Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

28 Disember 2009

Hari Jadi Ayahanda ke-50


Ayah saya telah mencapai umur emas 50 tahun pada tarikh ini. Umur setengah abad! Bagi sesetengah orang, umur ayah saya ini masih muda lagi. Rata-rata teman-teman saya punya ayah yang berusia 60-an. Jadi, kira saya ini beruntunglah juga mendapat ayah yang muda. Sudah saya ini anak sulung, tentulah muda.

Tapi, zaman 40-an itu sudah berlalu. Kini, ayah saya bakal menempuhi zaman baru, alam 50-an.

Saya waktu itu kurang ilham sikit nak beli apa untuk ayah saya, jadi saya pun belikan ayah saya sepotong kek chocolate indulgence dan juga sekeping kad hari jadi. Sambutan hari jadi dengan keluarga telah dibuat beberapa hari sebelum, di mana saya masih di kampus. Ibu telah membelikan sebuah kek yang ada replika kereta di atasnya, sebab ayah saya ini sedang meminati sukan kereta pacuan empat roda.

Kepada ayahanda saya, Haji Ariffin Damin, selamat hari jadi! Semoga papa terus panjang umur dan murah rezeki. Semoga terus berbahagia hingga ke anak cucu. Hmm, anak dah ada. Cucu? heheh. Beberapa tahun lagilah agaknya. :)




24 Disember 2009

Pesan Ayahanda & Bonda

Manusia didatangkan dugaan dalam pelbagai bentuk. Ada dalam bentuk harta dan kekayaan, ada juga dalam bentuk ragam orang tua. Setiap kesusahan yang kita terima itu, sebenarnya adalah untuk menguji betapa kuatnya iman dan kesabaran diri. Ingatlah, bila besar nanti, andainya kedua orang tua kita menduga kita dengan pelbagai ragam dan kerenah, itu adalah dugaan kita, seorang anak. Mereka telah mengharungi segala kerenah kita semasa kecil, jadi kita juga harus melakukan perkara yang sama. Bila tiba waktunya, bersabarlah. Ibubapa itu permata jiwa.

19 Disember 2009

Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja 1, 2009

Program MPR kali ini, Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja 1, 2009 berlangsung dalam suasana yang lebih santai dan releks berbanding acara-acara sebelum ini. Konsepnya yang berbentuk reunion, telah mengembalikan memori kenang-kenangan kami sepanjang seminggu mengikuti MPR pada tahun masing-masing.

Meskipun notis yang diberikan pihak Dewan Bahasa & Pustaka kepada Alumni MPR untuk mengadakan acara ini agak terlambat, iaitu kurang sebulan sebelum sebelum acara berlangsung, namun ia tidak menghalang kami untuk menjadikan acara ini sebuah kenyataan.

Tahniah perlu saya kalungkan kepada Pengarah Program, Ainunl Muaiyanah yang telah bersusah payah mengorbankan masa beliau untuk menguruskan acara ini, walaupun terhimpit dengan bebanan tugasan di pejabat. Juga tahniah kepada semua AJK yang telah bertungkus-lumus, sampaikan sanggup berkampung sehari sebelum acara di Puspanita untuk membuat persiapan-persiapan akhir.

Diakui, sebenarnya tarikh yang dipilih tidaklah begitu sesuai. Ramai sangat yang tidak dapat hadir. Ia agak merisaukan kami pada mulanya. Maklumlah, daripada 600++ mantan MPR, pihak DBP menjangkakan kehadiran 200++ orang, tetapi yang sahkan kehadiran hanyalah 40++ orang. Dengan musim kenduri orang kahwin sekarang ni, ramai yang terpaksa pulang awal.

Tapi, bak kata Encik Wahab daripada Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan DBP, acara ini boleh dianggap sebagai pemula ataupun jumpstart kepada perhimpunan-perhimpunan yang lebih besar pada tahun depan. Beliau sempat mengatakan kepada kami bahawa mesyuarat untuk tahun depan akan diadakan pada Januari depan. Kalau begitu, saya mencadangkan bahawa tarikh yang molek untuk diadakan perhimpunan tersebut adalah pada tarikh pertengahan tahun.


Kami telah tiba di Dewan Seminar DBP pada pukul 7.30 pagi. Waktu itu teruslah kami melakukan tugas masing-masing untuk menyiapkan meja pendaftaran. Cuma apa yang agak menghairankan saya, sarapan yang sepatutnya dihidangkan pada pukul 8 pagi, masih belum tersedia sehinggalah pada pukul 8.45 pagi. Ia sedikit sebanyak telah menjejaskan kelancaran program. Mungkin berlaku salah faham tentang waktu permulaan majlis.

Pada majlis ini juga telah dilancarkan 5 buah buku hasil tangan mantan peserta Minggu Penulis Remaja iaitu :

  1. Lentera Mustika - Nisah Haron
  2. Menunggu Cinta Tuhan - Lily Haslina Nasir
  3. Janji Miftahul Raudhah - Sayidah Mu'izzah Kamarul Syukri
  4. Badrul Bambi - Raihani Mohd. Saaid
  5. Kafe Filosof Fikir - MPR 2006

Slot forum sangat menarik. Ini satu pembaharuan; kalau hendak dibandingkan dengan format acara MPR sebelum ini yang berbentuk pembentangan ilmiah. Abang Nomoiz T.Y telah berjaya menghidupkan majlis dengan tugasnya sebagai moderator yang kreatif. Begitu juga dengan panelnya - Lily Haslina Nasir, Raihani Mohd Saaid, dan Khairul Nizam Abdul Raub. Saya ada mencatatkan ringkasan isi penting forum tersebut. InsyaAllah, akan saya turunkan semula di Blog Rasmi MPR.

Slot Memori MPR juga sangat menarik, apabila setiap mantan telah menceritakan mengenai pengalaman MPR masing-masing. Seronok juga mengimbas kenangan ini. MPR 2005 telah diwakili oleh Kak Nasriah Abdul Salam.

Juga turut diselitkan di penghujung acara, adalah sesi mengenang Almarhum Othman Puteh. Saya tidak berkesempatan berguru dengan Almarhum, tetapi dapat merasakan betapa Almarhum begitu berjasa sekali bukan sahaja kepada MPR, tetapi kepada hampir kesemua penulis muda pada dekat 90-an.

Antara mantan MPR yang sempat bergambar bersama.

18 Disember 2009

Cerita Awal Muharram

Hari ini saya nak berehat kejap daripada bercerita pasal Festkum. Sambung esok-esok pulak lah ya. Banyak masa lagi boleh baca. Lagipun, cerita pasal Festkum ni ambil masa. Nak upload gambar lagi, nak tulis laporan lagi.

Sejak seminggu saya meneruskan pengajian ini, rasanya masih boleh tahan lagi. Kebanyakan kelas pun masih lagi dalam tajuk pengenalan lagi. Nasib baiklah, semasa minggu Festkum berlangsung, pensyarah AIKOL diwajibkan untuk menghadiri konferens pada hari Selasa dan Rabu. Jadi, tidaklah saya risau sangat nak ponteng kelas. Cuma, kelas hari khamis sahajalah yang saya tak pergi.

Setakat ini, saya masih dalam proses nak settle down. Ya, tak habis-habis lagi dengan settle down. Tak tahulah bila nak betul-betul mulakan enjin pembelajaran. InsyaAllah, perlu buat yang terbaik semester ini.

5 matapelajaran saya ambil semester ini.

1. Land Law 1
2. Company Law 1
3. Equity & Trust 2
4. Public International Law 2
5. Evidence & Procedure of Shariah Court 1

Harap semuanya akan berjalan lancar. Sempena Ma'al Hijrah yang kita sambut hari ini, ayuhlah kita sama-sama berazam untuk terus tingkatkan diri dan prestasi. Manusia hebat tentu sekali mampu mengharung segala badai dan cabaran.

Salam Ma'al Hijrah!

17 Disember 2009

FEStKUM 2009 (Bahagian 3)

Kalau sebelum ni saya cerita pasal pengalaman sebelum majlis pembukaan, kali ini saya kongsikan pula gambar-gambar sewaktu malam pembukaan itu sendiri. Majlis berlangsung dengan gilang gemilang. Memang best sangat. Apabila melihat mahasiswa daripada berbilang bangsa semua bersatu, berkumpul dan memeriahkan satu acara kebudayaan - sangat melambangkan satu Malaysia. Tak tahulah untuk orang lain, sebab saya jarang melihat suasana begini di UIAM.

Baiklah, jom kita lihat gambar-gambar ini.

Sebelum perarakan bermula.

Konon-konon jadi pemegang sepanduk. :)

Keadaan di dalam dewan. Sungguh berwarna-warni!

Kontigen UIAM!

Persembahan kebudayaan daripada mahasiswa pelbagai kaum dan universiti.

Pasukan Pantun UIAM pada malam pembukaan.

Sangat suka dengan selempang emas UIAM ini. Menjadikan kami sangat berkilau-kilau!
.
.
.

16 Disember 2009

FEStKUM (Bahagian 2)

Kali ini, saya ingin cerita berkenaan dengan kejadian pada hari pertama - iaitu 9 Disember 2009. Saya dan Zack telah bertolak lebih awal ke UKM untuk menghadiri mesyuarat Pengurus Pasukan FEStKUM di Panggung Seni, Dektar. Mula-mula agak takut juga untuk memandu ke Bangi. Tak pernah saya drive ke UKM. Kali pertama dan terakhir saya ke sana adalah pada tahun 2008 ketika menyaksikan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka MAKUM.

Pada hari Rabu tersebut, ramai mahasiswa kelihatan mula membanjiri DEKTAR secara perlahan-lahan. UKM saya rasakan seperti sebuah terminal bas pula apabila satu demi satu bas universiti sampai dan memunggahkan pelajar-pelajar dari 20 IPTA seluruh negara.

Sebenarnya, saya ada cerita yang sangat tragik berlaku hari itu. Di dalam semua orang sedang sibuk-sibuk dengan persediaan pembukaan Festkum, secara tiba-tiba kereta saya telah ditakdirkan rosak! Panik sungguh pada mulanya.

Dahlah tak kenal sapa-sapa di UKM ketika itu, kecuali Kak Liza. Itu pun, dia sedang sibuk dengan mesyuarat. Kereta saya tak boleh start enjinnya. Bayangkanlah betapa huru-haranya saya pada hari itu. Terkejar sana, terkejar sini. Jadinya, saya pun call ayah saya nak buat macam mana.

Ada orang cakap kalau kereta habis bateri ni, guna saja jumper. Masalahnya, bila saya guna jumper, masih tak boleh mula lagi kereta tu. Maka, berlakulah benda yang sangat saya tak boleh lupa. Ketika saya sedang terkontang-kanting betulkan kereta itu, maka berbarislah kontigen-kontigen dari semua IPTA di belakang saya di luar DEKTAR untuk sesi latihan.

Rasanya kalau siapa yang baca ni, terlibat dengan sesi raptai ni, mesti semua perasan saya yang terkontang-kanting membetulkan kereta tu. Bayangkanlah, wakil IPTA seluruh negara ada kat belakang saya sedang berbaris panjang. Aduhai...

Bateri kereta saya memang dah out habis. Jadi, terpaksa call AAM untuk datang dan gantikan dengan bateri baru. Dalam sejam juga tunggu. Saya sebenarnya sangat menghargai jasa ayah saya yang datang ke UKM untuk bantu saya selesaikan masalah kereta itu. Kalau tidak, memang mati akal dibuatnya. Alhamdullillah, bila dah godek-godek-godek, barulah semuanya okey. Terima kasih, papa!
.
.
.

14 Disember 2009

FEStKUM (Bahagian 1)

Syukur Alhamdullillah. Segala puji-pujian bagi Allah S.W.T. Perjuangan saya dan teman-teman sepasukan dari UIAM akhirnya berbaloi juga apabila pasukan kami berjaya merangkul pingat perak acara pantun berpasukan.

Benar kata Dee, pemantun ketiga kami, kalau tuhan nak bagi rezeki, dia akan bagi juga dan permudahkan laluan kami. Dan itulah apa yang menjadi pegangan kami ketika bertanding di dalam acara pantun Festkum 2009.

Tahniah kepada Hafifi, Malin, Dee, dan juga Ika yang telah berjaya sekali lagi mengharumkan nama UIAM di pentas pantun MAKUM. Juga kepada pemantun lain - Zack (Busana), Yana (Dokumentasi), Izwan (Jurugambar/Jurulatih Persembahan), dan saya sendiri sebagai pengurus pasukan. Walaupun hanya tiga orang yang berjuang di atas pentas itu, tetapi sesungguhnya, ini adalah kejayaan kami berlapan - pasukan pantun UIAM.

3 minggu berhempas pulas, berkorban masa dan tenaga, juga wang ringgit telah membuahkan hasil yang manis. Meskipun telah tewas kepada UKM pada perlawanan akhir, namun kami tetap berpuas hati.

Secara keseluruhannya, UIAM telah memenangi 1 emas dan 3 perak pada FEStKUM kali ini daripada acara dikir barat dan pantun. InsyaAllah, tahun depan akan bawa lebih ramai lagi kontingen!

p/s: Ini baru ucapan dahulu. InsyaAllah, laporan program FEStKUM akan dikemas-kini sedikit demi sedikit dalam minggu ini, termasuk gambarnya sekali. :)
.
.
.

07 Disember 2009

Hari Pertama - FESTKUM & Pendaftaran

Saya sebenarnya tengah pening kepala ni. Baru tadi berehat sebentar kat bilik, mimpi pasal Festkum, sampaikan tak lena tidur dibuatnya. Berpusing-pusing saja nampak. Aduhai. Festkum, festkum, festkum. Sebab apa jadi pening, mungkin kerana tiba-tiba saya kena handle banyak benda dalam Festkum nanti. Sebagai pengurus pasukan, banyak benda kena selesaikan. Hal baju, pengangkutan, mesyuarat, perarakan. Mana lagi dengan tanggungjawab hakiki saya sebagai seorang pelajar.

Saya nekad, program inilah yang terakhir untuk semester ini. Biasanya saya berniat saja, tapi kali ni biarlah saya umumkan dalam blog. Bila orang tahu, tetap sikit pendirian kita. Saya perlu utamakan pelajaran sem ini. Perlu mantapkan pointer balik. Untuk Fesktum kali ini, saya terpaksa tuang kelas dari hari Rabu sampailah Jumaat. Universiti lain tak ada masalah, kerana rata-rata mereka sedang bercuti. Jadi bolehlah mereka bersuka-ria.

Oh, cerita pasal hari pertama. Hari ini buat pertama kalinya dalam sejarah saya di UIAM, saya telah membuat pendaftaran subjek secara manual. Sebelum ini, semuanya saya selesaikan dengan cara online.


Sejak pukul 8 pagi lagi saya sudah bertolak ke kulliyyah, dengan harapan hendak selesaikan pendaftaran secepat mungkin. Sampai saja ke makmal komputer, ramai sudah orang bertenggek depan tu. Terpaksalah menunggu. Dalam pukul 8.45 baru pintu dibuka, itupun sikit demi sikit orang dibenarkan masuk.


Perit juga ya buat pendaftaran manual ni. Saya sendiri menunggu dari pukul 8 pagi sehingga pukul 11 pagi baru selesai. Seorang demi seorang dia uruskan. Alhamdullillah, dapat juga saya add semua subjek yang saya nak. Jadi harapnya, semuanya berjalan lancar semester ini.

Malam ini ada Demo Pantun untuk Festkum. Itu juga diharapkan berjalan lancar.
.
.
.

Semester Baru, Semangat Baru

Rasa macam baru semalam periksa habis, esok sudah bermula semester yang baru pula. Cuti kali ini sungguh tak terasa. Bagi berlalu pergi begitu sahaja. Sudah ada tanggungjawab yang harus dilangsaikan, perlulah ditunaikan. Begitulah rutin hidup sebagai seorang mahasiswa. Menunggu ketibaan semester baru, sehingga akhirnya tiba waktu untuk bergraduat.

Hari ini bermula satu lagi semester dalam hidup saya sepanjang bergelar pelajar di UIAM. Semalam, ketika saya pergi mendaftar mahallah, ternampak ramai pelajar-pelajar baru sedang mundar-mandir di sana sini.

Tersenyum saya sendiri. Agaknya dahulu pun, tentu saya begitu. Bergerak dalam kumpulan - berbondong-bondong. Saya lihat muka semua masih agak terkejut dengan persekitaran baru. Seronok tengok mereka, mengenangkan waktu-waktu baru masuk. (Macamlah saya ini dah tua sangat!)

Saya ada 3 semester lagi di UIA. Lebih kurang setahun setengah. Harap sangat dapat graduate on time. Kawan-kawan saya yang sebaya, ada yang sudah konvo dan kerja pun. Tak mengapalah, harapnya walaupun saya graduate sedikit lambat, tapi membuahkan hasil yang ranum.

Hari pertama - tentu akan sibuk. Ya, saya harus mulakan langkah pertama ini dengan penuh keyakinan. Saya akan buktikannya, buktikan kepada seluruh dunia.

Meskipun sudah hampir ke garisan penamat, belum terlambat untuk menggerakkan langkah memecut ke mercu kejayaan!

Semester baru, semangat baru!

06 Disember 2009

MASKARA Disember 2009

Acara : Maskara
Tempat : Rumah Pena, Kuala Lumpur
Tarikh : 5 Disember 2009
Masa : 8.30pm - 11.00pm

Dah lama sungguh saya tidak menghadiri MASKARA. Kali pertama dan terakhir pun, adalah pada tahun lepas - 2 Ogos, ketika saya sendiri telah membaca karya saya di pentas MASKARA. Waktu itu, saya mengisi slot MPR, di mana 2 orang mantan MPR telah dijemput untuk membuat persembahan di Maskara.

Kali ini, saya menjejakkan kaki lagi sekali ke rumah Pena untuk menyaksikan acara yang sudah makin popular ini. Alang-alang sudah cuti, apa salahnya, yer tak? Seronok juga malam-malam minggu begini pergi melayan aktiviti seni indie sebegini.

Seperti biasa, kalau ada perjumpaan-perjumpaan begini, yang paling seronok sebenarnya adalah dapat berjumpa dengan kawan-kawan. Melihat persembahan itu nombor dua. Dapat berborak-borak, bertentang mata dengan orang yang sebelum ini hanya dikenali di alam maya.

Saya pergi ke Maskara dengan Syukur, kawan saya dari UIA. Kami bertolak sedikit lambat, iaitu pada pukul 8.30 malam. Sampai Rumah Pena pun, sudah pukul 9.15. Masa itu, slot pertama MASKARA telah tamat. Aduhai, rasa rugi sungguh. Tak dapat lihat Kak Raihani dan Lt Kol Radzi bersajak. Sebab merekalah saya datang!

Tak mengapalah. Lepas itu, seorang demi seorang kawan saya muncul. Mula-mula jumpa Ode, dia dengan geng e-sastera. Sebelah dia Abang Dahrie. Bila saya salam dengan dia, boleh ingat dia nama saya. Wah terharu betul. Lepas ni kena ikut blog dia ni. Orang dah ingat kita. :)

Selepas itu, jumpa dengan Kak Rai. Sempatlah beli buku antologi cerpen beliau - Badrul Bambi dengan harga kroni, lebih murah dari pasaran. Gambar di atas ini, Kak Rai tengah menulis autograf di dalam naskhah yang telah saya beli. Tersengih-sengih Kak Rai. :)


Kemudian, Yana pula datang. Jadi, kami pun apa lagi, meneruskan tradisi suka-ambil-gambar MPR.

Saya tercari-cari juga kelibat Tuan Radzi. Tapi tak nampak pula di mana-mana. Bila persembahan slot kedua baru bermula, tiba-tiba saya baru perasan dia sedang berdiri sebelah saya. Saya pun apa lagi, perkenalkan diri kepada beliau. Tuan Radzi Johan Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka tahun ini. Kagum dengan beliau sebab banyak pencapaian yang telah dicapai. Tulis buku, johan deklamasi, graduan sarjana.

Beliau telah menghadiahkan saya buku Antologi Puisi Pahlawan terbitan Markas Tentera Darat. Terima kasih, tuan! Saya baru sempat membelek antologi tersebut. Menarik juga sekali-sekala membaca puisi daripada perspektif tentera. Lebih-lebih lagi puisi patriotik.

Juga yang saya jumpa - Wahyun, senior saya di UIA. Sekarang baru selesai chambering. Ahli Dewangga Sakti beliau ini. Dengar kata hendak release album penuh tahun depan. Tak sabar menunggu!

Selesai acara, saya, Syukur, dan Yana telah pergi minum-minum di tupai-tupai. Alang-alang, buatlah sedikit perbincangan mengenai program Perhimpunan Alumni MPR yang akan datang. Oh, di atas ini gambar saya dan Syukur. Silalah lawat blog beliau di sini.
.
.
.

05 Disember 2009

Reminder for the New Semester

The vacation period is coming towards the end. This two weeks has been filled with many activities - particularly my team's preparation for the FESTKUM inter-varsity pantun competition. My schedule has been packed with a lot of activities from the morning, towards the afternoon, until the night time.

My mom sometimes reminded me that I need to slow down on my side activities and focus on the main purpose of my journey in the university - to obtain a law degree. Undeniably, I also realize that my activeness sometimes has put a toll on my studies. To tell the truth, I am having this problem to focus on two different things is one time.

I have this problem since my high school days. Being active in co-curricular activities is good, because it teaches me on the principles of time management. However, now that I've become a law student, time management is very crucial. Not only that, focus is also a determining factor to ensure our success in the legal study.

This coming Monday marks the beginning of another new semester. After 3 years being a law student, surely there are lists of do's and don'ts which I have gained throughout my experiences. The question is - will there be an improvement in this coming semester? I hope so.

These are a few tips (or probably a reminder) for the next semester.

  • Do not miss classes. Attending classes are important to ensure that you will always be up to date with your studies and this gives a good impression to your lecturer.
  • Study early. As a law student, you could not afford to flip through the pages of that thick books at the last minute. It will make you go nuts seeing the amount of words that need to be revised.
  • Make sure the lecturer knows you. Some people said that, when our lecturer knows our name, and recognizes us, plus having a good impression towards us, that mean we will get at least a B in the subject. InsyaAllah.
  • Excel in coursework. Excelling in the coursework will be the safest way to ensure that we will do well in the subject. There is no guarantee that we can strive in the finals. Anything can happen.
  • Make short notes. As I said earlier, there is no way we can flip that thick book at the end of the semester. Short notes make it easier for us to compress the information that we need in a systematic and simple way. Put everything that we need in one place, so that it is easier to retrive the information later.

01 Disember 2009

Persediaan FESTKUM 2009

Sepanjang 2 minggu ini, saya dan rakan-rakan pasukan pantun telah berkampung di kampus, meskipun warga UIA lain sedang bersuka-ria menikmati cuti masing-masing. Kami ada amanah yang perlu dipikul dengan sepenuh hati, menjulang warisan bangsa dengan khazanah pusaka bahasa.

Gelanggang kami seterusnya adalah Festival Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia 2009 (Festkum'09). Kali ini memang meriah disebabkan acara ini diadakan dalam bentuk perkampungan sukan, di mana banyak pertandingan-pertandingan kebudayaan telah dikumpulkan di bawah satu festival dan diberikan hadiah berupa pingat - emas, perak, gangsa. Satu perkara yang baru dalam dunia seni dan budaya!

Wakil Kontinjen seluruh Universiti-Universiti Awam di Malaysia akan berkampung di Universiti Malaya dari 9-13 Disember 2009 - di mana, pertandingan akan diadakan di 4 universiti di Lembah Klang, iaitu UM, UKM, UPM, dan UiTM. Yang seronoknya, acara pembukaan akan ada perarakan pasukan setiap universiti. Teruja juga hendak menyertainya. Barulah nampak semangat kesukanan. Lebih-lebih lagi dengan acara berskala besar seperti ini.

Setakat ini, UIAM akan menghantar 3 pasukan sahaja. Pantun, Dikir Barat. dan Permainan tradisional. Ada banyak lagi acara kebudayaan yang dipertandingkan. Contohnya seperti Zapin, Tarian Tradisional Cina, Tarian Klasik India, Boria, Nyanyian Irama Malaysia, Band Akustik, dan sebagainya. Tentu anda dapat membayangkan betapa meriahnya festival ini kan?

Baiklah, di sini beberapa gambar latihan pasukan pantun UIAM. Tak boleh cerita lebih-lebih, nanti tak ada kejutan pula waktu FESTKUM!


Ika : Zack, nanti tolong make-up akak grand-grand untuk final k? Kasi bedak 5 inci.
Zack : Eh, Zack pun akan berpantun jugak. Akak dah sure sangat ke nak masuk team?
Izwan : Adeiii, bosannya. Bila nak mula berpantun ni?
Yana : Ish, ngantuknya mata aku ni. Jap, mana buku baru aku ah?
Dee : Pok amai-amai, belalang kupu-kupu.... ewah! ewah!

Hafifi : Amboiii, besarnya jerawat dia....
Malin : Pergi ke kedai beli ubat jerawat, eh, apa daaa pembayang aku nih!


Hafifi : Aku pasrah dan berserah saja nasib sama ada boleh masuk tak dalam team ni.
Malin : Berbekalkan cincin azimat ini, akan Malin akan pastikan semua orang jatuh pengsan dengar Malin berpantun.
Azree : Suka hati koranglah. Aku masuk ke, tak masuk ke, tetap aku jugak yang pening kepala!


Finalis Pertandingan Akhir Gadis Melayu 2015 sedang mendemonstrasikan cara makan mee yang betul menggunakan garfu.

Malin : Gadis Rock
Dee : Gadis K-Pop
Ika : Gadis Jiwang
Zack : Gadis Nasyid

Ini gambar serius sedikit. Masing-masing tersengih-sengih bergambar. :)

Siapakah di antara 7 anak muda ini akan meneruskan cabaran pantun UIA dalam FESTKUM 2009? Siapa pula akan tersingkir?

Jangan lupa saksikan kesudahan kisah ini hanya di Hikayat Anak Kota!

29 November 2009

Perjumpaan MPR di KL Sentral

Masing-masing sedang berfikir.

Hari ini telah diadakan sebuah perjumpaan MPR di KL Sentral. Lokasi ini memang dah serasi sangat dengan kami. Di KL Sentral-lah tempat yang paling sesuai untuk kami berjumpa kerana kami semua datang dari arah yang berbeza-beza. Setiap diskusi yang telah kami anjurkan bermula dengan perjumpaan di KL Sentral.

Tujuan perjumpaan kali ini adalah bagi membincangkan Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja yang bakal diadakan pada 19 Disember ini. Tak ramai pun yang datang, memandangkan sekarang tengah cuti semester dan hujung minggu yang panjang kerana adanya sambutan AidilAdha Jumaat lalu.

BoldKak Hani : Bila Yana nak bagi makan cengkodok nih?

Mereka yang hadir adalah Kak Nisah Haron, Kak Hani Salwah, Yana, Ode, Aidil, dan saya. Tidak mengapalah. Bak kata orang putih, let's start the ball rolling. Lepas ini saya pun sedikit sibuk, jadi mungkin tak boleh beri banyak komitmen sangat. Diskusi lepas pun saya telah jadi Pengurus Program. :)

Yana telah dilantik menjadi Pengurus Program. Manakala AJK lain kebanyakannya daripada AJK Diskusi yang dulu. Jadi, tidaklah jauh beza sangat. Lagipun, kerja kali ini tidak banyak. Kerja yang berat-berat semua pihak DBP akan uruskan. Tugas kami adalah hanya dari segi pengisian, promosi dan kelancaran majlis.

Maka, berikut adalah butir-butir program kami:

Program : Perhimpunan Alumni Minggu Penulis Remaja
Tarikh : 19 Disember 2009
Masa : 8 pagi - 2 petang
Tempat : Dewan Bahasa & Pustaka, Kuala Lumpur.

28 November 2009

Nasyid Gala 2009

Acara : Nasyid Gala 2009
Tarikh : 18 September 2009
Tempat : Convest Stage, UIAM
Masa : 8.30 - 11.30 malam

Saya kira, saya bukanlah seorang peminat nasyid yang tegar. Tetapi, kadangkala suka juga menghanyutkan perasaan mendengar dendangan lagu-lagu nasyid yang begitu indah irama dan senikatanya. Kumpulan nasyid yang saya kagumi tentulah Raihan - yang telah merintis jalan ke arah pengkomersilan muzik nasyid di Malaysia. Lagi satu, saya mengagumi karya-karya Rabbani yang rancak dan bersemangat. (Al-Fatihah buat Ustaz Asri)

Meskipun begitu, saya terima juga undangan untuk menjadi pengacara majlis acara berkenaan. Nampaknya, makin panjang juga langkah saya dalam bidang pengacaraan majlis ini. Macam tak percaya. Kalau dahulu, rasa seperti malu-malu kucing sahaja kalau hendak bercakap depan orang ramai. Tiba-tiba, sekarang sudah mula mengutip pengalaman mengacara dalam beberapa majlis.

Asalnya, saya telah merancang untuk bergandingan dengan Apiz. Tapi saat-saat akhir ada sedikit perubahan pula. Mujur, saya sempat berhubung dengan Eja, yang sudi melapangkan masa menjadi teman pengacara saya. Maklumlah, kalau acara seperti konsert begini, kalau mengacara seorang - rasa tak best pula. Perlu ada gandingan supaya nampak lebih hidup. Lagipun, saya masih baru dalam bidang ini.

Nasyid Gala 2009 dianjurkan oleh Kelab Nasyid UIAM, dengan kerjasama Unit Kesenian & Kebudayaan sempena Convocation Fiesta IIUM 2009. Ia adalah sebuah acara berbentuk pertandingan di mana 10 buah kumpulan telah mengambil bahagian. Setiap kumpulan telah diberikan masa selama 7 minit untuk mempersembahkan alunan lagu Nasyid mereka.


Alhamdullillah, majlis telah berjalan lancar. Saya dan Eja pada awalnya agak kaku juga untuk mengacara disebabkan perubahan yang berlaku saat akhir, tapi akhirnya masing-masing dah mula teruja bila kemuncak majlis kian menjelang. Sampaikan kami berubah-ubah tempat mengacara. Sekejap di kanan, sekajap di kiri, sekejap di kalangan penonton. Ada juga sesi mencari mangsa untuk ditanya itu dan ini.


Undangan istimewa untuk Nasyid Gala kali ini adalah kumpulan Haqqani Ensemble yang telah mengadakan persembahan pembukaan dan selingan. Mereka memperjuangkan penggunaan selawat dalam muzik mereka. Sangat menarik. Semua orang terpegun tatkala menyaksikan mereka beraksi.

Pada akhir majlis, kumpulan Ummul Qura telah diumumkan sebagai juara - satu-satunya kumpulan yang diwakili oleh pelajar-pelajar antarabangsa. Mana tidaknya, mereka bernasyid dengan stail Arab lengkap dengan alunan qasidah yang sangat original. Tahniah diucapkan kepada mereka!

Terima kasih juga kepada Kelab Nasyid yang sudi memberi ruang kepada saya mengacarakan majlis mereka!

27 November 2009

Nur Kasih

**Selamat Hari Raya AidilAdha kepada semua pembaca Hikayat Anak Kota!



Selepas sahaja drama bersiri Nur Kasih mengusaikan episod akhir sebentar tadi, facebook saya telah dipenuhi dengan status Nur Kasih. Begitulah penangan sebuah drama TV yang sedang hangat diperkatakan ini. Saya tidaklah mengikuti sangat drama ini pada awal-awal siarannya. Tapi perasan juga dengan iklannya yang memaparkan visual yang sangat menarik. Asalnya ingatkan cerita ini hanyalah drama 2 jam. Rupa-rupanya drama rantaian.

Saya tidak mengikuti drama ini melalui televisyen, sebaliknya melalui siaran di internet. Hanya episod akhir saya menontonnya di TV bersama seisi keluarga. Kebetulan episod akhir disiarkan pada Hari Raya Haji. Pandai betul timing mereka!

Inilah beberapa catatan yang sempat saya nukilkan berkenaan drama ini :

  1. Visual yang cantik. Antara sebab ramai orang melekat menonton Nur Kasih adalah kerana mainan kameranya sangat cantik. Saya sendiri boleh terpesona tengok videografinya.
  2. Sebagai sebuah drama yang berlandaskan kisah Islami, saya kira drama ini bukanlah kisah pop semata-mata. Meskipun kisah cinta dijadikan sebagai teras utama, tetapi tema kekeluargaan yang dipersembahkan menjadikan ia sebuah cerita yang lengkap rencahnya. Boleh saya katakan, cerita ini mungkin lebih baik daripada Ayat-Ayat Cinta.
  3. Lagu tema yang sedap! Saya boleh dengar lagu Nur Kasih itu berkali-kali.
  4. Di sebalik positifnya, ada juga yang negatif. Saya mendapati kadang-kadang plot dalam drama ini meleret-leret. Kalau dibuat dalam bentuk graf, sekejap naik, sekejap turun. Mungkin begitulah formula sebuah drama rantaian untuk memastikan penonton melekat di depan TV.
  5. Apa lagi ya? Oh, tentulah sebab Nur Amina seorang mahasiswa UIA! Suka tengok babak-babak di UIA, meskipun Nur Amina sebagai seorang mahasiswa Seni Bina, kelihatan sangat releks berbanding kenyataannya yang saya lihat - mereka sangat sibuk!
Mahu maklumat lebih lanjut? Ayuh kunjungi laman web ini.

26 November 2009

Bangsawan Bawang Putih Bawang Merah

Acara : Bangsawan Bawang Putih Bawang Merah
Tempat : Panggung Bandaraya, Kuala Lumpur
Tarikh : 6 November 2009
Masa : 8.30 malam


Dalam tekanan saya menghadapi peperiksaan akhir 2 minggu lepas, sempat jugalah saya pergi menonton Bangsawan Bawang Putih Bawang Merah di Panggung Bandaraya. Ini kali kedua saya tengok bangsawan. Kali pertama dahulu, bangsawan yang dipentaskan oleh ASWARA. Kali ini pula, ia telah dipentaskan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dan juga Jabatan Kesenian dan Kebudayaan Negara (JKKN).

Waktu saya tiba Panggung Bandaraya, orang sangatlah ramai. Maklumlah, pementasan ini diadakan percuma. Diiklankan di akhbar pula tu. Maka, tentulah orang berebut-rebut nak tengok pementasan percuma. Rupa-rupanya warga kota juga masih berminat menonton kesenian sebegini ya!

Cuba lihat atas. sangat ramai orang, sampaikan tak cukup kerusi. Nasib baiklah saya berjaya rebut kerusi walaupun tempatnya agak kebelakang. Tapi panggung ini pun kecil saja. Tidaklah besar mana. Kasihan tengok orang yang tak dapat tempat duduk. Ada yang berdiri sepanjang pementasan berlangsung. Semangat betul!

Maka, persembahan pun bermulalah. Seperti yang anda tahu, 3 watak di atas adalah Mak Kundur, Bawang Merah, dan Bawang Putih. Kalau di Indonesia, watak yang baik adalah Bawang Putih. Di Malaysia pula, Bawang Merah adalah yang baik. Kenapa ya? Terfikir juga saya. Adakah kerana sifat bawang merah itu sendiri yang boleh memedihkan mata diibaratkan dengan wataknya yang sedih dan selalu menangis? Hmmm....

Saya ada terdengar, ada penonton di hadapan saya yang bercakap kepada temannya bahawa kisah Bawang Putih Bawang Merah persisi kepada kisah Cinderella. Beliau memberitahu temannya bahawa kisah Cinderalla itu sebenarnya berasal daripada Asia Tenggara dan telah diubah kepada budaya barat. Benarkah begitu? Ada sesiapa yang boleh mengesahkan perkara ini?

Yang paling istimewa dalam bangsawan ini sudah tentulah kehadiran Musly Ramli yang muncul dalam penampilan istimewa untuk menghiburkan para hadirin dalam selang waktu antara persembahan bangsawan. Kali pertama saya melihat beliau adalah semasa Teater Muzikal P. Ramlee di Istana Budaya. Beliau telah menyanyikan lagu Kisah Rumah Tangga - nyanyian asal P. Ramlee. Persis bak idola agungnya itu.

Ini lagi satu slot yang saya suka. Slot tarian kijang. Sangat unik sekali melihat kanak-kanak tersebut menari mengikut gerakan yang menyamai pergerakan seekor kijang. Oh, selain tarian kijang dan slot Musly Ramlee, bangsawan ini banyak memuatkan lagu daripada filem klasik Bawang Putih Bawang Merah. Contohnya seperti lagu Zapin Bunga Hutan, Telaga Biru, dan banyak lagi. Tak lupa juga beberapa lagu baru yang dicipta khas untuk bangsawan ini.


Kalau sudah namanya bangsawan, tentulah ada babak-babak di istana. Beginilah rupanya set pementasan di istana. Ditonjolkan mengenai kisah perebutan kuasa di antara dua adik beradik putera raja. Di kiri kanan singgahsana adalah orang-orang besar negeri.

Hah, inilah bahagian akhir persembahan ini, apabila keseluruhan pelakon dan kru produksi telah diperkenalkan kepada khalayak. Tahniah diucapkan!

Selepas show, sempat bergambar dengan abang Hisyam dan kawannya. Saya selalu terjumpa dengan Abang Hisyam di acara-acara seni dan budaya. Memang hebat orangnya. Silalah berkunjung ke blognya di sini.

Juga terserempak dengan seorang lagi rakan saya dari UIA. Beliau ini bekas teman sebilik Apiz.

Oh terima kasih juga kepada Ainunl Muaiyanah yang sudi menemani saya menonton bangsawan ini. :)
.
.
.

22 November 2009

Inilah Adik Saya

Entri ini saya tujukan khas buat Ameer.



Adik saya seorang ini sedang menuntut di University of Salford, Manchester, United Kingdom. Bakal mengikuti jejak langkah ayahanda kami menjadi seorang Jurukur Bahan yang berjaya. Insya'Allah. Gambar ini adalah gambar yang ditangkap sebelum beliau berlepas ke UK.

Kalau tengok gambar di atas, memang orang akan keliru siapa abang siapa adik. Lagi-lagi sekarang ini, orang yang baru kenal kami akan mengatakan saya adik dan dia abang. Sebab dia lebih tinggi daripada saya. Aduhai, itulah kenyataan yang perlu saya terima. Umur pun dekat-dekat. Jarak usia kami hanya satu tahun.

Dari segi muka pun jauh beza. Waktu sekolah dahulu, ramai yang terkejut kami adik beradik. Rupa saya persis muka Papa, manakala rupa Ameer sangat mengikut muka Mama. Sebab itu rupa kami lain sedikit. Tetapi, walaupun rupa berbeza, kalau sudah nama adik beradik - dicincang air sekalipun, pasti takkan putus.

Sebut pasal umur tadi, kalau waktu kecil-kecil - umur memang agak menjadi faktor untuk menentukan bahawa saya abang dan dia adik. Sebab masa itu, sekolah pun lain tingkatannya. Tetapi, makin umur menginjak, bila sudah menjengah ke alam dewasa ini, batasan umur itu sudah semakin kabur. Umur saya 22. Umur dia 21. Apa bezanya? Dah tak membawa perbezaan ketara. Macam lebih kurang sebaya saja. Itulah penangannya apabila jarak umur adik dekat sangat.

Kepada Ameerul Ariffin, selamat menyambut hari lahir ke-21.

Umur keramat yang memisahkan antara remaja dan dewasa. Semoga berjaya menggenggam segulung ijazah dari sana. Oh, kami akan buat sambutan juga di tanah air ini. Akan pergi menikmati santapan yang istimewa untuk mengingati hari ulang tahun adinda. Nanti akan kami ambil gambarnya dan dihantar ke sana. Harap adinda janganlah cemburu. Haha!

p/s: Jangan lupa daftar mengundi di Pesuruhjaya Tinggi Malaysia!
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan