Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

14 Januari 2011

Catatan Buat Kalian

Kalian,

Izinkan aku untuk menyisipkan sedikit bicara. Ketika langit bergegar bersama ribut yang mencengkam jiwa, ayuhlah kita duduk sebentar di hujung mimpi, bermuhasabah dan merenung sedalam-dalamnya. Jangan biarkan lara menjadi penghalang buat kita mencari penawar derita.

Lewat pertelingkahan tempoh hari, aku merasakan resah dan gelisah mula menceroboh dada. Entahlah, bagai dihimpit oleh dua buah dinding yang berkaca. Tak berani untuk aku mentamsilkan ia di atas sebuah neraca. Bimbang-bimbang, hilang pertimbangan, hilang juga perhitungan.

Tetapi, sebagai seorang rafik yang mahukan wasilah kita kekal utuh, aku merasakan ada keperluan buatku menitipkan rasa, mencurahkan jiwa. Aku telah menganggap kalian bagaikan saudara kandungku sendiri, saudara dalam tinta dan cinta. Dan katakanlah kepadaku, saudara mana yang mahukan ribut taufan menghancurkan sebuah mahligai milik keluarga?

Benar, yang hitam tetap hitam. Yang putih tetap putih. Keterlanjuran telah dilakukan. Sekali lagi, nyatakanlah, manusia mana yang tak pernah membuat kesilapan? Siapa antara kalian yang tidak pernah berbuat salah dan khilaf? Sebagai seorang saudara, atau setidak-tidaknya teman yang rapat, aku kira kita harus bijak menilai – menjaring antara fakta, emosi, imaginasi, dan fantasi.

Seharusnya, kita lihat semula, di mana letak rasa percaya. Usah melulu dalam membuat apa-apa jua keputusan, bimbang akan memerangkap diri sendiri. Bak kata orang-orang dahulu – malu bertanya sesat jalan. Maka, apalah salah kalau sebuah khabar berita dimulakan dengan siasatan dahulu? Mengapa harus dicanang ke seluruh alam – sehingga gegarnya mencalarkan arang ke wajah kita sendiri.

Dahulu, pernah aku impikan kita bersatu bagaikan keluarga yang bahagia. Bergelak ketawa, bersenda gurau – tetapi masih menjaga batas dan sempadan. Apakah mimpi itu telah hancur berkecai, wahai kalian? Apakah boleh bagi kita untuk mengutip sisa-sisanya bersama untuk ditampal kembali, agar teguh berdiri, meski kesan retaknya tak mungkin akan kita sembunyi.

Adakalanya, kita masih bertindak bagai anak-anak kecil yang masih belum matang. Bertelagah atas perkara yang bukan apa-apa pun pada mulanya. Begitulah, apabila perasaan melampaui pemikiran. Sifat anak-anak mungil yang entah bila dapat disisihkan dari ruang pandangan.

Kalian, aku merayu tolonglah jangan disimbah api ke dalam minyak yang mendidih. Sesekali, ayuhlah kita bersabar – dan biarkan kesabaran itu mendinginkan perasaan yang mungkin dihangatkan oleh bisik durjana. Rengkuh keluar segala sifat dendam dan amarah, buang jauh-jauh ke dalam catatan sejarah.

Biarlah episod duka ini, menjadi pengajaran buat kau dan aku, kita – yang mungkin kadang-kadang alpa tentang hakikat kehidupan. Bermuhasabahlah kita. Sesungguhnya, kalian harus menjadi cermin kepada satu sama lain. Kalau ada yang tersilap, ada pula yang menegur. Itu yang semanisnya.

Maafkan aku kalau catatan ini mengguris jiwa dengan kata-kata yang tersesat makna. Telah sehabis daya, aku cuba menyelindung cerita. Anggaplah sahaja ini sebagai repekan rambang daripadaku. Kalau ada yang memahami, syukur. Kalau tiada, apakan daya. Bacalah dengan seada-ada.

Wassalam.

Azree Ariffin.

1 komentar:

iLhAm.HaFiZ berkata...

Assalamualaikum Azree,

Sahabat, aku mengerti dan memahami apa yang kau rasa saat ini. Aku ingin mengucapkan terima kasih kerana menjadi teman yang boleh diajak berbicara walaupun adakalanya aku juga mungkin terlanjur kata mengusik kamu dengan lawak-lawak plastik aku.

Aku juga pernah mengimpikan perkara yang sama dengan kamu. Walaupun jalannya agak samar dan suram, insya-Allah, jika diizinkan-Nya, akan berlaku juga apa yang kamu impikan.

Teruslah berdoa agar hati-hati yang sarat dengan emosi itu bakal jernih (walaupun mungkin masih keruh) suatu hari nanti. Aku sentiasa doakan yang terbaik untuk segalanya.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan