Subscribe

12 November 2012

Sejuta Impian DEKMAL

413749_417443464973127_1129063617_o

Tak pernah pula sebelum ini saya terfikir akan menghadiri ujibakat dalam apa jua rancangan realiti televisyen, kerana saya ini tidaklah ada bakat dalam menyanyi, berlakon, apatah lagi memasak, tetapi apabila saya terlihat di kaca televisyen bahawa rancangan SEJUTA IMPIAN akan mengadakan sesi ujibakat, saya terus merasa teruja kerana pernah melihat seorang junior MPR, Mun Kit yang beraksi di rancangan berkenaan dengan proposalnya untuk membuat kelas penulisan kreatif.

Kebetulan masa itu, saya baru sahaja dilantik menjadi Penolong Setiausaha Kelab Deklamator Malaysia (DEKMAL), saya melihat ia sebagai satu peluang yang baik untuk kami mendapat bantuan dana dan juga promosi bagi mengembangkan lagi nama DEKMAL dan seni deklamasi puisi itu sendiri.

SEJUTA IMPIAN adalah sebuah rancangan realiti yang menyalurkan geran dari Dana Belia 1Malaysia kepada para belia tanah air untuk membuat satu projek komuniti yang memberi impak positif kepada pembangunan negara. Menurut laman sesawang Dana Belia :

Dana Belia 1Malaysia adalah platform untuk golongan belia menyalurkan bakat dan tenaga mereka ke arah pembangunan belia di negara ini. Dana Belia menawarkan peluang kepada para belia untuk merealisasikan impian mereka, membina aspirasi yang selama ini menjadi kebanggaan: sebuah negara yang menyatukan rakyat tanpa mengira darjat dan kaum, serta maju sebagai rakyat yang bersatu padu.

Setelah mengusulkan program ini kepada AJK DEKMAL, kami telah sebulat suara bersetuju dan saya telah diamanahkan untuk merangka satu kertas kerja untuk dibentangkan kepada para panel penilai SEJUTA IMPIAN pada hari ujibakat nanti. Alhamdulillah, semuanya begitu teruja dengan perancangan ini, terutamanya setelah saya tunjukkan kepada mereka semua video Sejuta Impian musim pertama di YouTube.

SEJUTA IMPIAN4

Tiba hari ujibakat, seawal pukul 7.30 pagi lagi saya telah sampai di perkarangan Sri Pentas, tempat di mana ujibakat bakal berlangsung. Saya tidak keseorangan, kerana juga ditemani oleh otai-otai hebat di arena deklamasi puisi tanah air iaitu Tuan Leftenen Kolonel Radzi Hamid, johan Sayembara Deklamasi Puisi Kemerdekaan 2008 yang juga merupakan Presiden DEKMAL. Tak dilupakan juga Puan Haryani Harun, deklamator hebat yang acapkali ke pentas akhir SDPK mewakili Kuala Lumpur, yang kini adalah bendahari DEKMAL.

Waktu ini, Puan Haryani baru sahaja pulang dari tanah suci setelah mengerjakan ibadah umrah,tetapi tetap menggagahkan diri untuk datang meski pun penatnya belum hilang. Ya, saya merasa begitu terharu kerana mendapat sokongan dan dokongan oleh orang-orang yang hebat ini, dan percaya deklamator di luar sana juga menyokong usaha kami untuk membawa seni deklamasi ke pentas arus perdana. 

Pintu Sri Pentas dibuka kepada kami pada pukul 10 pagi. Waktu itu, saya melihat sudah ramai juga orang yang datang ujibakat, ada yang datang dengan pakaian seragam dan sama warna, menunjukkan mereka adalah dari satu persatuan. Kalau menurut video Youtube yang saya tonton mengenai ujibakat tahun lepas, ia diadakan secara santai di pekarangan laman Sri Pentas, rupa-rupanya tahun ini konsepnya berubah pula.

SEJUTA IMPIAN2

Sampai di Sri Pentas, kami semua telah diminta untuk mengisi borang dan mengepilkannya dengan kertas kerja yang telah kami buat, sekiranya ada. Setelah itu, kami semua ditempatkan di sebuah auditorium yang mana telah dipancarkan sedutan-sedutan rancangan Sejuta Impian dari musim pertama. Sementara itu, kami terpaksa menunggu sehingga pukul 12 lebih untuk para urus setia menapis borang kami, agar penyertaan yang layak dapat maju ke peringkat seterusnya.

Alhamdulillah, penantian kami berbaloi kerana apabila diumumkan, kertas kerja DEKMAL telah berjaya ke peringkat seterusnya, yang mana kami semua diminta untuk ke tingkat atas Sri Pentas dan bersedia untuk ke peringkat ujibakat yang seterusnya iaitu sesi pembentangan!

Ketika waktu inilah baru saya tahu hanya seorang sahaja wakil dibenarkan untuk bercakap bagi setiap penyertaan. Ia sebenarnya cukup menghampakan saya sebab kami sudah merancang untuk Tuan Radzi dan Puan Haryani untuk membuat sedikit persembahan deklamasi puisi, manakala saya akan membuat pembentangan, tetapi sayangnya hanya seorang sahaja dapat berucap.

SEJUTA IMPIAN3

Maka, saya pun bersedialah untuk membentangkan projek DEKMAL kepada para panel penilai yang terdiri daripada :

  1. Encik Hizwani Hassan (1Malaysia Development Corporation)
  2. Puan Tengku Rozidar Tengku Zainol Abidin (Nineteen O One Sdn Bhd)
  3. Encik Norman Abdul Halim (KRU Capital)
  4. Encik Roshan Thieran (Leaderonomics)

Sebelum setiap peserta masuk ke bilik pembentangan, kami akan ditemuramah di luar untuk menerangkan serba sedikit mengenai impian masing-masing dan perasaan kami. Saya juga cuba untuk mengingati serangkap dua bait-bait puisi yang pernah dihafal kerana bimbang pula nanti juri akan minta saya untuk memberi contoh deklamasi puisi.

SEJUTA IMPIAN

Dan saya pun melangkah masuk ke bilik pembentangan dengan penuh debaran. Setiap pergerakan dirakam oleh kamera, dan disimbahi cahaya dari lampu limpah yang bertujuan memberi pencahayaan yang lebih baik agar sesuai untuk siaran TV. Kami diberikan 5 minit, tidak lebih dan tidak kurang untuk mempersembahkan projek impian kami. Masa itu tidaklah cukup sebenarnya untuk saya memberikan intipati keseluruhan, tetapi cukup sekadar memberi satu mukadimah dan gambaran pengenalan kepada para penilai.

Seperti yang dijangka, semasa saya membuat mukadimah memperkenalkan program impian DEKMAL, salah seorang juri, Encik Hizwani Hassan telah meminta saya membacakan puisi, dan saya tanpa berfikir panjang telah membaca puisi yang sempat saya hafal “Di Bawah Bumbung Langitmu” karya Puan Jariah Haji Taha. Di situ sahaja saya sudah habis 1 minit dan selepas saya menyambung kembali pembetangan, saya diberitahu saya ada 1 minit lagi. Jadi, berbekalkan pengalaman dalam mooting dahulu, saya mampatkan  semua  kesimpulan tanpa menyentuh mendalam tentang pengisian program.

Alhamdullilah, saya keluar dari bilik pembentangan dengan rasa lega dan puas hati!

Sejuta Impian

Ingin tahu apa keputusan ujibakat ini? InsyaAllah, saya akan umumkan apabila masanya sesuai. Nantikan sahaja, dan doakan agar usaha DEKMAL mencapai kejayaan. Sambil itu, saya menjemput anda semua untuk 'like’  laman facebook DEKMAL!

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan