatan jiwa untuk melipatgandakan ibadah dalam bulan yang berbahagia ini. Bagi saya sendiri, ingin sekali menggunakan kesempatan ini untuk membetulkan yang salah, meluruskan yang bengkok, menjernihkan yang keruh, dan juga menerangkan yang gelap.

Sempena pembuka penghulu bulan segala bulan ini, ingin saya laporkan aktiviti saya yang telah lama terperap dalam komputer bimbit saya - menunggu giliran untuk dikhabarkan di dalam blog ini. Pada 6 Ogos 2009, telah diadakan Nusantara Cultural Night 2009 di Auditorium Utama, UIAM - sebagai salah satu acara sempena Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL) Festival 2009. Yang menariknya acara ini, adalah kedatangan penghibur dan pendakwah tersohor daripada Indonesia, Opick.

Pasangan juruacara dari Malaysia & Indonesia

Dewangga Sakti memulakan persembahan.

Bersempena acara tersebut, Kelab Puisi telah diundang untuk membuat persembahan pada malam tersebut, di samping nama-nama hebat seperti Dewangga Sakti, Inteam, Devotees, dan sudah pastinya Opick. Terima kasih kepada para urus setia terutama sekali Nurul Izzah Zainol, yang telah mencadangkan kelab kami untuk mengisi slot persembahan pada malam tersebut.

Malam itu, kami berempat - Saya, Ika, Zaki, dan Iffah telah mendeklamasikan sebuah puisi yang bertajuk "Meditasi Cinta Kepada Allah" karya Tuan Haji Shamsudin Othman. Terima kasih kepada Abang Din yang telah memberi keizinan kepada kami untuk menggunakan puisi tersebut. Sepatutnya, persembahan kami dimulakan dengan alunan syair oleh rakan saya, Hafifi. Namun, oleh sebab-sebab tertentu, maka Hafifi tidak dapat menghadirkan diri pada malam berkenaan. Pada mulanya, saya memberanikan diri untuk cuba-cuba bersyair. Cuba juga berlatih dengan kawan-kawan. Tetapi saat akhir saya telah membatalkan niat tersebut kerana masih belum berkeyakinan. Maklumlah, Opick pun ada malam itu. Takkanlah mahu dia dengar suara saya yang sumbang! :)


Berada di belakang pentas, saya hanya sempat bertemu dengan Opick sebelum dan sesudah persembahan saya. Aduhai, apa yang boleh saya katakan, beliau sangat humble dan merendah diri sekali. Saya yang sebelum ini kurang mengenali beliau juga serasanya teringin untuk mengenali beliau dengan lebih lanjut. Tetapi, mukanya nampak sedikit penat, mungkin kerana keletihan menaiki pesawat masih belum hilang.


Saya masih ingat, selesai sahaja kami membaca puisi - saya tersenyum kepada beliau dan beliau membalas denga kata-kata "luar biasa, luar biasa!". Apa yang menjadi kesalan saya adalah tidak sempat bergambar berdua dengan beliau, walaupun kami berkongsi pentas yang sama. Rasa rugi sungguh. Dalam riuh kami bersedia untuk mendeklamasikan puisi, tak sempat nak bergambar dengan beliau.

Apa-pun, persembahan beliau sungguh mempesonakan. Saya berasa tenang mendengar alunan suara beliau menyanyikan lagu-lagu keagamaan. Tepat benar tema yang dipilih penganjur - iaitu "Di Pintu Taubat". Inilah sebenar-benarnya seni yang dimaksudkan membawa kita lebih dekat kepada yang maha pencipta. Harapan saya, kunjungan pertama Opick ke Malaysia akan menjadi pemula kepada banyak lagi persembahan beliau di sini.

Bergambar kenangan

Satu-satunya gambar yang sempat diambil dengan Opick.

*Gambar teratas sekali ihsan daripada Firdaus Ariff.

19 Ogos 2009

Selamat Hari Ulangtahun ke-22, Azree




Alhamdullillah, syukur kepada Allah. Dengan segala kurniaan daripadaNYA, dapatlah kau menjejakkan kaki di bumi bertuah ini, menghirup udara yang segar, dan berbahagia bersama-sama orang yang menyayangi dirimu. Pada hari ulang tahun kelahiranmu yang ke 22 ini, wajarlah kamu panjatkan rasa kesyukuran kepada yang maha kuasa.

Merenung kembali kehidupan ini, rasanya masih banyak lagi yang harus kau kejar. Begitu jauh lagi perjalanan yang harus kau tempuhi sebelum sampai ke destinasi yang diidam-idamkan. Kamu jangan leka, harus sentiasa menumpukan pada matlamat perjuangan hidup ini. Aku tahu, kamu mudah terbuai dengan perkara-perkara yang mengasyikkan dan melenakan diri. Tetapi sedarlah kamu harus menjadi insan yang berjiwa besar, kuatkan hati, tabahkan diri.

Bila diimbas kembali, aduhai bertuah sungguh hidup yang kamu lalui berbanding orang lain. Dilahirkan dalam keluarga yang bahagia dan amat mengasihi dirimu. Ingatlah kamu bahawa sejak kecil lagi kamu telah ditatang bagai minyak yang penuh. Maka sewajarnya janganlah kamu mengeluh, atau pun membanding-bandingkan tuah orang dengan nasib sendiri. Ingatlah, tuhan tak akan mengubah nasib diri kamu kecuali kamu berusaha mengubahnya. Apa pun, dengan segala kurniaan yang telah diberikan ini, datanglah pelbagai tanggungjawab untuk kamu pikul.

Kamu sudah berusia 22 tahun, sudah bukan budak-budak lagi. Alam remaja sudah semakin ditinggal pergi. Sekarang ini kamu harus berhadapan dengan alam dewasa yang sangat mencabar. Tidak mengapalah kalau ada sedikit kesusahan itu. Bukankah itu semua mengajar kamu menjadi manusia yang matang? Belajar dan teruslah belajar. Biarlah kamu hidup dalam kesederhanaan - kerana sesungguhnya kesederhanaan itu adalah kesempurnaan.

Sentiasa rendah diri. Bak resmi padi, makin berisi makin tunduk. Begitu juga resmi ubi, diam-diam berisi. Jangan sombong, jangan sesekali meninggi diri. Ingatlah, kalau kita tinggi - ada orang yang lebih tinggi daripada kita. Kerana itu, tidak rugi orang yang merendah diri. Orang lain akan sentiasa senang dengan kehadiran kita.

Dalam bidang pelajaran, kamu harus lipat-gandakan usaha. Kamu mahu menjadi seorang peguam bukan? Menegakkan keadilan dan mempertahankan hak-hak bangsa dan agama kamu, juga melindungi warisan seni dan budaya melalui undang-undang. Sebelum kamu boleh lakukan semua itu, belajarlah bersungguh-sungguh, harapan ayahanda dan bonda sangat tinggi terhadap kamu - lebih-lebih lagi sebagai anak sulung. Janganlah kecewakan mereka. Ini perjuangan kamu.

...dan juga tentang rindu kamu, janganlah difikirkan sangat. Doakanlah semoga kerinduan ini satu hari akan terubat juga. Tak mengapalah, kamu fikirkan begini - biar kita hilang cinta manusia, tetapi jangan sampai kita hilang cinta tuhan. Kalau benar kamu ikhlas, satu hari apa yang kamu lakukan akan terbalas juga. Sabar sentiasa dalam apa juga yang kamu lakukan.

Hidup ini, walaupun di tengah ramai, tetapi sebenarnya kita keseorangan. Kerana itu, kamu kena kuat.

When things get tough, only the tough gets going.

Selamat Hari Ulangtahun ke-22, duhai diri.

Azree Ariffin
AIKOL, UIAM
2.30PM 19 Ogos 2009

Portfolio

*Senarai ini hanya melibatkan kegiatan saya dalam bidang seni dan budaya sahaja.


Lirik Lagu

  1. Hajartu [Demo] Komposer : Ihab Ismail
  2. Bulan [Pertandingan] Komposer : Imran Ajmain (lirik top 4)
  3. Cerminan Realiti [Single, OST “Cermin Dua Muka”] Komposer : Rosli Ahmad. Artis : Intan Nor Saina
  4. Raikan Lebaran [Single Aidilfitri] Komposer : Zaidi Said. Artis : Rozita Rohaizad
Puisi
  1. Nur Merdeka (Antologi Erti Merdeka –2003)
  2. Memoir Sebuah Perpisahan (Dewan Siswa – Februari 2007)
  3. Irama Yuda ( Majalah Esastera.net Edisi 3 – Mac 2007)
  4. Nyanyian Seorang Teman (Dewan Siswa – April 2007)
  5. Bulan Di Atas Awan (Remaja – 15-30 Jun 2007)
  6. Pusingan (Berita Minggu – 17 Jun 2007)
  7. Saat Terakhir (Dewan Siswa – Disember 2007)
  8. Ketika Hatimu Berbunga, Teman (URTV)
  9. Aku Ingin Mengenalimu (Remaja)
  10. Batasan Hukum (Tunas Cipta – April 2008)
  11. Doa Yang Bungkam (Mingguan Malaysia – 15 Jun 2008)
  12. Aqad Cinta (Mingguan Malaysia – 3 Ogos 2008)
  13. Langit Ramadan (Mingguan Malaysia – 21 September 2008)
  14. Bertamu Di Taman Ilmu (Varsiti, Berita Harian – Januari 2010)
Deklamasi/Baca Naskhah
  1. Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2007 (Kuala Lumpur), Peserta
  2. Islamic Performing Arts Concert 2008 (UIAM), Persembahan Pembukaan
  3. Astaka Minda : Baca Naskhah Klasik – Hikayat Nakhoda Muda – April 2008, Peserta
  4. Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2008 (Kuala Lumpur), Peserta
  5. MASKARA (Sindiket Soljah) – Disember 2008
  6. Hujung Minggu Malaysia (TV1 – live) 4 Julai 2009
  7. Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2009 (MAKUM), Peserta
  8. Karnival Bahasa Kebangsaan Putrajaya 2009, Peserta
  9. Inter-Mahallah Cultural & Debate Week 2010 (UIAM)
  10. ASEAN Night 2010 (UIAM)
Pantun
  1. Pesta Pantun UIAM 2007, Peserta
  2. Pesta Pantun MAKUM 2007 (UIAM), Peserta
  3. Temasya Pantun Intervarsiti Tiga Penjuru 2007 (MMU), Peserta
  4. Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia 2009 (UM), Pengurus Pasukan Pantun UIAM, tempat ke-2
  5. Pesta Pantun MAKUM 2010, Pengurus Program
Bengkel/Seminar
  1. Minggu Penulis Remaja 2005 (DBP)
  2. Bengkel Pantun (GETAR UIAM)
  3. Kongres Kebudayaan Serumpun (DBP)
  4. Seminar Kebangsaan Puisi Melayu Tradisional (DBP)
  5. Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2009 (PENA)
  6. Bengkel Apresiasi Puisi (Sajak & Syair) 2009 [JKKN]
  7. Bengkel Cerpen (Kelab Puisi UIAM), Pengarah Program
  8. Diskusi Karya Mantan MPR 2009 (DBP), Pengarah Program
Pengacaraan
  1. Diskusi Karya Mantan MPR 2007
  2. Diskusi Karya Mantan MPR 2008
  3. Persembahan Kebudayaan, Perkampungan Budaya UIAM 2009 – Kuala Pilah
  4. IIUM Cultural Promotion Show 2009
  5. Nasyid Gala (UIAM) 2009
  6. Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi – UIAM 2010
Keahlian
  1. Kelab Alumni Minggu Penulis Remaja, DBP
  2. Persatuan Penulis Selangor
  3. IIUM Poetry Club [Unit Kebudayaan UIAM]
  4. Asuhan Seni (Gamelan), Istana Budaya
  5. Persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi UIAM
  6. Grup Penggiat Sastera (GETAR), Matrikulasi UIAM

15 Ogos 2009

Cultural Team Promotion Show

Langit teja berpancar cahaya,
malam berseri hingga ke pagi;
Anak remaja pewaris budaya,
mengangkat seni bernilai tinggi.


Meskipun hujan datang merenjis tiba, ia tetap tidak menghalang semangat anak-anak muda ini untuk meneruskan Cultural Team Promotion Show di tangga besar, UIAM. Acara yang dianjurkan oleh Kelab Angklung UIAM ini diadakan khas untuk mempromosikan kelab-kelab kebudayaan yang bernaung di bawah Unit Kebudayaan dan Kesenian UIAM. Antara kelab yang terlibat adalah kelab puisi, teater, caklempong, gamelan, angklung, band, perkusi, zapin, dikir barat, nasyid, produksi, dan Ummul Qura.

