Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

21 April 2011

Kita Akan Hilang Orang Yang Tersayang

Dunia ini pinjam-pinjaman. Satu hari nanti, segalanya pasti akan pergi, akan kembali.

Saya pernah menulis tentang kasih sayang dalam entri "Kasih Sayang Juga Rezeki". Saya mengatakan bahawa segala yang diberikan kepada kita yakni cinta dan kasih sayang, itu adalah sebentuk rezeki yang datangnya dari keizinan Allah SWT. 

Barangkali hidup kita sudah begitu sempurna, lengkap dan bahagia. Semua orang yang kita sayangi dan ingini, senang sahaja berlegar di sekeliling, memberikan senyuman manis mereka, dan kita membalas senyum mesra itu - meski orang di sekitar tak mungkin akan dapat melihat betapa hangat cinta yang membakar dalam jiwa pada ketika itu. 

Ketika malam, kita bermimpi tentang sebuah kehidupan yang abadi. Betapa kita merasakan dengan adanya cinta, maka segalanya pasti akan berakhiran dengan igauan yang indah. Tetapi, apalah yang kita tahu, kan? Setiap saat yang indah itu sementara. Selagi kita hidup di atas bumi yang fana ini, tidak ada jaminan apa-apa kebahagiaan yang kita kecapi itu pasti akan kekal. 

Betul, cinta boleh buat kita buta. Buta tentang tentang dunia, buta tentang hakikat hidup - betapa setiap pertemuan pasti akan berakhir dengan perpisahan. Tak kira sama ada lambat atau cepat, manis atau pahit, senang atau susah, hidup atau mati. Sudahkah kita bersedia dengan kehilangan ini? 

Bila kita lena dalam cinta, kita akan menafikan banyak perkara. Menafikan kemungkinan perpisahan, kemungkinan diri menjadi semakin terseksa. Dan manusia akan terus bersifat manusia. Sentiasa lupa dan terleka. Rezeki di depan mata, diabaikan sampai satu hari bila ia hilang buat selama-lama, merana seluruh jiwa. 

Dan pintu kasih sayang itu bukan selama-lamanya terbuka. Kuncinya boleh patah dan hilang pada bila-bila masa. 

Sebelum kita hilang orang yang amat kita sayang, sudahkah kita buat yang semampu daya untuk membahagiakan hidup mereka? 

20 April 2011

Berkat Restu Ibu Bapa

Saya seorang yang sangat mempercayai bahawa jika kita hendak melakukan sesuatu, haruslah mendapat restu dan keizinan ibu dan bapa. Tanpa restu dari mereka, kadang terasa seperti sesuatu yang tidak cukup, Di sebalik restu mereka, tersembunyi seribu satu hikmah dan kebahagiaan yang sukar dikecapi.

Iya, ada waktu pasti kita akan kurang setuju dengan apa-apa pendapat ibu bapa yang bertentangan dengan keinginan dan kehendak peribadi. Tetapi, apabila hari berganti hari, dan masa pun berlalu, pasti ada walau sekelumit rasa yang membuatkan kita terfikir, betul juga apa yang mak bapak aku cakap dulu.

Bila rasa kurang bersetuju dengan mereka, kadang saya juga akan berhujah dengan dapatan-dapatan saya sendiri. Tetapi, dengan ibu bapa ini lain sedikit. Saya akui, saya selalu ‘kalah’ dengan mereka.

‘Kalah’ di sini bermaksud bukan tewas, tetapi saya sendiri juga termakan dengan sebab-sebab diberikan mereka – kerana ternyata mereka lebih banyak makan garam. Di akhir cerita, saya dapat lihat logik di sebalik kerisauan-kerisauan mereka – yang sudah pasti harus diimbangi dengan tafsiran yang rasional.

Sudah tentu, bukan dalam semua perkara kita terikat dengan pendapat-pendapat ibu bapa. Ada ketika, kita harus buat keputusan sendiri – seandainya ia melibatkan masa depan diri sendiri.

Tetapi, dalam kes diri saya, kebanyakan masa memang pendapat ibu bapa yang saya rujuk – adalah benar berdasarkan pengalaman-pengalaman yang mereka telah lalui. Dan sebagai orang yang telah mengenali kita dari sekecil tapak tangan sampai ke besar panjang, siapa lagi yang lebih masak tentang perangai dan keperibadian kita?

Orang kata, kasih ibu membawa ke syurga, kasih ayah sepanjang masa. Dan saya teramat menghormati apa yang mereka fikirkan – kerana restu mereka adalah pembuka pintu syurga.

19 April 2011

Album “Cintaku Satu” – Noraniza Idris

Noraniza_Idris_Cintaku_satu

Setelah lama menunggu, akhirnya album terbaru penyanyi kegemaran saya, Noraniza Idris telah pun menjengah ke pasaran. Setiap kali keluar dengan album baru, pasti Noraniza atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ani, akan menghidangkan sesuatu yang baru buat para penggemar muzik tradisional dan etnik kreatif.

Cintaku Satu, begitulah tajuk album kali ini – mungkin sebagai perlambangan kepada betapa cintanya Kak Ani terhadap seni muzik tradisional Malaysia sehingga sanggup untuk terus memperjuangkannya, meski arus industri hiburan sekarang semakin kurang cenderung terhadap genre muzik sedemikian.

Apa yang menarik tentang album ini, 9 daripada 10 lagu merupakan duet dengan artis undangan – secara tidak langsung menjadikan album ini berkonsepkan duet. Pasangan duet Kak Ani juga bukan calang-calang. Ada yang baru, ada yang lama, dan hampir kesemuanya bukan dari latar belakang muzik tradisional. Jadi memang sesuatu yang menarik apabila mereka bergabung dengan Kak Ani.

Secara keseluruhannya, album ini masih menggunakan konsep fusion etnik moden yang ditampilkan kali pertama melalui album Sawo Matang. Penggunaan melodi tradisional, dipersembahkan dalam bentuk yang moden, dengan iringan alat muzik kontemporari dengan susunan muzik yang lebih komersil. Ternyata, perjalanan muzik Kak Ani sudah pergi sangat jauh dibandingkan dengan zaman beliau di bawah penerbitan Pak Ngah.

Berikut adalah analisis saya terhadap setiap lagu dalam album ini. Saya bukanlah pakar dalam bidang muzik, tetapi sebagai seorang yang telah mengikuti perkembangan muzik Noraniza Idris sejak album Ala Dondang, ini adalah pandangan saya dari sudut seorang peminat.

1. Mahligai (feat. Jacklyn Victor)

Lagu ini agak moden sebenarnya. Ketika mula-mula mendengarnya, saya tak dapat nak tangkap sangat melodinya, kerana ia lain daripada lagu Kak Ani yang lain. Nuansa tradisionalnya kurang ketara, tetapi saya dapat rasa ada sesuatu tentang lagu ini yang mungkin boleh jadikan ia radio-friendly. 3/5 bintang.

 

2. Enjut (feat. Cat Farish & Adeeb)

Ini sebuah lagu yang diinspirasikan daripada muzik jawa dan kuda kepang. Ada sentuhan hip-hop yang ketara, ditambah pula dengan elemen rap yang ditampilkan. Mungkin bukan genre yang saya begitu gemari, kerana melodinya masih kurang catchy sangat. Tetapi sebagai satu lagu etnik berjiwakan hip-hop, saya boleh katakan ia permulaan yang baik. 3/5 bintang.

3. Endang-Endong (feat. Elji Henava)

Berani saya katakan, ini adalah lagu terbaik dalam album ini, malah antara lagu nyanyian Kak Ani yang sangat sedap. Ia benar melambangkan konsep muzik etnik fusion yang dibawakan. Muzik Endang dari Negeri Sembilan, disulamkan dengan sentuhan moden, dan kadang terasa ada bunyi-bunyi 70-an sedikit pada rangkap chorusnya, menjadikan lagu ini memang catchy dan tak jemu untuk dengar berulang kali. 5/5 bintang.

4. Sama Tak Serupa (feat. Dato’ David Arumugam)

Lagu ini lagu lama yang telah dimuatkan semula dengan susunan muzik yang baru. Tak banyak yang boleh saya ulaskan, kerana setiap komposisi lagu joget Raja Kobat memang saya minat. Cuma, dalam susunan muzik kali ini, penekanan diberikan kepada muzik Portugis – berbanding elemen Joget-Bhangra-Rock yang ditampilkan dalam susunan muzik yang dulu. 4/5 bintang.

5. Ayuh Juragan / Juklah Guru Abe

Seperti lagu Sama Tak Serupa, lagu ini juga lagu lama yang dirakamkan semula. Bezanya, ini adalah versi ketiga setelah ia ditampilkan dalam album Sawo Matang dan Lenggok dalam versi yang berbeza. Ada seorang kawan mengatakan muzik di hadapan lagu ini seperti lagu Michael Jackson. Haha, tak  tahulah saya mana yang samanya. Secara peribadi, saya lebih suka susunan muzik Ayuh Juragan dalam album Lenggok. Saya juga hairan kenapa lagu ini dipilih untuk dirakamkan sekali lagi, sedangkan Kak Ani boleh pilih lagu Iboq yang juga punya kekuatan yang tersendiri dalam mewakili irama Orang Asli.  3/5 bintang.

6. Menarik Hati (feat. Masya)

Inilah lagu pertama dari Kak Ani yang berlatarkan muzik Sabah. Pemilihan rakan duet Marsya memang tepat kerana suaranya kedengaran sangat sesuai dengan lagu ini. Berbanding lagu Sarawak Kak Ani, lagu ini agak releks sedikit dan liriknya juga memang simple. Rasa tenang sahaja bila dengar lagu ini, tambah-tambah lagi bila dengar bahagian alat muzik tradisional Sabah. 4/5 bintang.

7. Kuasa Cinta (feat. Black)

Dah lama tak dengar Kak Ani nyanyikan lagu Zapin. Uniknya lagu ini kerana ia menggabungkan elemen zapin dan rock dalam melodi dan susunan muzik secara bijak. Kedua-dua unsur itu tampak serasi tanpa ada rasa janggal. Cuma, mungkin lirik lagu ini boleh dimurnikan lagi. Ditambah dengan vokal mantap dari Black, memang meremang bulu roma bila dengar. Tak sabar hendak lihat Kak Ani buat persembahan dengan lagu ini! 4/5 bintang.

8. Hari Demi Hari (feat. Dior & Karen Tan)

Bila dengar lagu ini dengan kelantangan yang kuat, memang rasa nak menari. Sebab susunan muziknya ada kekuatan dan semangat. Elemen etnik Cina agak jelas dari bahagian verse lagi, dan diteruskan sampai ke chorus. Cuma, dari chorusnya, saya rasa masih boleh diperbaiki lagi kerana terasa macam agak tergantung dan boleh dipanjangkan dan disedapkan. Saya juga rasa bahagian Karen Tan menyanyi solo dalam Bahasa Cina mungkin terlalu sedikit dan tampak seperti ditempel sahaja. Dari segi lirik, agak bagus kerana simple dan straight to the point. 3/5 bintang.

9. Tandang Bermadah (feat Bob)

Seperti lagu Ayuh Juragan, ini adalah versi ketiga lagu Tandang Bermadah. Tapi versi ini saya sangat suka, kerana ia agak eksotik. Bagaimana pun, saya akan rasa lagi puas kalau lagu Ngajat Tampi pula yang dipilih untuk dirakam semula, kerana saya tak nampak sebab kenapa lagu Tandang Bermadah perlu dibuat baru sebab versi dahulu pun sudah bagus. Adakah kerana isu hak penerbitan? ( Ngajat Tampi ditampilkan dalam album Bekaba, terbitan SRC Records). 4/5 bintang.

10. Endang Endong Versi Cintaku Satu (feat Bob, Marsya, Jaclyn Victor,Elji 11. Henava,Dior, & Karen Tan)

Lagu apa lagi yang sesuai untuk menutup sebuah album lagu-lagu etnik Malaysia kalau tidak dengan lagu terbaiknya – dalam versi 1Malaysia? Jujurnya, saya rasa lagu ini lebih berwarna-warni dari versi yang asal, dengan penggunaan bahasa dan dialek Melayu, Negeri Sembilan, Mandarin, Tamil, Sabah, Sarawak, dan Orang Asli. Terasa semangat 1Malaysia memang terasa dalam lagu ini. Tak percaya? Lihat persembahan ini:

Keseluruhan

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak hendak mengenali muzik Noraniza Idris, album Cintaku Satu adalah permulaan yang bagus kerana ia melambangkan muzik beliau secara keseluruhannya, terutamanya dalam genre fusion etnik yang dipeloporinya.

Tetapi, dari segi pemasaran dan promosi, saya rasa banyak perkara perlu dipertingkatkan kerana sebuah produk yang baik, jika tiada pemasaran dan promosi yang berkesan, akan menyebabkan album itu tidak terjual.

Saya telah habiskan banyak masa untuk mencari album ini di serata Kuala Lumpur, tetapi tidak jumpa, sehinggalah sampai saya hampir berputus asa. Jadi, jika saya yang peminat ini pun susah hendak jumpa, bagaimana pula dengan mereka yang baru hendak mula meminati dan mengenali kan?

Kalau kamu hendak dapatkan album ini secara online, boleh cuba melalui pautan ini. Kamu memang tak akan rugi dan pasti berpuas hati dengan buah tangan terbaru ini! Semoga Noraniza Idris akan terus maju dalam memperjuangkan muzik etnik tradisional Malaysia. Tahniah atas produk yang benar-benar mengangkat semangat gagasan 1 Malaysia ini!

18 April 2011

A Long Holiday Ahead

I’m finished with the exams.

Phew, glad that has gone passed behind me. Now, I can spend my time doing other things, settling everything that I always wanted to do before, but never had the time or opportunity to finish it. With the guilt going on, it was like study, study, study (as if I really did a lot of it) and if I were doing anything else, it was like guilty all the way.

But now that I’ve already stepped onto the holiday period zone, it started to really bug me that this isn’t really another normal summer holiday. It is a super-duper long holiday that most people have only dreamt of having.

Yeah – infront of me, I have a massive 5-long-months of carefree vacation period. This is particularly so, because for some reason or another, The Higher Education Ministry decided to shift the next semester’s intake from July to September, which made the long holiday – being longer.

The last time I has such a really long holiday was during my post-SPM days, while waiting my turn to enter the university. But trust me, it was a dreadful wait. But more on that later. This time around, the holidays is almost up to half the year!

What to do? Where to go? Honestly I do not have a concrete answer for that. Although I do have some rough plans, I didn’t really think seriously about it up until now. So far, I am just settling down, packing up my stuff from the Mahallah, the whole stock or piles of things that I am taking forever to bring back home.

I guess I will just take a break this first few weeks, settling down, go for a holiday, and then start with the serious business that is – find a job! My mom has been nagging all the while – cari kerja, cari kerja! Haha, of course I will. Just that want to settle what ever need to be settled first.

Any ideas for me to spend this holiday season, effectively?

16 April 2011

Sindrom Pelajar Tahun Akhir

Saya tak tahu tentang kamu, tetapi saya bercakap mewakili diri sendiri dan berdasarkan maklumbalas dari rakan-rakan sekeliling. Setelah 4 tahun belajar di menara gading, mungkin ada sesetengah pelajar yang berasa kelelahan dan kepenatan dalam meneruskan perjuangan dalam mengejar segulung ijazah. 

Perkara ini selalu saya dengar dan ia dinamakan sebagai "Sindrom Pelajar Tahun Akhir". Saya sendiri, kadang terasa seperti terjangkit dengan penyakit sebegini. Semakin lama di universiti, semakin berat beban menghantui diri ini, "Bila nak habis, bila nak habis?" 

Dalam tak sedar, kita telah melalui sistem peperiksaan secara berterusan dari bangku sekolah rendah, sehinggalah menuju ke alam universiti. Ia seperti satu dejavu yang berulang-ulang. Balik-balik pergi kelas, buat tugasan, duduki peperiksaan, cuti semester, dan semuanya rutin itu kembali berulang. 

Akhirnya, bila sudah di tahun akhir, akan ada sedikit perasaan seperti tidak kisah apa yang hendak berlaku. "Apa yang nak berlaku, berlakulah ia". Itulah antara inti kepada sindrom ini. 

Ia menjadi semakin teruk apabila menuju ke sisa-sisa akhir pengajian, bila sudah masuk musim peperiksaan, kadang-kadang akan berhadapan dengan segala jenis breakdown. Mental breakdown lah, emotional breakdown lah. Waktu itulah macam-macam jenis dugaan datang. (Ingatkan saya untuk tulis tentang ini nanti.)

Rasa seperti tak sabar-sabar hendak mulakan alam pekerjaan, biarlah apa yang terjadi dengan keputusan, yang penting aku habis belajar. Hah begitulah lebih kurang rintihan rasa sang pelajar tahun akhir itu. Akhirnya, perasaan ini seperti satu bisikan durjana yang sengaja hendak merendah-rendahkan semangat. Seperti bisikannya yang cuba menyesatkan sewaktu nyawa di hujung halkum. 

 Sehingga ke medan terakhir, kita harus berjuang habis-habisan. 


13 April 2011

Pantun : Bagaikan Cinta Pandang Pertama

pantun (1)

Saya sudah jatuh cinta.

Dan cinta pertama yang telah berjaya menyusup ke ruang hati ini bukanlah seorang manusia, sebaliknya ia adalah sebuah bentuk puisi tradisional Melayu – Pantun. Sejak mengenali keindahannya, saya jadi tak keruan, sentiasa terbayang-bayang di dalam ruang ingatan.

