Apa yang ditunggu telah pun berlalu. Segala jerih-perih yang dilalui selama hampir setengah tahun perancangan kini telah dinyatakan melalui kerjasama yang padu oleh para generasi baru pewaris budaya bangsa. Pesta Pantun MAKUM 2010 telah meninggalkan kenangan manis yang bukan sedikit kepada saya dan juga teman-teman seperjuangan.
Adalah menjadi impian saya untuk mengembalikan zaman kegemilangan budaya berpantun di kalangan para mahasiswa IPTA yang saya percaya semua punya minat yang mendalam terhadap warisan bangsa ini. Namun, mungkin kerana beberapa masalah teknikal, Pesta Pantun MAKUM yang telah diadakan seawal tahun 1997 tidak konsisten dari segi pelaksanaannya. Sekejap ada, sekejap tak ada.
Kerana itu, saya beria-ia untuk melaksanakan Pesta Pantun MAKUM 2010 di UIAM. Melihat kepada perkembangan terkini, tidak banyak IPTA yang sanggup untuk menganjurkan pertandingan ini lantaran kurang kepakaran dan kemahiran. Mungkin benar, bagai dikata.
Hendak menganjurkan pertandingan pantun tidaklah semudah menganjurkan sebuah pertandingan nyanyian atau pun tarian yang hanya memerlukan satu sesi persembahan sahaja, kemudian hakim membuat pengadilan dan setelah itu boleh tahu siapa pemenangnya.
Tidak, sama sekali tidak sedemikian. Pertandingan pantun ini, umpama sebuah perlawanan bola sepak yang menggunakan konsep liga, yang mana kalau ada sebarang perubahan dari segi bilangan peserta, pasti akan mempengaruhi format pertandingan, yakni dari segi kumpulan, peringkat, dan bilangan sesi pertandingan.
Oleh sebab kurang kefahaman mengenai format ini, maka selalulah berlaku salah faham ketika sesi taklimat pesta-pesta pantun terdahulu, tidak semestinya di bawah anjuran MAKUM. Yang lebih bahayanya, kadang-kadang salah faham ini boleh mengundang pergaduhan! Sangat sedih jika ia benar-benar berlaku, lantaran ia bukanlah sebahagian daripada semangat pantun hatta MAKUM sekali pun.
Atas sebab demikian, Pesta Pantun MAKUM 2010 telah saya rencanakan dengan tujuan utama untuk mengeratkan silaturahim antara pemantun-pemantun dari pelbagai universiti. Pertandingan itu sebenarnya letak duduknya adalah nombor dua. Yang pertama adalah persahabatan dan perjuangan untuk membudayakan seni warisan berpantun di kalangan generasi muda.
Antara pembaharuan yang saya lakukan adalah dengan memperkenalkan Bengkel Pemantapan Pantun yang mana di dalamnya terkandung pengisian yang berupa ilmu berguna berkenaan budaya berpantun. Malah, bengkel yang dikendalikan oleh Tuan Noorhisyam Razali ini juga telah menyelitkan unsur ice-breaking yang mana adalah sangat penting untuk para pemantun dari pelbagai universiti diberikan peluang untuk berkenalan.
Dalam situasi pertandingan pantun yang tegang dan penuh tekanan, saya kira adalah tanggungjawab penganjur untuk memikirkan cara untuk merapatkan hubungan antara peserta. Saya sendiri pernah menjadi pemantun, dan saya faham situasi pertandingan itu kadang-kadang membuatkan pemantun tidak memberikan tumpuan terhadap merapatkan hubungan dengan IPTA lain – sedangkan, inilah masa untuk meluaskan jaringan!
Keduanya, sesi perlawanan pantun persahabatan! Oh, saya suka sangat sesi ini. Dari dulu, saya mendengar cadangan untuk menyatukan pemantun dari pelbagai universiti dalam satu pasukan, tetapi belum lagi melihat ianya dilaksanakan.
Di Pesta Pantun MAKUM 2010, impian ini akhirnya tercapai apabila 6 pasukan yang tidak layak ke separuh akhir, diminta untuk menghantar seorang wakil untuk dipisahkan menjadi 2 kumpulan yang berbeza. Waktu inilah kita dapat melihat betapa pemantun-pemantun ini benar-benar bersatu! Saya sangat gembira melihat perkembangan ini.
Begitulah antara bingkisan-bingkisan awal berkenaan Pesta Pantun MAKUM 2010.
4 komentar:
sangat kagum dengan idea pantun persabahatan.. tak pernah lagi diadakan di tempat2 lain.. tanniah!
@an-nidxam Syukur kalau semua orang suka. Lepas ni, boleh la kita buat di pesta-pesta pantun yang seterusnya. Yang penting, ukhwah antara universiti dapat terjalin dengan erat! :)
tahniah azree.. meneruskan kegemilangan pesta pantun makum yang berprestij..
Salam, encik azree...sy maryam dr UiTM Shah Alam. Kolej sy merancang untuk mengadakan pertadingan pantun. Perlawanan akan dibuat antara kolej2 kediaman dan ats nasihat warden sy, beliau turut ingin membuat perlawanan antara Universiti. Jadi, disini sy ingi bertanya bgaimanakah encik azree mengadakn prgram ini? dan apakah aspek2 yg sy perlu ambil kira untuk melaksanakan program ini..
Catat Ulasan