Awalnya, acara bermula agak berterabur sedikit, lantaran hujan yang turun renyai-renyai sedikit merisaukan sekalian urus setia dan juga peserta. Saya juga yang bertindak sebagai juruacara majlis semalam dengan Cik Sayidah Mui'zzah agak terkesan dengan keadaan sedemikian hingga ia sedikit menjejaskan tugas kami. Tawaran tersebut telah diberikan kepada saya seminggu sebelum, tetapi hanya sehari sebelum majlis baru saya beri kata putus, dek kesibukan yang tak henti-henti. Saya kira, wajarlah saya memohon maaf kepada para urus setia yang telah bersusah payah menjayakan acara semalam, atas segala ketidak-sempurnaan.

Cik Sayidah Mu'izzah dan saya - berpakaian merah menyala. :)

Bagaimanapun, setelah setengah perjalanan acara, mood itu seakan-akan kembali naik dan alhamdullillah, hujan pun telah berhenti - seakan-akan memberi ruang kepada kami untuk meneruskan acara dengan aman. Barulah selepas itu, acara kembali hangat - dengan persembahan-persembahan yang berjaya mendapat tepukan yang gemuruh daripada para khalayak.

Di sini, ingin juga saya luahkan rasa bangga saya terhadap adik-adik saya dalam Kelab Puisi yang telah memberikan sebuah persembahan yang teramat best sekali melalui puisi teaterikal yang bertajuk "Hikayat Pekan". InsyaAllah selepas ini, akan ada lagi persembahan-persembahan daripada Kelab Puisi yang pasti akan memberikan kelainan - dalam usaha kami mengangkat martabat puisi Melayu ke peringkat yang lebih tinggi.

Pasukan Kelab Puisi UIA



04 Ogos 2009

Perkampungan Budaya UIAM 2009

Awanan teja di balik cahaya,
Ternampak bulan datang berteman;

Muda remaja berkampung budaya,

Penegak warisan zaman berzaman.


Barangkali mungkin sudah agak terlewat untuk saya membingkiskan kata-kata berkenaan program Perkampungan Budaya 2009 yang dianjurkan oleh Unit Kesenian dan Kebudayaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Namun, saya kira adalah penting untuk saya tetap mencatatkan sedikit sebanyak pengalaman saya terutama sekali untuk tujuan dokumentasi.

Program ini adalah hasil usaha sama kesemua 11 kelab yang bernaung di bawah payung Unit Kesenian & Kebudayaan UIAM. Saya sendiri telah menyertainya mewakili Kelab Puisi dimana saya memegang jawatan presiden. Sungguh unik sekali program ini. Kalau selalunya kita mendengar program khidmat kemasyarakatan yang dianjurkan para mahasiswa - yang selalunya disebut sebagai "Baktisiswa", program ini lebih kurang konsepnya, tetapi telah dirombak sedikit sebanyak dan diberikan penekanan kebudayaan.

Di hadapan rumah keluarga angkat.

Ia telah diadakan dari 9-12 Jun 2009 di Mukim Terachi, Kuala Pilah, Negeri Sembilan - satu destinasi yang kaya dengan kesenian dan kebudayaannya. Kami telah ditempatkan bersama keluarga angkat di beberapa buah kampung. Saya telah menjadi "anak angkat" kepada Pak Tam dan juga isterinya yang saya panggil Ibu. Begitu ramah sekali layanan mereka. Pak Tam merupakan Pengerusi JKKN Kampung Ibol - atau dalam bahasa mudahnya ketua kampung.

Saya & Pak Tam

Beliau merupakan seorang bekas tentera laut yang dahulunya banyak merantau ke sana sini mempertahankan tanah air. Tentunya, saya telah memanfaatkan pengalaman ini untuk menimba sedikit sebanyak pengalaman daripada beliau. Apa yang saya perhatikan, Pak Tam begitu menitikberatkan soal kepimpinan. Malah perkara inilah yang selalunya menjadi intipati kepada percakapan beliau sewaktu kami beramah mesra di rumah. Banyak perkara baru yang saya perolehi daripada beliau.

Saya & Ibu angkat

Ibu pula, macam ibu saya sendiri pula terasa. Sampai sahaja rumah, memang kami berbual tidak henti. Ibu melayan saya dan kawan-kawan serumah saya (Rasyid & Helmy) dengan begitu ramah sekali. Terasa seperti kami sudah menjadi sebahagian daripada keluarga mereka. Banyak perkara yang dibualkan.

Tetapi, apa yang membuat saya seronok betul adalah dapat menjamu selera dengan buah-buahan yang begitu banyak sekali di sekitar rumah Pak Tam. Ibu kata, petik sahaja kalau mahu makan buah-buahan tersebut. Ada buah rambutan, manggis, naga, dan macam-macam lagi. Rasanya tentu peserta yang lain juga kekenyangan buah sewaktu di Kuala Pilah. Maklumlah, kedatangan kami kebetulan bersamaan dengan musim buah.


Oh, selain Pak Itam dan Ibu, tinggal bersama mereka adalah seorang anak perempuan yang dipanggil Angah, dan juga yang bongsu - bernama Iqbal. Tinggal selama 4 hari bersama mereka benar-benar membuatkan diri terasa sebahagian daripada keluarga mereka, meskipun dihimpit dengan pelbagai aktiviti sepanjang program.

Pengalaman di kampung, sangat seronok sekali. Maklumlah bagi saya yang menetap di bandar ini, jarang sekali dapat menikmati ketenangan dan kenyamanan suasana di desa. Terasa seperti tidak mahu balik pula.

Pada hari kedua, awal-awal pagi lagi kesemua peserta telah berkumpul di Kraf Budaya Terachi bagi mengikuti aktiviti riadah iaitu senam seni. Buat pertama kali jugalah saya telah mencuba senaman yang menggabungkan elemen tarian pelbagai kaum di Malaysia ini. Ada zapin, joget, sewang, bangra, dan macam-macam lagi elemen tarian. Oh, yang paling mengujakan tentunya poco-poco! Dulu selalu dengar sahaja mengenainya, tetapi baru sekarang ada peluang mencubanya.

Sewaktu sesi motivasi bersama pelajar tingkatan 3 & 5.

Selepas itu, kami telah berpecah kepada 3 buah kumpulan. Ada yang pergi bergotong-royong membersihkan kawasan kubur. Ada juga yang pergi ke sekolah rendah untuk mengajar calon-calon UPSR. Kumpulan saya telah ke sekolah menengah untuk satu sesi motivasi, dimana kami telah dipecahkan kepada 10 kumpulan, dan kami dikehendaki berkongsi pengalaman di IPT bersama pelajar-pelajar calon PMR & SPM. Cuma sayangnya, sesi yang sepatutnya menjangkau 3 jam, telah dipendekkan kepada masa kurang dari 1 jam. Tidak mengapalah, apa-pun, harapnya adik-adik tersebut telah mendapat manfaat.

Selain itu, ada juga aktiviti seperti merewang, pertandingan azan, kuiz agama, lawatan ke Istana Seri Menanti, dan juga sukaneka bersama penduduk kampung. Namun, apa yang menjadi kemuncak kepada program ini adalah Malam Kebudayaan yang telah diadakan pada malam terakhir. Sungguh meriah sekali.

Kenangan menjadi pengacara majlis.

Saya telah ditugaskan menjadi juruacara majlis bersama-sama rakan seperjuangan, Syafiqah. Serentak juga dengan persembahan kebudayaan, telah diadakan majlis kenduri kesyukuran khusus buat kesemua penduduk kampung. Ramai yang datang membanjiri Kompleks Kraf Budaya Terachi. Turut turun padang adalah ADUN kawasan Seri Menanti yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi.

Selepas selesai acara.

Antara yang telah membuah persembahan adalah Kelab Caklempong, Kelab Gamelan, Kelab Angklung, Kelab Dikir Barat, Kelab Zapin Nafastari berselang-seli dengan persembahan kebudayaan dari Yayasan Negeri Sembilan. Tidak lupa juga persembahan khas dari Datuk Dr Wira Rosli dari UPSI yang telah mengalunkan teromba.

Keseluruhannya, saya berani katakan bahawa program ini sangat berjaya. Tahniah kepada kesemua urus setia yang telah bertungkus-lumus dan mengorbankan waktu cuti masing-masing untuk memastikan program ini berjalan lancar. Sesungguhnya, seni itu sememangnya milik masyarakat, dan kita telah buktikan bahawa seni dan kebudayaan itu juga wadah yang penting untuk digunakan untuk berdakwah. Semoga selepas ini, akan ada lagi program-program sebegini dianjurkan oleh Unit Kebudayaan UIAM!

.
.
.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan