Berakhir sudah Pilihan Raya Umum ke-13.
Satu pertarungan yang amat melelahkan. Sudahlah sepanjang setahun dua ini rakyat sentiasa sahaja dimomokkan dengan isu-isu politik yang memenatkan, ia masih tetap berterusan walaupun sudah berakhir pilihan raya. Malaysia kini seolah-olah sudah terpecah kepada dua. Yang kanan, yang kiri. Yang orang itu, yang orang ini, yang sana, yang sini.
Sebelum ini, saya cuma terdedah dengan pilihanraya ini hanya melalui apa yang terpapar di kaca tv dan di dada akhbar. Tak pernah lagi mengundi sebelum ini sebab belum cukup umur. Apatah lagi menyertai ceramah-ceramah politik. Namun, saya mengambil serius tanggungjawab yang diamanahkan kepada setiap individu berwarganegara Malaysia yang diberikan hak untuk memilih kerajaan yang diperutukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Saya akui, saya mempunyai pilihan sendiri tentang parti mana yang saya sokong sebelum ini. Namun, bila semakin menghampiri hari mengundi, saya mendapati bahawa parti bukanlah satu faktor utama untuk saya memilih calon tersebut. Begitu banyak pertimbangan lain yang harus difikirkan sebelum saya betul-betul membuat keputusan untuk memangkah seseorang calon.
Pilihan mungkin semakin banyak buat saya, kerana kawasan tempat mengundi saya iaitu P107 Subang mempunyai 5 orang calon! Manakala untuk DUN Bukit Lanjan, perlawanannya hanyalah 2 penjuru.
Selain daripada membaca manifesto kesemua parti yang terlibat, saya juga telah meneliti latar belakang semua calon yang bertanding di kawasan saya, bagi mengenali di mana kekuatan mereka, supaya undi saya itu dapat menghantar seseorang yang berkelayakan ke Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Saya cuba juga untuk menghadiri ceramah-ceramah kempen calon-calon ini, namun hanya berkesempatan untuk pergi ke satu siri ceramah, manakala bagi calonyang lain, saya tak mendapat maklumat lengkap/awal mengenai sesi ceramah itu.
Penggunaan Media Sosial juga sangat penting. Saya mendapati ada satu parti yang sangat konsisten menggunakannya dan memudahkan para pengundi untuk menghubungi mereka, manakala pihak parti yang satu lagi seolah-olah baru belajar bagaimana hendak membuka Laman Facebook, sebab mereka hanya menciptanya ketika kempen berlangsung!
Saya berpendapat dalam era serba moden ini, terutamanya kalau seseorang bertanding di kawasan bandar dan mempunyai jumlah pengundi muda yang ramai, saya fikir calon harus ambil kesempatan terhadap penggunaan media sosial dan jangan hanya guna ketika kempen, dan selepas itu terus hilang dan tidak aktif. Itu sahaja sudah boleh menunjukkan tahap keseriusan seseorang calon!
Keputusan tentang siapa yang harus saya undi telah pun ditetapkan dua hari sebelum PRU. Sebenarnya selepas itu masih lagi mempertimbangkan keputusan itu sampailah ke saat akhir di dalam bilik pengundian, tetapi saya masih memilih pilihan yang sama kerana telah berfikir dari pelbagai sudut.
Saya telah melaksanakan amanah dan tanggungjawab saya. Keputusan telah diumumkan, dan rakyat majoriti telah bersuara. Saya harapkan pemimpin yang telah dipilih itu, ambillah amanah dan tanggungjawab tersebut dengan sejujurnya dan seikhlasnya.
Sentiasa letakkan kepentingan rakyat di hadapan, dan bersihkan diri dari segala macam bentuk kontroversi. Usah terlalu galak berpolitik sampai terlupa kerja utama anda untuk berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia, tak kira yang sokong anda atau tidak!
0 komentar:
Catat Ulasan