Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

29 Januari 2010

Bertamu Di Taman Ilmu

Puisi saya telah tersiar di dalam sisipan Varsiti, Berita Harian semalam. Alhamdullillah. Sudah lama sungguh karya saya tidak tersiar di mana-mana. Hampir setahun saya berehat. Sebenarnya, ada beberapa karya yang berada dalam koleksi, tetapi masih saya peram; bukan untuk dijadikan pekasam, tetapi masih mahu menyuntingnya di sana sini, agar menjadi sekuntum bunga yang mekar sepanjang zaman.

Puisi "Bertamu di Taman Ilmu" saya tulis khusus untuk memenuhi undangan deklamasi untuk sebuah acara berbentuk konvensyen mahasiswa anjuran GPMS di kampus saya. Sayangnya, majlis yang dirancang pada awal bulan Januari terpaksa ditunda atas sebab-sebab tertentu. Waktu itu, sudah ada niat untuk memendek-padatkan sajak tersebut untuk dihantar ke penerbitan. Takut-takutlah pula sajak versi deklamasi ini agak panjang untuk diterbitkan.

Kebetulan, pihak PRO UIAM sedang mencari karya mahasiswa UIAM untuk disalurkan kepada sisipan Varsiti. Maka, saya telah memberikan sajak tersebut kepada mereka - kerana tema sajak tersebut yang sesuai dengan sisipan itu. Cuma, saya tak berapa sempat hendak memendekkannya kerana mereka mahukan sajak dalam tempoh sehari itu.

Maka, terimalah sajak pertama saya yang tersiar tahun ini. Moga-moga menjadi pembakar semangat untuk produktif berkarya. Masih banyak kelemahan yang perlu diperbaiki. Maklumbalas kalian saya hargai.

BERTAMU DI TAMAN ILMU

Kelmarin
telah kau terima bingkisan berupa warkah
jemputan melangkah ke sebuah taman yang indah
bukan sekadar bertamu, tetapi mengenal erti rindu
rindu kepada ilmu nan berjuta ribu
ada getar yang mengusik fikiran
ada debar yang mencarik kenangan
betapa mimpi menjadi nyata
betapa janji akan dikota.

Lantas kau sahut panggilan itu
lihat di atas telapak tanganmu
segenggam benih keazaman dari kampung halaman
bekalan ayahanda dan bonda yang menyimpan harapan
setinggi gunung seluas lautan.

Di sini, taman subur mewangi telah lama menanti
di sini, kau berdiri di bumi ini bernama universiti
perkebunan ilmu yang subur dengan akhlak yang luhur
pohonnya adalah kenyataan yang tumbuh dari keyakinan
rantingnya adalah cita-cita sebuah bangsa dan negara
bunga-bungaannya adalah ilmu pengetahuan berguna
akarnya pula bertunjangkan ajaran agama.

Bermulalah derap langkah perjalanan seorang mahasiswa
bergemalah titip kisah perjuangan pewaris bangsa
benih keazaman yang kau tanam di laman cendekia
segera disiram jirusan usaha dari tadahan embun pagi
kau baja dengan kesabaran beserta doa kepada ilahi
biar, pucuknya cepat bertunas mengejar matahari
agar, puspa pengetahuan bertukar buah kejayaan
harum bak setanggi menjalar ke taman Firdausi.

Tanggungjawab seorang peraih ilmu
tidak selesai setelah melewati musim menuai
segulung ijazah berupa kertas nan sehelai.
Bagai yang terkandung di dalam sabda:
Ilmu yang tidak diamalkan itu, ibarat pohon yang tidak berbuah.

Maka, kerjakanlah taman ini
sehingga tumbuh sebuah pohon yang tegap kukuh
dan berpasak teguh.

Bertamulah di taman ilmu
dengan segenggam benih keazaman
hidulah harum bunga perjuangan
rasailah ranum buah kejayaan
hasil sebuah kebun kehidupan.

Azree Ariffin,
Kulliyyah Undang-Undang Ahmad Ibrahim,

Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

Varsiti, Berita Harian
28 Januari 2010


28 Januari 2010

Emel Hotmail Diceroboh

Assalamualaikum.

Perhatian kepada semua kenalan, jika anda ada menerima sebuah emel daripada azrie87@hotmail.com yang menyatakan bahawa saya telah dirompak di Kota London dan meminta sejumlah duit daripada anda, sila abaikan emel berkenaan. Berikut adalah petikan emel tersebut :

Hello,

How are you today?, I am in a hurry writing this mail to you, I had an urgent trip to London UK to visit a new research institute for an urgent program and unfortunately for me all my money was stolen at the hotel where I lodged. I am so confused right now, I don't know what to do or where to go. I didn't bring my phones here and the hotel telephone lines were disconnected during the robbery incident. So I have access to only emails. Please you to lend me £950 as early as possible so I can finish my mission here and return home. As soon as I get home I would refund it immediately. Please I need you to get back to me so I can let you know how to send the money to me.

I'm looking forward to hearing from you.


Thank you so much.
Azree Ariffin.
Saya mula mendapat tahu mengenai pencerobohan ini apabila Encik K telah menelefon saya mengatakan bahawa emel saya telah di-hacked. Beliau mencadangkan kepada saya untuk menutup akaun emel tersebut atau pun menukar kata laluannya. Saya sedang berada di luar ketika itu.

Sampai sahaja di rumah, apabila saya membuka akaun facebook, saya mendapat aduan serupa daripada Kak Salina Ibrahim yang telah memberi salinan emel berkenaan. Hati saya semakin berdebar-debar. Segera saya membuka laman sesawang hotmail untuk login dan menukar kata laluan. Malangnya, tindakan saya telah agak terlewat ketika itu.

Si penceroboh itu telah menukar kata laluan saya dan menyebabkan saya tidak boleh membuka akaun emel hotmail tersebut. Waktu itu saya semakin risau dan sedih. Risau kerana kebanyakan akaun saya di Internet punya tautan dengan emel berkenaan. Sedih kerana begitu banyak dokumen penting di dalam peti masuk emel itu, termasuklah karya-karya saya - yang saya masukkan ke situ sebagai dokumen sandaran.

Atas nasihat Encik K, saya telah melaporkan perkara ini kepada pihak pengurusan MSN untuk mendapatkan semula akaun saya. Akaun tersebut telah saya gunakan hampir 10 tahun, bermula sejak zaman sekolah rendah lagi. Tentu anda dapat bayangkan betapa banyak kenangan di dalamnya.

Alhamdullillah, tak sampai 24 jam laporan tersebut dibuat, saya telah menerima pesanan di emel gmail bahawa pihak MSN telah maklum akan apa yang berlaku, dan mereka membantu saya menukar kata laluan emel berkenaan. Maka, dapatlah saya menggunakan emel hotmail itu.

Pengajarannya di sini, sentiasalah berhati-hati dengan sebarang maklumat peribadi anda di internet. Antara sebab akaun saya diceroboh, mungkin kerana penggunaan kata laluan yang sama untuk semua benda. Ini memudahkan orang lain untuk menceroboh privasi kita. Selalu-selalulah kemaskini kata laluan anda. Penggunaan kata laluan yang panjang juga membantu daripada ia diagak oleh orang lain.

Maaf kepada mereka-mereka yang telah menerima emel tersebut. Sila abaikan.

Wassalam.

25 Januari 2010

Makyung Anak Raja Dua Serupa


Ini kali pertama saya menonton Makyung. Apa yang saya tahu sebelum ini, Makyung adalah kesenian teater Melayu yang berakar di negeri Kelantan dan telah diiktiraf sebagai sebahagian daripada warisan dunia oleh UNESCO. Selain itu, para pelakon Makyung secara traidisionalnya, terdiri daripada kesemuanya perempuan-perempuan belaka, meskipun untuk memainkan watak lelaki.

Makyung Anak Raja Dua Serupa yang dipentaskan di Istana Budaya pada 22-24 Januari lalu, telah membawa Makyung ke pentas yang lebih gah. Saya difahamkan ini bukan kali pertama ia dibawa ke pentas IB; pernah dua-tiga kali juga ia dipentaskan. Melalui apa yang saya baca, Makyung ini bukanlah 100% asli, tetapi telah diubah serba sedikit untuk disesuaikan dengan pentas dan penonton masakini.

Apa pun, hasilnya tetap menghiburkan dan mendidik. Saya sampai ke Panggung Sari agak lewat 15 minit, akibat beberapa hal yang tak dapat dielakkan. Masuk sahaja, pementasan telah dimulakan. Agak terkilan juga tak dapat menonton persembahan pembukaan; maklumlah, biasalah persembahan pembukaanlah yang gempak untuk menarik minat penonton.

Keseluruhan pementasan ini dilakonkan menggunakan loghat melayu kelantan. Mulanya, saya mengadapi masalah untuk memahami apa yang dipertuturkan. Tetapi, lama kelamaan rasa janggal saya itu mula hilang. Menurut Kak Nasriah - yang merupakan anak jati kelantan, dialog yang dilontarkan dalam makyung kali ini, bukanlah loghat kelantan yang asli. Ini tidak menghairankan sangat bagi saya, memandangkan kebanyakan pelakon dalam pementasan ini bukan orang Kelantan.

Tetapi, saya kira pujian harus diberikan kepada teraju utama makyung ini, Rosnan Rahman dan Juhara Ayob yang telah memberikan lakonan yang cemerlang. Tak kurang juga Sabri Yunus yang telah membuatkan seisi dewan tak kering gusi dengan lawak-lawak beliau.

Apa yang saya perhatikan, Makyung yang saya tonton ini banyak menggunakan unsur perlambangan dalam menyampaikan cerita. Sewaktu babak pelayaran kapal misalnya, telah diperlambangkan dengan cantik sekali penggunaan kain-kain oleh para ensemble untuk melambangkan layar lapal.

Tahniah kepada semua yang telah menjayakan pementasan ini. Terima kasih juga kepada pihak UIAM terutamanya kepada Piji yang telah menguruskan kedatangan kami ke IB.
.
.
.

05 Januari 2010

Perancangan 2010

Tiap kali masuk tahun baru, tentu apa yang hangat diperkatakan orang adalah tentang azam. Ada orang memilih awal tahun untuk memulakan segala perubahan dan semngat yang baru. Bagi saya sendiri, azam tidak hanya perlu tunggu awal tahun untuk dilaksanakan. Ia boleh dilakukan bila-bila masa. Semalam, hari ini, esok, bila-bila sahaja kita boleh senaraikan apa azam kita. Namun, apa yang penting adalah keyakinan dan disiplin diri.

Tapi, saya tak menafikan juga keperluannya. Biasanya, awal tahun barulah akan bermulanya perancangan yang baru, almanac yang baru, to a certain extend. Lagi-lagi kalau yang bersekolah tu, inilah bermulanya penggal baru persekolahan. Kalau dalam persatuan pula, tahun baru bermaksud tenure yang baru. Masing-masing sibuk memilih organizer atau perancang tahunan mereka. Tidak salah untuk merancang, malah ia merupakan satu keperluan - supaya kita punya hala tuju dan sasaran untuk sesuatu tahun.

Untuk tahun ini, ada beberapa projek yang menanti.

1. Malam Puisi UIAM - Februari 2010
2. Peperiksaan Akhir - April 2010
3. Projek Penulisan - Januari-Julai 2010
4. Kejohanan Wajadiri Nasional Silat Cekak (Pelaksana)- Julai 2010
5. Musim Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka - Ogos 2010
6. Peperiksaan Akhir - November 2010
7. Pantun MAKUM - Disember 2010

Setakat ini, lebih kurang begitulah aktiviti saya untuk tahun ini. Tarikh-tarikh di atas ada yang masih tentatif lagi. Tetapi, serba sedikit, gambarannya begitu.

Untuk blog ini pula, saya juga ada perancangan. Kalau pada tahun lepas, saya telah membuat dalam 63 entri, maka pada tahun ini, harap-harapnya dapatlah mencecah hingga ke 80 entri. Maksudnya, dalam sebulan perlu ada sekurang-kurangnya 7 entri. InsyaAllah, boleh tu. Agak realistik jugalah dengan jadual harian saya.

Ya, begitulah lebih kurang perancangan 2010 saya. Nanti akan saya tambah lagi.
.
.
.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan