Tanggal 19 Ogos.
Tarikh keramat yang punya makna yang cukup besar bagi saya, setiap tahun. Pada tanggal inilah pada 23 tahun lepas, saya dilahirkan sebagai putera sulung kepada Papa dan Mama. Bertempat di Pusat Perubatan Pantai, Kuala Lumpur; segalanya bermula untuk seorang insan bernama Azree Ariffin – yang membawa erti “kekuatanku adalah kebijaksanaan”.
Seingat saya, bonda menceritakan bahawa tidak lama selepas kelahiran, saya telah mengalami demam panas sehingga terpaksa disuntik belakang badan saya untuk diambil airnya. Resah dan gundah terbit di hati nenda, yang telah banyak membantu membesarkan saya bersama bonda. Dan, masa pun berlalu.
Alhamdulillah, saya sembuh dan terus menjalani kehidupan seperti kanak-kanak yang lain. Membesar di bumi Kuala Lumpur. Menjadi seorang anak kota yang mengejar sesuatu yang dirinduinya. Rindu kepada angin jagatraya yang tenang dalam rimbun perkasihan.
Dan hari ini, datang kembali saat itu. Saya bukanlah seorang yang menyambut hari ulang tahun kelahiran dengan rasa teruja. Sekadar menerima kehadiran tanggal tersebut dengan rasa syukur dan berterima kasih atas nikmatNya yang telah diberikan sepanjang kehidupan 23 tahun ini. Doa dan rindu sudah cukup membahagiakan hati saya.
Semalam, saya telah dikejutkan dengan sebuah sambutan hari jadi yang amat saya tidak sangka-sangka. Asalnya, hendak keluar minum-minum sahaja dengan seorang teman di tempat biasa. Saya dapat mengagak bahawa ada tentu ada apa-apa yang akan dilakukan. Tapi, tidak mengharapkan apa-apa. Hujan yang lebat turun pun telah melenyapkan pelbagai spekulasi yang dibuat.
Tiba di restoran, saya disambut teman saya itu. Keadaan seperti biasa saja. Saya juga masih belum selesai menenangkan diri setelah basah kuyup terkena hujan. Duduk saja di kerusi, tiba-tiba datang sebuah kek berhias lilin yang dinyalakan dari belakang.
“Happy Birthday to You, Happy Birthday to You, Happy Birthday to Azree, Happy Birthday to You!”
Terharu sungguh! Aduhai saya tak pernah rasa dihargai sebegini. Kali pertama mendapat sambutan kejutan seperti ini. Dari balik dinding, muncul pula dua lagi teman yang datang jauh dari Shah Alam semata-mata untuk meraikan hari lahir saya. Dan senyum pun menguntum, menjadi bunga di hati.
Kepada kalian, saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Kata-kata tidak dapat menggantikan rasa penuh penghargaan saya terhadap ingatan kalian. Anda tahu siapa diri anda!
Sebagai pelengkap kepada Kek Secret Recipe itu, diiringkan sekali dengan donut Big Apple yang dibawakan khas dari Shah Alam. Bersamanya, saya pesan segelas air limau madu.
Segalanya sangat istimewa. Hari yang istimewa, teman yang istimewa, tempat yang istimewa. Restoran Tropika Corner di Taman Melati yang menjadi rumah makan hinggap kami telah memberikan layanan yang terbaik, dan khabarnya mereka begitu sporting berkomplot dengan teman-teman saya untuk menjayakan sambutan mengejut ini.
Oh, kecuali satu.
.
.
.
.
.
Ya, saya telah dibaling tepung. Boleh pula, selepas kami hendak beredar keluar, dengan berpura-puranya, mereka telah buat-buat sibuk, dan masuk ke dalam restoran kembali. Saya pun hairan. Mungkin tertinggal barang agaknya.
Rupa-rupanya, ada agenda yang belum habis lagi! Oh, tak mengapa tak mengapa.
Ada ubi ada batas, ada hari boleh balas. Hahah! Dendam kesumat ini akan saya simpan ke hari lahir kalian ya! Tunggu sahaja!
Esoknya, semasa tarikh hari lahir, saya telah kembali ke rumah, kepada keluarga tercinta untuk berbuka puasa bersama mereka. Dan, inilah kek yang telah dibeli untuk sambutan keluarga. Chocolate Indulgence dari Secret Recipe.
Saya bahagia dan gembira kerana ada orang-orang yang istimewa ini di sekeliling. Terima kasih atas segala sokongan dan perhatian. Kamu semua memang terbaik sungguh!
Saya tinggalkan anda dengan pautan ke entri hari lahir saya tahun lepas : Selamat Hari Lahir ke-22, Azree!
Wassalam!
0 komentar:
Catat Ulasan