Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

28 Disember 2014

Temasya Pantun Piala Seri Melaka (PISMA) 2014

65513_1511854982387744_5138243173875505071_n

Jemputan menjadi hakim bagi Temasya Pantun Piala Seri Melaka (PISMA) yang dianjurkan oleh UiTM Melaka pada 5-9 Disember 2014 telah saya terima dengan gembira. Ketika itu, saya menjangkakan bahawa saya bakal mengadili adik-adik pemantun baharu daripada Institut Pengajian Tinggi.

Tetapi, ternyata halnya tidak seperti itu kerana para pesertanya ada yang terdiri daripada rakan-rakan pemantun segenerasi dengan saya! Namun, amanah tetap satu amanah. Tetap dijalankan seprofessional mungkin.

2014-12-07 17.45.11

Pertandingan pantun ini menjadi lebih menarik apabila menerima dua penyertaan daripada Tanjung Pinang, Indonesia iaitu Universitas Maritim Raja Ali Haji (UMRAH) yang menghantar dua pasukan. Saya fikir hal ini tentu dapat memberi pendedahan kepada kedua-dua negara serumpun akan persamaan dan perbezaan dunia berbalas pantun.

Ia menjadi sebuah mini-reunion bagi pemantun-pemantun alumni universiti/IPT yang sudah lama tidak ketemu, dan membangkitkan kembali semangat untuk berpantun. Penganjur juga mengambil inisiatif dengan mengambil para bekas pemantun dari pelbagai latar belakang bagi membina generasi pelapis hakim pantun yang baru dan faham situasi bergelar seorang pemantun di pentas pertandingan.

Pengalaman Sebagai Hakim PantunIMG_20141210_232342

Menjadi hakim buat pertama kali tentu sekali memberikan pengalaman yang baharu. Apabila dahulu menjadi pemantun, kita hanya memikirkan tentang pantun belian dan jualan untuk diri sendiri. Tapi apabila menjadi hakim, perhatian harus fokus sepanjang masa untuk setiap ketika untuk menilai pemantun dalam jangka masa yang singkat.

Saya sempat mengadili 7 sesi pertandingan dalam tempoh dua hari itu iaitu 5 pusingan peringkat saringan, suku akhir dan juga separuh akhir. Sempat juga bertukar-tukar menjadi hakim dalam aspek isi, bahasa dan persembahan.

Sejujurnya, menjadi hakim untuk aspek Bahasa adalah yang paling sukar sekali kerana menilai dan menghadam makna dan rima dalam waktu yang sangat singkat itu benar-benar menuntut satu konsentrasi yang tinggi, ditambah dengan kepekaan terhadap butir patah kata yang disebut oleh pemantun.

Manakala untuk penjurian aspek isi, perhatian harus diberikan terhadap kandungan sesuatu pantun dan kreativiti dalam mencari isu dan soalan yang menguji pemikiran yang kritikal. Sebab itu pantun adalah sejenis seni yang benar-benar mengasah ketajaman kita dalam berfikir.

Untuk aspek gaya persembahan pula, saya pastikan mata tidak lekang daripada melihat persembahan setiap pemantun. Setiap gerak badan, lenggok suara, mimik muka, dan kreativiti persembahan diambil kira bagi penentuan markah. Tak lupa juga aspek busana yang rata-rata pemantun mengenakan pakaian yang cantik-cantik belaka!

2014-12-07 12.15.37

:: Barisan Hakim PISMA 2014 ::

Pujian harus saya berikan kepada penganjur UiTM Melaka yang telah dengan sedaya upaya menguruskan penganjuran program bermanfaat ini, lebih-lebih lagi ia menjadi lebih istimewa kerana diadakan di negeri yang terkenal dengan pantun iaitu Melaka. Idea pihak penganjur mengadakan peringkat saringan dalam format power-match saya anggap sebagai satu inovasi baru dan lari dari kelainan yang sebelumnya diadakan dalam format liga.

Terus berpantun!

30 November 2014

Fiesta Seni Budaya MPAJ 2014

10712546_891214670890130_1391974498960726227_o

Seawal jam 10 pagi  lagi saya sudah berbalas mesej dengan rakan-rakan sekumpulan daripada DEKMAL iaitu Sharina dan Safwan. Saya bertanyakan status dan kedudukan masing-masing. Sama ada mereka semua sudah bersedia untuk berangkat. Kami bertiga tinggal di 3 penjuru kota. Saya di Damansara. Safwan di Gombak. Sharina di Klang. Bagi menjimatkan masa, kami bertiga menunggu semua siap sedia, dan bergerak serentak ke Menara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Sebelum ini, kami hanya sempat bertemu lengkap bertiga sebanyak sekali. Itu pun sekadar di kedai Mamak di Wangsa Maju bagi membincangkan konsep dan tema  persembahan. Selepas itu, agak sukar untuk mengumpulkan kami bertiga kerana kesemuanya ada komitmen masing-masing. Namun, kami bertekad untuk  berlatih sepanjang hari pada hari sebelum persembahan itu.

Malam Fiesta Seni Budaya MPAJ 2014, begitulah nama program usahasama antara Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dan Kelab Deklamator Malaysia (DEKMAL) yang kali ini menggabungkan persembahan puisi dan kebudayaan daripada masyarakat setempat di kawasan Ampang Jaya.

Setelah memuktamadkan bentuk persembahan kami, saya, Sharina dan Safwan mula mengaturkan gaya dan pergerakan. Kami memilih untuk mengadaptasi puisi karya penyair Indonesia Khalil Gibran iaitu Wahai Apakah Cinta. Puisi ini secara kasarnya bercerita tentang pencarian seseorang yang keliruu tentang hakikat apakah sebenarnya maksud cinta. Panjang asal sajak ini adalah 5 muka surat, namun kami harus mencantasnya sehingga 2 mukasurat agar peersembahan tidak terlalu panjang dan leweh.

Selain kami, DEKMAL telah menghantar dua lagi kumpulan DEKON, sebuah persembahan sketsa, dan 2 persembahan deklamasi solo. Dari pihak MPAJ pula, mereka telah menjemput wakil daripada anak-anak sekolah dan tadika berhampiran dengan persembahan tarian. Turut tampil adalah kumpulan qasidah dan persembahan bacaan puisi oleh YDP MPAJ.

Kumpulan saya telah tampil dengan menggunakan mikrofon klip dan tiga buah kerusi yang mana disusun sebaris, dan kami memulakan persembahan dengan menghadap ke belakang. Persembahan yang berdurasi hampir 10 minit itu tidak begitu terasa dek kerana baris-baris ayat telah dibahagikan sama rata.

Keseluruhannnya, saya merasakan bahawa acara ini adalah amat baik sekali, namun perlu banyak peningkatan dari segi pengisian dan pelaksanaan. Aspek promosi juga perlu diambil perhatian kerana kehadiran jumlah hadirin yang kurang memberangsangkan. Aliran komunikasi antara penganjur dan juga performers juga harus dipertingkatkan agar kami dapat faham dengan lebih baik konsep dan kehendak acara.

Terima kasih banyak kepada semua pihak terutamanya daripada DEKMAL dan MPAJ yang telah memberikan ruang dan peluang kepada saya untuk melantunkan suara menyampaikan bait-bait indah puisi Melayu. Terutama sekali kepada rakan sepasukan yang telah memberi kerjasama yang amat baik sekali. Semoga manfaatnya tersebar ke serata maya.

Salam puisi!

*Untuk melihat lebih banyak gambar dan video, layari facebook.com/deklamator

16 November 2014

Singapura 2014 (4) : Solat Jumaat di Masjid Sultan

IMG_0224

Laungan azan bergema di perkarangan Istana Kampung Gelam. Saya yang ketika itu baru sahaja selesai melawat Taman Warisan Melayu, terus bergerak  ke Masjid Sultan yang  terletak berdekatan.

Kelihatan semakin ramai umat Muslimin sedang memenuhi ruang perkarangan Masjid bagi menunaikan tanggungjawab Solat Jumaat di situ.

Masjid Sultan adalah masjid yang terpenting di Singapura dan menjadi tumpuan utama pelancong ke Singapura untuk melihat senibinanya yang begitu cantik. Sekitar kawasan ini juga, terletak ramai peniaga dan kedai-kedai Melayu/Arab.

Menjengah ke sekitar kawasan masjid, saya perhatikan ada ramai budak-budak yang berpakaian seperti di sekolah agama di Malaysia. Saya fikir mereka pelajar sekolah agama yang terletak berhampiran di sini. Ada air sirap percuma yang disediakan, dan mereka beratur untuk meneguknya bagi melepaskan dahaga. Tidak ketinggalan, saya juga melakukan perkara yang serupa.

Memang sengaja saya memilih untuk ke Masjid Sultan pada hari Jumaat, kerana ketika inilah saya dapat melihat umat Islam Singapura berkumpul dan bersolat bersama. Saya pernah dengar orang mengatakan bahawa Khutbah Solat Jumaat di sini dibuat dalam Bahasa Inggeris, tetapi rupanya khutbah pada hari tersebut diadakan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu.

Seusai solat Jumaat, saya ambil masa sebentar untuk menghayati keindahan seni bina hiasan dalam Masjid ini. Dari dalam, masjid ini memang nampak cantik. Walaupun sebuah masjid yang lama, tetapi saya dapat rasakan di sebalik tembok batu itu, tersimpan beribu khazanah dan sejarah. Berikut antara gambar yang sempat saya rakam :

IMG_0222

Seperti mana masjid-masjid utama yang lain, turut disediakan sebuah ruangan pameran mini buat para pengunjung yang bukan beragama Islam untuk lebih mengenali tentang agama Islam dan sejarah di sebalik Masjid ini sendiri. Kalau saya tak silap, guided tour pun ada.

IMG_0218

***************

IMG_0166Sehari sebelum saya ke sini, saya melihat ada seorang rakan saya di Facebook yang juga kebetulan berada di Singapura, telah memuatnaik gambar murtabak yang dibelinya di Restoran Zam-Zam. Katanya Zam Zam ini terletak betul-betul di hadapan Masjid Sultan. Tambahnya lagi, beliau memandu masuk ke Singapura khusus hanya untuk makan murtabak ini!

Hal ini menyebabkan saya teringatkan kepada Zam Zam Satay Club yang terletak tak jauh dari rumah saya di Petaling Jaya. Dahulu pernah saya dengar ia berasal dari Singapura, tetapi saya tak pasti sama ada ia ada kaitan dengan kedai Singapore Zam Zam ini.

IMG_0159

 

Ternyata, memang pemergian saya ke Restoran Zam Zam ini tidak rugi kerana disajikan dengan murtabak yang sangat besar dan puas makan seorang! Saya juga telah bungkus sebuah murtabak bersaiz besar bagi bekalan saya makan di hostel nanti.

Tibalah masa untuk saya bergerak kembali ke hostel. Saya perlu berehat dan bersiap-siap sebelum memulakan langkah perjalanan yang seterusnya!

08 November 2014

Walimah Adinda : Tradisi Mandi Ais

IMG_20141011_215207

Sekarang ini sudah menjadi viral satu trend yang dikenali sebagai “Ice Bucket Challenge” di laman media sosial. Tetapi jauh lebih lama sebelum trend ini bermula, keluarga saya sudah lakukannya dulu.

Salah satu tradisi dalam keluarga sebelah Ayahanda saya adalah Tradisi Mandi Ais yang diadakan pada malam selepas kenduri kahwin.

“Tradisi Mandi Ais? Apa tu?”

Haa lebih kurang begitulah reaksi yang saya dapat apabila bercerita dengan orang luar tentang tradisi mandi ais yang diamalkan oleh keluarga saya. Ada sesetengah orang pernah dengar tentang tradisi mandi bunga dan mandi sampat, tetapi jarang tentang mandi ais.

Sebenarnya, ini hanyalah sekadar satu tradisi suka-suka yang bertujuan untuk mengumpulkan sanak-saudara di sebelah malam selepas penat lelah menguruskan kenduri kahwin. Kedua pengantin akan diminta duduk di atas kerusi bagaikan mereka sedang bersanding.

Kemudian, seorang demi seorang ahli keluarga bermula dengan ayahanda dan bonda dan diikuti oleh ayah dan ibu saudara yang lain akan mula ‘merenjis’ ais  kepada pengantin. Kebiasaannya, kami juga akan menjemput keluarga yang datang bertandang juga untuk merasa tradisi ini.

Menurut Ayahanda saya, tradisi ini pernah diamalkan di kampung kami di Kuala Selangor suatu ketika dahulu. Tetapi ia kemudian tidak diamalkan untuk beberapa ketika. Malah ketika Ayahanda dan Bonda saya berkahwin dahulu pun tidak diadakan tradisi mandi ais sebegini.

Hanya apabila Mak Ucu saya, iaitu adik bongsu kepada Ayahanda berkahwin lebih kurang 20 tahun lepas, barulah Ayahanda saya telah mengambil inisiatif untuk memulakan kembali tradisi ini. Kalau dahulu, mandi ais ini hanya ringkas sahaja, dengan sebekas baldi dan dibuat ala-kadar.

Tapi sekarang, tradisi ini sudah dinanti-nantikan oleh seluruh ahli keluarga sebab para ‘pengantin lama’ sudah tak sabar nak ‘membalas dendam’ untuk mengenakan pengantin baru! Memang riuh, apabila melihat pengantin ketakutan direnjis, dijirus, dan disimbah dengan ais. Keadaan menjadi gamat dengan gelak ketawa.

Ketika majlis walimah adinda saya Ameer baru-baru ini, tradisi ini tetap dihidupkan dengan lebih teratur. Ia diadakan di rumah kami dan dua buah khemah telah didirikan dan kami telah mengambil khidmat katering untuk jamuan makanan tetamu yang hadir.

Kerusi kayu yang sudah sedia ada di rumah kami jadikan sebagai ‘pelamin tempat bersanding’ dan sebuah tong besar digunakan untuk meletakkan ais yang digaul dengan air. Kami juga masukkan kelopak-kelopak bunga dan perahan buah limau ke dalam ais tersebut. Mujur Ameer dan Maryam sangat sporting!

************

IMG_20141013_122943

Satu perkara yang manjadi kelainan dalam dalam acara mandi ais kali ini adalah idea kreatif Mak Ucu saya yang wajar saya berikan kredit sebab telah berusaha untuk menjadikan acara ini lebih menarik. Mak Ucu telah menyediakan penutup mata dan topengnya sekali untuk pengantin baru ini. Mereka tak ada idea langsung apa yang akan berlaku kecuali pasal mandi ais ini.

Apabila mata mereka ditutup di dalam rumah, terkejut mereka apabila mereka telah diberikan tongkat untuk berjalan dan kemudian bila di luar rumah, pengantin lelaki kena memukul sebuah ‘bantal’ dan pengantin perempuan pula harus memegang tali agar ‘bantal’ itu kekal pada kedudukannya. ‘Bantal’ itu mengandungi gula-gula yang kemudian akan direbut oleh budak-budak yang sudah bersedia di depan pengantin.

Saya pasti ahli keluarga yang lain tak sabar nak menantikan acara seperti ini lagi di masa akan datang. Meskipun jaranng berjumpa, tetapi acara-acara kecil sebegini yang merapatkan ukhwah dalam suasana yang santai dan riang ria.

Anda pernah dengar tradisi mandi ais sebegini?

02 November 2014

Apabila Sahabat Bertukar Seteru

Berbuah lebat pucuk mengkudu,
Tumbuh di laman daunnya tebal;
Apabila sahabat bertukar seteru,
Di tengah jalan buat tak kenal.

Perhubungan antara manusia itu pelik. Kita bermula sebagai dua orang asing. Kemudian mengenali namanya, kerjanya, tempat asalnya, dan serba sedikit latar belakangnya. Lantas orang asing itu sudah diangkat darjat menjadi seorang kenalan.

Setelah berkenalan, terus-terusan bertemu, lebih mengenali butir-butir terperinci seseorang, jadilah kita manusia yang bergelar kawan – orang yang  kita kenali dengan baik, tetapi masih belum cukup akrab. Bila kita sudah cukup mengenali hati budinya, kesetiaannya juga telah diuji, sekali lagi taraf itu dinaikkan lagi menjadi seorang sahabat. Apabila menjadi seorang sahabat, kita memegang amanah dan nilai kepercayaan yang tinggi.

Tetapi, sekiranya ada sesuatu yang buruk berlaku di tengah jalan; contohnya seperti berlaku salah faham, ego, fitnah, pengkhianatan, atau atas apa-apa sebab pun, status sahabat tersebut boleh berubah kepada seorang seteru. Sebab-sebab ini tak semestinya besar. Ia boleh jadi atas sebab yang remeh-temeh dan kecil amat.

Saya menyaksikan sangat banyak kes di sekeliling saya yang memperlihatkan betapa perhubungan manusia itu kadang kala boleh jadi rapuh. Hari ini kita bergurau senda dengan mesra, esok pula boleh bersengketa dan tak bertegur sapa. Lagi parah kalau kita menjadi rakan kepada kedua-dua pihak yang menjadi seteru ini, menjadi tersepit di tengah-tengah.

Ada juga kes yang saya lihat apabila dua orang sahabat menjadi seteru, terutamanya jika mereka dalam lingkaran kenalan yang sama – ia menyebabkan seluruh kumpulan itu juga berpecah dua. Kita menjadi bersalah bila hendak buat apa-apa gathering. Kalau jemput si A, tak boleh jemput si B. Kalau jemput si B, tak boleh jemput si A. Akhirnya rakan-rakan lain terpaksa mengambil sikap berpihak, tanpa disedari, tanpa sengaja.

Hal ini juga saya lihat dalam pengurusan organisasi. Punca masalah boleh jadi sebab salah faham sedikit sahaja. Barangkali kerana kelemahan kedua-dua pihak berkomunikasi dalam menyampaikan maksud masing-masing. Dek kerana itu, muncul dua kelompok dalam organisasi itu yang akhirnya membawa kepada perpecahan dan perpisahan. Akhirnya, organisasi itu juga yang rugi.

Melihat kepada semua  kes ini; saya tertanya sendiri – “Mengapa semua ini terjadi? Kenapa harus bersengketa dan tidak berdamai sahaja?  Tak penatkah asyik mahu mengelak dari bertemu dalam majlis dan berpura-pura tetapi tidak suka?”

Tiba-tiba, saya teringat kata-kata yang entah dari mana saya kutip “Don’t expect everybody to like you, because you don’t even like everybody.” Ada kebenaran juga kata-kata ini, namun saya melihat betapa ironi sungguh realitinya.

Rupanya, satu hakikat kehidupan bahawa bukan semua sahabat akan kekal menjadi sahabat. Manusia datang dan pergi. Persekitaran mereka tak sama dengan persekitaran kita. Nilai mereka mungkin tak sama dengan nilai kita. Cara pemikiran juga berbeza. Bukankah Allah SWT menjadikan kita semua manusia ini berbeza kerana sesungguhnya itulah tanda kekuasanNya.

Apa yang menjadi bezanya adalah bagaimana kita menguruskan perbezaan tersebut. Adakah dengan penuh kematangan atau bagai kebudak-budakan? Pada pendapat kecil saya, setiap manusia mempunyai kelemahan. Termasuk kita sendiri. Sekiranya kita ingin berkenalan/berkawan/bersahabat dengan seseorang – paling utama adalah kita harus bersedia untuk menerima dan bertoleransi dengan kelemahan orang itu.

Soalnya, bersediakah kita untuk menerima kelemahan orang lain?

28 Oktober 2014

Kursus Akademi Pengacara Malaysia Siri 5/2014

 

1796546_10152359011582283_934822257529534337_n

Selama hampir 3 tahun menjadi pengacara majlis secara freelance melalui QiyaSari Events, saya fikir sudah tiba masanya saya mencari mentor dan berguru secara formal dalam bidang pengacaraan majlis. Meskipun pengalaman adalah guru yang terbaik, namun ia masih tak dapat menggantikan sentuhan manusia yang mendidik dan memberikan tunjuk ajar.

Ada juga beberapa kali saya mengintai-ngintai kursus pengacaraan majlis di luar sana, tetapi rata-rata harganya sangat mahal dan jadualnya diadakan pada tarikh yang saya tidak lapang. Pendek kata, memang rezeki tidak berpihak pada saya bila hendak masuk kursus sebegitu sebab tarikhnya selalu bertindih dengan acara lain.

Namun, melalui facebook – saya berkenalan dengan seorang pengacara majlis profesional  bernama Tuan Mohd Azhani Samad. Entah macam mana, saya menjadi friend beliau dan like halaman FB pengacaraan majlis yang beliau kendalikan. Saya tertarik dengan kesungguhan beliau mempromosikan kursus pengacaraan majlis yang beliau kendalikan di bawah Akademi Pengacara Malaysia. Memang aktif dan agresif!

Tanpa berfikir panjang, saya ambil keputusan untuk turut serta dalam Kursus Pengacaraan Majlis Profesional yang diadakan selama 2 hari di Kompleks Sukan, Hospital Selayang. Ya, anda tidak silap membaca. Kursus ini diadakan di dalam kawasan hospital, tetapi usah risau, bilik yang digunakan  memang luas dan kondusif untuk pembelajaran.

Pada hari pertama, kami telah diminta oleh Tuan Mohd Azhani untuk memakai persalinan berwarna merah dan hitam  bagi keseragaman sesi bergambar. Pada sesi pertama, kami masing-masing telah diberikan peluang untuk memperkenalkan diri dan saya antara orang yang terakhir mendapat peluang untuk perkenalkan diri.

Saya tidak menyangka selepas itu ada sesi memilih penghulu, jadi saya pun berceritalah sedikit sebanyak pengalaman saya. Lepas tu, tiba-tiba saya dilantik dengan kata sepakat untuk menjadi penghulu! Pasrah menerima tugasan tersebut, saya dipertanggungjawabkan untuk mengurus majlis penutup yang akan diadakan pada akhir hari kedua esoknya.

Melalui kursus ini, saya dapat berkenalan dengan kesemua 15 peserta lain yang masing-masing datang dari  latar belakang yang berbeza. Ada yang lebih ke arah Deejay dengan set PA Sistem sendiri, ada yang datang untuk belajar ilmu komunikasi, ada cikgu yang selalu mengacara majlis di sekolah, dan ada juga datang bukan sebagai pengacara, tetapi usahawan yang hendak belajar ilmu pemasaran.

Secara ringkasnya, amat  banyak ilmu baru yang saya belajar dalam kursus ini. Antaranya :

  • Definisi dan bidang tugas seorang pengacara. Saya mengetahui bahawa ada banyak kategori penyampai seperti stand upper, VJ, DJ, dan beberapa lagi. Skop tugasan setiap satunya dihuraikan.
  • Sistem Teknikal Audio. Kalau sebelum ini, saya sekadar guna sahaja mikrofon tanpa mengetahui pokok pangkalnya, sekarang saya lebih ambil prihatin tentang kualiti bunyi dan bagaimana mengawalnya.
  • Mikrofon. Ya, mikrofon adalah kawan baik kepada seorang performer tak kira pengacara, deklamator, penyanyi atau pelakon teater. Jenis-jenis mikrofon diterangkan dan saya belajar cara memegang mikrofon dengan betul.
  • Penyampaian Radio. Buat julung kalinya, Tuan Azhani telah membawa satu konti radio untuk digunakan oleh para peserta merasa bagaimana caranya untuk menjadi deejay! Setiap daripada kami diberi peluang untuk menyampaikan satu temubual seperti di dalam radio.
  • Selawat Pengantin. Ini adalah satu keistimewaan juga kerana peserta telah didedahkan dengan ilmu selawat tasleem pengantin oleh pengasas selawatpengantin.com iaitu Ustaz Fadlullah.
  • Pengacaraan Santai. Bab ini saya sedikit lemah kerana saya lebih kepada pengacaraan formal, tetapi  telah diberikan peluang untuk menjadi pengacara santai dalam satu simulasi pertandingan sukan IPT.
  • Forum/Bual Bicara. Kata Tuan Azhani, seorang pengacara perlu menjadi versatile. Oleh itu harus kuasai semua aspek pengacaraan termasuklah menjadi moderator forum atau pemudahcara dalam satu bualbicara.
  • Pengacaraan Rasmi.  Ini adalah bidang yang paling saya mesrai. Maka, apabila setiap peserta diminta untuk ke depan untuk membaca skrip pengacaraan rasmi, alhamdulillah saya tidak berdepan banyak masalah.
  • Latihan Sebutan. Aspek sebutan adalah antara perkara yang perlu diberi perhatian oleh pengacara. Sebutan haruslah lancar dan jelas supaya semua orang dapat memahami apa yang dituturkan.
  • Dan banyak lagi…..

Keseluruhannya, memang tak rugi saya menyertai kursus ini. Selain pendedahan selama 2 hari yang diterima, kami juga menerima coaching yang berterusan daripada Tuan Azhani melalui group WhatsApp. Saban hari  kami bertukar cerita, dan bagaikan sudah lama berkenalan – berkongsi minat yang sama. Peserta juga secara automatik menjadi ahli keluarga Akademi Pengacara Malaysia (APM) yang mengadakan begitu banyak aktiviti lanjutan bagi bekas peserta.

AP… KAMI TERBAIK!

22 Oktober 2014

Singapura 2014 (3) : Taman Warisan Melayu

IMG_0171

Antara tujuan utama saya ke Singapura adalah untuk melihat sendiri komuniti Melayu yang hidup dalam majoriti bangsa lain. Maka, sudah tentu tempat yang paling sesuai untuk mempelajari dengan lebih lanjut tentang masyarakat Melayu Singapura adalah dengan mengunjungi Taman Warisan Melayu yang terletak di Kampung Gelam.

Tidak terlalu susah untuk mencari Taman Warisan Melayu ini. Kalau naik MRT, turun di stesen Bugis – dan jalan sedikit ke arah Masjid Sultan. Ia terletak betul-betul di belakang masjid tersebut. Kalau azan bergema, memang terdengar jelas.

Tiba di Taman Warisan Melayu, saya segera membeli tiket masuk. Seingat saya, harga untuk warga Singapura dan warga asing adalah berlainan. Lebih kurang dalam 4 dolar Singapura untuk warga asing seperti saya ini.

Ketika saya baru hendak melangkah masuk, saya telah disapa oleh seorang pakcik yang bertugas sebagai seorang pegawai keselamatan di situ. Beliau bertanyakan saya berasal dari mana, dan kami pun mula berbual. Beliau telah menyatakan bahawa asal usul nama Kampung Gelam adalah sempena Pokok Gelam yang juga telah ditanam di sekitar Taman Warisan Melayu ini.

IMG_0174Seperti kebiasaan budaya Melayu, para pengunjung harus membuka kasut apabila ingin masuk ke dalam ruang pameran. Di ruang pertama, kami telah diperkenalkan dengan sejarah bangunan ini yang dahulunya merupakan sebahagian daripada Istana Kampung Gelam.

Bangunan ini kemudiannya telah dibaikpulih dan dijadikan sebagai sebuah galeri pameran budaya Melayu Singapura dengan nama Taman Warisan Melayu yang dibuka pada tahun 2004. Yayasan Warisan Melayu adalah badan yang bertanggungjawab menguruskan tempat ini.

Kebetulan ketika saya baru masuk ke dewan pameran, saya melihat ada sekumpulan pelawat yang diketuai oleh seorang pemandu pelancong sedang juga memulakan lawatan mereka. Di dalam kumpulan tersebut, ada berbangsa Melayu, Cina dan beberapa pasangan berbangsa Eropah. Saya sangka mereka adalah kumpulan tour berbayar, jadi cuba untuk tidak menghampiri mereka.

Tapi, kemudian ada seorang makcik bertudung yang merupakan sebahagian daripada kumpulan berkenaan mula menghampiri saya dan menjemput saya untuk menyertai mereka. Kata makcik tersebut, kumpulan tersebut adalah pemandu pelancong yang dilantik oleh Taman Warisan Melayu dan sedang membuat latihan dan demonstrasi kepada pemandu pelancong yang baru.

Dengan gembiranya saya terima pelawaan mereka dan telah habiskan hampir sejam setengah juga mendengar penerangan daripada ketua pemandu pelancong, seorang aunty berbangsa Cina yang begitu berpengetahuan tentang sejarah orang Melayu di Singapura. Menurutnya, sebelum ini beliau telah menetap lama di Indonesia dan amat berminat dengan sejarah dan budaya orang di Nusantara.

IMG_0184

Secara ringkasnya, antara perkara baru yang saya belajar ada adalah :

  • Asal-usul orang Melayu di Singapura
  • Sejarah Kampung Gelam dan Kesultanan Singapura
  • Tokoh-tokoh Melayu Singapura
  • Sastera dan Budaya Melayu Singapura
  • Industri Filem dan Muzik Melayu zaman Jalan Ampas

2014-05-02 12.34.38

Selain daripada pameran utama yang tetap dan berbayar, Taman Warisan Melayu juga menyediakan ruang galeri percuma yang akan sentiasa berubah. Ketika kedatangan saya, galeri tersebut sedang membuat pameran yang bertemakan Warisan & Budaya Bawean di Singapura. Rupa-rupanya, ramai juga anak kelahiran Melayu Singapura berasal dari suku Bawean dan mereka telah membentuk sebuah sub-komuniti yang bernaung di bawah Persatuan Bawean Singapura.

Selesai menjengah ke galeri tersebut, saya terdengar bacaan Al-Quran sedang bergema dari Masjid Sultan di laman Taman Warisan  Melayu, tanda solat Jumaat bakal menyusul. Sempat saya habiskan sisa-sisa waktu dengan mengambil gambar-gambar selfie kenangan di laman Kampung Gelam.

Matahari kian terik, dan peluh semakin menjurai. Saya kemudian terus ke Masjid Sultan dan membasahkan tubuh dengan air sembahyang. Kelihatan ramai anak-anak remaja berpakaian seragam sekolah agama sedang memenuhi laman masjid.

Nantikan sambungan kisah di Masjid Sultan dalam entri seterusnya…

20 Oktober 2014

Membuka Tirai Sayembara Deklamasi Johor 2014

IMG_20140926_155927

Seperti yang telah saya ceritakan di dalam entri Larkin : Kisah Sayembara, Ulat Teksi & Mee Rebus sebelum ini, saya telah menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2014 di peringkat Negeri Johor. Saya ambil keputusan untuk sertai pertandingan ini pun lebih kurang seminggu sebelum bertanding. Antara sebabnya adalah kerana tarikh pertandingan yang diumumkan agak lambat yang membuatkan saya sedikit sukar untuk merancang masa di tengah kekalutan menguruskan walimah adinda saya.

Sayembara Deklamasi tahun ini adalah edisi ke-27 anjurang Gabungan Persatuan Penulis Nasional (GAPENA) – sama usia dengan diri saya ini. Setelah agak lama menggunakan teks Jamung Merdeka, pihak penganjur telah menukar teks puisi sayembara pada tahun ini dengan sebuah antologi yang bertajuk Lentera Zaman.

Setelah membelek-belek puisi-puisi yang terdapat di dalam antologi tersebut, saya telah memilih puisi Tunas Pahlawan sebagai puisi yang akan saya bawakan dalam sayembara tahun ini. Selain pengisian sajak tersebut yang mudah difahami dan senang dihafal, sajak ini juga mengingatkan saya kepada program Tunas Pujangga yang pernah saya anjurkan bersama Kelab Deklamator Malaysia (DEKMAL) pada tahun lepas.

Pagi 26 Oktober – saya telah bersiap menunggu di Hotel Seri Malaysia Larkin. Abang Norhisyam Razali dan sepupunya Haikal yang baru tiba di Johor Bahru pada lewat malam sebelumnya telah menjemput saya di hotel untuk ke Dewan Bahasa & Pustaka Wilayah Selatan yang terletak di Larkin Perdana. Mujurlah Abang Syam ada juga bertanding di Johor, dapatlah saya menumpang kereta ke DBP, kalau tidak saya fikir berpeluh juga hendak menapak jalan kaki dari hotel pagi-pagi buta itu.

Sampai sahaja di DBP Wilayah Selatan, saya lihat sudah ada beberapa orang berlegar-legar di kaki lima. Antaranya ada wajah-wajah yang saya kenali seperti Abang Shahrin, Tuan Gusdur, Saudara Adie dan seorang deklamator yang saya pernah jumpa sewaktu Sayembara Deklamasi Petaling Jaya 2013 iaitu Saudari Zurinah.

Kami dikehendaki untuk mencabut undi bagi menentukan giliran bertanding, dan sudah nasib saya mendapat giliran yang pertama! Ya, pada tahun ini saya telah menjadi peserta pertama di peringan saringan pertama yang membuka tirai Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan tahun ini. Mulanya, agak panik juga bila dapat tahu saya adalah peserta pertama – kerana itu bermaksud saya tak dapat melihat potensi peserta lain.

Namun, saya fikir pasti ada hikmahnya kerana bila jadi peserta pertama, saya bebas dari sebarang tekanan untuk buat lebih baik dari orang lain, dan tidak terikut-ikut dengan stail peserta sebelumnya. Alhamdulillah, walaupun persediaan agak saat akhir, tapi saya telah melontarkan bacaan sajak saya dengan agak lancar dan yang lebih penting, tidak tersasul.

Kalau tidak silap saya, ada lebih kurang 16 peserta yang bertanding di Johor pada tahun ini. Agak menarik melihat pertandingan kali ini kerana dengan teks yang baru, pasti kita dapat melihat gaya persembahan yang berbeza. Namun, saya perhatikan ada juga yang tak sempat hafal atau terlupa dek kerana teks yang baru. Berikut antara aksi peserta-peserta :

IMG_20140926_161455

Di akhir cerita, keputusan masih lagi berpihak kepada otai-otai di negeri Johor. Mereka ini memang deklamator mampan yang berpengalaman cukup lama dalam bidang deklamasi puisi. Tahniah diucapkan kepada Tuan Shahrin Muhammad yang telah berjaya menjadi juara sekaligus mewakili negeri Johor ke peringkat kebangsaan. Juga kepada Tuan Gusdur dan Abang Norhisyam Razali yang masing-masing menggondol tempat kedua dan ketiga. Saya sendiri bersyukur mendapat tempat keempat yang juga disediakan hadiah saguhati.

Terima kasih banyak saya ucapkan kepada pihak Dewan Bahasa & Pustaka Wilayah Selatan dan GAPENA atas usaha menganjurkan program ini. Meskipun masih banyak ruang penambahbaikan perlu dilaksanakan, tetapi usaha ini wajar dipuji dalam meneruskan kelangsungan dunia deklamasi puisi tanah air.

Terima kasih!

14 Oktober 2014

Larkin : Kisah Sayembara, Ulat Teksi & Mee Rebus

IMG_20140925_170600

Jadual peringkat negeri Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan tahun ini agak bertindih dengan majlis walimah adik saya. Selalunya, saya menyertai peringkat Selangor atau Kuala Lumpur. Pernah juga menyertai peringkat IPTA ketika menuntut di UIA dahulu.

Namun, disebabkan jadual yang tidak serasi, saya mula merisik-risik tarikh sayembara di negeri Johor. Dan rupanya rezeki saya bertanding adalah di Johor, kerana ia diadakan sehari sebelum majlis pernikahan adinda saya di Johor Bahru iaitu pada 26 September 2014!

Dek kerana mahu sertai sayembara, saya bertolak ke JB sehari lebih awal berbanding ahli keluarga yang lain dengan menaiki bas berseorangan. Sebenarnya, ini adalah kali pertama saya bergerak seorang ke JB – sebelum ini ke JB dengan keluarga dan saya memang tak tahu sangat jalan di JB.

Merujuk kepada Google Map, saya mendapati bahawa bas akan berhenti di Stesen Bas Larkin, yang terletak tidak jauh dari tempat saya menginap iaitu Hotel Seri Malaysia JB-Larkin, dan di dalam kawasan yang sama juga – terletaknya Dewan Bahasa & Pustakan Wilayah Selatan di Larkin Perdana.

Hendak dijadikan cerita, apabila saya sampai di Stesen Bas Larkin – saya sedikit blur dan confuse hendak ke mana. Saya sedia maklum bahawa di tempat begitu memang ada banyak ulat-ulat teksi. Entah macam mana, saya terpengaruh dengan salah seorang ulat teksi ini. Saya nyatakan bahawa saya hendak ke Hotel Seri Malaysia JB-Larkin.

Dia membawa saya untuk menaiki van. Sebelum saya naik van itu, saya sudah tanya dia awal-awal berapa kos semuanya ke Hotel Seri Malaysia. Dia menjawab RM30. Dalam hati saya sudah terdetik betapa mahal sungguh, tetapi barangkali kerana malas fikir, saya naik sahaja kerana tidak mahu panjang cerita.

Di dalam van, ada seorang lagi rakan pemandu tersebut duduk di belakang. Mereka berdua saya dengar berbual sesama sendiri dengan menggunakan loghat Kelantan. Saya mengesan bahawa mereka bukan orang tempatan Johor. Perjalanan ke Hotel Seri Malaysia mengambil masa dalam 10 minit. Entah jalan mana mereka ambil. Saya seperti percaya bahawa patut lah tambangnya RM30 sebab jarak yang tidaklah terlalu dekat berbanding Google Map.

Apabila saya jumpa dengan pakcik dan makcik saya pada sebelah malamnya, mereka telah membawa saya berjalan sekitar Larkin sambil mencari lokasi DBP Wilayah Selatan. Ketika itu, barulah saya perasan bahawa Stesen Bas Larkin dan Hotel Seri Malaysia tersangatlah dekat dan kalau jalan kaki pun tidak berpeluh!

Aduhai bayangkan betapa saya rasa bengong sungguh pada waktu itu. Jadi kesimpulannya, berhati-hatilah apabila berada di mana-mana stesen bas. Walaupun saya dah google map sebelum ini, tetapi pastikan jalan mana yang hendak dilalui. Mungkin dengan aplikasi Google Street View sekarang lebih memudahkan.

Seperkara yang menjadi kegemaran saya apabila di Johor Bahru pastinya makanannya yang menyelerakan! Lokasi wajib untuk dikunjungi pastilah Plaza Sentral kerana di situlah terletak Mee Rebus, Kacang Pool dan Soda Bandung kegemaran saya.

Menurut ayahanda saya, semasa bonda mengandungkan Ameer, bonda selalu mengidam makan Mee Rebus Johor. Setiap kali Ayahanda ada tugasan di Johor Bahru, pasti Ayahanda akan belikan Mee Rebus dan bawa di dalam kapal terbang untuk santapan bonda yang sedang mengidam. Tak sangka pula, anak yang dikandung itu akhirnya berkahwin dengan orang Johor Bahru dek kerana berkenankan Mee Rebus.

Nampaknya, lepas ini kami satu keluarga boleh pesan Mee Rebus dari adik saya pula lah ya? Smile

04 Oktober 2014

Majlis Walimah Adinda di Johor Bahru (Bahagian 1/3)

1980450_10152312169387283_8514799321802202699_o

Ini adalah majlis perkahwinan pertama dalam keluarga kami. Makanya, sudah pasti sambutannya lebih meriah kerana ahli keluarga tak sabar hendak menerima penambahan pertama yang akan membuatkan famili ini lebih besar!

Adinda saya, Ameer yang bezanya setahun dengan saya telah bertemu jodoh dengan Maryam yang dikenali semasa mereka sama-sama menuntut di Manchester dulu. Setelah hampir setahun mereka bertunang, majlis pernikahan akhirnya diadakan di Johor Bahru serentak dengan majlis persandingan pada tanggal 27 September 2014.

Saya bertolak lebih awal pada hari Khamis berseorangan menaiki bas ke Johor Bahru kerana akan menyertai Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan peringkat negeri Johor yang kebetulan diadakan ketika itu. Haaa dalam sibuk-sibuk menguruskan majlis kahwin, sempat lagi saya pergi bertanding sajak, kan? Haha, saya akan ceritakan pengalaman menyertai sayembara itu dalam entri yang lain.

Keluarga saya pula tiba pada keesokan harinya secara berperingkat. Malangnya, kereta ayahanda dan bonda telah mengalami kerosakan di Ayer Keroh, Melaka. Aduhai,  bak kata ayahanda, inilah dugaan hendak menghantar rombongan anak pergi bernikah. Besar betul cabarannya!

Mujur dalam waktu yang sama, ramai lagi rombongan ahli keluarga sedang bergerak dari Kuala Lumpur. Bonda dan adik-adik saya tumpang kereta makcik yang juga kebetulan baru tiba di Ayer Keroh untuk terus ke Johor Bahru. Manakala, ada sepupu saya bantu bawa Ayahanda ke bengkel terdekat untuk membetulkan kereta itu.

Alhamdulillah, menjelang malam – semua ahli rombongan kami sudah berada di tempat penginapan iaitu Villa Warisan JA di Jalan Abdul Rahman Andak, Johor Bahru. Tempat penginapan yang berkonsepkan Bali ini kelihatan begitu cantik dengan ukiran kayu yang begitu teliti di seluruh rumah. Terdapat 8 bilik suite dan 2 buah bilik chalet. Namun, banyak penambahbaikan perlu mereka lakukan terutamanya pada aspek maintenance.

Rasa amat seronok kerana ini adalah pertama kali kami dapat menyatukan ahli keluarga dari sebelah ayahanda dan bonda dalam satu ‘mini family day’ sebegini. Terlihat dari gerak gaya mereka, bahawa mereka juga sangat teruja sekali untuk ikut serta rombongan kali ini.

Selepas maghrib, kami telah mengadakan sebuah majlis makan malam buffet. Pihak Villa Warisan JA telah menyediakan kemudahan buffet tersebut lengkap bersama peralatan PA Sistem. Tetapi sayang sungguh WiFi mereka tidak berfungsi pada hari itu, kalau tidak boleh akses YouTube dan berkaraoke!

Saya bertindak sebagai pemudahcara malam itu. Memberi ucapan alu-aluan dan terima kasih, disusuli oleh ucapan oleh Ayahanda dan seterusnya pengantin sendiri iaitu Ameer. Selepas itu, saya juga telah memberikan penerangan ringkas mengenai apa yang akan berlaku pada hari keesokannya supaya semua jelas tentang perjalanan aturcara majlis.

Kemuncaknya, adalah sambutan hari jadi dan upacara memotong kek 4 orang saudara saya yang kami sambut serentak. Ada 3 biji kek dan satu pulut kuning yang dipotong pada malam itu sambil diiringin nyanyian beramai-ramai lagu Allah Selamatkan Kamu!

Nantikan sambungan catatan selepas ini yang mana saya akan menulis mengenai Majlis Pernikahan dan Persandingan pada keesokan harinya. Smile

18 September 2014

Seminar Millionaire Marketing Mastery 2014

IMG_20140911_144405

Ketika saya menghadiri Seminar Intensif Kekayaan dan Kejayaan (IMKK) pada bulan Jun yang lepas, saya sekadar ikut-ikut sahaja kawan yang mengajak. Waktu itu, saya mengikuti seminar secara berkumpulan. Ada lebih kurang 8 orang dalam kumpulan saya. Walaupun ketika seminar, kami akan duduk secara berasingan,  kami akan kembali berkumpul setiap kali waktu rehat.

Apabila diberikan tawaran untuk mengikuti kursus lanjutan dengan pengurangan harga yang menarik, saya pula yang terlebih bersemangat untuk menyambung belajar dengan Dr Azizan Osman. Lantas, segera saya daftar seminar Millionaire Marketing Mastery pada penghujung IMKK. Bertempiaran semua peserta berpusu-pusu mendaftar pada hari terakhir tersebut kerana ingin mendapatkan pengurangan harga yang sangat istimewa. Ya, itulah yang dikatakan strategi pemasaran Richworks.

Setelah 3 bulan menunggu, tiba juga ke masa yang dinanti. Berbeza seperti dulu, saya datang bersendirian sahaja ke Seminar Millionaire Marketing Mastery kendalian Dr Azizan Osman di Menara PGRM, Cheras. Berbanding IMKK yang mengambil masa 4 hari, MMM hanya diadakan selama 3 hari – dan jumlah peserta juga jauh lebih rendah dengan penyertaan kurang 2000 orang.

Millionaire Marketing Mastery adalah satu program yang lebih praktikal, saya fikir. Daripada awal – kami telah diajar berkenaan konsep asas pemasaran, bagaimana ingin merangka ayat untuk menerangkan kepakaran sendiri dan motivasi menjalankan perniagaan itu. Paling menarik, pada hari kedua, Dr Azizan telah menghuraikan 300 strategi pemasaran satu-persatu. Ya, TIGA RATUS!

Ternyata, selama 3 hari berada di dalam seminar ini, idea pemasaran mengalir-ngalir seperti air dan saya kini sudah ada lebih daripada 20 strategi pemasaran! Saya juga belajar bagaimana hendak mengembangkan perniagaan, dan tidak sekadar terpaku pada satu jenis aktiviti bisnes sahaja.

Sebagai pemilik kepada syarikat perkongsian QiyaSari Events, aspek pemasaran online adalah satu perkara yang sangat penting dan telah saya praktikkan sejak ia ditubuhkan hampir 2 tahun lalu. Melalui pemasaran online, saya telah mendapat klien-klien yang menghubungi saya untuk mendapatkan khidmat penyelarasan dan pengacaraan majlis. Akan tetapi, seminar ini telah MMM telah memberikan saya pelbagai idea baru dan unik. Perspektif saya dalam menjalankan bisnes juga berubah.

Kepada anda yang di luar sana yang sedang berjinak-jinak berniaga atau mungkin juga telah berniaga, saya teramatlah menggalakkan anda untuk ke seminar Richworks kendalian Dr Azizan Osman. Anda pasti tidak akan menyesal!

I am a marketing genius!

25 Ogos 2014

Kejutan Hari Lahir ke-27

image

SURPRISEEEEEE!

Tak terhidu dan terjangka langsung saya akan mendapat kejutan untuk sambutan hari lahir tahun ini.

Rasa macam tak  percaya sebab saya sendiri pun tidak merancang untuk membuat apa-apa sambutan sebab tidak rasa seperti telah mencapai apa-apa yang signifikan lagi setakat ini. Memang pelan nak lalui tarikh keputeraan saya secara biasa-biasa saja.

Awalnya, saya diajak oleh Hafiizh untuk menemani dia untuk ke satu majlis rumah terbuka hari raya di The Curve. Katanya majlis itu akan dihadiri oleh tetamu kenamaan, jadi saya kena pakai sepersalinan Baju Melayu lengkap. Entah kenapa tanpa banyak bicara saya setuju sahaja. Kebetulan memang berkelapangan ketika itu.

Ada juga saya tanya-tanya tentang siapa penganjur majlis itu, tapi dijawab oleh Hafiizh dengan jawapan yang tidak membuat saya ragu-ragu. Lagi pun, siapa yang tak hendak makan percuma kan? Pergi sajalah tanpa banyak soal.

Saya jemput Hafiizh di stesen LRT dan kami terus ke Mutiara Damansara. Hafiizh masih berpakaian biasa sedangkan saya sudah siap berbaju Melayu siap bersamping songket. Kata dia, konon hendak bertukar di The Curve.

Saya disuruh untuk tunggu sekejap di dalam kereta di tempat parkir kerana Hafiizh hendak menukar baju. Masa itu saya masih lagi tak dapat hidu apa-apa. Memang lurus betul! Hampir setengah jam juga saya tunggu dalam kereta. Hendak keluar jalan-jalan, saya segan sebab tengah pakai Baju Melayu penuh!

Bila Hafiizh turun mendapatkan saya, saya sudah naik hairan kerana dia masih belum bertukar. Memang pelik sangat masa itu sebab dia ajak saya untuk naik atas menemankan dia jumpa seseorang sebelum dia tukar baju.

Waktu itu, memang saya rasa pelik yang amat amat sangat sebab terpaksa pakai baju Melayu bersongkok dan bersamping di tengah-tengah gedung membeli belah di waktu malam! Tapi saya tebalkan muka saja sebab berpendapat kalau ada majlis, tentu bukan saya seorang yang berpakaian sedemikian.

Kami berdiri terpacak sebentar di depan pintu masuk Hotel Royal Bintang yang letaknya di The Curve. Kononnya Hafiizh tengah tunggu seseorang untuk hantarkannya samping yang dia tertinggal. Sibuk benar dengan telefon dia. Saya masa tu dah mula rasa pelik.

Tiba-tiba saya tertoleh ke restoran Johnny Rocket yang terletak bersebelahan pintu masuk Hotel Royal Bintang. Saya ternampak macam kelibat orang yang saya kenal. Dua kali pandang, rupanya yang saya nampak itu dua orang adik saya. Wah apa mereka buat di sini?

Saya beritahu Hafiizh. “Eh, Hafiizh. itu dua adik aku. Jom kita pergi saya?”.

Tiba-tiba, dengan tak semena-menanya dia menarik tangan aku menuju Restoran Johnny Rocket. Saya pelik. “Yang kau tarik tangan aku kenapa? Memang aku nak pergi sana pun. Kenapa kau yang teruja lebih?” kata saya dalam hati.

“SURPRISEEEEEEEE!!!!!!”

Saya jadi blur sekejap. Terdengar bunyi bising daripada para pekerja restoran Johnny Rockets menjerit-jerit. Lepas itu seorang demi seorang wajah rakan yang dikenali muncul. Baru saya perasan… rupa-rupanya…… ini semua satu helah!

Seluruh restoran menyanyikan lagu Happy Birthday. Saya terpaksa control macho ketika itu, sebab semua orang tengok saya. Kawan-kawan saya sibuk merakam gambar dan video. Saya pun meniup kek hari jadi berperasa coklat.

Terima kasih semua!

********************

Ribuan penghargaan kepada yang telah sudi datang membuat kejutan itu, dan juga semua yang telah tidak lupa memberikan ucapan selamat hari lahir tak kira di Facebook, Instagram, Twitter, WhatsApp, atau juga secara bersemuka. Saya amat-amat menghargainya.

Ia memberikan saya kekuatan semangat untuk bangkit dan terus menjadi manusia yang lebih baik di masa hadapan – kerana kehidupan dikelilingi oleh orang-orang yang istimewa ini.

********************

*Kek Hari Lahir saya telah dibuat khas oleh Shatira melalui Bakes and Bites. Memang sangat sedap! Boleh hubungi beliau melalui Instagram – @bakesandbites.

22 Ogos 2014

Mengenang MH17

image

Sambil menulis entri blog ini, saya sedang menonton keberangkatan tiba jenazah-jenazah MH17 di Kompleks Bunga Raya, KLIA.

Saya melihat satu demi satu keranda diturunkan dari perut pesawat Malaysia Airlines. Penuh  hormat, penuh takzim; mereka telah diberikan penghormatan negara dengan penglibatan penuh Angkatan Tentera Malaysia.

Ketika pintu van jenazah terakhir ditutup, maka bermulalah detik bertafakur serentak di seluruh Malaysia, menandakan tanda hormat dan solidariti rakyat Malaysia yang bersatu dalam kesedihan. Saya turut berdoa dan menyedekahkan Al-Fatihah buat mereka yang beragama Islam.

Secara peribadi, saya tidak mengenali semua mangsa-mangsa MH17, tetapi seperti rakyat Malaysia yang lain – kita semua terkesan dengan kejadian malang yang menimpa mereka. Sebuah perjalanan panjang yang mereka lalui – dari terhempasnya pesawat malang MH17 di Donetsk, Timur Ukraine – beberapa hari terhampar di tengah tanah lapang.

Kemudian dibawa ke Kiev, Ukraine, sebelum diterbangkan ke Armsterdam, Belanda untuk proses mengenalpasti. Dan akhirnya, pada hari ini – 22hb Ogos 2014 – mereka kembali ke Malaysia, destinasi yang sepatutnya mereka tuju.

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Tak dapat saya bayangkan perasaan kaum keluarga dan teman terdekat mangsa-mangsa terlibat. Sesungguhnya semua ini mengajar kita betapa rapuhnya kehidupan. Kematian boleh menjemput kita pada bila-bila masa  -  tatkala saat yang tidak terduga sekali pun.

Ini adalah isyarat. 
Isyarat untuk kembali bersatu.
Isyarat untuk kita semua agar jangan terleka.

Ya Allah, Ya Tuhanku, kau rahmatillah roh mangsa-mangsa MH17 terutamanya yang beragama Islam. Kau mudahkanlah perjalanan terakhir mereka dan berikanlah mereka kebahagiaan di dalam jannahmu. Sesungguhnya, hanya kaulah sebaik-baik perancang, dan kami percaya perancanganmu ini terselit seribu hikmah.

Moga sang durjana – petualang yang tidak berhati perut – sang dalang di sebalik tragedi malang ini tidak terlepas dari berdepan keadilan. Jangan dibiarkan mereka bebas lepas bernafas tanpa menerima hukuman atas perbuatan yang langsung tidak berperikemanusiaan ini.

Kepada Allah kita berserah.

Al-Fatihah.

16 Ogos 2014

Singapura 2014 (2) : Sekilas Pandang Kota Singa

image :: Pemandangan bangunan pencakar langit dari kaki Sungai Singapura ::

Sebaik sahaja mendaftar masuk di hostel lebih kurang pukul 2 petang, saya berehat seketika untuk mengumpul tenaga bagi meneruskan kembara. Kemudahan WiFi yang tersedia di hostel saya gunakan untuk menghubungi kedua sahabat saya iaitu Leng Zhong dan Keith bagi memberitahu keberadaan saya.

Sememangnya, Leng Zhong dan Keith sudah bersedia untuk menyambut kedatangan saya dan mereka juga akan tunjukkan saya persekitaran Kota Singa ini buat kali pertama. Beruntung juga saya kerana punya kawan yang bekerja di Singapura untuk bawa jalan-jalan dan menjadi pemandu pelancong.

Kebetulan pada hari ketibaan saya iaitu 1 Mei, Singapura juga cuti umum sama seperti di Malaysia sempena Hari Pekerja. Maka, dapatlah kawan-kawan saya itu luangkan masa untuk bersama saya. Memang saya sudah khususkan slot hari pertama untuk kembara bersama mereka, sebelum kembara solo sepenuhnya pada keesokan harinya.

Hostel saya terletak di Boat Quay, betul-betul berhadapan dengan Sungai Singapura. Kata Leng Zhong, kawasan ini sememangnya dekat dengan pelbagai tarikan di pusat Kota Singa ini. Untuk hari pertama, saya sekadar mengikut jejak langkah teman-teman saya yang tentunya lebih arif dalam memperkenalkan Singapura kepada saya.

image

Kami memulakan langkah dengan berjalan kaki dari hostel. Kami melalui sebuah lorong yang menghubungkan antara Boat Quay dan Clarke Quay. Lorong ini begitu membuatkan saya tertarik dengan lukisan yang terpamer di dindingnya.

Sekilas saya melalui lorong tersebut, membuatkan seperti saya sedang melalui terowong masa sepanjang sejarah Singapura kerana ia memaparkan perkembangan Singapura dari waktu pembukaan Singapura oleh Sang Nila Utama sehinggalah ke pembangunan pesatnya sebagai kota metropolitan hari ini.

image Di awal langkah perjalanan, sempat kami melalui bangunan Parlimen Singapura yang terletak di tengah bandar. Tidak jauh dari situ juga adalah bangunan parlimen Singapura yang lama yang kini dikenali sebagai The Arts House At The Old Parliament. Para pengunjung boleh memasuki bangunan yang kini dijadikan galeri seni ini dengan bayaran percuma.

Di dalamnya, sedang diadakan pameran koleksi puisi-puisi patriotik yang ditulis oleh penulis-penulis tempatan. Rasa sangat teruja membaca koleksi puisi yang disertakan dengan audio bacaan puisi melalui alat pendengar yang disediakan. saya dapat merasakan betapa puisi amat dihargai di sini dalam menyemai semangat cintakan negara. Antara puisi yang saya suka adalah puisi Singapore River kerya Lee Tzu Pheng :

image

Kami ambil masa lebih kurang 30 minit juga meneroka bangunan Parlimen Lama itu. Selepas itu, dua teman saya itu telah membawa saya menuju ke kawasan Marina Bay Sands melalui jalan pintas iaitu dengan memasuki The Fullerton Hotel. Saya difahamkan bahawa hotel tersebut adalah antara bangunan lama di Singapura yang menjadi mercu tanda kota raya sejak zaman sebelum Perang Dunia Kedua lagi dan pernah digunakan sebagai hospital dan pejabat pos. Saya mengagumi betapa bangunan lama sebegitu dapat dipelihara sebaik mungkin dan ditukar menjadi hotel mewah.

image

Sudah pasti, kunjungan ke Singapura buat pertama kali tidak akan lengkap sekiranya tidak ke Merlion Park. Struktur patung setengah singa dan setengah ikan ini sudah begitu sinonim dengan negara kecil ini. Saya ada letakkan gambar saya bersama Merlion tersebut di dalam entri blog saya sebelum ini.

Selepas puas bergambar di Merlion, perut terasa lapar dan saya sendiri pun belum makan tengahari lagi. Tetapi, tak tahu ke mana untuk mencari makan yang murah dan semestinya halal. Kedudukan kami ketika itu di Marina Bay – menyebabkan saya tidak ada banyak pilihan kedai makan yang bersesuaian. Setelah puas berjalan, kami terjumpa sebuah kawasan makan yang dikenali sebagai Makansutra di Gluttons Bay.

image

:: Makansutra di Gluttons Bay ::

Di sinilah tempat saya menikmati hidangan yang pertama di Singapura. Di dalam hati, saya berdebar juga kerana tak tahu status halal makana di situ. Ketika itu juga waktu saya melihat-lihat harga makanan di Singapura. Mujur ada sebuah gerai di situ yang menjual makanan Muslim. Mula-mula saya minta Nasi Goreng Cina, tapi mungkin orang itu macam tak begitu faham, jadi terpaksa redha dengan Nasi Goreng Kampung yang memang ada dalam menu mereka. Kalau tidak silap, harganya $ 6 Dollar Singapura.

Sekilas pandang saya melihat Singapura, terasa seperti tidak jauh berbeza dengan negara sendiri. Dengan populasi masyarakat yang lebih kurang sama, Singapura sudah tentunya berkongsi susur galur yang serupa dengan kita. Tidak hairanlah kedua teman saya Leng Zhong dan Keith tidak mempunyai masalah besar untuk menyesuaikan diri di sini.

Saya juga mengakui kata-kata orang yang saya dengar sebelum ini bahawa betapa bersihnya Singapura. Mungkin agak hiperbola pernyataan yang saya dengar itu iaitu ‘tidak ada satu sampah pun di tepi jalan’, tetapi secara umunya tempatnya memang bersih dan terjaga. Orang-orang yang saya temui setakat itu juga amat sudi membantu saya.

Selepas ini, saya akan tulis pula sambungan kisah berjalan dua teman di sebelah malam di Marina Bay Sands!

07 Ogos 2014

Hari Perhimpunan Keluarga Jamak 2014

Tumbuh  merimbun di tengah kebun,
Hitam-hitam si tampuk manggis;
Keluarga Jamak sama berhimpun,
Merai ikatan warisan Bugis.

Ahli Jawatankuasa HPKJ2014 (Kredit Gambar www.khirkhalid.com)

Akhirnya, selesai juga Hari Perhimpunan Keluarga Jamak 2014 yang diadakan pada 3 Ogos 2014 di Pusat Komuniti Bukit Bandaraya, Kuala Lumpur. Majlis yang diadakan sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri ini telah berjalan dengan lancar dengan kehadiran hampir 500 ahli keluarga yang terdiri daripada hampir 7 generasi keturunan Haji Jamak.

Ini adalah perhimpunan kali kedua diadakan setelah perhimpunan kali pertama diadakan pada  tahun 2008 di Putrajaya yang menghimpunkan hampir 800 orang. Sepatutnya, perhimpunan ini diadakan pada tahun lepas, tetapi telah ditunda ke tahun ini dengan skala yang lebih kecil.

Persiapan untuk mengadakan perhimpunan ini telah bermula lebih kurang 5-6 bulan sebelum majlis berlangsung. Saya memainkan peranan yang sangat kecil kali ini memandangkan menghadapi sedikit kekangan masa berbanding tahun lepas. Bagaimanapun, tabik hormat saya berikan kepada semua AJK yang lain terutamanya Uncle Pes yang begitu konsisten dan bersemangat untuk menjadikan perhimpunan ini satu kenyataan.

Pada hari kejadian, saya bertindak sebagai pengacara majlis sementara bagi menggantikan Dato’ Mahathir Lokman yang terpaksa datang sedikit lewat berikutan majlis di tempat lain. Oh ya, Dato’ Mahathir bukanlah seorang ahli keluarga Jamak, tetapi mempunyai pertalian saudara yang cukup rapat dengan kami.

Awalnya, sedikit gementar juga kerana saya tidak biasa mengacarakan majlis hari keluarga, lebih-lebih lagi yang besar sebegini. Tambahan pula dengan persiapan yang sangat sedikit kerana kesibukan berhari raya.  Tetapi ternyata ia adalah pengalaman yang sangat berharga yang boleh saya gunakan untuk kemudian hari.

Antara yang menarik ketika perhimpunan ini adalah pastinya makanannya! Makanan yang dihidangkang sudah semestinya menu istimewa negeri Johor yang tentu mengimbau kenangan ahli keluarga kepada kampung halaman. Hidangan seperti ; Laksa Johor, Beriyani Gam, Soto, Bandung Soda, Air Katira  menjadi habuan mereka yang datang. Tapi, saya tak dapat nak makan banyak pun sebab kena bertugas!

Sudah semestinya tidak lengkap Hari Keluarga kalau tiada hiburan. Majlis kali ini telah mengundang 2 buah kumpulan muzik iaitu sebuah kumpulan Samrah yang berasal dari Muar, dan sebuah lagi kumpulan Band yang asalnya dari Kontingen Polis Trafik Kuala Lumpur. Keadaan menjadi lebih meriah apabila ada ahli keluarga yang sudi ‘menyumbangkan’ suara mereka dengan acara karaoke. Selain itu, ada juga acara tarian poco-poco dan zapin/joget lambak yang diadakan secara spontan!

Acara kemuncak sudah semestinya acara  bergambar beramai-ramai! Disebabkan keadaan Dewan yang kecil, sesi bergambar terpaksa  dipecahkan kepada 4 sesi yang melibatkan 8 cabang keluarga Jamak. Ini jauh berbeza dengan sesi bergambar sebelum ini yang dapat membuatkan hampir 800 orang dalam satu gambar. Keseluruhannya, acara ini ambil masa lebih kurang sejam juga disebabkan tugas untuk menyusun ahli keluarga untuk 4 sesi itu.

Sesungguhnya, acara seperti ini saya fikir eloklah diteruskan. Mungkin boleh diadakan setiap dua tahun, dengan penglibatan komiti yang berbeza setiap kali. Tak perlu besar, sekurang-kurangnya majoriti ahli keluarga dapat bertemu semasa hari raya. Bagus juga, sebab dalam satu rumah terbuka dapat ‘langsaikan’ berjumpa dengan seramai mungkin saudara.

Salam Aidilfitri!

17 Julai 2014

Singapura 2014 (1) : Kembara Solo ke Selatan

IMG_0079

Singapura – sebuat kota metropolitan yang terletak di atas sebuah pulau kecil di penghujung Semenanjung Malaysia. Kalau tak silap, saya pernah berkunjung ke Singapura hanya sekali seumur hidup saya. Itupun ketika saya masih sangat kecil. Umur tepatnya saya tak berapa ingat, tetapi masih belum lagi bersekolah.

Selalu teringin hendak ke sana, tetapi tak pernah ada kesempatan. Paling dekat pun hanya memandang Singapura dari seberang Selat Tebrau di Johor Bahru. Merasalah juga telefon dapat bertukar talian Singapura sekejap ketika saya berada di JB.

Bila dah mula bekerja dan ada duit sendiri, barulah mula pasang impian untuk mengembara dan lokasi pertama yang menjadi destinasi adalah Singapura. Oleh kerana ini adalah kali pertama saya merantau solo ke negara orang (walau pun Singapore je punnn), saya pilih negara yang dekat dulu. Pertamanya, sebab saya ada dua orang rakan sepersekolahan yang kini sedang menetap di sana. Keduanya, sistem pengangkutan awam di sana efisyen dan mudah.

Pesawat atau Bas?

Haaa, ini yang menjadi persoalan pertama yang saya fikirkan ketika mula merancang secara serius untuk ke Singapura. Pastinya kedua-dua pilihan untuk menaiki Pesawat atau Bas ada pro dan kontra masing-masing.

Sudah pasti, saya nak naik pesawat supaya dapat merasa feel merantau ke negara orang. Saya ada survey beberapa pesawat tambang murah, tetapi apa yang menjadi pertimbangan saya adalah perjalanan hendak ke LCCT (waktu itu KLIA2 belum beroperasi) yang jauh. Satu lagi pilihan yang ada adalah menaiki pesawat Firefly yang berlepas dari Lapangan Terbang Subang yang jauh lebih dekat.

Dalam masa yang sama, kejadian malang MH370 baru sahaja berlaku, dan saya merasa sedikit trauma menaiki pesawat. Tiba-tiba, ibu saya telah mencadangkan kepada saya untuk naik bas Aeroline. Oh ya, saya pun baru teringat yang bas ini bertolak dari One Utama, Bandar Utama dan sangat sangat dekat dengan rumah!

image

Tiket pergi balik dari Bandar Utama ke Singapura menelan belanja sebanyak RM 195.70. Berbeza dengan bas ekspres biasa, bas dua tingkat ini ada pelayan khas seperti seorang ‘pramugari’ yang akan melayan para penumpang seperti dalam pesawat terbang. Mereka akan menghidangkan kita makanan yang telah siap dibungkus. Semasa perjalanan balik, saya telah dihidangkan dengan Subway. Manakala ketika pulang ke Malaysia, Nasi Ayam telah telah dihidangkan. Bawah ini gambarnya :

image

Bas Aeroline ini juga ada sistem entertainment sendiri yang walaupun pilihan rancangan/filem tidaklah lengkap macam dalam kapal terbang, tetapi bolehlah kalau hendak memenuhkan masa lapang. Lepas tu, kita juga boleh mengecas segala gajet sebab di setiap tempat duduk, ada plug point disediakan.

Perjalanan ke Singapura mengambil masa hampir 6 jam. Ada satu kali hentian di R&R tapi saya kurang ingat di mana lokasi tepatnya. Selepas itu, perjalanan diteruskan tanpa henti sampailah ke Kompleks Imigresen Sultan Abu Bakar di Johor Bahru.

IMG_0013 :: Kompleks Imigresen Sultan Abu Bakar di Johor Bahru ::

Segala urusan di sini tidaklah mengambil masa yang terlalu lama sangat. Setelah semua keperluan imigresen dan kastam selesai, semua penumpang diminta untuk naik kembali bas untuk meneruskan perjalanan ke Singapura melalui jambatan LinkKedua. Jambatan ini menghubungkan Tanjung Kupang di Johor Bahru, dan Tuas di Singapura.

Berdebar-debar juga hati ini tatkala bas sedang mula menghampiri Singapura. Saat itu, saya sudah mula sedar sebuah kembara solo bakal bermula di bumi Temasek. Tatkala bas sudah berada di atas jambatan, pastinya saya tak lepaskan peluang untuk bergambar kerana saya sedang merentas sempadan ke negara orang!

image

Apakah kesinambungan kisah saya berkelana di bumi Temasek? InsyaAllah akan saya ceritakan di dalam entri blog seterusnya.

Wassalam!

24 Jun 2014

Seminar Intensif Magnet Kekayaan & Kejayaan 2014

2014-06-15 17.12.15

Selama 4 hari 3 malam saya berulang alik dari Damansara ke Seri Kembangan pada 12-15 Jun 2013 lalu demi mengikuti sebuah seminar yang dianjurkan oleh pakar motivasi terkenal, Dr Azizan Osman iaitu Seminar Intensif Magnet Kekayaan & Kejayaan (IMKK).

Selama ini, saya seringkali melihat wajah Dr Azizan Osman dengan gaya signaturenya di dada-dada akhbar dan majalah tempatan. Tak pernah langsung terfikir untuk mengetahui apa sebenarnya yang begitu istimewa dengan beliau. Sangka saya mungkin sahaja pakar motivasi biasa seperti yang selalu saya tonton di TV.

Terima kasih kepada adik saya, Ameer yang telah mengajak untuk menemaninya dan teman-teman ke IMKK, barulah saya tahu bahawa seminar dan kaedah Dr Azizan sudah menjadi satu fenomena! Pasti ada sesuatu yang amat luar biasa seandainya seorang sosok tokoh Melayu ini dapat menarik lebih 8 ribu orang yang majoritinya adalah anak bangsa Melayu kita untuk mendengar beliau berkata-kata dan kekal mendengar dari awal hingga akhir.

Pada awalnya saya agak skeptikal. Hari pertama saya lalui dengan gelas separuh berisi dan separuh kosong. Ada perkara yang saya ambil, ada juga perkara yang saya simpan dahulu. Maklumlah bak kata Dr Azizan, rasa ego mungkin masih ada. Sebagai seorang yang baru pertama kali menghadiri kelas/seminar Dr Azizan, saya mengalami sedikit ‘kejutan budaya’.

“Kenapa perlu menjerit sampai sakit tekak?”

“Kenapa sikit-sikit kena berdiri? Tak bolehkah kita berseminar dengan tenang?”

Begitulah antara persoalan-persoalan yang timbul, hasil bisikan hati kecil saya. Rupa-rupanya itulah apa yang kemudian saya belajar sebagai Small Little Voice atau juga “biawak” yang seringkali memberikan cetusan-cetusan negatif setiap kali kita hendak lakukan perkara kebaikan.

Perlahan-lahan, saya cuba untuk membuka pintu hati saya dan belajar untuk mengenalpasti “biawak-biawak” kecil yang selalu sahaja menjadi sebab untuk mematikan impian saya untuk berjaya. Dr Azizan telah mengajar teknik untuk mengalahkan biawak tersebut dan kemudian membuang ia jauh-jauh. “Biawak-biawak” itulah yang sering memberi idea kepada kita untuk menyatakan seribu satu alasan untuk berjaya.

Alhamdulillah, tempoh 4 hari itu telah saya lalui dengan jayanya tanpa ponteng sebarang pun sesi yang dikendalikan. Berdamping dengan 8 ribu orang lain yang kesemuanya begitu bersemangat untuk kaya dan berjaya telah menjangkitkan aura mereka kepada saya juga. Mungkin ini jugalah kenapa di dalam agama jua, kita dituntut untuk berdamping dengan orang-orang soleh.

Antara saat-saat yang saya tidak boleh lupakan adalah sesi luahan perasaan yang mana peserta diminta untuk menulis sebuah surat kepada insan tersayang dan seterusnya membacakannya kepada orang di sebelah.

Sambil itu, seluruh dewan telah digelapkan dan lagu-lagu melankolik seperti Pelangi Petang, Ayah dan Ibu, serta Syurga Di Bawah Telapak Kaki Ibu telah berkumandang. Boleh saya katakan, dewan MIECC tempat berlangsung seminar ini hampir banjir kerana 8 ribu peserta menangis ketika sesi ini termasuklah saya!

Dari sudut lain, seminar ini agak menekankan kepada aspek perniagaan untuk berjaya. Memang betul, untuk berjaya dengan cepat dan mencapai taraf jutawan, ia amat sukar untuk dilakukan melainkan dengan jalan perniagaan.

Sesungguhnya, saya amat menggalakkan kepada anda di luar sana untuk menyertai program ini. Anda bukan sahaja akan belajar tentang ilmu kejayaan dan kekayaan, tetapi lebih daripada itu, anda akan belajar tentang kehidupan dan betapa ia sangat berkait dengan hubungan kita dengan Tuhan.

Semoga kita semua kaya dan berjaya!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan