Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

29 Oktober 2009

Gamelan Jawa

Di UIA, kami diwajibkan untuk mengambil subjek ko-kurikulum sepanjang tiga tahun pertama pengajian kami. Ada beberapa struktur subjek yang boleh dipilih sepanjang tempoh tersebut, yang melibatkan enam semester. Sewaktu tahun ketiga, kami dikehendaki memilih kelas yang berkaitan dengan kemahiran; contohnya seperti memasak, berenang, automotif, kaunseling, dan sebagainya. Saya telah memilih untuk mendalami ilmu bermain gamelan melalui kelas yang disediakan.

Program skill gamelan di UIA dibahagikan kepada dua semester, iaitu Gamelan Melayu dan Gamelan Jawa. Saya telah bermain Saron Demong semasa belajar Gamelan Melayu, manakala ditugaskan bermain Gong untuk Gamelan Jawa. Seronok memang seronok. Cuma bermain gong kali ini, menuntut saya untuk menjaga tempo dengan teratur. Nampak senang, tetapi kalau terleka sikit, memang habislah lari gongnya.

Minggu lepas, saya baru selesai ujian subjek ini. Lega juga rasanya. Kini telah selesai semua subjek ko-kurikulum. Antara lagu yang telah diuji adalah Lancaran Bendrong, Sigromangsah, dan juga Bubaran Udan Mas. Selesai ujian, lantas kami telah bergambar kenang-kenangan bersama jurulatih kami, Pak Djamal. Di sini ada beberapa gambar, buat tatapan pembaca sekalian.
Italic



05 Oktober 2009

Majlis Sambutan Aidilfitri UIAM 2009

Jumaat lepas saya memenuhi undangan daripada pihak UIAM selaku presiden kelab bagi menghadiri Majlis Sambutan Aidilfitri UIAM yang diadakan di Dewan Utama, Pusat Aktiviti Kebudayaan. Majlis ini terbuka kepada seluruh warga UIA termasuklah pensyarah dan juga pelajar. Ketua Perlembagaan UIA, Sultan Ahmad Shah telah sudi memeriahkan acara ini.

Pelbagai juadah Aidilfitri telah disajikan, bukan sahaja daripada Malaysia, tetapi juga hidangan daripada negara-negara seperti China, Arab Saudi, Bangladesh, dan pelbagai lagi. Hidangan-hidangan tersebut telah disediakan oleh pensyarah-pensyarah antarabangsa dari UIA. Alhamdullillah, terubat juga kerinduan saya terhadap makanan-makanan raya ini, setelah seminggu bermukim di kampus.

Majlis juga telah dimeriahkan dengan persembahan-persembahan kebudayaan oleh Kelab Angklung, Kelab Perkusi, dan Band UIAM. Berikut gambar-gambar yang sempat saya tangkap sewaktu berlangsungnya acara tersebut.





02 Oktober 2009

Final Destination 4


Baru-baru ini, saya berkesempatan menonton filem sequel ke-4 daripada siri Final Destination. Sebelum ini, saya pernah menonton Final Destination 1 & Final Destination 2, tetapi sekadar di layar kaca sahaja. Kesannya tentulah begitu berbeza.


Filem ini masih menggunakan ramuan yang sama : Kematian. Sadis sungguh apabila terkenangkan bahawa unsur kematian juga boleh digunakan sabagai bahan hiburan zaman sekarang. Kematian yang ditonjolkan di dalam filem ini seumpama membayangkan bahawa tuhan itu teramat kejam, sedangkan kenyataannya adalah sebaliknya.


Kalau filem pertama bertitik-tolak daripada letupan kapal terbang, filem kedua tentang kemalangan jalan raya, manakala filem ketiga mengenai insiden roller-coaster, edisi keempat filem ini pula adalah mengenai sebuah kemalangan di sebuah litar lumba kereta. Plot dan inti cerita masih lagi sama, apabila watak utama akan mendapat bayangan mengenai peristiwa hitam yang bakal berlaku dan secara tiba-tiba menjadi histeria lantas pergi menyelamatkan dirinya dan rakan-rakan.


Kalau anda pernah menonton prequelnya, pastilah anda dapat meneka apa yang terjadi. Dalam filem ini, nantikan sahaja detik-detik kematian semua watak yang terlibat. Semuanya akan mati dalam keadaan tragis, cuma menunggu masa dan ketika sahaja. Rasanya itulah formula yang menarik penonton untuk datang ke pawagam. Semua berdebar-debar untuk mengetahui bagaimana watak-watak tersebut akan mati.


Pelik, tetapi benar. Semasa saya menonton filem tersebut, ramai yang menjerit dan menutup muka apabila berlaku adegan-adegan yang mengerikan. Bukan mereka tidak tahu, tetapi masih tetap menonton filem berkenaan. Filem seperti ini sangat grafik sifatnya. Jika anda mahu menonton filem seperti ini, pastikan anda seorang yang kuat semangat. Jika tidak, bayangan kematian akan sentiasa diulang tayang berulang-ulang kali dalam minda anda beberapa hari selepas menyaksikan filem tersebut.


Semoga pengkarya filem tempatan tidaklah membikin filem berupa sedemikian. Terbitkanlah filem yang boleh mengingatkan kita kepada kematian, dan dalam masa yang sama mengajak penonton untuk bertaubat ke jalan tuhan. Apa-pun, kita ambillah yang jernih, buang yang keruh.

01 Oktober 2009

Pengalaman Beraya di Kota

Setiap kali lebaran, saya selalu akan mendengar laungan "Balik Kampung" di sana sini. Semua di sekeliling saya nampaknya sangat teruja dan seronok untuk balik ke kampung halaman masing-masing.Kebiasaannya, perayaan di desa selalu ditonjolkan. Namun, saya kira ramai juga antara kita yang menyambutnya di kota. Saya sendiri merayakan Aidilfitri di kota saban tahun.

Dari segi kemeriahan, saya kira ia merupakan perkara yang subjektif sebetulnya. Ramai yang bertanyakan kepada saya, "Seronokkah beraya di bandar?". Saya senyum sahaja dan bilang kepada mereka, ia bergantung. Perkara yang membuatkan sambutan lebaran itu meriah adalah kehadiran sanak-saudara dan rakan taulan yang sudah lama tidak jumpa. Namun, sedikit sebanyak keadaan di persekitaran juga memainkan peranan.

Hidangan pada pagi Aildilfitri.

Bagi saya sendiri, pagi raya disambut di kediaman nenda di Petaling Jaya, dekat dengan rumah saya. Waktu itu kami sekeluarga akan berkumpul. Bilangan kami tidaklah ramai, tetapi terubat jua rasa kerinduan sesama saudara. Kawasan kejiranan kami, terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum. Namun, masyarakat Melayu/Islam adalah minoriti. Kalau ada pun, kebanyakannya akan balik ke kampung tiap kali tibanya musim perayaan.

Maka, dari segi suasana tidaklah begitu terasa. Bayangkan, apabila kami seronok memperagakan baju raya masing-masing, kawasan persekitaran rumah sunyi sepi sahaja. Tidak ada anak-anak kecil yang ligat berkunjung dari rumah ke rumah mengutip duit raya. Tidak ada pelita-pelita raya yang menjadi hiasan di laman rumah.

Kebiasaannya, kami sekeluarga akan menjadi pengunjung di pagi raya. Hari Raya dihabiskan dengan mengunjungi sanak saudara yang terdekat. Secara rutinnya, selepas berpagian di kediaman Nenda, kami akan ke rumah Ibu Saudara di Ampang. Kemudian sepanjang petang akan dihabiskan di kawasan Ampang, menziarahi keluarga sebelah ayah saya yang ramai menetap di sana.

Kalau kami sempat menghabiskan kunjungan tersebut awal dan masih ada kudrat, malam tersebut saya sudah ada di One Utama, berjalan-jalan bersama adik sambil memakai pakaian raya! Tahun lepas kami sempat berbuat demikian. Seronok juga, kerana tidak ramai orang; walaupun kalau hendak diikutkan masih ramai juga. Ada juga ternampak kelibat beberapa orang yang berjalan-jalan di pusat membeli-belah tersebut sambil memakai baju raya. Biasalah itu.

Oh, ini juga antara kelebihan beraya di kota. Waktu inilah kedai-kedai akan memberikan potongan harga yang istimewa. Musim raya sememangnya musim untuk membeli-belah kerana waktu inilah akan diadakan jualan murah. Tapi, saya tidaklah membeli-belah sampai lupa hendak beraya! :)


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan