Alahai, rupanya saya belum lagi habiskan berblog mengenai cerita Kembara Eropah 2010. Sebelum saya semakin lupa ingatan, mari kita sambung pengembaraan kita. Kalau sebelum ini, saya sudah ceritakan mengenai perjalanan saya dari Manchester ke London, sekarang tibalah ke saat yang dinantikan, penerokaan ke kota yang selalu disebut orang seantero dunia, London!
Sebaik sahaja menjejakkan kaki di London, kami terus meluru mencari tempat penginapan kami. Butirannya telah saya ceritakan sebelum ini. Maka, tibalah kami ke hotel yang dicari. Hotel biasa sahaja sebenarnya. Tidak mahu bermewah-mewah sangat, sebab bilik itu pun sekadar tempat mahu melepaskan lelah setelah seharian berjalan menjejaki tempat orang.
Hotel itu namanya Excelsior Hotel. Sebenarnya, sepanjang blok ini pun penuh dengan hotel di bawah jagaan pemilik yang sama. Tapi namanya sahaja yang berbeza-beza. Nak kata hotel pun, kemudahan asas sahaja yang ada, tapi boleh tahan untuk perantau bag-packers.
Di depan hotel ini, ada sebuah taman yang dinamakan Argyle Square Gardens. Apa yang saya perhatikan gelagat orang putih ini, mereka suka sangat melepak di taman-taman. Kalau anda perhatikan mereka tergolek-golek di atas rumput sambil membaca buku atau pun berehat-rehat sesama yang tercinta, itu memang satu perkara yang biasa.
Pernah, saya cuba juga buat golek-golek macam tu, tapi tiba-tiba teringat yang anjing selalu lalu-lalang di taman-taman ini. Bingkas saya bangun. Alahai, tapi seronok juga bermalas-malasan begitu. Lagi satu, saya perhatikan yang rumah mereka tidak berpagar, tapi ironinya taman mereka pula yang berpagar. Jaga benar mereka.
Kalau hendak pergi bersiar-siar di London sebagai seorang pelancong yang baru pertama kali datang, eloklah kalau anda sewa bas Hop On Hop Off – The Original Tour. Di London, ada beberapa syarikat bas begini, tapi bas ini yang paling popular sekali.
Konsepnya sama sahaja seperti di KL, tapi bezanya bas di London ini tiada bumbung di tingkat atas. Jadi, kalau anda pergi melancong di musim panas, kena tahan sedikitlah terik mentari tu.
Anda akan diberikan sebuah alat pendengar, di mana anda boleh sambungkan ke suis yang ada di setiap tempat duduk di dalam bas untuk mendengar ulasan mengenai setiap tempat yang dikunjungi.
Oh, sebelum tu, tiket untuk bas ini anda boleh beli di setiap tempat perhentian, kerana akan ada pegawai-pegawai mereka di sana yang akan menguruskan pembayarannya. Malah, boleh juga melakukan transaksi menggunakan kad kredit. Saya sudah lupa berapa harganya, tapi di London ini, anda hanya boleh beli tiket untuk 1 hari. Kalau mahu tiket untuk hari kedua, perlu beli sekali lagi pada hari berikutnya.
Kelebihan duduk di tingkat atas bas ini adalah kita boleh menangkap gambar dengan lebih selesa dan mudah, disebabkan tiada apa yang dapat menghalang lensa kamera daripada menangkap pemandangan bangunan-bangunan sekitar. Sewaktu pagi itu, cuaca masih lagi molek. Jadi, banyak gambar yang telah kami ambil sepanjang perjalanan melintasi kota London.
Mari kita lihat antara gambar-gambarnya :
Begitulah lebih kurang saat-saat pertama saya menginjak langkah di bumi London. Selepas ini, akan saya ceritakan pula lawatan-lawatan ke tempat-tempat pelancongan di sana.
Wassalam!
0 komentar:
Catat Ulasan