Asalnya saya sepatutnya menjadi Penyelaras Program bagi acara ini. Sudah bermesyuarat dan memulakan kerja-kerja awal pun. Hajatnya, hendak menyumbang sesuatu kepada Persatuan Silat Cekak Ustaz Hanafi, yang mana saya merupakan ahlinya. Ahli tak aktif sebenarnya. Saya dah lama tak turun training latihan silat. Belajar pun belum lagi habis. Tak apa, itu cerita kemudian.
Nak dijadikan cerita, setelah menerima tugasan untuk Wajadiri Nasional ini, tiba-tibalah saya mendapat perkhabaran bahawa UIAM juga terpilih untuk menjadi penganjur Pesta Pantun MAKUM 2010 – yang mana dah lama saya nantikan. Maka, waktu itu bermulalah dilema saya. Akhirnya, saya memilih untuk menjadi Pengurus Program Pesta Pantun MAKUM 2010 dan meletak jawatan sebagai Penyelaras Program dalam Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak Hanafi 2010.
Tarikh yang terlalu dekat membuatkan saya terpaksa mengorbankan salah satunya kerana bimbang tidak dapat memberikan tumpuan kepada keduanya. Program Wajadiri berlangsung pada 31 Julai, manakala Pantun pula bermula 6 Ogos. Seminggu bezanya.
Saya dan Fiza – gandingan pengacara untuk Wajadiri 2010.
Tapi, nak mengelak macam mana pun, akhirnya saya pun dengan tak sengajanya, termasuk juga di dalam AJK Wajadiri pada saat-saat akhir, yakni kurang seminggu sebelum acara berlangsung. Oleh sebab mereka menghadapi masalah mencari seorang juruacara lelaki, maka saya pun menjadi bidan terjun dengan berat hatinya (padahal memang mahu!) menawarkan diri untuk membantu.
Ini kali pertama saya mengacarakan sebuah program bertaraf kebangsaan. Satu pengalaman yang baru untuk saya yang hanya setahun jagung berada dalam bidang juruacara. Hati tidak terlalu berdebar-debar sangat, sebab program ini bersifat formal. Maksudnya, saya hanya perlu membaca skrip pengacaraan tanpa perlu menokok tambah apa-apa dalam percakapan.
Saya telah digandingkan dengan Fiza, seorang teman dari Kulliyyah Sains Kemanusiaan dengan major Sains Politik. Saya sangat senang sekali bekerjasama dengan beliau kerana beliau sangat cekap dalam membuat kerja dan merupakan seorang pengacara yang begitu berpengalaman. Beliau bertanggungjawab untuk skrip, kerana saya kesuntukan masa untuk mengedit atau juga menulis skrip yang baru.
Cabarannya, kami sangat-sangat kabur akan perjalanan program. Saya rasa, inilah pengalaman pertama kali yang saya sangat tak bersedia untuk menjadi juruacara, di mana, banyak maklumat penting saya dapat pada saat akhir. Sungguh kelam kabut. Bayangkan, malam sebelum acara, softcopy skrip telah terpadam dengan tak sengaja dek kerana virus, dan pagi esoknya pula, kami menghadapi masalah untuk mencetak skrip itu. Macam-macamlah berlaku.
Oh, perlu juga saya nyatakan, tetamu kehormat untuk acara ini adalah Speaker Dewan Negara! Kontinjen juga datangnya dari pelbagai IPT dan sekolah-sekolah seluruh negara, termasuklah pusat-pusat latihan. Jadi, protokol itu sangat penting.
Kami mengacarakan dua sesi, iaitu majlis perasmian pada waktu pagi dan majlis penutup pada waktu petang. Untuk pengetahuan, sewaktu sesi pembukaan, kami belum siap pun skrip untuk penutup. Boleh pula tu, saya buat kerja pantun sewaktu antara kedua-dua sesi di pejabat bahagian pembangunan pelajar, sementara Fiza bertungkus-lumus menyiapkan skrip. Aduhai, nak buat macam mana, tersepit antara dua tanggungjawab.
Alhamdulillah, meski banyak dugaan dan kelam-kabut di saat-saat akhir, selesai jugalah kami langsaikan tanggungjawab yang telah diamanahkan. Penat itu, memang penat. Saya tidur hanya dua jam sahaja lantaran mahu menyiapkan skrip yang telah terpadam. Tapi, segalanya berbaloi. Yang penting, adalah pengalaman yang sangat berharga – yang tak mungkin akan dapat saya peroleh dengan cara lain.
Oh, cerita selepas habis program belum lagi habis. Dalam penat-penat, boleh pula saya pergi UKM pada waktu malamnya. Untuk apa? Nanti kita sambung cerita!
Wassalam!
0 komentar:
Catat Ulasan