Akhirnya!
Setelah lebih 6 tahun melayari bahtera pengajian, kini telah tibalah saat yang paling dinanti-nantikan, Majlis Konvokesyen saya! Kalau untuk sesetengah orang, pernah merasai majlis konvokesyen di tadika dan sekolah, tapi saya tak berkesempatan merasai semua itu. Sebab itu saya rasa tersangat teruja menghadiri konvokesyen saya – satu kenangan sekali seumur hidup!
Tanggal 7 Oktober 2012 pasti akan menjadi satu kenangan yang tak akan saya lupakan. Sesi konvokesyen saya berada di sebelah pagi iaitu sidang ketiga. Awal-awal lagi saya sudah bangun untuk membuat persiapan. Kami diminta untuk sampai ke UIA setengah jam sebelum majlis bermula, jadi saya pastikan saya dan ibu bapa saya bertolak awal kerana saya pasti mesti UIA akan menjadi sangat sesak dan tempat letak kenderaan pasti agak jauh dari Dewan Konvokesyen.
Saya tiba di UIA lebih kurang pukul 8 pagi. Waktu itu terlihat masih ramai graduan yang sedang berlegar-legar di kawasan CAC. Saya dan Ayahanda dan Bonda pun meletakkan kenderaan di tempat yang telah disediakan iaitu di Kulliyyah ICT yang mempunyai ruang parkir yang luas, namun sedikit jauh dari CAC. Mujur ada perkhidmatan bas shuttle yang berulang alik, jadi tak perlulah kami berjalan jauh.
Tiba di CAC, rupa-rupanya saya sudah agak lambat. Kelihatan ramai graduan yang telah beratur dan para pegawai pun menggesa kami yang lambat ini untuk segara ke tempat perbarisan kerana kata mereka majlis sudah hampir bermula. Mujur saya sempat mencari barisan saya dengan selamat. Selepas itu, kami pun bergerak mengikut barisan ke dalam dewan besar diiringi alunan muzik gamelan.
Apa yang tak dapat saya lupakan, ketika melangkah sahaja ke pintu gerbang Dewan Besar CAC, saya telah disapa seorang pegawai yang mengucapkan “Tahniah, Azree!”. Waktu itu saya sedang berjalan agak laju, jadi sempat tersenyum dan ucap terima kasih kembali, walau dalam hati masih belum dapat mengecam siapa dia. Bila diingatkan kembali, rupanya beliau adalah Madam Zulaifah, pegawai pentadbiran di Kulliyyah Undang-Undang. Rasa sangat terharu, apabila beliau yang jarang saya jumpa boleh ingat nama saya!
Satu perkara yang dapat dilupakan adalah perasaan sebak yang tiba-tiba muncul ketika nyanyian lagu Negaraku. Betul, saya sebak sampai tak dapat nak mengeluarkan suara. Malah, semasa lagu universiti dialunkan, saya cuba menyanyikannya dengan penuh lantang, tapi tersangatlah sumbang sebab rasa sayu tiba-tiba menerjah ke dalam jiwa!
Saya mula rasa berdebar ketika melihat kamera dan lampu-lampu dipacakkan ketika segala ucapan sudah hampir ke penamatnya. Tambahan pula bila melihat sudah ada graduan di hadapan yang diminta berdiri untuk bersiap mengambil ijazah di atas pentas. Oh, dalam hati saya berkata “This is it!” , perjalanan seribu batu yang saya tempuhi sebelum ini semuanya menuju ke saat-saat indah ini.
Ketika berdiri dan bergerak ke pentas, kami melalui satu tapisan oleh semua pegawai-pegawai yang mana mereka akan memastikan kami semua para graduan memakai jubah dengan betul dan kelihatan elok! Memang saya puji prosedur konvokesyen ini sebab kebajikan graduan memang betul-betul dijaga.
Cuma, kelam kabut juga dibuatnya apabila melihat ada graduan sarjana muda yang memakai jubah berjalur dua yang dikhaskan untuk graduan sarjana, terpaksa menukar jubah berjalur satu di saat akhir. Mereka juga sudah bersiap dengan pin kalau ada apa-apa masalah dengan jubah kami, termasuklah membetulkan kedudukan hood.
Tiba di atas pentas, hati saya makin berdebar. Di atas lantai, ada diletakkan nombor 10-1 supaya kita tahu berapa ramai lagi sebelum giliran kita tiba. Saya lihat nombor itu dengan begitu berdebar. Semakin lama, semakin hampir. Sampailah nama saya disebut, ketika itu saya seperti tak dapat berfikir apa, ia berlalu dengan begitu cepat. Sedar-sedar sahaja, saya sudah berada di bawah pentas.
Saya telah menerima skrol Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) daripada Yang Berhormat Dato’ Seri Mohamed Khaled Nordin, Menteri Pengajian Tinggi Malaysia, disaksikan Rektor UIAM, Professor Dato’ Dr. Zaleha Kamaruddin, yang juga merupakan mantan Dekan Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim ketika saya masih semester pertama.
:: Gambar pertama setelah mendapat ijazah! ::
Selepas sahaja keluar dari dewan konvokesyen, saya disambut Dahnia, rakan saya yang bertindak sebagai jurukamera peribadi. Gambar-gambar yang diambilnya semua cantik belaka. Tetapi walaupun cantik, tetapi punyalah seksa juga sebab matahari sedang memancar terik, tambahan pula begitu ramai orang ketika tengahari kerana bertembung dengan khalayak dari sesi petang.
Bayangkanlah, saya pakai baju 4 lapis, dengan blazer dan jubah yang begitu tebal itu, sampaikan baju saya dah basah lenjun sebab berpeluh. Cuma satu silap saya, saya memilih untuk bergambar sakan ketika hari konvokesyen yang pastinya sangat memenatkan. Tetapi, saya fikir sekurang-kurangnya penat itu sehari sahaja walaupun seksa sedikit sebab esoknya saya kerja dan tidak pula memohon cuti seperti ramai yang lain.
Begitulah kisah konvokesyen saya. Satu pengalaman seumur hidup yang pastinya tak akan saya lupakan. Saya tahu, walaupun sudah mendapatkan segulung ijazah, perjalanan mencari ilmu tidak terhenti setakat di sini. Saya bertekad untuk terus belajar dan belajar. InsyaAllah, doakan saya ya agar dapat menyambung pengajian dalam masa terdekat. Amin!
0 komentar:
Catat Ulasan