Subscribe

23 Jun 2013

Pertandingan Deklamasi Sajak Petaling Jaya 2013

image

Saya mengetahui mengenai penganjuran Pertandingan Deklamasi Sajak Petaling Jaya ini sejak 2-3 tahun lepas, tetapi acapkali tidak berkesempatan untuk menyertainya kerana terlambat mendapat maklumat, sehingga pertandingan sudah selesai atau sudah penuh penyertaan.

Oleh itu, tahun ini saya menyimpan azam untuk menyertainya juga kerana pertandingan ini diadakan di daerah permukiman saya sendiri – yakni kampung saya sendiri! Alhamdulillah apabila iklannya keluar di laman Facebook Muzium Petaling Jaya, saya menjadi orang yang pertama yang mendaftar.

Pertandingan ini terbuka kepada 3 kategori iaitu Sekolah Rendah, Sekolah Menengah, dan Dewasa Terbuka. Apa yang menariknya, setiap peserta harus mencipta sendiri sajak yang asli bertemakan Petaling Jaya untuk dideklamasikan. Saya melihat ini satu perkara yang bagus kerana ia membolehkan kita melihat kreativiti setiap peserta dalam meluahkan sudut pandang mereka tentang daerah tercinta Petaling Jaya.

Sajak yang saya nukilkan bertajuk – “Suara Dari Sebalik Kota” merupakan manifestasi saya terhadap pembanguan pesat di Petaling Jaya, betapa di sebalik kegagahan dan kemajuan kotaraya ini, adalah warganya yang menjadi tulang belakang sebuah masyarakat yang dinamik dan lestari. Karya ini saya cipta agak lewat sedikit iaitu 2 hari sebelum pertandingan. Akibat kekangan waktu, saya tidak dapat membuat banyak sangat kajian mengenai sejarah Petaling Jaya kerana sumber di internet sangat kurang.

Dari segi pemakaian, saya cuba tampilkan sedikit kelainan dengan berpakaian kemeja, bertali leher, vest, lengkap dengan topi Inggeris bagi menggambarkan masyarakat sebuah kotaraya moden – selain untuk lari dari strereotaip mengenakan Baju Melayu setiap kali mendeklamasikan puisi. Tetapi dalam mencipta kelainan itu, saya juga yang sedikit terseksa sebab terpaksa menahan panas tatkala pertandingan diadakan di padang terbuka!

Secara keseluruhannya, saya kagum dengan sekalian peserta pertandingan ini kerana meskipun bersifat pertandingan tempatan, tetapi mereka semua mampu memberikan persembahan yang baik dan isi kandungan sajak yang menarik. Lebih-lebih lagi apabila sebahagian besar peserta dapat menghafal sajak mereka!

image

:: Bersama para pemenang kategori Dewasa Terbuka ::

image

Alhamdulillah, kali ini saya diberikan rezeki buat pertama kalinya menjadi Johan kategori Dewasa Terbuka – sesuatu yang sangat saya tidak sangka. Tahniah juga kepada semua peserta yang bertanding, dan teristimewanya ucapan penghargaan kepada Majlis Bandaraya Petaling Jaya sebagai penganjur utama bersama Muzium Petaling Jaya dan Perpustakaan Komuniti Petaling Jaya yang telah melestarikan dunia puisi di Bandaraya Inai Merah ini!

Wassalam!

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan