Subscribe

22 Ogos 2009

Berkongsi Pentas Dengan Opick


Sekali lagi, kita bertemu dengan bulan yang sungguh diberkati, Ramadan Al-Mubarak. Sewaktu bulan inilah, terasa lain benar suasananya. Saya mengharapkan semoga sekalian pembaca akan memperoleh ketenangan sentiasa, dan juga kekuatan jiwa untuk melipatgandakan ibadah dalam bulan yang berbahagia ini. Bagi saya sendiri, ingin sekali menggunakan kesempatan ini untuk membetulkan yang salah, meluruskan yang bengkok, menjernihkan yang keruh, dan juga menerangkan yang gelap.

Sempena pembuka penghulu bulan segala bulan ini, ingin saya laporkan aktiviti saya yang telah lama terperap dalam komputer bimbit saya - menunggu giliran untuk dikhabarkan di dalam blog ini. Pada 6 Ogos 2009, telah diadakan Nusantara Cultural Night 2009 di Auditorium Utama, UIAM - sebagai salah satu acara sempena Ahmad Ibrahim Kulliyyah of Laws (AIKOL) Festival 2009. Yang menariknya acara ini, adalah kedatangan penghibur dan pendakwah tersohor daripada Indonesia, Opick.

Pasangan juruacara dari Malaysia & Indonesia

Dewangga Sakti memulakan persembahan.

Bersempena acara tersebut, Kelab Puisi telah diundang untuk membuat persembahan pada malam tersebut, di samping nama-nama hebat seperti Dewangga Sakti, Inteam, Devotees, dan sudah pastinya Opick. Terima kasih kepada para urus setia terutama sekali Nurul Izzah Zainol, yang telah mencadangkan kelab kami untuk mengisi slot persembahan pada malam tersebut.

Malam itu, kami berempat - Saya, Ika, Zaki, dan Iffah telah mendeklamasikan sebuah puisi yang bertajuk "Meditasi Cinta Kepada Allah" karya Tuan Haji Shamsudin Othman. Terima kasih kepada Abang Din yang telah memberi keizinan kepada kami untuk menggunakan puisi tersebut. Sepatutnya, persembahan kami dimulakan dengan alunan syair oleh rakan saya, Hafifi. Namun, oleh sebab-sebab tertentu, maka Hafifi tidak dapat menghadirkan diri pada malam berkenaan. Pada mulanya, saya memberanikan diri untuk cuba-cuba bersyair. Cuba juga berlatih dengan kawan-kawan. Tetapi saat akhir saya telah membatalkan niat tersebut kerana masih belum berkeyakinan. Maklumlah, Opick pun ada malam itu. Takkanlah mahu dia dengar suara saya yang sumbang! :)


Berada di belakang pentas, saya hanya sempat bertemu dengan Opick sebelum dan sesudah persembahan saya. Aduhai, apa yang boleh saya katakan, beliau sangat humble dan merendah diri sekali. Saya yang sebelum ini kurang mengenali beliau juga serasanya teringin untuk mengenali beliau dengan lebih lanjut. Tetapi, mukanya nampak sedikit penat, mungkin kerana keletihan menaiki pesawat masih belum hilang.


Saya masih ingat, selesai sahaja kami membaca puisi - saya tersenyum kepada beliau dan beliau membalas denga kata-kata "luar biasa, luar biasa!". Apa yang menjadi kesalan saya adalah tidak sempat bergambar berdua dengan beliau, walaupun kami berkongsi pentas yang sama. Rasa rugi sungguh. Dalam riuh kami bersedia untuk mendeklamasikan puisi, tak sempat nak bergambar dengan beliau.

Apa-pun, persembahan beliau sungguh mempesonakan. Saya berasa tenang mendengar alunan suara beliau menyanyikan lagu-lagu keagamaan. Tepat benar tema yang dipilih penganjur - iaitu "Di Pintu Taubat". Inilah sebenar-benarnya seni yang dimaksudkan membawa kita lebih dekat kepada yang maha pencipta. Harapan saya, kunjungan pertama Opick ke Malaysia akan menjadi pemula kepada banyak lagi persembahan beliau di sini.

Bergambar kenangan

Satu-satunya gambar yang sempat diambil dengan Opick.

*Gambar teratas sekali ihsan daripada Firdaus Ariff.

1 komentar:

Syamputra Razali berkata...

jom berpuisi sesama..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan