Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

25 Mei 2010

Ebiet G. Ade – Datanglah Ke Malaysia…

images2 

Bagi sesiapa yang mengenali saya secara rapat, pasti akan tahu bahawa saya ialah seorang peminat kipas-susah-mati Ebiet G. Ade.  Boleh dikatakan sudah hampir 6 tahun saya bergelumang dengan keasyikan karya beliau – sejak meninggalkan bangku sekolah. Pak Ebiet merupakan seorang penyanyi lagu puisi dari Indonesia yang sangat terkenal pada era 70-an sehinggalah kini. Di Indonesia, beliau sudah dianggap sebagai seorang lagenda.

Di antara rakan sebaya saya, tak ramai yang mengenali beliau. Biasanya orang yang lebih berusia sedikit yang melayan lagu-lagu Pak Ebiet. Yang pasti, siapa yang tak menikmati karya beliau, ternyata kehilangan besar. Kekuatan karya Pak Ebiet terletak pada lirik-lirik yang sangat puitis dan indah . Beliau mampu mengangkat tema-tema yang biasa kita dengar, dengan begitu terkesan dan berseni. Saya sendiri mendengar lagu beliau sebagai satu terapi untuk mententeramkan hati dan perasaan tatkala dilanda rawan.

 

Lagu-lagu beliau bukan sahaja berkisar mengenai kisah cinta semata-mata. Malah, ia menjangkaui tema penderitaan, keagamaan, bencana, kemerdekaan, gejala sosial, kekeluargaan dan banyak lagi. Setiap lagu itu sangat istimewa kerana mendapat sentuhan Pak Ebiet sendiri. Malah, kalau kita tonton persembahan beliau, pasti gitar tak akan lekang bersama Pak Ebiet. Itulah yang menjadi identiti beliau. Sekadar kerusi dan gitar, sudah cukup untuk membuat kita tenggelam dalam keindahan. Tak lupa juga, suara beliau yang sedap.

Kalau ditanya lagu apa yang menjadi kegemaran, saya tak mampu menjawab soalan berkenaan sebab semuanya saya suka. Contohnya, lagu yang sentiasa saya dengar berulang kali adalah – Kupu-Kupu Kertas, Nyanyian Rindu, Ingin Kupetik Bintang Kejora, Demikianlah Cinta, Aku Ingin Pulang, Titip Rindu Buat Ayah, Masih Ada Waktu, Dengarkanlah Kata-Kataku, Hidupku Milikmu, Untuk Kita Renungkan, Berita Kepada Kawan, Biarkanlah Hati Yang Bicara, Lagu Untuk Sebuah Nama dan banyak lagi!

Oh, anda tahu lagu Camelia yang dipopularkan oleh Sweet Charity, bukan? Ramai di Malaysia yang tak tahu bahawa penyanyi dan pencipta asalnya adalah Pak Ebiet G. Ade dengan tajuk Camelia 2. Lagu itu adalah sebahagian daripada siri lagu Camelia 1, Camelia 2, Camelia 3, dan Camelia 4. Jika digabungkan semua lagu tersebut, akan terciptalah sebuah kisah cinta.

Malah, Pak Ebiet sendiri pernah berduet dengan M. Nasir melalui lagu Berita Kepada Kawan tatkala ketika Konsert M. Nasir di Kuala Lumpur lama dulu. Video Youtubenya saya perturunkan di bawah ini :

 

Saya sebenarnya sangat-sangat berharap agak Pak Ebiet dapat datang lagi ke Malaysia dan membuat konsert solonya di sini. Pernah saya suarakan permintaan ini kepada beliau di Twitter; dan beliau menjawab “InsyaAllah, jika ada yang menjemput…”. Oh, kalau ada sesiapa yang nak buat konsert di luar sana, jemputlah Pak Ebiet ya. Saya pasti akan ramai yang berebut-rebut hendak beli tiket, termasuklah saya.

Anda boleh baca lebih lanjut mengenai Pak Ebiet di sini. Kalau nak dengar seleksi lagu-lagunya pula, boleh ke sini. Laman web rasmi beliau di sini pula.

Anda peminat Ebiet G. Ade? Ayuh kongsi pendapat di ruangan comment!

Wassalam.

4 komentar:

Tuah Sujana berkata...

Lihat bagaimana rakyat Indonesia meletakkan 'mutiara' pada tempatnya. Dan ya, saya belum ketemu satu lagu yang digubah dan ditulis liriknya oleh orang lain. Dialah penyanyi, penulis lirik, dan penggubah lagu. Malangnya, tak ramai anak muda yang 'kenal' dan sedia 'masuk' ke dalam irama-irama sesyahdu ini.

Jom berebiet!

Azree Ariffin berkata...

@Tuah Sujana Benar tu, Tuah. Beliaulah seniman sejati. Setiap lagu yang beliau sampaikan, merupakan hasil karya beliau sendiri.

Loyar Lawa berkata...

penah dengar nama beliau maksudnye sye kenal... yes! hahahhaaa

Azree Ariffin berkata...

@Loyar Lawa Cuba kamu terokai muziknya, pasti kamu akan suka!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan