Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

29 November 2009

Perjumpaan MPR di KL Sentral

Masing-masing sedang berfikir.

Hari ini telah diadakan sebuah perjumpaan MPR di KL Sentral. Lokasi ini memang dah serasi sangat dengan kami. Di KL Sentral-lah tempat yang paling sesuai untuk kami berjumpa kerana kami semua datang dari arah yang berbeza-beza. Setiap diskusi yang telah kami anjurkan bermula dengan perjumpaan di KL Sentral.

Tujuan perjumpaan kali ini adalah bagi membincangkan Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja yang bakal diadakan pada 19 Disember ini. Tak ramai pun yang datang, memandangkan sekarang tengah cuti semester dan hujung minggu yang panjang kerana adanya sambutan AidilAdha Jumaat lalu.

BoldKak Hani : Bila Yana nak bagi makan cengkodok nih?

Mereka yang hadir adalah Kak Nisah Haron, Kak Hani Salwah, Yana, Ode, Aidil, dan saya. Tidak mengapalah. Bak kata orang putih, let's start the ball rolling. Lepas ini saya pun sedikit sibuk, jadi mungkin tak boleh beri banyak komitmen sangat. Diskusi lepas pun saya telah jadi Pengurus Program. :)

Yana telah dilantik menjadi Pengurus Program. Manakala AJK lain kebanyakannya daripada AJK Diskusi yang dulu. Jadi, tidaklah jauh beza sangat. Lagipun, kerja kali ini tidak banyak. Kerja yang berat-berat semua pihak DBP akan uruskan. Tugas kami adalah hanya dari segi pengisian, promosi dan kelancaran majlis.

Maka, berikut adalah butir-butir program kami:

Program : Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja
Tarikh : 19 Disember 2009
Masa : 8 pagi - 2 petang
Tempat : Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur.

28 November 2009

Nasyid Gala 2009

Acara : Nasyid Gala 2009
Tarikh : 18 September 2009
Tempat : Convest Stage, UIAM
Masa : 8.30 - 11.30 malam

Saya kira, saya bukanlah seorang peminat nasyid yang tegar. Tetapi, kadangkala suka juga menghanyutkan perasaan mendengar dendangan lagu-lagu nasyid yang begitu indah irama dan senikatanya. Kumpulan nasyid yang saya kagumi tentulah Raihan - yang telah merintis jalan ke arah pengkomersilan muzik nasyid di Malaysia. Lagi satu, saya mengagumi karya-karya Rabbani yang rancak dan bersemangat. (Al-Fatihah buat Ustaz Asri)

Meskipun begitu, saya terima juga undangan untuk menjadi pengacara majlis acara berkenaan. Nampaknya, makin panjang juga langkah saya dalam bidang pengacaraan majlis ini. Macam tak percaya. Kalau dahulu, rasa seperti malu-malu kucing sahaja kalau hendak bercakap depan orang ramai. Tiba-tiba, sekarang sudah mula mengutip pengalaman mengacara dalam beberapa majlis.

Asalnya, saya telah merancang untuk bergandingan dengan Apiz. Tapi saat-saat akhir ada sedikit perubahan pula. Mujur, saya sempat berhubung dengan Eja, yang sudi melapangkan masa menjadi teman pengacara saya. Maklumlah, kalau acara seperti konsert begini, kalau mengacara seorang - rasa tak best pula. Perlu ada gandingan supaya nampak lebih hidup. Lagipun, saya masih baru dalam bidang ini.

Nasyid Gala 2009 dianjurkan oleh Kelab Nasyid UIAM, dengan kerjasama Unit Kesenian & Kebudayaan sempena Convocation Fiesta IIUM 2009. Ia adalah sebuah acara berbentuk pertandingan di mana 10 buah kumpulan telah mengambil bahagian. Setiap kumpulan telah diberikan masa selama 7 minit untuk mempersembahkan alunan lagu Nasyid mereka.


Alhamdullillah, majlis telah berjalan lancar. Saya dan Eja pada awalnya agak kaku juga untuk mengacara disebabkan perubahan yang berlaku saat akhir, tapi akhirnya masing-masing dah mula teruja bila kemuncak majlis kian menjelang. Sampaikan kami berubah-ubah tempat mengacara. Sekejap di kanan, sekajap di kiri, sekejap di kalangan penonton. Ada juga sesi mencari mangsa untuk ditanya itu dan ini.


Undangan istimewa untuk Nasyid Gala kali ini adalah kumpulan Haqqani Ensemble yang telah mengadakan persembahan pembukaan dan selingan. Mereka memperjuangkan penggunaan selawat dalam muzik mereka. Sangat menarik. Semua orang terpegun tatkala menyaksikan mereka beraksi.

Pada akhir majlis, kumpulan Ummul Qura telah diumumkan sebagai juara - satu-satunya kumpulan yang diwakili oleh pelajar-pelajar antarabangsa. Mana tidaknya, mereka bernasyid dengan stail Arab lengkap dengan alunan qasidah yang sangat original. Tahniah diucapkan kepada mereka!

Terima kasih juga kepada Kelab Nasyid yang sudi memberi ruang kepada saya mengacarakan majlis mereka!

27 November 2009

Nur Kasih

**Selamat Hari Raya AidilAdha kepada semua pembaca Hikayat Anak Kota!



Selepas sahaja drama bersiri Nur Kasih mengusaikan episod akhir sebentar tadi, facebook saya telah dipenuhi dengan status Nur Kasih. Begitulah penangan sebuah drama TV yang sedang hangat diperkatakan ini. Saya tidaklah mengikuti sangat drama ini pada awal-awal siarannya. Tapi perasan juga dengan iklannya yang memaparkan visual yang sangat menarik. Asalnya ingatkan cerita ini hanyalah drama 2 jam. Rupa-rupanya drama rantaian.

Saya tidak mengikuti drama ini melalui televisyen, sebaliknya melalui siaran di internet. Hanya episod akhir saya menontonnya di TV bersama seisi keluarga. Kebetulan episod akhir disiarkan pada Hari Raya Haji. Pandai betul timing mereka!

Inilah beberapa catatan yang sempat saya nukilkan berkenaan drama ini :

  1. Visual yang cantik. Antara sebab ramai orang melekat menonton Nur Kasih adalah kerana mainan kameranya sangat cantik. Saya sendiri boleh terpesona tengok videografinya.
  2. Sebagai sebuah drama yang berlandaskan kisah Islami, saya kira drama ini bukanlah kisah pop semata-mata. Meskipun kisah cinta dijadikan sebagai teras utama, tetapi tema kekeluargaan yang dipersembahkan menjadikan ia sebuah cerita yang lengkap rencahnya. Boleh saya katakan, cerita ini mungkin lebih baik daripada Ayat-Ayat Cinta.
  3. Lagu tema yang sedap! Saya boleh dengar lagu Nur Kasih itu berkali-kali.
  4. Di sebalik positifnya, ada juga yang negatif. Saya mendapati kadang-kadang plot dalam drama ini meleret-leret. Kalau dibuat dalam bentuk graf, sekejap naik, sekejap turun. Mungkin begitulah formula sebuah drama rantaian untuk memastikan penonton melekat di depan TV.
  5. Apa lagi ya? Oh, tentulah sebab Nur Amina seorang mahasiswa UIA! Suka tengok babak-babak di UIA, meskipun Nur Amina sebagai seorang mahasiswa Seni Bina, kelihatan sangat releks berbanding kenyataannya yang saya lihat - mereka sangat sibuk!
Mahu maklumat lebih lanjut? Ayuh kunjungi laman web ini.

26 November 2009

Bangsawan Bawang Putih Bawang Merah

Acara : Bangsawan Bawang Putih Bawang Merah
Tempat : Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur
Tarikh : 6 November 2009
Masa : 8.30 malam


Dalam tekanan saya menghadapi peperiksaan akhir 2 minggu lepas, sempat jugalah saya pergi menonton Bangsawan Bawang Putih Bawang Merah di Panggung Bandaraya. Ini kali kedua saya tengok bangsawan. Kali pertama dahulu, bangsawan yang dipentaskan oleh ASWARA. Kali ini pula, ia telah dipentaskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN).

Waktu saya tiba Panggung Bandaraya, orang sangatlah ramai. Maklumlah, pementasan ini diadakan percuma. Diiklankan di akhbar pula tu. Maka, tentulah orang berebut-rebut nak tengok pementasan percuma. Rupa-rupanya warga kota juga masih berminat menonton kesenian sebegini ya!

Cuba lihat atas. sangat ramai orang, sampaikan tak cukup kerusi. Nasib baiklah saya berjaya rebut kerusi walaupun tempatnya agak kebelakang. Tapi panggung ini pun kecil saja. Tidaklah besar mana. Kasihan tengok orang yang tak dapat tempat duduk. Ada yang berdiri sepanjang pementasan berlangsung. Semangat betul!

Maka, persembahan pun bermulalah. Seperti yang anda tahu, 3 watak di atas adalah Mak Kundur, Bawang Merah, dan Bawang Putih. Kalau di Indonesia, watak yang baik adalah Bawang Putih. Di Malaysia pula, Bawang Merah adalah yang baik. Kenapa ya? Terfikir juga saya. Adakah kerana sifat bawang merah itu sendiri yang boleh memedihkan mata diibaratkan dengan wataknya yang sedih dan selalu menangis? Hmmm....

Saya ada terdengar, ada penonton di hadapan saya yang bercakap kepada temannya bahawa kisah Bawang Putih Bawang Merah persisi kepada kisah Cinderella. Beliau memberitahu temannya bahawa kisah Cinderalla itu sebenarnya berasal daripada Asia Tenggara dan telah diubah kepada budaya barat. Benarkah begitu? Ada sesiapa yang boleh mengesahkan perkara ini?

Yang paling istimewa dalam bangsawan ini sudah tentulah kehadiran Musly Ramli yang muncul dalam penampilan istimewa untuk menghiburkan para hadirin dalam selang waktu antara persembahan bangsawan. Kali pertama saya melihat beliau adalah semasa Teater Muzikal P. Ramlee di Istana Budaya. Beliau telah menyanyikan lagu Kisah Rumah Tangga - nyanyian asal P. Ramlee. Persis bak idola agungnya itu.

Ini lagi satu slot yang saya suka. Slot tarian kijang. Sangat unik sekali melihat kanak-kanak tersebut menari mengikut gerakan yang menyamai pergerakan seekor kijang. Oh, selain tarian kijang dan slot Musly Ramlee, bangsawan ini banyak memuatkan lagu daripada filem klasik Bawang Putih Bawang Merah. Contohnya seperti lagu Zapin Bunga Hutan, Telaga Biru, dan banyak lagi. Tak lupa juga beberapa lagu baru yang dicipta khas untuk bangsawan ini.


Kalau sudah namanya bangsawan, tentulah ada babak-babak di istana. Beginilah rupanya set pementasan di istana. Ditonjolkan mengenai kisah perebutan kuasa di antara dua adik beradik putera raja. Di kiri kanan singgahsana adalah orang-orang besar negeri.

Hah, inilah bahagian akhir persembahan ini, apabila keseluruhan pelakon dan kru produksi telah diperkenalkan kepada khalayak. Tahniah diucapkan!

Selepas show, sempat bergambar dengan abang Hisyam dan kawannya. Saya selalu terjumpa dengan Abang Hisyam di acara-acara seni dan budaya. Memang hebat orangnya. Silalah berkunjung ke blognya di sini.

Juga terserempak dengan seorang lagi rakan saya dari UIA. Beliau ini bekas teman sebilik Apiz.

Oh terima kasih juga kepada Ainunl Muaiyanah yang sudi menemani saya menonton bangsawan ini. :)
.
.
.

22 November 2009

Inilah Adik Saya

Entri ini saya tujukan khas buat Ameer.



Adik saya seorang ini sedang menuntut di University of Salford, Manchester, United Kingdom. Bakal mengikuti jejak langkah ayahanda kami menjadi seorang Jurukur Bahan yang berjaya. Insya'Allah. Gambar ini adalah gambar yang ditangkap sebelum beliau berlepas ke UK.

Kalau tengok gambar di atas, memang orang akan keliru siapa abang siapa adik. Lagi-lagi sekarang ini, orang yang baru kenal kami akan mengatakan saya adik dan dia abang. Sebab dia lebih tinggi daripada saya. Aduhai, itulah kenyataan yang perlu saya terima. Umur pun dekat-dekat. Jarak usia kami hanya satu tahun.

Dari segi muka pun jauh beza. Waktu sekolah dahulu, ramai yang terkejut kami adik beradik. Rupa saya persis muka Papa, manakala rupa Ameer sangat mengikut muka Mama. Sebab itu rupa kami lain sedikit. Tetapi, walaupun rupa berbeza, kalau sudah nama adik beradik - dicincang air sekalipun, pasti takkan putus.

Sebut pasal umur tadi, kalau waktu kecil-kecil - umur memang agak menjadi faktor untuk menentukan bahawa saya abang dan dia adik. Sebab masa itu, sekolah pun lain tingkatannya. Tetapi, makin umur menginjak, bila sudah menjengah ke alam dewasa ini, batasan umur itu sudah semakin kabur. Umur saya 22. Umur dia 21. Apa bezanya? Dah tak membawa perbezaan ketara. Macam lebih kurang sebaya saja. Itulah penangannya apabila jarak umur adik dekat sangat.

Kepada Ameerul Ariffin, selamat menyambut hari lahir ke-21.

Umur keramat yang memisahkan antara remaja dan dewasa. Semoga berjaya menggenggam segulung ijazah dari sana. Oh, kami akan buat sambutan juga di tanah air ini. Akan pergi menikmati santapan yang istimewa untuk mengingati hari ulang tahun adinda. Nanti akan kami ambil gambarnya dan dihantar ke sana. Harap adinda janganlah cemburu. Haha!

p/s: Jangan lupa daftar mengundi di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia!

21 November 2009

Ronda-Ronda Ke KLIA


Mula-mula saya ingin berkongsi gambar-gambar aktiviti saya selepas habis periksa, tetapi bila hendak muat naik, komputer pula buat hal. Tapi bila fikir-fikir balik, tak mengapalah, saya kongsi tiga gambar yang ini saja. Gambar di atas ni saya tunjuk sebab ada perkataan "KLIA" itu.

Selepas saja periksa, malamnya saya dan Apiz pergi keluar makan. Kami menikmati makan malam di sebuah kedai Nasi Dalca yang bernama Kassim Mustafa di Kuala Lumpur. Apiz yang cadangkan makan di tempat itu. Jadi kami pun pergilah ke sana. Lebih kurang macam kedai mamak biasa tempatnya, bezanya - ada Nasi Dalca. Saya pun tak pasti apa bezanya dengan nasi kandar biasa yang selalu kita dengar itu.



Selepas itu, disebabkan malam masih muda, maka kami pun pergilah meronda-ronda. Alkisahnya ingin ke Putrajaya. Saja nak mencuba jalan - lepas ini kalau hendak memandu ke sana tak ada masalah sebab sudah ada pengalaman. Tambahan keadaan pada waktu malam yang mana jalannya sangat lengang membuatkan pemanduan jadi selesa dan boleh ke sana dengan cepat.

Maka, kami pun menyusur ke arah Putrajaya mengikut arah papan tanda. Tetapi, tiba-tiba Apiz telah didatangi dengan idea yang sangat menarik - untuk pergi berjalan-jalan ke KLIA. Menarik sungguh. Sambil jalan-jalan, boleh cuci-cuci mata melihat kesibukan lapangan terbang tersebut. Lagipun, melihat kapal terbang berlepas memang seronok. Alang-alang boleh lepak di food court KLIA yang sangat selesa itu.

Dalam sejam juga perjalanan nak ke sana. Saya rasa mungkin kami ikut jalan jauh, sebab kami ikut jalan yang menghala ke cheras. Seolah-olah kami merentas seluruh Kuala Lumpur dahulu. Sebab saya nampak papan tanda KL-Selangor-Negeri Sembilan. Saya pun hairan juga bagaimana boleh melintas ke Negeri Sembilan sedangkan KLIA dalam Selangor sahaja di daerah Sepang.

Kami pun ikut sajalah papan tanda. Dan akhirnya tiba di tempat yang hendak dituju. Teruja juga bila sampai sana. Rasanya itulah yang paling jauh pernah kami meronda setakat ini. Waktu pada ketika itu sudah dalam pukul 3 pagi. KLIA sangat lengang pada waktu itu. Jauh meleset daripada sangkaan saya. Food Court pun tutup. Ingatkan bila dah nama lapangan terbang, akan selalu buka, rupanya tidak ya. :)


Kami pun apa lagi, leka juga berambil gambar. Menikmati suasana bandara Kuala Lumpur yang begitu gah terbina indah itu. Dalam sejam juga di sana, selepas itu baliklah kami ke kampus. Rasa release sungguh berjalan-jalan begitu. Maklumlah, masing-masing sudah tidak ada apa lagi hendak difikirkan.

Sengaja saya tulis entri ini. Asyik tulis perkara berat-berat, sekarang bacalah pula cerita ronda-ronda saya. InsyaAllah nanti akan saya sambung entri-entri lain. Ada banyak acara yang masih belum saya laporkan di sini.
.
.
.

20 November 2009

2012 : Meneruskan Legasi Kehidupan

Amaran : Entri ini mungkin mengandungi spoiler.


Ramai yang memperkatakan mengenai filem 2012. Polemik mengenai kemungkinan bumi akan musnah pada tahun tersebut sememangnya mengundang pelbagai spekulasi. Benarkah dunia akan kiamat pada 2012? Dengan begitu banyak pendapat, sama ada saintifik atau pun mitos, tema ini telah menarik jutaan penonton untuk ke panggung wayang.

Banyak aspek yang telah dibincangkan. Saya ingin memperkatakan dari sudut yang agak berbeza.

Setelah mononton filem tersebut, saya tertarik dengan satu adegan di awal filem, di mana Potret Mona Lisa yang terpamer di muzium telah diganti dengan yang palsu, manakala yang asli telah ditanggalkan dengan tujuan kononnya ingin melindunginya daripada kerosakan. Kononnya ia akan disimpan di dalam pergunungan Alps. Tetapi, hakikatnya lukisan Mona Lisa karya Leonardo Da Vinci itu telah terpilih antara ribuan hasil seni dan kebudayaan lain untuk dipelihara menjelang kedatangan musibah yang akan memusnahkan seluruh dunia.

Dalam fikiran saya, bermain-main juga dengan persoalan, kalaulah perkara ini berlaku dalam alam realiti, barang warisan apa daripada alam Melayu yang akan dipilih untuk dipelihara sebagai warisan kemanusiaan selepas ini? Teruja juga apabila memikirkan mengenainya. Dalam filem ini, warisan budaya juga telah diangkat sebagai salah satu daripada khazanah yang penting untuk diselamatkan. Italic
Mungkinkah karya-karya seperti Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, Hikayat Merong Mahawangsa akan berada dalam senarai? Apakah Tugu Negara, keris, dan pending akan menjadi bahan warisan selepas dunia hancur musnah? Itulah antara persoalan-persoalannya. Kalaulah Malaysia juga antara yang terlibat dengan pembinaan kapal besar tersebut, tentunya senarai warisan berpandukan Akta Warisan Kebangsaan akan dirujuk.

Tetapi, pastinya nyawa manusia harus diutamakan. Kalau hendak dipelihara segala jenis warisan tersebut, tetapi nyawa manusia terus dipertaruhkan, tiada gunanya juga. Menggunakan prinsip Maslahah Mursalah dalam Usul Al-Fiqh, nyawa manusia harus diutamakan. Perkara lain jatuh nombor dua.