Pantun yang saya kenali ketika berada di bangku sekolah rendah telah berjaya membuat hati saya terpaut kepada keindahan bahasa ibunda saya sendiri. Tak sangka betapa ciptaan yang begitu mudah dan ringkas ini, sekadar hanya serangkap ayat, mampu untuk menusuk jauh ke dalam kalbu. Begitulah hebatnya Pantun Melayu, dalam pandangan mata dan tafsiran tinta saya.

Lalu, saya membesar dengan cuba untuk menggali segala rahsia dalam bahasa ibunda yang kaya, penuh dengan makna. Setiap perkataan yang jarang terdengar, saya akan lihat ertinya di dalam kamus, lantas memikirkan cara untuk dimasukkan ke dalam pantun, dengan menggandingkannya bersama perkataan yang sama rima.

Bersekolah di kawasan bandar, saya tak begitu terdedah kepada seni persuratan Melayu ini secara langsung. Malah, di sekolah saya juga tiada pasukan pantun. Saya mengenali pantun dan menciptanya bukan di arena pertandingan, tetapi sebagai seorang pembaca dan pencinta bahasa.

Perlahan-lahan, rahsia dalam pantun itu saya gali dan gali.

Waktu dahulu, saya main belasah sahaja mencipta pantun. Tak tahu tentang wacana, tautan makna, logik, dan apa sahaja teknikalitinya. Saya sukakan permainan bahasa dan bunyi dalam pantun. Mungkin kerana saya mengenali pantun sebagai sebuah lirik lagu, maka elemen bunyi itu menjadi sangat penting. Hatta, pantun memang pun sebuah tradisi lisan – yang disampaikan dari mulut ke telinga.

Apa yang buat saya jatuh cinta sama pantun? Oh, kerana pantun itu sangat bijaksana sifatnya. Melalui pantun, saya belajar banyak benda. Tentang hidup, tentang perasaan, tentang jiwa, tentang bangsa, tentang bahasa. Sehinggakan tercipta sebuah andaian, sekiranya seseorang itu tak tahu berpantun, maka belum sempurnalah keMelayuan seseorang itu.

Bimbingan menulis pantun yang pertama saya tekuni adalah melalui penulis tersohor, Cik Khadijah Hashim. Saya perlu sebutkan nama beliau kerana melalui bengkel beliau yang saya hadiri di Perpustakaan Taman Tun Dr Ismail pada tahun 2005, baharulah saya tahu cara yang betul mencipta pantun. Meski pernah belajar dalam KOMSAS, tetapi saya hanya belajar pantun sebagai seorang penikmat, bukan pencipta.

Sesungguhnya, saya percaya kita hanya akan benar-benar menghargai pantun sekiranya kita cuba untuk menciptanya. Saya bukan seorang penghafal pantun, tapi mencipta pantun telah membuatkan saya jadi tertarik untuk lebih mengkaji kedalaman pemikiran yang ada dalam pantun-pantun klasik.

Seterusnya, setelah melangkah ke Pusat Matrikulasi, saya telah menyertai sebuah Bengkel Pantun yang dianjurkan oleh Grup Penggiat Sastera (GETAR). Di situ, baharulah saya kenal dengan pantun yang bersifat pertandingan. Cara-cara menjual, membeli, gaya persembahan, semuanya saya hadam dengan penuh tekun dan teruja. Ada kepuasan dalam jiwa. Nama Kak Zakiah Samsi, harus saya sebutkan, kerana dia yang mengendalikan bengkel pada waktu itu, juga merupakan bekas pemantun UIAM, yang pernah dinobatkan sebagai Pemantun Terbaik MAKUM.

Perjalanan menelusuri sungai budaya tradisi lisan itu semakin semarak apabila menginjak ke menara gading. Di situlah pertemuan kali pertama dengan alam pertandingan pantun, beraksi dan bersaing, seterusnya menjalinkan tali persaudaraan dengan rakan sepasukan yang saya anggap bak adik-beradik sepantun.

Begitulah sejarahnya, bait-bait cinta dan babak kasih sayang kepada pantun. Sungguh terasa bagi mereka yang pernah bersilat kata, bermain madah, dalam pantun.

Sopan santun anak Melayu,
Senyum terukir bila disapa;
Dalam pantun kukirim rindu,
Rindu mengalir di dalam kata.
[Lirik Lagu Lemak Manis – Roslan Madun]

09 April 2011

Ulasan : Hikayat Merong Mahawangsa

poster_hikayat_merong_mahawangsa

Negara kita memang kaya dengan pelbagai kisah ketamadunan yang hebat. Dari zaman dahulu, pelbagai karya-karya sejarah yang menceritakan susur galur kerajaan dan bangsa kita. Antaranya, Sejarah Melayu, Hikayat Hang Tuah, dan Misa Melayu.

Satu lagi karya sastera sejarah yang penting dalam peta sejarah negara adalah Hikayat Merong Mahawangsa, atau juga disebut sebagai The Kedah Annals. Kitab ini menceritakan tentang sejarah pemerintahan negeri Kedah Darul Aman yang dikatakan berasal dari keturunan Iskandar Zulkarnain.

Terbaru, KRU telah menterjemahkan Hikayat Merong Mahawangsa ini dalam bentuk filem. Satu usaha yang harus kita puji sangat-sangat sebab terlalu jarang produser filem tempatan mengangkat kisah-kisah sejarah, terutamanya sastera sejarah ke dalam bentuk filem. Kalau zaman P. Ramlee dulu, banyak sangat filem sebegini. Tetapi, sekarang sangat jarang dan sekali sekala. Paling baru saya ingat adalah filem Puteri Gunung Ledang, dan Lembing Awang Pulang Ke Dayang.

Sebenarnya, saya pernah kecewa dengan filem KRU melalui filem Magika. Saya memasang harapan yang cukup tinggi sebelum menonton Magika dek kerana cerita dan trailer yang sungguh gempak. Sayangnya, mungkin kerana harapan yang terlalu tinggi, saya kecewa sendiri.

Maka, disebabkan saya belajar dari pengalaman, untuk filem Hikayat Merong Mahawangsa ini saya elakkan untuk menyimpan apa-apa harapan. Saya tonton tanpa apa-apa expectation, meski dalam hati ini benar-benar teruja, tetapi harus ditahan-tahan.

Dan pergilah saya menonton filem ini, pada hari kedua penayangannya. [Ya, memang dah lama saya tonton. Baru sekarang nak tulis ulasan. Smile]. Saya tahu, melalu komentar orang lain, ulasannya bercampur-campur. Ada yang suka, ada yang tak suka. Segala itu saya abaikan dahulu sebelum menonton filem ini.

Secara keseluruhannya, saya sangat suka filem ini. Berlabuh sahaja tirai tayangannya, saya dapat rasakan sebuah kepuasan yang jarang saya rasai selepas menonton filem-filem Melayu. Rasa bangga sebab akhirnya ada sebuah filem yang dapat menangkap dan mengangkat kegemilangan sejarah kerajaan Melayu.

Berikut adalah perkara yang saya suka tentang filem ini :

  • Keseimbangannya. Ya, filem ini saya kira cukup ramuan dan rempah ratusnya. Ada manis, ada pedas, ada masam, ada masin. Maksudnya kalau bukan peminat filem sejarah/epik sekalipun, anda tak akan bosan kerana pasti akan terhibur dengan lawak jenakanya yang kelihatan sangat bersahaja. Juga diserikan dengan kisah perjuangan, peperangan, dan juga percintaan.
  • Teknik Janaan Komputer (CGI) yang mantap! Usahlah hendak dibandingkan dengan produksi luar. Dengan keupayaan yang kita ada, saya rasa kita mampu untuk melangkah jauh. Kita dapat lihat betapa telitinya mereka mewujudkan set dan props seperti di Goa, Rome, China, dan Langkasuka seperti yang betul.
  • Nilai Perpaduan dalam filem ini. Kita dapat lihat betapa filem ini sangat international dan universal, bukan sahaja kerana ada unsur-unsur budaya luar seperti Rom, China, dan Melayu, tetapi juga nilai dalam perjuangan untuk menuntut kemerdekaan dan kebebasan itu sendiri.
  • Adaptasi Cerita. Saya belum membaca Hikayat Merong Mahawangsa lagi, tetapi menurut apa yang saya diberitahu, kisah asalnya ada banyak unsur mitos dan spiritual yang susah dan tak sesuai untuk difilemkan. Jadi, saya sifatkan adaptasi dalam filem ini adalah sesuatu yang menarik. Ada banyak perlambangan yang digunakan. Contohnya, pertarungan antara burung Jentayu dan Burung Geruda, diperlambangkan sebagai pertarungan antara puak Langkasuka yang diketuai Merong Mahawangsa yang menggunakan kapal bernama Jentayu, menentang puak Geruda, mewakili burung Garuda.
  • Lakonan Khir Rahman! Ya, lakonan beliau saya rasakan betul-betul berkesan. Saya rasa, beliaulah jiwa dan nadi kepada filem ini. Lakonan watak jahat yang menjadi.

Jujurnya, walaupun saya katakan saya suka filem ini, saya rasakan susah untuk saya fikirkan apa yang saya suka tentang filem ini, kalau nak dibandingkan dengan perkara yang saya tak suka tentang filem ini. Berikut apa yang saya tak suka:

  • Lakonan! Aspek inilah antara yang sangat ketara, terutamanya lakonan watak utamanya – Stephen Rahman Hughes. Saya tidak ada masalah dengan lakonannya dalam Bahasa Inggeris, tetapi lakonan dalam Bahasa Melayunya kadang-kadang tak sampai perasaannya. Agak ketara bila babak ucapan peperangan yang dilakukan sepenuhnya dalam Bahasa Melayu, yang saya sifatkan sebagai klimaks filem ini. Tetapi, ia sedikit “rosak” kerana penghayatan yang sedikit kurang. Tetapi, ia diwajarkan dengan latar belakang Merong Mahawangsa itu sendiri yang dikatakan telah merantau sejak dari kecil.
  • Pelakon-pelakon tambahan filem ini yang semuanya kurus keding dan kurang pandai berlakon terutamanya dalam babak peperangan. Haha, suka-suka saja cakap orang tak pandai berlakon. Smile
  • Bila tonton filem ini, rasa macam sekejap tengok filem Inggeris, sekejap tengok filem Melayu, lepas tu pulak ada rasa macam tonton filem Hong Kong. Rasa kecelaruan sikit dari segi bahasa. Atas dasar praktikaliti, mungkin. Tetapi nampak juga seperti tak realistik.
  • Lagu tema filem ini! Saya memang tak faham sampai sekarang kenapa lagu “Sedetik Lebih” diangkat sebagai lagu teman filem ini, kerana ia langsung tak membawa semangat Hikayat Merong Mahawangsa. Lagu itu adalah sebuah lagu cinta yang melankolik, tetapi filemnya tidak memuatkan kisah cinta yang ketara. Saya juga jadi keliru dari perspektif watak yang manakah lirik lagu ini ditulis. Antara Merong Mahawangsa dan Embok, atau Putera Rome dan Puteri China?

Banyak lagi kalau nak disenaraikan satu persatu. Tetapi, lebih kurang begitulah apa yang saya fikirkan tentang filem ini. Baik atau buruk, HMM tetap satu peningkatan yang ketara dan permulaan yang bagus untuk industri perfileman negara. Dengan berbekalkan cerita yang bagus, saya yakin kita boleh pergi lebih jauh.

Persoalan yang lebih penting, sejauh manakah filem ini mampu menjentik rasa ingin tahu kepada penontonnya untuk mendalami kisah sejarah kita? Sewaktu dalam pawagam, saya masih lagi mendengar bisik-bisik penonton yang bertanya-tanya tentang apa Merong Mahawangsa itu.

Di situlah letaknya kejayaan sebenarnya filem Hikayat Merong Mahawangsa. Bukan dilihat dari kecanggihan CGI, kehebatan lakonan, atau keindahan busana. Tetapi, kejayaan sebetulnya adalah apabila para penontonnya terasa ingin tahu dan teruja dengan kisah sejarah kita lalu, mencari dan membaca kitab Hikayat Merong Mahawangsa yang sebenar!

08 April 2011

Kemahiran Berbahasa Dalam Jurusan Undang-Undang


Assalamualaikum.

Maaf kerana terpaksa mengabaikan blog ini buat beberapa ketika. Dalam jangka waktu itu, saya dapati blog saya ini menjadi tumpuan adik-adik yang baru sahaja mendapat keputusan SPM baru-baru ini yang berminat untuk tahu lebih lanjut mengenai peluang melanjutkan pelajaran dalam bidang undang-undang. Melalui carian search engine, mereka ketemu blog ini melalui entri ini dan ini

Ramai yang cukup berminat sebenarnya untuk tahu lebih lanjut. Saya juga ada menerima beberapa mesej dalam Facebook yang bertanyakan kepada saya tentang peluang, dan cara pembelajaran dalam bidang undang-undang. 

Ini termasuklah seorang adik kita ini yang bernama Ielya Shafiqah. Berikut adalah mesej beliau.

hai, sye x pasti adakah anda yg menulis blog mengenai "jurusan undang2 lepasan spm"?? tp x pe la, memandangkan anda pun dlm bidang ni, sye hrp saudara bole memberi pndangan ttg mslh sye.... sye merupakan lepasan spm 2010..sye tlh berjaye mendapat straight a dlm sume sbjek...sye mmg berminat nk amik undang2..dan sye meletakkan nye sbg plhn utame dlm pemilihan jurusan ke upu...wlbagaimanapun, sye ragu2 dan mengalami dilema dgn plhn sye ni....sye tahu, jike kita nk amik law ni, kte haruslah mendalami kemahiran bhsa, terutamenye bm n bi...ttp mslh sye skrg sye kurang berkeyakinan untuk berbhsa inggeris, wlpn sye m'dpt a utk bi dlm spm bru2 ni...memandangkan sejak dr kecil lg, sye sudah menggunakan bhsa melayu utk b'komunikasi, jadi, sye tkut dgn keadaan sye nnt apabila sye dlm bidang ni...emak sye cbe meyakinkan sye bhw sye boleh berjaye dlm bidang ni dan mengatakan kpd sye bhwa "nnt apabila mle2 di universiti nnt semua pelajar akn bermula dr kosong dan sbb itulah kite msk universiti utk belajar,kalo dah pandai, buat apa msk universiti "...demikianlah kata2 emak sye...jika berkomunikasi bi pun, sye slalu m'gnakan broken english...dlm fikiran sye, slalu sye berfikir "betul ke plhn yg aq buat ni,tp kalo ikutkan,course2 lain pn kne power dlm english" dan sye b'fikir juga "adakah aq akn ditertawakan nnt memandangkn aq ini kurg fasih dlm ckp bi ?? " demikian la perkare2 yg sering menghantui diri sye..persoaln sye skrg, adakah plhn yg sye buat ni betul memandangkan sye betul2 berminat utk menceburi dalam bidang ni....harap saudara boleh membantu sye...

Baiklah, adik Ielya. Pertama-tamanya, saya nak ucapkan tahniah atas kejayaan Ielya dalam merangkul straight A dalam SPM. Pasti keluarga adik sangat berbangga dengan kejayaan kamu. Secara tak langsung, cita-cita kamu untuk menyambung pelajaran dalam bidang undang-undang pasti akan jadi lebih cerah. 

Memang betul, kalau hendak ambil bidang law, kamu harus ada kemahiran bahasa yang kuat. Kedua-dua Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris kamu perlu berada dalam tahap yang bagus. Tetapi, itu tak bermakna kalau kamu punya kemahiran berbahasa yang sederhana, kamu tak boleh berjaya dalam bidang undang-undang. 

Ramai kenalan saya yang kemahiran berbahasa mereka biasa-biasa sahaja, tetapi dapat keputusan yang bagus dalam peperiksaan undang-undang. Kemahiran itu kamu akan belajar ketika di universiti nanti. Akan ada kelas-kelas bahasa yang diwajibkan untuk kamu ambil, dalam usaha mempertajamkan skill bahasa kamu. 

Yang penting, adalah usaha dan keyakinan diri. Segala kelemahan lain itu, akan pasti dapat diatasi apabila kamu melangkah ke gerbang universiti. Universiti adalah tempat belajar, kan? Jadi di situlah kamu akan timba segala ilmu untuk memperbaiki diri. 

Tentang persoalan kefasihan dalam Bahasa Inggeris, itu adalah satu kemahiran yang harus kamu perbaiki secara berterusan, bukan hanya di universiti, tetapi selama mana kamu menggunakan bahasa tersebut. Saya juga masih terus memperbaiki kemahiran Bahasa Inggeris saya, kerana yakin akan selalu ada ruang untuk penambah baikan.

Apa yang boleh saya cadangkan, mulakan tabiat membaca bahan-bahan yang berkualiti. Apabila kamu banyak membaca, secara tak langsung kemahiran berbahasa itu juga akan diserap secara tak sengaja. Pastikan kamu baca surat khabar dan berita di internet setiap hari, itu membiasakan kamu dengan isu-isu semasa dan kosa kata yang berkaitan. Itu adalah latihan yang paling mudah dan berkesan sebetulnya. 

Jangan kamu risau. Semua orang yang masuk universiti nanti pun sama tahapnya dengan kamu. Masing-masing masih lagi bagaikan sebuah kelas yang kosong, yang minta untuk diisi dengan air ilmu sepenuh mungkin. InsyaAllah, kamu boleh hadapinya dengan tenang. 

Harap jawapan saya dapat membantu ya! Kalau ada masalah lagi, boleh kemukakan dalam ruangan komen di bawah. 

Wassalam.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan