Subscribe

14 Januari 2011

Qatar Airways & Doha International Airport

 IMG_0296

Ini adalah entri rangkuman perjalanan pergi dan balik dari Eropah yang saya gabungkan untuk mengelakkan pertindihan. Disebabkan kedua-duanya menggunakan penerbangan yang sama, jadi lebih baik saya satukan supaya senang untuk diceritakan. Lagi pun, tak ada beza pun pergi dan balik. Transit pun di tempat yang sama. Jadi, ayuh kita mulakan!

IMG_0297 

Seperti yang telah anda sedia tahu, saya mengembara ke Eropah menaiki pesawat Qatar Airways.  Sebelum menempah tiket, ada juga mempertimbangkan beberapa penerbangan lain seperti Malaysia Airlines, Singapore Airlines, Emirates, Air Asia, dan beberapa yang lain. Tetapi, atas sebab harga yang paling rendah dan berpatutan ketika itu, ditambah pula perkhidmatan yang boleh tahan, maka Qatar Airways menjadi pilihan.

IMG_0276

Saya kira mengapa syarikat penerbangan dari Timur Tengah selalu menjadi pilihan untuk ke Eropah adalah kerana faktor lokasi ibu pejabatnya yang terletak strategik di antara Asia, Eropah, & Afrika. Sebab saya lihat agak jauh juga beza harganya dengan Penerbangan Malaysia yang berkali ganda lebih mahal.

Bercerita sedikit tentang perkhidmatan penerbangan, dari segi kelengkapan – ada skrin mini di hadapan setiap tempat duduk penumpang yang mengandungi set hiburan dan maklumat yang boleh kita akses secara interaktif. Ia juga dilengkapi dengan koleksi filem-filem dan lagu-lagu yang agak banyak sehingga tak keruan mata mahu memilih yang mana satu hendak ditonton dahulu.

IMG_0278

Seingat saya, antara filem yang telah saya tonton dalam perjalanan pergi dan balik adalah – The Devil Wears Prada, The Curious Case of Benjamin Button, Alice in Wonderland, dan sebuah filem Bollywood yang dilakonkan oleh Amitabh Batchan. Banyak lagi sebenarnya, tapi sekadar tonton sedikit-sedikit.

Selain itu, ada juga rancangan televisyen, dokumentari, komedi, dan kalau anda mahu sekadar mendengar muzik sambil merehatkan mata, himpunan muzik dari serata dunia tersedia – termasuklah dari Malaysia. Juga terdapat alunan bacaan Al-Quran bagi yang mahukan ketenangan fikiran.

Oh, perjalanan dari Kuala Lumpur ke Manchester akan transit di Lapangan Terbang Doha di Qatar. Secara dasarnya, Kuala Lumpur – Doha & Doha – Manchester kedua-duanya mengambil masa 8 jam. Sewaktu pemergian, transit mengambil masa 2 jam. Manakala ketika kembali, transit kami lebih kurang 9 jam. Tapi, cerita tentang itu akan ada di bahagian akhir entri ini.

Ketika itu, saya sudah lebih kurang setahun tidak menaiki kapal terbang selepas terbang ke Jakarta pada awal tahunnya. Jadi, perasaan teruja itu pastilah ada, lebih-lebih lagi ini kali pertama saya menaiki pesawat untuk perjalanan jarak jauh merentasi benua dan ada transit pula itu.

Apa yang saya suka kalau naik kapal terbang pastilah makanannya! Entah kenapa, saya dapati makanan kapal terbang sangat comel dan sedap. Haha. Mungkin dengan cara pembungkusan dan persembahannya yang membuatkannya menarik, padahal makanan di darat pastilah lebih sedap.

Jom kita lihat makanan-makanan yang dihidangkan oleh Qatar Airways.

IMG_0277

Ini adalah snek sandwic yang dihidangkan untuk minum pagi / minum petang / kudapan. Ada dua jenis pilihan yang diberikan – Ayam atau Sayur. Tengok pun sudah tahu dibawa dari Malaysia.

IMG_0280

IMG_0281

Sarapan. Ayah saya telah awal-awal meminta hidangan rendah garam. Ia boleh diminta dari internet beberapa hari sebelum penerbangan. Ada banyak jenis diet yang boleh ditempah khas, bergantung kepada keperluan masing-masing. Rendah gula, rendah lemak, vegetarian, dan macam-macam lagi. Tetapi, saya sekadar ambil hidangan biasa sebab tak seronoklah makan kurang itu kurang ini! :)

IMG_0283

Okay mari kita lihat apa yang ada. Set sarapan biasa sebenarnya. Ada bun, croissant, jus oren, teh atau kopi, buah-buahan, yogurt, dan tentunya hidangan utama. Set sudu garpu yang digunakan diperbuat daripada plastik, berbeza sewaktu saya naik Saudi Arabian Airlines dulu yang beri sudu garpu (cutleries) besi.

IMG_0284

Hah inilah hidangan utama untuk sarapan. Sekali lagi, ada dua jenis hidangan utama yang disediakan. Yang satu ini adalah telur dan sosej. Yang satu lagi saya tak berapa ingat. Tiba-tiba terasa lapar pula tengok gambar makanan!

Saya juga perasan bahawa kopi dan teh mereka biasanya dihidangkan bersama sepaket kecil susu segar – di Eropah juga begitu. Tak seperti di Malaysia yang menggunakan krimer atau pun susu pekat.

IMG_0009

Set makan tengahari. Yang ini saya ambil sewaktu kepulangan dari Eropah menuju Malaysia. Hidangan utama Nasi Beriyani dengan biskut-biskut, yogurt, kek coklat. Boleh tahanlah makanannya. Tapi, rasanya kalau Malaysia Airlines pasti lagi sedap. :)

IMG_0288

Sedar tak sedar dah sampai ke Doha kita ya. Lihatlah dada bumi Doha menyambut kita di awal pagi sejurus selepas subuh ketika fajar sedang menyingsing. Ternyata Doha sebuah kota yang dilimpahi dengan rezeki berupa minyak. Saya dapat lihat dari atas dengan jelas tempat pemprosesan minyak yang terbentang luas. Betulkah? Kalau benda lain beritahu saya ya.

IMG_0318

Mendarat sudah kita. Tidak seperti di Kuala Lumpur, Doha menggunakan kaedah mengangkut penumpang dari pesawat ke terminal dengan menggunakan bas shuttle. Sewaktu saya turun dan menikam bumi Doha dengan pandangan mata pertama, bulan pagi masih lagi kelihatan. Hari masih lagi begitu awal.

IMG_0011

Apa yang buat saya teringat sampai sekarang adalah kerana dapat melihat skyline bandaraya Doha yang terlihat jelas dari lapangan terbang ini sewaktu kami menaiki bas shuttle ke Terminal. Sangat cantik tempatnya. Tetapi, saya tak sempat pula hendak mengambil gambarnya. Mungkin ada, tetapi entah mana disimpan.

Kalaulah ada masa yang lebih, pasti saya mahu keluar berjalan-jalan merasai angin kota Doha. Sayangnya, kami ada 2 jam sahaja. Malah, sewaktu perjalanan pulang, walaupun kami transit selama 9 jam, tetapi hari sudah malam, dan kami jua perlukan rehat dan tidur.

IMG_0313

Agak lama juga di dalam bas tersebut. Ada dalam 15 minit untuk ke terminal antarabangsa. Tiba di sana, saya dapat melihat pelbagai jenis manusia dengan macam-macam jenis rupa. Semuanya sedang menunggu transit untuk ke destinasi masing-masing. Seraya saya teringatkan filem The Terminal yang menceritakan tentang seorang penumpang yang terkandas selama bertahun-tahun di lapangan terbang.

Saya lihat ada orang Malaysia, Indonesia, Arab, dan Mat Salleh juga ramai. Kebanyakan orang Malaysia saya rasa sedang transit dari negara-negara Arab dan gaya mereka seperti mahasiswa dan mahasiswi pengajian Islam. Al-Azhar mungkin. :)

IMG_0013 IMG_0014

Di terminal tersebut ada pelbagai barangan yang dijual secara bebas cukai. Urus niaga di sini boleh menggunakan pelbagai jenis matawang. Saya ingat lagi ketika itu saya mahu membeli makanan di sebuah restoran makanan segera di situ, dan dalam dompet hanya ada matawang Euro/Pound Sterling. Maka, jenuhlah nak mengira dan menghitung nilai matawang.

IMG_0016

Yang pasti, tempat utama yang dituju adalah masjid di sini. Sebenarnya, surau sahaja tetapi mereka menggelarkannya begitu. Masjidnya terbuka dengan ada pintu berkaca. Jadi, orang dari luar boleh lihat apa yang ada di dalam. Cuma, agak pelik juga kerana tempat wuduk tidak disediakan sekali. Kita harus ke tandas yang terletak tidak jauh sedikit untuk mengambil air sembahyang.

Sewaktu malam, memang masjid ini menjadi sasaran untuk melepaskan keletihan. Memang ia dipenuhi orang yang menumpang tidur. Meski pun sudah ada papan tanda mengatakan dilarang tidur, tetapi ramai juga tidur di situ. Termasuklah saya. :)

IMG_0315

Baiklah, begitu sekitar transit dan perjalanan saya di atas pesawat. Sekarang, mahu kembali naik ke kapal terbang pula untuk teruskan perjalanan ke tanah ratu. Boleh klik di sini untuk baca cerita sebaik sahaja ketibaan saya.

Wassalam!

7 komentar:

Khairi Mohd berkata...

pernah ke airport doha sekali. transit sekejap saja. tak sempat nak selongkar byk2.

qatar airways juga sy naik. nice one, pramugari pun berbagai bangsa.

salam ziarah dr gb. :)

Sang Saka berkata...

aaaaaaaaaaa....aku jeles...

Azree Ariffin berkata...

Khairi; Terima kasih atas ziarah. Nantikan entri-entri sambungan kembara saya ya.

Sang Saka; Takyah nak jeles. Nanti ada gak kamu peluang. Hehehe.

NOR AISYAH UMAIRA berkata...

wah azree..catatan awk mengingtkan sy kembali pd pengalaman ini 2,3 tahun yg lepas.sgt rindu! sy pon transit di Doha selama 8jam, odw ke Jordan melawat adik di sana..naik qatar airways memg besh!:)

Azree Ariffin berkata...

Aisyah; Oh ye ke? Seronoknya dapat pi Jordan! Hehe. Masa transit 8 jam tu buat apa? Saya transit 9 jam waktu tu malam, jadi tidur kat surau jer lah.

Fza berkata...

As salam. Mcm mana nak request menu biase ye? Sbb dlm pilihan makanan, semua pun ade jenis2nya. Takde yang normal.

Unknown berkata...

Nanti tlg syer perjalanan yg seterunye ye

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan