07 December 2009

Hari Pertama - FESTKUM & Pendaftaran

Saya sebenarnya tengah pening kepala ni. Baru tadi berehat sebentar kat bilik, mimpi pasal Festkum, sampaikan tak lena tidur dibuatnya. Berpusing-pusing saja nampak. Aduhai. Festkum, festkum, festkum. Sebab apa jadi pening, mungkin kerana tiba-tiba saya kena handle banyak benda dalam Festkum nanti. Sebagai pengurus pasukan, banyak benda kena selesaikan. Hal baju, pengangkutan, mesyuarat, perarakan. Mana lagi dengan tanggungjawab hakiki saya sebagai seorang pelajar.

Saya nekad, program inilah yang terakhir untuk semester ini. Biasanya saya berniat saja, tapi kali ni biarlah saya umumkan dalam blog. Bila orang tahu, tetap sikit pendirian kita. Saya perlu utamakan pelajaran sem ini. Perlu mantapkan pointer balik. Untuk Fesktum kali ini, saya terpaksa tuang kelas dari hari Rabu sampailah Jumaat. Universiti lain tak ada masalah, kerana rata-rata mereka sedang bercuti. Jadi bolehlah mereka bersuka-ria.

Oh, cerita pasal hari pertama. Hari ini buat pertama kalinya dalam sejarah saya di UIAM, saya telah membuat pendaftaran subjek secara manual. Sebelum ini, semuanya saya selesaikan dengan cara online.


Sejak pukul 8 pagi lagi saya sudah bertolak ke kulliyyah, dengan harapan hendak selesaikan pendaftaran secepat mungkin. Sampai saja ke makmal komputer, ramai sudah orang bertenggek depan tu. Terpaksalah menunggu. Dalam pukul 8.45 baru pintu dibuka, itupun sikit demi sikit orang dibenarkan masuk.


Perit juga ya buat pendaftaran manual ni. Saya sendiri menunggu dari pukul 8 pagi sehingga pukul 11 pagi baru selesai. Seorang demi seorang dia uruskan. Alhamdullillah, dapat juga saya add semua subjek yang saya nak. Jadi harapnya, semuanya berjalan lancar semester ini.

Malam ini ada Demo Pantun untuk Festkum. Itu juga diharapkan berjalan lancar.
.
.
.

Semester Baru, Semangat Baru

Rasa macam baru semalam periksa habis, esok sudah bermula semester yang baru pula. Cuti kali ini sungguh tak terasa. Bagi berlalu pergi begitu sahaja. Sudah ada tanggungjawab yang harus dilangsaikan, perlulah ditunaikan. Begitulah rutin hidup sebagai seorang mahasiswa. Menunggu ketibaan semester baru, sehingga akhirnya tiba waktu untuk bergraduat.

Hari ini bermula satu lagi semester dalam hidup saya sepanjang bergelar pelajar di UIAM. Semalam, ketika saya pergi mendaftar mahallah, ternampak ramai pelajar-pelajar baru sedang mundar-mandir di sana sini.

Tersenyum saya sendiri. Agaknya dahulu pun, tentu saya begitu. Bergerak dalam kumpulan - berbondong-bondong. Saya lihat muka semua masih agak terkejut dengan persekitaran baru. Seronok tengok mereka, mengenangkan waktu-waktu baru masuk. (Macamlah saya ini dah tua sangat!)

Saya ada 3 semester lagi di UIA. Lebih kurang setahun setengah. Harap sangat dapat graduate on time. Kawan-kawan saya yang sebaya, ada yang sudah konvo dan kerja pun. Tak mengapalah, harapnya walaupun saya graduate sedikit lambat, tapi membuahkan hasil yang ranum.

Hari pertama - tentu akan sibuk. Ya, saya harus mulakan langkah pertama ini dengan penuh keyakinan. Saya akan buktikannya, buktikan kepada seluruh dunia.

Meskipun sudah hampir ke garisan penamat, belum terlambat untuk menggerakkan langkah memecut ke mercu kejayaan!

Semester baru, semangat baru!

06 December 2009

MASKARA Disember 2009

Acara : Maskara
Tempat : Rumah Pena, Kuala Lumpur
Tarikh : 5 Disember 2009
Masa : 8.30pm - 11.00pm

Dah lama sungguh saya tidak menghadiri MASKARA. Kali pertama dan terakhir pun, adalah pada tahun lepas - 2 Ogos, ketika saya sendiri telah membaca karya saya di pentas MASKARA. Waktu itu, saya mengisi slot MPR, di mana 2 orang mantan MPR telah dijemput untuk membuat persembahan di Maskara.

Kali ini, saya menjejakkan kaki lagi sekali ke rumah Pena untuk menyaksikan acara yang sudah makin popular ini. Alang-alang sudah cuti, apa salahnya, yer tak? Seronok juga malam-malam minggu begini pergi melayan aktiviti seni indie sebegini.

Seperti biasa, kalau ada perjumpaan-perjumpaan begini, yang paling seronok sebenarnya adalah dapat berjumpa dengan kawan-kawan. Melihat persembahan itu nombor dua. Dapat berborak-borak, bertentang mata dengan orang yang sebelum ini hanya dikenali di alam maya.

Saya pergi ke Maskara dengan Syukur, kawan saya dari UIA. Kami bertolak sedikit lambat, iaitu pada pukul 8.30 malam. Sampai Rumah Pena pun, sudah pukul 9.15. Masa itu, slot pertama MASKARA telah tamat. Aduhai, rasa rugi sungguh. Tak dapat lihat Kak Raihani dan Lt Kol Radzi bersajak. Sebab merekalah saya datang!

Tak mengapalah. Lepas itu, seorang demi seorang kawan saya muncul. Mula-mula jumpa Ode, dia dengan geng e-sastera. Sebelah dia Abang Dahrie. Bila saya salam dengan dia, boleh ingat dia nama saya. Wah terharu betul. Lepas ni kena ikut blog dia ni. Orang dah ingat kita. :)

Selepas itu, jumpa dengan Kak Rai. Sempatlah beli buku antologi cerpen beliau - Badrul Bambi dengan harga kroni, lebih murah dari pasaran. Gambar di atas ini, Kak Rai tengah menulis autograf di dalam naskhah yang telah saya beli. Tersengih-sengih Kak Rai. :)


Kemudian, Yana pula datang. Jadi, kami pun apa lagi, meneruskan tradisi suka-ambil-gambar MPR.

Saya tercari-cari juga kelibat Tuan Radzi. Tapi tak nampak pula di mana-mana. Bila persembahan slot kedua baru bermula, tiba-tiba saya baru perasan dia sedang berdiri sebelah saya. Saya pun apa lagi, perkenalkan diri kepada beliau. Tuan Radzi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka tahun ini. Kagum dengan beliau sebab banyak pencapaian yang telah dicapai. Tulis buku, johan deklamasi, graduan sarjana.

Beliau telah menghadiahkan saya buku Antologi Puisi Pahlawan terbitan Markas Tentera Darat. Terima kasih, tuan! Saya baru sempat membelek antologi tersebut. Menarik juga sekali-sekala membaca puisi daripada perspektif tentera. Lebih-lebih lagi puisi patriotik.

Juga yang saya jumpa - Wahyun, senior saya di UIA. Sekarang baru selesai chambering. Ahli Dewangga Sakti beliau ini. Dengar kata hendak release album penuh tahun depan. Tak sabar menunggu!

Selesai acara, saya, Syukur, dan Yana telah pergi minum-minum di tupai-tupai. Alang-alang, buatlah sedikit perbincangan mengenai program Perhimpunan Alumni MPR yang akan datang. Oh, di atas ini gambar saya dan Syukur. Silalah lawat blog beliau di sini.
.
.
.

Related Posts with Thumbnails