Menyusuri lembah kehidupan, kita akan bertemu dengan macam-macam ragam manusia. Ada yang begitu, ada yang begini. Begitulah indahnya ciptaan Tuhan yang maha esa. Mampu menciptakan makhlukNya dalam pelbagai jenis dan rupa – lambang kebesaranNya.
Saya suka memerhatikan kerenah mereka yang bergelar manusia, sebab saya dapat melihat tentang hakikat sebuah kehidupan. Kita harus lihat manusia lain dengan mata hati, tanpa rasa prejudis dan kritis – kerana tiap yang terpancar dari perwatakan seseorang itu – pasti ada sejarahnya yang tersendiri.
Dan seperti yang saya katakan sebelum ini, tidak ada manusia yang sempurna. Baik dari segi tingkah dan laku, juga paras dan rupa. Oleh itu, terimalah insan lain seadanya. Setiap kali kita bersua dengan rakan yang baru – saya selalu mengingati diri sendiri bahawa orang itu juga manusia biasa – dengan keupayaan yang berbeza-beza dan harus kita terima dia seadanya.
Apabila berhadapan dengan manusia yang ‘sukar’ – begitulah apa yang selalu saya ingatkan kepada diri sendiri. Meski pun dalam hati ini terasa betapa pedihnya apabila dilayan seperti orang yang tiada perasaan – itu sebenarnya adalah kelemahan dia. Bukan kelemahan saya.
Jangan jadikan kelemahan orang lain untuk menjaga adab dan tatasusilanya sebagai alasan untuk kita sendiri menjadi sedih dan berduka lara. Hal ini sering terjadi apabila saya selalu tertanya-tanya apakah kesalahan dan kesilapan diri sendiri sehingga mereka ‘terpaksa’ membuang budi bahasa mereka ke dalam tong sampah?
Biarlah, mereka dengan kelemahan mereka itu. Kita harus terus kekal menjadi manusia berjiwa besar. Kadang-kadang, sifat mereka itu bukan kerana interaksi dengan kita, tetapi atas sebab kelemahan mereka sendiri – menjaga adab menjaga sifat. Tak perlulah membuang masa untuk perkara yang bukan-bukan.
Mungkin di situlah terletaknya kunci kemaafan, membuka pintu jiwa agar dendam kesumat tidak terperangkap di dalam hati. Jangan pernah meminta orang lain untuk jadi sempurna. Terimalah dia seadanya. Kalau di berbuat onar, sesungguhnya itu kelemahan dia sebagai manusia – yang tak pernah sempurna.
Wassalam.
2 komentar:
bak kata Arwah Yasmin Ahmad "Tiada manusia yang sempurna di dunia kerana kesempurnaan adalah milik Allah" (lebih kurang, can't remember her exact words)
Kak Liza; benar. Jika semua orang mampu memahami hakikat ini, pasti tiada dendam kesumat di dalam hati.
Catat Ulasan