Subscribe

01 Oktober 2009

Pengalaman Beraya di Kota

Setiap kali lebaran, saya selalu akan mendengar laungan "Balik Kampung" di sana sini. Semua di sekeliling saya nampaknya sangat teruja dan seronok untuk balik ke kampung halaman masing-masing.Kebiasaannya, perayaan di desa selalu ditonjolkan. Namun, saya kira ramai juga antara kita yang menyambutnya di kota. Saya sendiri merayakan Aidilfitri di kota saban tahun.

Dari segi kemeriahan, saya kira ia merupakan perkara yang subjektif sebetulnya. Ramai yang bertanyakan kepada saya, "Seronokkah beraya di bandar?". Saya senyum sahaja dan bilang kepada mereka, ia bergantung. Perkara yang membuatkan sambutan lebaran itu meriah adalah kehadiran sanak-saudara dan rakan taulan yang sudah lama tidak jumpa. Namun, sedikit sebanyak keadaan di persekitaran juga memainkan peranan.

Hidangan pada pagi Aildilfitri.

Bagi saya sendiri, pagi raya disambut di kediaman nenda di Petaling Jaya, dekat dengan rumah saya. Waktu itu kami sekeluarga akan berkumpul. Bilangan kami tidaklah ramai, tetapi terubat jua rasa kerinduan sesama saudara. Kawasan kejiranan kami, terdiri daripada masyarakat yang berbilang kaum. Namun, masyarakat Melayu/Islam adalah minoriti. Kalau ada pun, kebanyakannya akan balik ke kampung tiap kali tibanya musim perayaan.

Maka, dari segi suasana tidaklah begitu terasa. Bayangkan, apabila kami seronok memperagakan baju raya masing-masing, kawasan persekitaran rumah sunyi sepi sahaja. Tidak ada anak-anak kecil yang ligat berkunjung dari rumah ke rumah mengutip duit raya. Tidak ada pelita-pelita raya yang menjadi hiasan di laman rumah.

Kebiasaannya, kami sekeluarga akan menjadi pengunjung di pagi raya. Hari Raya dihabiskan dengan mengunjungi sanak saudara yang terdekat. Secara rutinnya, selepas berpagian di kediaman Nenda, kami akan ke rumah Ibu Saudara di Ampang. Kemudian sepanjang petang akan dihabiskan di kawasan Ampang, menziarahi keluarga sebelah ayah saya yang ramai menetap di sana.

Kalau kami sempat menghabiskan kunjungan tersebut awal dan masih ada kudrat, malam tersebut saya sudah ada di One Utama, berjalan-jalan bersama adik sambil memakai pakaian raya! Tahun lepas kami sempat berbuat demikian. Seronok juga, kerana tidak ramai orang; walaupun kalau hendak diikutkan masih ramai juga. Ada juga ternampak kelibat beberapa orang yang berjalan-jalan di pusat membeli-belah tersebut sambil memakai baju raya. Biasalah itu.

Oh, ini juga antara kelebihan beraya di kota. Waktu inilah kedai-kedai akan memberikan potongan harga yang istimewa. Musim raya sememangnya musim untuk membeli-belah kerana waktu inilah akan diadakan jualan murah. Tapi, saya tidaklah membeli-belah sampai lupa hendak beraya! :)


0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan