Ketika tiba tanggal 31 Ogos setiap tahun, bergemalah di setiap penjuru tanah air akan laungan keramat “Merdeka! Merdeka! Merdeka!”.
Selalunya, yang paling bersemangat tentulah anak-anak kecil yang begitu teruja akan tibanya hari bersejarah ini. Cikgu di sekolah telah mengajarkan betapa kemerdekaan itu begitu penting untuk kita semua. Kerana kemerdekaanlah, kita semua hidup bebas lepas di tanah bertuah tercinta ini.
Itu cerita dulu.
Zaman kanak-kanak, ketika hati tulus mulus tanpa sebarang prasangka, laungan merdeka itu disambut dengan penuh keceriaan, dalam jiwa yang berkobar-kobar, meski kadang-kadang hati kecil itu tidak mengerti sepenuhnya apa yang berlaku. Diturutkan juga perlakuan orang di sekeliling.
Hari ini, ketika saya berdiri di bumi ini, terdetik sebentar dalam ruangan nurani, akan apakah yang telah berlaku terhadap benih semangat yang telah ditanam di hati anak-anak kecil itu. Apakah telah menjadi sebuah pohon perjuangan yang mekar dan subur di laman ibunda?
Sesekali, saya bertanya sendiri, apakah sebenarnya erti kemerdekaan bagi generasi baru seperti saya dan kamu? Adakah dengan hanya mengibarkan jalur gemilang dan melaungkan kata keramat “Merdeka” sudah cukup untuk membuktikan semangat patriotisme dalam diri? Atau adakah sekadar hanya mengimbau kejayaan masa silam yang mana akan terus melenakan kita dalam angan-angan masa depan?
Merdeka, merdeka, kucari di mana maknamu.
Ada orang kata, merdeka yang sebenarnya adalah apabila kita membebaskan diri daripada segala anasir penjajah baik di jiwa mahupun di minda. Pelbagai tafsiran yang timbul. Bebas juga tidak bererti kita lepas terus angkasa. Bebas terapung di langit biru, meskipun kaki terantai di bumi.
Kalaulah semangat merdeka itu boleh diandaikan seperti api yang membara, saya mengandaikan kini ia adalah api yang cukup malap sekali. Sudah lama kita tidak memarakkan unggun api itu dengan kayu api yang lebih banyak. Hanya mengharapkan kayu api yang telah disediakan oleh bapa-bapa kemerdekaan kita.
Setelah 53 tahun kita mengecap kemerdekaan, kita masih belum boleh mendabik dada akan segala pencapaian dan kejayaan. Seperti yang telah dikatakan oleh mantan Perdana Menteri, perjuangan kita belum berakhir. Malah, tak akan pernah berakhir, selagi kita masih menginjak di bumi kurniaan tuhan.
Mencari semangat merdeka. Entah di barat, timur, utara, mahupun selatan. Tak ada kompas yang boleh memberikan petunjuk arah yang betul. Ia ada dalam hati kita, dalam sanubari kita. Soalnya, sama ada bara api tersebut menyala, malap, atau padam.
Kitalah tuan empunya semangat itu.
1 komentar:
salam, merdeka! merdeka! merdeka!
Catat Ulasan