Dalam filem 2012, telah digembar-gemburkan bahawa dunia akan hancur musnah. Menurut pemahaman saya, ia bermaksud muka bumi ini sudah tidak boleh diduduki lagi. Tetapi agak menghairankan apabila kerajaan-kerajaan besar dunia telah membina sebuah Kapal Laut, berbanding sebuah Kapal Angkasa. Kalau hancur bumi, di mana pula kapal itu hendak belayar? Hah, satu persoalan juga.

Benarkah kejadian tersebut akan berlaku? Wallahu'alam. Itu semua kuasa Allah yang menentukan segala-galanya. Tetapi, saya ada terfikir jika benar perkara ini sedang menunjukkan tanda-tandanya, adakah pembikinan filem 2012 satu cara untuk memberi amaran kepada penduduk dunia supaya bersedia?

Kalau dalam filem, para pemimpin dunia tidak memberitahu pun rakyat mereka bahawa akan berlaku bencana sedemikian rupa. Masing-masing cuba untuk menyelamatkan diri masing-masing. Orang-orang yang telah sama menyumbang tenaga untuk membina kapal besar tersebut juga tidak diberi peluang. Nampak juga unsur kapitalis apabila hanya orang-orang yang super-kaya yang mampu untuk membeli tiket untuk menyertai pelayaran bersejarah itu.

Pada sisi lain, saya nampak betapa manusia berusaha keras untuk meneruskan kehidupan. Tetapi akhirnya, tuhan juga yang menentukan segala-galanya. Bila sudah hampir kiamat, barulah penduduk-penduduk dunia berpaling kepada agama. Tak kiralah apa agamanya, masing-masing berdoa untuk yang terbaik. Adegan saat-saat akhir mereka sebelum ditimpa kecelakaan sangat menyedihkan.

Kepada yang belum menonton 2012, saya sarankan anda menonton filem ini. Dari sudut teknikal, grafiknya sangat real. Sistem bunyi juga mengagumkan. Dari awal hingga akhir, anda akan terpaku dan berdebar-debar untuk melihat apakah yang akan dilakukan oleh Dr Helmsley dan Jackson Curtis dalam usaha mereka meneruskan legasi kehidupan.

Saya beri 4.75 bintang!


16 November 2009

Projek Cuti Semester

Terasa lega sungguh tatkala saya keluar daripada dewan peperiksaan pagi tadi.

Aduhai, kertas terakhir - Usul Al-Fiqh 2 yang saya langsaikan telah menjadi penanda kepada permulaan sebuah percutian yang sangat ditunggu-tunggu! Selesai periksa, saya sempat meluangkan masa bersama Kak Nasriah Abdul Salam dan Cik Sayidah Mu'izzah yang kebetulan juga baru mengusaikan kertas terakhirnya.

Hujan turun dengan selebat-lebatnya. Sungguh sejuk hari ini. Sambil menikmati secawan hot chocolate yang hangat, saya mula berkira-kira akan aktiviti-aktiviti sepanjang cuti semester ini. Cuti yang tidaklah lama mana, lebih kurang 3 minggu, jika dikira daripada hari ini.

Rakan-rakan saya masih ada yang punya kertas yang berbaki. Syukur saya habis periksa awal. Ada beberapa agenda yang ingin saya langsaikan.

Apa aktiviti yang saya mahu buat sepanjang cuti ini? Mari kita buat senarai.

  1. Menyusun dokumen-dokumen di dalam komputer bimbit saya supaya lebih teratur.
  2. Melaporkan aktiviti-aktiviti kebudayaan saya yang belum sempat diblogkan.
  3. Berlatih pantun - mempersiapkan diri untuk Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia
  4. Menyiapkan kertas-kertas kerja untuk program semester akan datang.
  5. Mengedit dan menghantar cerpen saya yang sudah lama terbengkalai itu ke majalah.
  6. Memulakan projek Antologi Puisi UIAM
  7. Membuat stok karya untuk semester akan datang.
Apa lagi ya? Banyak sungguh keinginan. Tapi masa cuma ada 3 minggu sahaja. Tak mengapa. Slow and steady. Ayuh kita mulakan langkah!

14 November 2009

Menulis di Blog

Secara tiba-tiba saya merasa bersemangat pula untuk kemaskini blog ini. Entah kenapa. Kebiasaannya agak liat juga untuk menarikan jari-jemari ini atas pentas papan kekunci. Mungkin disebabkan baru-baru ini saya banyak juga mengikuti blog-blog lain yang secara tak langsu ung merangsang saya untuk menulis (walaupun dalam sesak nafas menghadapi peperiksaan).

Dalam meneliti blog-blog tersebut, saya lihat ada yang menggunakan bahasa Melayu yang betul dan ada juga yang tidak. Banyak stail penulisan juga saya temui. Ada yang serius dan lantang, manakala ada yang santai dan releks.

Itu semua tidak mendatangkan masalah. Pada saya, blog adalah satu wadah untuk mengekspresikan diri - dalam bentuk penulisan. Tak kisahlah dalam apa jua bentuk penulisan. Saya mengandaikan sebuah blog itu umpama rumah yang dibina untuk sang penulis meluahkan perasaannya dan berkongsi pendapat.

Sebuah rumah, tentunya bersifat peribadi. Walaupun ada sesetengah blog yang mendapat sambutan yang hangat dan hits yang sangat memberangsangkan, ia masih tergolong dalam media yang peribadi sifatnya. Private, yet public.

Bagi saya sendiri sebagai seorang blogger kecil-kecilan, meskipun kita diberikan kebebasan untuk bersuara, harus diingatkan bahawa ia masih terbatas dalam perkara tertentu - seperti mana yang telah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan. Tidak lupa juga undang-undang lain yang berkaitan dengan hasutan dan ketenteraman awam.

Wah, melencong bab undang-undang pula!

Baiklah, kembali kepada perbincangan kita, walaupun saya memegang prinsip menghormati hak peribadi seseorang menggunakan bahasa yang dikehendakinya, jangan lupa pula tanggungjawab kita sebagai seorang penulis terhadap pembaca. Biarlah apa yang kita tulis itu membawa pengisian yang berguna kepada para pembaca.

Berkenaan blog ini, saya menulis dengan memegang prinsip menggunakan Bahasa Melayu Tinggi kerana saya yakin dan percaya - bentuk penulisan begini sesuai dengan saya. Kadang-kadang, terasa bosan juga, menulis dengan cara yang orang kata agak skema begini. Tak mengapalah, ini cara saya. Mungkin cara anda berbeza. Saya pun sedang cuba untuk mempelbagaikan kaedah penulisan saya, contohnya seperti dalam entri ini.

Baiklah, begitulah pandangan saya. Kesimpulannya, tulislah dengan cara yang anda kehendaki, asalkan ianya membawa kesan yang baik kepada orang di sekeliling anda. Wassalam.
Italic

07 November 2009

Dari Bintang Ke Bintang

Berikut adalah rakaman deklamasi puisi "Dari Bintang Ke Bintang" yang telah saya jayakan untuk rancangan Hujung Minggu Malaysia di TV1. Terima kasih kepada Ayahanda yang telah bersusah-payah memuat-naik video ini ke laman youtube. Laporannya boleh dibaca di sini.

Tidaklah sehebat mana, biasa-biasa saja. Saya pun sebenarnya segan nak menonton video ini. Tetapi, harus memberanikan diri untuk menayangkannya supaya boleh mendapat maklum balas daripada semua. Kalau ada apa-apa komen, jangan lupa beritahu saya ya!


03 November 2009

Jadual Peperiksaan

Berikut merupakan jadual peperiksaan saya. Doakan kejayaan saya dalam perjuangan kali ini. Selepas periksa, saya akan gegarkan blog ini dengan laporan aktiviti-aktiviti saya yang masih banyak lagi belum diblogkan. Wassalam.

INDUSTRIAL RELATIONS LAW
Tuesday Nov 3 2009, 09.00 AM

EQUITY & TRUSTS I
Tuesday Nov 3 2009, 09.00 AM

PUBLIC INTERNATIONAL LAW I
Friday Nov 6 2009, 9:00 AM

LAND LAW I
Wednesday Nov 11 2009, 2:30 PM

USUL AL FIQH II
Friday Nov 13 2009, 9:00 AM
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan