Subscribe

25 Ogos 2010

LIRIK : Cerminan Realiti

 

 

CERMINAN REALITI – sebuah manifestasi impian yang menjadi realiti. Inilah lagu pertama yang mana liriknya saya tulis. Terima kasih kepada komposer Rosli Ahmad yang telah memberikan peluang berharga ini untuk bergandingan dalam penghasilan single ini. Beliau saya sifatkan sebagai seorang mentor yang sangat tak lokek berkongsi ilmu dan pengalaman, malah saya merasa begitu senang sekali bekerja dengan beliau. InsyaAllah akan ada lagi bingkisan selepas lagu ini.

Paling menarik, lagu ini ditempah khas untuk dijadikan lagu tema drama “Cermin Dua Muka” yang akan menghiasi kaca tivi di RTM2 pada 4 September akan datang. Sewaktu saya diberikan melodi lagu ini, saya dikhabarkan bahawa lagu ini sebenarnya sudah ada liriknya sendiri, tetapi diberikan amanah kepada saya untuk menulis semula senikatanya dalam bentuk yang lebih santai.

Tuan Rosli Ahmad telah memberitahu saya bahawa penerbit drama ini mahukan sebuah lagu yang santai, meskipun jalan ceritanya tampak sedikit berat. Maka, saya telah menggalas cabaran pertama yang beliau kemukakan, dan terhasillah lirik dengan tajuk asal - “Cermin Hidupku”.

Secara dasarnya, lagu ini saya nukilkan dengan lirik yang mudah dan santai, sesuai dengan konsep yang diminta. Berkenaan cerita pula, oleh kerana saya masih kabur berkenaan drama tersebut, maka saya putuskan untuk menghasilkan sebuah senikata yang umum, tetapi masih pada landasan gerak cerita “Cermin Dua Muka”.

Ditambah pula dengan vokal gemersik Intan Nor Saina, saya amat harapkan agar bingkisan pertama ini akan menghiburkan para pendengar. Berikut saya perturunkan lirik lagu ini untuk tatapan anda semua.

CERMINAN REALITI
Lagu : Rosli Ahmad
Lirik : Azree Ariffin

Artis : Intan Nor Saina


Mengimbau waktu silam
Kenangan tak terpadam
Cerita kehidupan.


Segala yang berlaku biar berlalu
Jalan berbatu penuh liku.


Kini datang menjelma di depan mata
Bagai membawa mimpi lama
Kau cerminan cahaya dari tirai semalam
Meski kadang tampak berbalam.


Walau apa pun halangan yang menanti
Sinar mu terpancar di hati
Dalam pandangan kan bersemi
Selamanya ‘kan abadi.
Kau dan aku pun bersatu
menggapai impian indah itu.


Di sini kuberdiri
bersama teguh di sisi
cerminan realiti.

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan