Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

14 Mei 2010

Rima Akhir Pantun – A-B-A-B!

Ketika mengadakan ujibakat untuk mencari pemantun, penyajak, dan penyair untuk mencari bakat-bakat baru dalam Kelab Puisi UIAM beberapa bulan lepas, saya telah bertindak sebagai panel penemuduga untuk sesi Puisi – yang melibatkan deklamasi, berpantun, dan bersyair.

Setiap calon dikehendaki mencipta sebuah pantun pengenalan diri dan mempersembahkannya dalam cara berbalas pantun seperti di dalam pertandingan. Semua calon diwajibkan untuk berpantun, tidak kira apa bidang utama mereka. Kalau deklamasi pun kena berpantun, dan kalau penyair pun kena berpantun. Ini adalah untuk melihat sejauh mana bakat dan minat mereka.

Apa yang saya perhatikan, masih ramai yang keliru atau mungkin kurang kesedaran mengenai bentuk asas dalam pantun iaitu rima akhir A-B-A-B. Masih ramai yang membuat pantun dengan rima A-A-A-A yang sebetulnya menyerupai struktur dalam syair Melayu. Saya agak sedih dengan perkembangan ini disebabkan kebanyakan yang datang itu adalah generasi pasca KOMSAS yang telah belajar mengenai pantun selama 5 tahun pengajian di sekolah menengah.

Malah, perkara ini sebenarnya banyak juga berlaku di laman-laman blog yang mana saya perhatikan, karangan 4 baris serangkap yang mereka buat itu dengan bangganya dipanggil sebagai pantun, tetapi sebenarnya tidak. Pertamanya, kerana rima A-A-A-A, dan keduanya, tiada pembayang dan maksud.

Ayuh kita perhatikan karya ini :

Kami ucapkan selamat datang, -A

Kepada tuan sudi bertandang, -A

Ketika masa menjadi lapang, -A

Ayuh ke mari tuan diundang. -A

Ini bukan pantun! Struktur begini adalah struktur syair Melayu. Tidak salah untuk menghasilkan karya begini, tetapi pastikan label-nya betul.

Rima akhir pantun yang sebenarnya berbentuk begini :

Pulau Pandan jauh ke tengah, -A

Gunung Daik bercabang tiga; -B

Hancur badan dikandung tanah, -A

Budi yang baik dikenang juga. -B

Perkataan ‘tengah’ dipadankan dengan ‘tanah’. Perhatikan juga bahawa rimanya bukan sahaja pada akhiran ‘ah’, tetapi juga perkataan yang bermula dengan ‘t’. Manakala, ‘tiga’ dipadankan dengan ‘juga’.

Satu lagi perkara yang menarik untuk kita lihat adalah rima tengah dalam pantun klasik ini yang juga sama – menambahkan lagi nilai dan kualitinya. Lagi bagus kalau rima kesemua perkataan itu boleh disamakan antara pembayang dengan maksud.

Harap-harap, lepas ini semua akan lebih sedar tentang konsep rima dalam pantun. Ia bukan sekadar menyamakan rima akhir, tetapi ada falsafahnya yang tersendiri. InsyaAllah saya akan menulis mengenai falsafah dalam berpantun apabila berkelapangan.

Wassalam!

5 komentar:

meSsy-MesSA berkata...

pantun sirih pulang ke gagang uia apa cerita?

Azree Ariffin berkata...

marissa, sejak bila uia buat pantun sirih pulang ke gagang? hahah.

Azree Ariffin berkata...

marissa, sejak bila uia buat pantun sirih pulang ke gagang? hahah.

äþèéž™ berkata...

Nak komen sket leh tak? Ala, kalo x leh pon kira leh ar... =)

Saya bukan seorang pemantun hebat yang pernah menjulang piala besar. Mungkin kerna saya lebih kepada pidato dan debat. Pun begitu sebagai seorang pemantun picisan, saya ada sesuatu yang ingin dikongsi.

Pantun terbaik apabila rima perkataan pertama kedua dan keempat bagi baris pertama dan ketiga adalah sama serta rima perkataan pertama kedua dan keempat bagi baris kedua dan keempat adalah sama. Ini kata guru saya. Namun sangat sukar untuk mengarang pantun sebegini.

Maka pantun yang baik pula apabila rima perkataan kedua dan keempat bagi baris pertama dan ketiga adalah sama serta rima perkataan kedua dan keempat bagi baris kedua dan keempat adalah sama. Ini juga kata guru saya. Pantun sebegini tidak sukar.

Namun sebagai seorang pemantun, saya ada cara saya sendiri apabila berpantun dan mengarang pantun. Saya tidak kata saya hebat. Tapi saya minat.

Saya pernah mengarang pantun untuk seseorang. Cuba lihat dipautan ini : http://hafizanhasan.blogspot.com/2010/04/buat-seorang-teman.html

Cuma bait ini sahaja yang saya ambil dari lirik lagu Noraniza Idris, selebihnya milik saya.

"Puncak gunung puncak kencana
Pohon meranti condong ke hulu
Bulan ku renung dikau di sana
Di dalam hati resah selalu"

Mungkin kerana dia seorang yang istimewa maka lirik tersebut sesuai dalam nukilan saya. Tiada niat untuk ciplak atau plagiat.

Moga kita dapat sama-sama untuk terus berdiskusi isu seperti ini.

- Hafiz -

Azree Ariffin berkata...

Benar apa yang kamu katakan, apeez. Pantun yang baik bukan sahaja sama rima akhirnya, tetapi rima tengah.

Tetapi saya menekankan penggunaan rima akhir kerana saya menujukan entri ini kepada pembaca yang bukan pemantun, kerana ramai antara kita terutamanya di kalangan generasi muda yang keliru atau mungkin juga tak faham akan konsep pantun.

InsyaAllah saya akan menulis lagi berkaitan asas-asas dalam penulisan pantun sebelum pergi lebih jauh dalam berkongsi pengalaman dalam pertandingan berbalas pantun.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan