Menonton Teater Muzikal Chow Kit Road! Chow Kit Road! ini membuatkan saya teringat kembali kepada sebuah filem muzikal yang pernah dihasilkan dengan menggunakan konsep yang sama iaitu Hoore Hoore!
Kali ini, lagu-lagu Allahyarham Sudirman Haji Arshad yang amat dekat dengan jiwa rakyat marhaen itu kembali lagi diangkat ke pentas teater dengan cerita yang berbeza.
Secara jujurnya, saya sendiri pun tidak menyedari pementasan teater ini sehinggalah dipelawa oleh seorang teman untuk ke Istana Budaya bagi menontonnya. Oh, betapa sayangnya teater ini telah dipentaskan pada masa yang kurang baik, yakni selepas sahaja berakhirnya Pilihan Raya Umum Ke-13. Sedikit sebanyak, pasti ia agak menganggu proses promosi teater ini, ketika semua orang sedang sibuk dengan kempen PRU.
Saya bukanlah seorang yang pakar dalam mengulas tentang teater, namun apa yang saya perasan dalam pementasan ini, penggunaan props agak minima berbanding pementasan-pementasan lain yang pernah saya saksikan. Permainan pentas juga dikekalkan minima. Saya yakin pasti pengarahnya mempunyai alasan tersendiri mengapa hal tersebut begitu.
Antara lagu-lagu yang dipersembahkan adalah Punch Card, Milik Siapakah Gadis Ini, Merisik Khabar, dan juga Kulit. Ada banyak juga lagu-lagu yang tidak saya ketahui pernah didendangkan oleh Sudirman telah dikumandangkan. Antara lagu yang saya tak sangka akan dinyanyikan adalah Warisan – agak janggal mendengar lagu ini dinyanyikan dalam konteks yang bukan patriotik. Tetapi apabila disesuaikan dengan babak, liriknya agak mengenai juga dengan konteks.
Keseluruhannya – teater ini menghiburkan, dan punya banyak ruang untuk penambahbaikan. Saya suka sekali lakonan Nadia Aqilah yang menyegarkan. Dari segi cerita, koleksi lagu-lagu Sudirman yang begitu akrab dengan rakyat marhaen memungkinkan sebuah kisah yang berkisar tentang masyarakat gelandangan disampaikan dengan baik. Ceritanya masih boleh dimurnikan lagi, meski saya nampak pengajaran apa yang cuba disampaikan.
Rating saya?
2.5/5
0 komentar:
Catat Ulasan