Subscribe

05 Mei 2010

LIRIK : Bulan

songwritingcontestbanner-300x105

Tahun lepas, saya pernah menyertai Pertandingan Menulis Lirik Lagu yang dianjurkan oleh Saudara Imran Ajmain. Dalam pertandingan berkenaan, kami telah diminta untuk menuliskan lirik sebuah lagu duet berdasarkan melodi yang diberikan dalam video Youtube yang di bawah dengan syarat – tiada perkataan “cinta”, “kasih”, & “sayang”. Lirik yang menang akan dirakamkan dan dimuatkan dalam album “Punca & Tindakan”.

Saya telah mengambil masa dalam seminggu dalam kesibukan peperiksaan akhir untuk menyiapkan liriknya, bersesuaian dengan jiwa lagu, beserta falsafah dan keindahan kata-katanya. Cuma, saya sedikit tersalah format, sebab sepatutnya ada 2 verse, tapi saya tersalah faham buat 4 verse.

Bagaimanapun, lirik saya telah berjaya mendapat Top 4 daripada berpuluh penyertaan. Malah, saudara Imran Ajmain menyatakan kepada saya melalui facebook yang sebenarnya lirik saya mendapat tempat kedua selepas lirik pemenangnya.

Lepas lama saya perap karya ini, ingin saya kongsikan pula di sini. Harap-harap ada yang boleh beri maklumbalas dan tunjuk ajar.

Terimalah.

Lagu : Imran Ajmain
Lirik : Azree Ariffin

Bulan – sebuah metafora tentang rasa rindu dan kejauhan. Sesuai dengan irama lagu, ia adalah falsafah tentang perhubungan antara dua orang insan, yang terpisah oleh masa dan tempat, tetapi keduanya akan pasti merenung bulan yang sama. Seperti juga bulan yang ada waktunya dilitup awan, dilindung mendung, dan akhirnya hujan. Namun, selepas itu bulan akan terus bersinar terang benderang. Begitulah hendaknya perhubungan antara manusia, bukan hanya terbatas antara cinta lelaki dan perempuan, tetapi juga dalam makna yang menyeluruh. Bulan adalah cahaya, adalah pesona.


Verse 1 (Lelaki):
Ingin terbang ke langit tinggi
bawa pulang sejuta janji
saat bintang bertemankan mimpi
tanpamu aku sepi.


Verse 2 (Perempuan):
Ku berlindung antara mega
tika mendung membawa duga
engkau datang dalam pujuk rayu
berhembus bagai bayu.


Pre-Chorus:
Bulan di balik awan
sirnakan segala rawan.


Chorus:
Kau cahaya di jiwa
terangi kegelapan
Kau pesona di mata
hadirlah menghiasi
hidupku.


Verse 3 (Lelaki):
Biar malam menjadi saksi
sluruh alam adalah bukti
berjauhan begitu terpisah
membuat aku resah.


Verse 4 (Perempuan):
Ku di sini setia menanti
takkan pergi berjauh hati
tidak mahu ketika beradu
di dalam rasa rindu.


Bridge:
Bulan bintang di sana pun
‘kan terus bersinar untuk kita
Jangan pernah hilang menjadi kenangan
kehidupan.

**Karya ini dilindungi oleh undang-undang hakcipta.

2 komentar:

Lyn Yusoff berkata...

Azree,
u mmg talented lah...
puisi u boleh... pantun pun boleh..
tulis lirik pun boleh..
terror lah u ni...
all the best erk...

Azree Ariffin berkata...

Terima kasih, kak lyn. Sekadar berkongsi minat saja sebenarnya. terima kasih sekali lagi..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan