Subscribe

19 April 2011

Album “Cintaku Satu” – Noraniza Idris

Noraniza_Idris_Cintaku_satu

Setelah lama menunggu, akhirnya album terbaru penyanyi kegemaran saya, Noraniza Idris telah pun menjengah ke pasaran. Setiap kali keluar dengan album baru, pasti Noraniza atau lebih mesra dengan panggilan Kak Ani, akan menghidangkan sesuatu yang baru buat para penggemar muzik tradisional dan etnik kreatif.

Cintaku Satu, begitulah tajuk album kali ini – mungkin sebagai perlambangan kepada betapa cintanya Kak Ani terhadap seni muzik tradisional Malaysia sehingga sanggup untuk terus memperjuangkannya, meski arus industri hiburan sekarang semakin kurang cenderung terhadap genre muzik sedemikian.

Apa yang menarik tentang album ini, 9 daripada 10 lagu merupakan duet dengan artis undangan – secara tidak langsung menjadikan album ini berkonsepkan duet. Pasangan duet Kak Ani juga bukan calang-calang. Ada yang baru, ada yang lama, dan hampir kesemuanya bukan dari latar belakang muzik tradisional. Jadi memang sesuatu yang menarik apabila mereka bergabung dengan Kak Ani.

Secara keseluruhannya, album ini masih menggunakan konsep fusion etnik moden yang ditampilkan kali pertama melalui album Sawo Matang. Penggunaan melodi tradisional, dipersembahkan dalam bentuk yang moden, dengan iringan alat muzik kontemporari dengan susunan muzik yang lebih komersil. Ternyata, perjalanan muzik Kak Ani sudah pergi sangat jauh dibandingkan dengan zaman beliau di bawah penerbitan Pak Ngah.

Berikut adalah analisis saya terhadap setiap lagu dalam album ini. Saya bukanlah pakar dalam bidang muzik, tetapi sebagai seorang yang telah mengikuti perkembangan muzik Noraniza Idris sejak album Ala Dondang, ini adalah pandangan saya dari sudut seorang peminat.

1. Mahligai (feat. Jacklyn Victor)

Lagu ini agak moden sebenarnya. Ketika mula-mula mendengarnya, saya tak dapat nak tangkap sangat melodinya, kerana ia lain daripada lagu Kak Ani yang lain. Nuansa tradisionalnya kurang ketara, tetapi saya dapat rasa ada sesuatu tentang lagu ini yang mungkin boleh jadikan ia radio-friendly. 3/5 bintang.

 

2. Enjut (feat. Cat Farish & Adeeb)

Ini sebuah lagu yang diinspirasikan daripada muzik jawa dan kuda kepang. Ada sentuhan hip-hop yang ketara, ditambah pula dengan elemen rap yang ditampilkan. Mungkin bukan genre yang saya begitu gemari, kerana melodinya masih kurang catchy sangat. Tetapi sebagai satu lagu etnik berjiwakan hip-hop, saya boleh katakan ia permulaan yang baik. 3/5 bintang.

3. Endang-Endong (feat. Elji Henava)

Berani saya katakan, ini adalah lagu terbaik dalam album ini, malah antara lagu nyanyian Kak Ani yang sangat sedap. Ia benar melambangkan konsep muzik etnik fusion yang dibawakan. Muzik Endang dari Negeri Sembilan, disulamkan dengan sentuhan moden, dan kadang terasa ada bunyi-bunyi 70-an sedikit pada rangkap chorusnya, menjadikan lagu ini memang catchy dan tak jemu untuk dengar berulang kali. 5/5 bintang.

4. Sama Tak Serupa (feat. Dato’ David Arumugam)

Lagu ini lagu lama yang telah dimuatkan semula dengan susunan muzik yang baru. Tak banyak yang boleh saya ulaskan, kerana setiap komposisi lagu joget Raja Kobat memang saya minat. Cuma, dalam susunan muzik kali ini, penekanan diberikan kepada muzik Portugis – berbanding elemen Joget-Bhangra-Rock yang ditampilkan dalam susunan muzik yang dulu. 4/5 bintang.

5. Ayuh Juragan / Juklah Guru Abe

Seperti lagu Sama Tak Serupa, lagu ini juga lagu lama yang dirakamkan semula. Bezanya, ini adalah versi ketiga setelah ia ditampilkan dalam album Sawo Matang dan Lenggok dalam versi yang berbeza. Ada seorang kawan mengatakan muzik di hadapan lagu ini seperti lagu Michael Jackson. Haha, tak  tahulah saya mana yang samanya. Secara peribadi, saya lebih suka susunan muzik Ayuh Juragan dalam album Lenggok. Saya juga hairan kenapa lagu ini dipilih untuk dirakamkan sekali lagi, sedangkan Kak Ani boleh pilih lagu Iboq yang juga punya kekuatan yang tersendiri dalam mewakili irama Orang Asli.  3/5 bintang.

6. Menarik Hati (feat. Masya)

Inilah lagu pertama dari Kak Ani yang berlatarkan muzik Sabah. Pemilihan rakan duet Marsya memang tepat kerana suaranya kedengaran sangat sesuai dengan lagu ini. Berbanding lagu Sarawak Kak Ani, lagu ini agak releks sedikit dan liriknya juga memang simple. Rasa tenang sahaja bila dengar lagu ini, tambah-tambah lagi bila dengar bahagian alat muzik tradisional Sabah. 4/5 bintang.

7. Kuasa Cinta (feat. Black)

Dah lama tak dengar Kak Ani nyanyikan lagu Zapin. Uniknya lagu ini kerana ia menggabungkan elemen zapin dan rock dalam melodi dan susunan muzik secara bijak. Kedua-dua unsur itu tampak serasi tanpa ada rasa janggal. Cuma, mungkin lirik lagu ini boleh dimurnikan lagi. Ditambah dengan vokal mantap dari Black, memang meremang bulu roma bila dengar. Tak sabar hendak lihat Kak Ani buat persembahan dengan lagu ini! 4/5 bintang.

8. Hari Demi Hari (feat. Dior & Karen Tan)

Bila dengar lagu ini dengan kelantangan yang kuat, memang rasa nak menari. Sebab susunan muziknya ada kekuatan dan semangat. Elemen etnik Cina agak jelas dari bahagian verse lagi, dan diteruskan sampai ke chorus. Cuma, dari chorusnya, saya rasa masih boleh diperbaiki lagi kerana terasa macam agak tergantung dan boleh dipanjangkan dan disedapkan. Saya juga rasa bahagian Karen Tan menyanyi solo dalam Bahasa Cina mungkin terlalu sedikit dan tampak seperti ditempel sahaja. Dari segi lirik, agak bagus kerana simple dan straight to the point. 3/5 bintang.

9. Tandang Bermadah (feat Bob)

Seperti lagu Ayuh Juragan, ini adalah versi ketiga lagu Tandang Bermadah. Tapi versi ini saya sangat suka, kerana ia agak eksotik. Bagaimana pun, saya akan rasa lagi puas kalau lagu Ngajat Tampi pula yang dipilih untuk dirakam semula, kerana saya tak nampak sebab kenapa lagu Tandang Bermadah perlu dibuat baru sebab versi dahulu pun sudah bagus. Adakah kerana isu hak penerbitan? ( Ngajat Tampi ditampilkan dalam album Bekaba, terbitan SRC Records). 4/5 bintang.

10. Endang Endong Versi Cintaku Satu (feat Bob, Marsya, Jaclyn Victor,Elji 11. Henava,Dior, & Karen Tan)

Lagu apa lagi yang sesuai untuk menutup sebuah album lagu-lagu etnik Malaysia kalau tidak dengan lagu terbaiknya – dalam versi 1Malaysia? Jujurnya, saya rasa lagu ini lebih berwarna-warni dari versi yang asal, dengan penggunaan bahasa dan dialek Melayu, Negeri Sembilan, Mandarin, Tamil, Sabah, Sarawak, dan Orang Asli. Terasa semangat 1Malaysia memang terasa dalam lagu ini. Tak percaya? Lihat persembahan ini:

Keseluruhan

Bagi mereka yang baru berjinak-jinak hendak mengenali muzik Noraniza Idris, album Cintaku Satu adalah permulaan yang bagus kerana ia melambangkan muzik beliau secara keseluruhannya, terutamanya dalam genre fusion etnik yang dipeloporinya.

Tetapi, dari segi pemasaran dan promosi, saya rasa banyak perkara perlu dipertingkatkan kerana sebuah produk yang baik, jika tiada pemasaran dan promosi yang berkesan, akan menyebabkan album itu tidak terjual.

Saya telah habiskan banyak masa untuk mencari album ini di serata Kuala Lumpur, tetapi tidak jumpa, sehinggalah sampai saya hampir berputus asa. Jadi, jika saya yang peminat ini pun susah hendak jumpa, bagaimana pula dengan mereka yang baru hendak mula meminati dan mengenali kan?

Kalau kamu hendak dapatkan album ini secara online, boleh cuba melalui pautan ini. Kamu memang tak akan rugi dan pasti berpuas hati dengan buah tangan terbaru ini! Semoga Noraniza Idris akan terus maju dalam memperjuangkan muzik etnik tradisional Malaysia. Tahniah atas produk yang benar-benar mengangkat semangat gagasan 1 Malaysia ini!

1 komentar:

Rohaniah Noor berkata...

saya dah pun memiliki album ini. keseluruhannya album ini hebat. saya sangat suka aduh juragan versi baru ni. lagu mahligai, endang-endong mmg best. saya setuju yg album ini sesuai utk org yg bukan hardcore peminat lagu2 etnik sebab ia dah disuntik dgn irama moden tp tetap unik dan kreatif. bg peminat muzik noraniza idris pula, ini satu kelainan yg sangat dinanti

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan