Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

28 Julai 2011

Peraduan Cipta Lirik AF9 : BAGAIMANA

lirikakademifantasia 

Semasa berlangsungnya rancangan Akademi Fantasia 9 di Astro tidak lama dulu, mereka ada menganjurkan sebuah pertandingan menulis lirik iaitu Peraduan Cipta Lirik AF9 melalui radio Era FM.

Peserta dikehendaki menulis lirik bagi melodi yang telah diberikan di laman sesawang Era FM yang diciptakan khas oleh komposer Kuncidemak atau nama sebenarnya Rudi Muhammad. Melodi yang dibuat khas untuk salah seorang peserta akhir Akademi Fantasia ini akan dinyanyikan pada malam kemucak konsert.

Lagu ini telah diberikan kepada Nera AF9 untuk menjadi single pertama beliau dengan tajuk Hatiku Milikmu yang mana liriknya ditulis oleh pemenangnya, Siti Nurulain.

Saya juga turut menyertai pertandingan ini, tetapi nampaknya belum ada rezeki lagi untuk memenanginya. Tapi, saya menganggap pengalaman menulis lirik lagu ini sebagai satu latihan yang bagus untuk mengkaji karya yang bagaimana dimahukan oleh mereka dalam aliran komersil.

Berikut diperturunkan karya lirik lagu saya yang bertajuk BAGAIMANA.

Pencipta Melodi : Kuncidemak

Penulis Lirik : Azree Ariffin


BAGAIMANA


Verse 1
Tak pernah aku terfikir
Sewaktu saat engkau hadir
Hidup yang gelap gelita
Bak bercahaya


Aku manusia biasa
Tak berdaya melawan rasa
Ketika jiwa bergetar
Kau pergi tanpa khabar


*Chorus
Bagaimana harus kulupakan cinta
Bagaimana harus kubutakan mata
Andai senyum wajahmu terbayang
di mimpi malam-malamku.


Bagaimana harus ku menyimpan rindu
Bagaimana harus ku menahan kalbu
Dari memahat harapan di langit
angan-anganku.


Verse 2
Hidup penuh persoalan
Kadang datang tanpa jawapan
Mungkin tertulis dirimu
Bukan untukku


Namun sesungguhnya aku
Takkan pernah jemu menanti
Palingkanlah wajahmu sayang
Aku masih di sini


ulang *Chorus

20 Julai 2011

Menulis Catatan Kembara Luar Negara

Bagi yang belum tahu, saya sekarang sedang berada di luar negara. Lebih tepatnya di Manchester, United Kingdom untuk menghadiri majlis graduasi adik saya, Ameer. Seperti tahun lepas, saya ke sini dalam tempoh dua minggu.

Cuma, bezanya kali ini saya ke sini bersama Bonda dan Aqil, selain Ayahanda. Jadi perjalanan kali ini tentu lebih meriah, walaupun agak releks sedikit kerana tidak begitu banyak tempat yang dikunjungi berbanding tahun lepas.

Asalnya saya tidak merancang pun untuk ikut Ayahanda dan Bonda ke sini. Memang saya sudah set dalam pemikiran saya bahawa saya tidak ikut dan sudah buat perancangan lain sewaktu mereka ke Manchester.

Tapi, entah bagaimana pula ada perkhabaran gembira yang membelai lembut di telinga saya bawaha saya boleh pergi pula. Aduh, memanglah bak apa yang orang kata sebagai bidan terjun. Tetamu saat akhir.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, alhamdulillah saya bersyukur sungguh kerana diberikan rezeki dan peluang untuk melawat tempat orang. Saya tahu ramai yang tidak berpeluang seperti saya, jadi itu adalah satu nikmat yang Allah beri yang harus saya hargai sangat dengan. Hargai, bukan sekadar menyebut sahaja. Tetapi melakukannya dalam perbuatan.

Dan seperti biasa, agenda wajib yang dilakukan bila saya ke tempat-tempat seperti ini sudah pastinya adalah dengan merakamkan pengalaman itu dalam catatan entri di blog kesayangan saya ini. Bukan untuk menunjuk-nunjuk, tetapi saya rasa sangat penting untuk mendokumentasikan saat-saat yang entah bila akan datang lagi ini, supaya dapat menjadi kenangan bila sudah besar (bukanlah bermakna sekarang ini saya masih budak kecil).

Sebenarnya nak menulis catatan entri perjalanan ini memang leceh. Percayalah, sebab itu sampai sekarang saya tak habis-habis lagi tulis entri dalam siri Kembara Eropah 2010. Selain daripada liat dan malas (ya, saya mengaku), yang renyahnya apabila saya harus menyusun gambar-gambar dan menyuntingnya supaya entri ini menjadi lebih menarik. 

Apa yang silapnya tahun lepas adalah saya tidak membuat sebarang catatan khusus semasa pergi mengembara. Jadinya, semasa menulis, saya menghadapi kepayahan untuk memerah kembali ingatan untuk mengeluarkan kembali kenangan tersebut. Sebab itu, tangguh dan tangguh – dan sehingga setahun selepas itu entri itu pun tak siap lagi. (Kembara di Itali, Scotland dan Thailand masih belum habis ditulis)

Oleh sebab itu, kali ini saya ingin buat sedikit perubahan. Dalam perjalanan ke luar negara kali ini, saya bertekad untuk membuat beberapa langkah agar perjalanan ini dapat didokumentasikan dengan baik. Antarannya :

  • Menulis draf entri blog. Silapnya saya dahulu adalah saya cuba untuk buat sebuah entri penuh terus siap dengan gambar-gambar – dan ini sangat memakan masa di luar negara dan semangat menulis kian luntur. Jadi, saya sekarang akan tulis siap-siap draf. Tak perlu sempurna, asal semua isi pentingnya ada. Ala-ala nak menulis rangka karangan.
  • Bawa fail dokumen penting. Walaupun Ameer yang menguruskan semua tempahan, tapi saya rasa lebih praktikal jika saya membawa ring file yang mana saya sudah letakkan folder-folder untuk destinasi yang berbeza, yang mana dalamnya saya sudah letak senarai tempat menarik yang boleh dikunjungi, selain maklumat penting lain seperti peta, waktu solat, dan macam-macam lagi. Saya suka guna ring file sebab saya boleh tepuk segala brosur, tiket dan pelekat yang saya dapati sepanjang perjalanan yang boleh dijadikan sebagai scrap book juga!
  • Ringkaskan catatan. Satu perkara yang saya perasan pada catatan entri tahun lepas adalah saya cuba untuk tulis segala benda termasuk perkara-perkara yang tak begitu signifikan. Kali ini, saya berzama untuk memadatkan entri saya, dan kalau benda itu tak perlu diblogkan, maka saya tak akan bazirkan masa untuk tulis. Takkan semua benda kita nak paparkan kepada umum, kan? Di sinilah teknik rumusan yang dipelajari semasa ambil subjek Bahasa Melayu SPM harus digunakan sebaik mungkin!
  • Video perjalanan. Orang cakap, a picture speaks a thousand words. Tapi, kalau video, sudah pasti ia menceritakan berjuta-juta lemon perkataan! Oleh itu, saya ada rakamkan beberapa snippet perjalanan saya yang akan saya uploadkan dalam youtube dan lekatkan di entri-entri blog yang berkenaan.

Rasanya setakat itu dahulu. Saya rasa tiba-tiba blog ini dah bertukar menjadi travel blog pula. Betullah tu, life is a journey – a travel. Saya dah siapkan entri draf perjalanan setakat ini. InsyaAllah bila balik nanti saya akan kemaskini perlahan-lahan. Yang penting, catatannya sudah didokumentasi dengan baik.

Jumpa lagi!

06 Julai 2011

Penerbangan EasyJet ke Itali

Entri Sebelumnya : Selamat Tinggal, Geneva

Okay kita sambung balik cerita Eropah selepas beberapa hari ia tergantung. Maaflah sebab sepanjang hujung minggu kan saya pergi ke Perlis, jadi tak dapat cari masa untuk kemaskini. Lagi pula tak sempat nak siapkan entri berjadual. Jadi, jom kita sambung!

image

Kami menaiki penerbangan tambang murah EasyJet untuk dari Geneva ke Rome. Penerbangan kami berlepas lebih lewat dari apa yang dijadualkan. Mujur kelewatan itu tidak menjejaskan apa-apa perancangan kami di Rome sebab kami tidak mengejar waktu.

image

Beginilah keadaan dalam kapal terbangnya. Tempat duduk yang disusun tiga-tiga. Kebanyakan penumpang saya andaikan adalah dari Amerika Syarikat, sebab memerhatikan dari tutur kata yang berslanga sana. Seingat saya, tidak ada apa sangat yang terlalu bagus atau tidak bagus. Untuk penerbangan murah, sudah cukup memadai. Yang penting, sampai ke destinasi.

image

Apa yang paling saya ingat tentang penerbangan ini adalah pemandangan ini! Ya, ketika kami melintasi kawasan pergunungan Switzerland, saya dapat melihat pergunungan Swiss Alps yang sangat terkenal itu. Cantik sangat, kan? Lebih-lebih bagi saya yang tak sempat untuk tengok salji ketika berada di Eropah. Memang kagum seketika.

image

Penerbangan dari Geneva ke Rome mengambil masa lebih kurang 2-3 jam, kalau tak silap sayalah. Jadi, tidak ada makanan yang dihidangkan di pesawat kecuali sebuah mini bar yang mana dijual snek-snek dan makanan ringan. Seperti AirAsia, kita harus membeli makanan. Tetapi waktu ini, kami tak beli apa pun, sebab tak lapar dan takut-takut juga makanan yang dijual tidak halal. Jadi, baiklah berwaspada.

image

Ketika sampai di lapangan terbang Rome, langit sudah pun gelap. Waktu itu, keterujaan sampai ke negara baru seolah-olah sudah mulai menurun. Yalah, bayangkanlah ini negara 5 yang dilawati dalam siri kembara ini (kalau dihitung sekali transit di Dubai), maka segalanya masih sama saja – begitu asing di pandangan mata.

Ketika di Rome jugalah saya mengalami sindrom homesick. Hati ini teringat-ingat kepada tanah air dan juga Pesta Pantun MAKUM yang mana saya menjadi pengurus programnya ketika itu. Bagaimana pun, Rome memang satu kenangan indah. Nantikan ceritera Rome dalam entri seterusnya!

04 Julai 2011

Mari LIKE Gambar Busana Pemantun di Facebook Persantun

Assalamualaikum!

Sebelum kita teruskan dengan cerita tentang kembara Eropah, saya ingin minta tolong sedikit kepada pembaca-pembaca saya. Persatuan Penggiat Pantun dan Puisi (PERSANTUN) sedang mengadakan sebuah pertandingan iaitu Pertandingan Gambar Busana Pemantun di laman Facebook mereka.

Saya kira, ini adalah satu pertandingan yang sangat menarik, sebab dapat menyatukan para pemantun, selain melihat sejauh mana para pemantun kita bergaya dengan busana istimewa mereka.

Cara pertandingannya mudah sahaja. Sesiapa yang mana gambarnya mendapat ‘like’ yang paling banyak, akan memenangi pertandingan. Mudah, kan? Tak perlu keluarkan duit walau satu sen pun.

Saya juga tidak ketinggalan menyertainya dan telah menghantar tiga penyertaan iaitu Peserta 035, Peserta 036, dan Peserta 037.

Oleh yang demikian, saya hendak minta jasa baik kalian untuk cari laman Facebook “Persantun” dan kemudian LIKE page berkenaan supaya dapat mengundi. Seterusnya, buka album gambar, dan cari ketiga-tiga gambar saya yang tertera seperti di bawah.

Anda boleh like gambar-gambar lain juga, tapi pastikan like gambar saya, ya?

Terima kasih. Moga kita sama-sama dapat memeriahkan pertandingan ini!

image

image

Temasya Pantun Intervarsiti Tiga Penjuru (Tritun) 2007 – MMU Cyberjaya

image

Temasya Pantun Intervarsiti Tiga Penjuru (TRITUN) 2007 – MMU Cyberjaya

image

Pesta Pantun MAKUM 2007 – UIAM Gombak

01 Julai 2011

Jemputan Ke Majlis Perkahwinan

Ketika anda membaca entri ini, saya sepatutnya sudah selamat sampai di Kangar, Perlis untuk menghadiri majlis perkahwinan kakak kepada kawan baik saya, Apiz iaitu Kak Tasnim dengan pilihan hatinya.

Entri ini telah lama saya tulis dahulu, kerana saya tahu ketika di Perlis, pasti sukar untuk mencari masa untuk menulis blog. Lebih baiklah saya siapkan bekalan awal-awal lagi untuk para pembaca semua. Sekurang-kurangnya bila berada di perantauan, dapat berehat seketika dari rutin biasa.

Bercerita tentang majlis perkahwinan, boleh dikatakan saya sangat-sangat jarang menghadirinya. Entah kenapa, sebab kalau dibandingkan dengan Apiz apabila dia berada di Perlis, boleh dikatakan hampir setiap minggu pasti ada sahaja kenduri-kendara.

Sampai saya katakan kepada Apiz, “Wah, kamu semua memang festive people, ya!”.

Setakat ini, saya memang jarang mendapat jemputan secara personal. Mungkin kerana sebelum ini kebanyakan kawan-kawan saya masih lagi belum di takah perkahwinan.

Malah, ibu bapa saya juga jarang membawa anak mereka ke majlis kahwin, mungkin kerana jemputan hanya untuk suami dan isteri atau mungkin sahaja memang saudara-mara saya jarang buat kenduri-kendara. Kalau ada pun, selalu berhalangan.

Namun, saya sedar bahawa tak lama lagi, pasti semakin banyak kad jemputan akan menjengah tiba. Rakan-rakan perjuangan di sekolah dan universiti sudah hampir kesemuanya kini melangkah ke alam pekerjaan, dan pasti ada antara mereka sudah merancang untuk ke jinjang pelamin pula.

Sedikit demi sedikit, soalan cepu gangsa pasti akan timbul jua.

“Bila kamu hendak kahwin?”, “Dah ada pasangan ke?”.

Oh, saya pasti bagi kebanyakan dari kita, soalan begini memang hendak saja dielak, tetapi apa kan daya, orang bertanya atas niat yang baik, bukan kerana ingin menyibuk. Maka, jawab sahajalah dengan sopan dan santun. :)

Tapi, kalau sudah namanya jemputan, adalah tanggungjawab kita sebagai seorang Muslim untuk berusaha sebaik mungkin untuk menghadirinya, selagi tidak berhalangan. Bak kata orang, kalau kita tak pergi majlis orang, nanti siapa pula nak hadiri majlis kita, yer tak?

Baiklah, sebelum saya mula merepek lagi, jemputlah mendengar sebuah lagu baru dari rakan saya, Abang Ihab Ismail yang baru sahaja mengeluarkan sebuah album mini pertamanya iaitu Beyond The Norm. Saya sudah beli album ini dan memang sangat berbaloi. Anda boleh ketahui lebih lanjut mengenainya di lama facebook Ihab : Beyond The Norm.

Dengarkan single pertamanya : Pengantin Baru. Semoga terhibur!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan