Subscribe

03 Januari 2011

Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa 2011

163642_483172497282_555522282_6443200_6355357_n

Ini kali pertama saya menyambut tahun baru di kejauhan – nun menyeberang ke Pulau Pangkor. Jemputan menyertai program Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa saya sahut bersama rakan-rakan seperjuangan di hari pertama tahun 2011.

Catatan perjalanan sepanjang di Pulau Pangkor akan saya titipkan sedikit masa lagi. Entri ini biar saya tumpukan kepada pengisian program sepanjang hari. Kalau sesiapa yang telah melanggan akaun twitter saya, pasti telah tahu perkembangan terkini yang telah saya maklumkan melalui liputan langsung.

Festival ini dianjurkan oleh Malim Arts Village dengan kerjasama Persatuan Penulis Nasional & Dewan Bahasa & Pustaka di bawah penajaan Institut Darul Ridzuan & Pejabat Menteri Besar Negeri Perak.

Rombongan dari Kuala Lumpur bertolak sehari lebih awal dari Menara DBP dengan 3 buah bas. Antara yang menjadi peserta adalah pelajar-pelajar Akademi Pengajian Melayu – Universiti Malaya, Universiti Prince of Songkla – Thailand, Kelab Alumni MPR, dan beberapa pelajar dari UiTM Shah Alam. Turut juga menyertai adalah penulis-penulis mapan, petugas DBP, dan orang-orang perseorangan yang meminati alam dan dunia puisi Melayu.

IMG_0675

Majlis dimulakan dengan Seminar Bahasa & Sastera yang dipengerusikan oleh Prof Siti Zainon Ismail dengan tajuk “Arah Tuju Bahasa & Sastera Melayu di Era Globalisasi. Sewaktu saya tiba, panel pertama telah pun selesai memberikan pembentangannya.

Pembentang kedua adalah Prof Mana Sikana yang dahulu pernah berkhidmat lama di Singapura. Beliau menerangkan kepada kami mengenai beberapa teori-teori sastera dan aspek kritikan dalam sastera. Menarik untuk dipelajari terutamanya bagi saya yang bukan dari bidang tersebut.

Seterusnya, panel ketiga didatangkan khas dari Universitas Negeri Surabaya – Professor Emeritus Dr Budi Darma. Saya tertarik dengan pembentangannya yang telah menceritakan sebuah kisah yang dipetik dari sebuah novel untuk memulakan perbicaraan. Beliau membincangkan mengenai apa itu Sastera Kebangsaan dan mengambil Singapura sebagai subjeknya.

Katanya : penulis-penulis Sastera Melayu di Singapura terus-terusan menulis mengenai keadaan hidup mereka dan identiti serta kedudukan mereka di dunia serba moden.

Seterusnya, sesi perasmian telah diadakan dengan YB Dato’ Zainol Fadzi – Pengerusi Jawatankuasa Kesenian, Belia, dan Sukan Negeri Perak menyampaikan ucapan perasmiannya.

IMG_0680

Pada sesi kedua seminar, pembentangan telah diteruskan oleh Tuan Aminudin Hashim dari Institut Darul Ridzuan yang telah membentangkan sebuah kertas kerja yang menerangkan mengenai Perak AmanJaya. Pembentangan ini kiranya adalah selingan sebenarnya kerana tidak ada kaitan dengan sastera & budaya, tetapi lebih merupakan penerangan kepada peserta untuk lebih mengetahui apa perancangan yang akan mereka jalankan, terutamanya dalam bidang seni dan budaya.

Bagaimanapun, saya suka analogi yang digunakan oleh Tuan Aminudin Hashim – kereta di lebuhraya umpama air di dalam sebuah batang paip. Kita harus takung lebihannya supaya kita dapat menjana lebih banyak pendapatan untuk negeri. Benar juga, oleh itulah beliau telah menyarankan pembinaan lebih banyak prasarana di sepanjang lebuhraya di negeri Perak.

Sesi yang ditunggu-tunggu pastinya apabila kartunis terkemuka negara memberikan pembentangannya. Sebagai anak jati negeri Perak, tidak hairanlah beliau telah dijemput dalam memberikan pandangan dan pengalaman dalam menempuhi cabaran sebagai seorang ahli seni.

Antara yang beliau katakan adalah : Penggiat seni haruslah kuat semangat dalam perjuangan dan menempuh cabaran. Beliau mengenang kembali kenangan momori silam beliau sewaktu zaman mula-mula hendak mencapai cita-cita di waktu awal kerjaya. Hadirin semua juga terhibur dengan lawak jenaka yang beliau sulamkan dalam pengucapan beliau.

Akhir sekali, Datuk Baha Zain telah berucap dengan tajuk Bahasa & Budaya Melayu di Era Globalisasi. Beliau menyatakan contoh-contoh semasa betapa orang kita masih belum ada tahap kesedaran yang tinggi akan pentingnya Bahasa Melayu.

Sedari itu, 4 cadangan telah beliau kemukakan :

  1. Pentadbiran bidang pendidikan dan kebudayaan haruslah diletak di bawah satu kementerian yang sama, supaya semangat dan kesedaran kebudayaan itu dapat dipupuk sejak di bangku sekolah lagi.
  2. Pelepasan cukai pendapatan dalam bidang kreatif haruslah dinaikkan dari RM20,000 kepada RM40,000.
  3. Penubuhan Majlis Bahasa Melayu oleh Majlis Raja-Raja Melayu di bawah naungan Yang di-Pertuan Agong – untuk melindungi kepentingan dan kedaulatan Bahasa Melayu dari dimanipulasi pihak pemerintah atau pembangkang.
  4. Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa penyampaian ilmu terutamanya di UKM sebagai menjana perkembangan Bahasa Melayu. Penggunaan Bahasa Melayu ke peringkat sekolah menengah sahaja tidak cukup untuk memartabah bahasa kebangsaan.

IMG_0687

 

Pada sebelah petangnya, acara baca puisi santai telah diadakan di bawah khemah yang didirikan di tepian pantai. Sewaktu ini, saya tidaklah mengikutinya dengan tekun, tetapi ramai yang telah mengambil peluang ini untuk mendeklamasikan puisi masing-masing kerana ia terbuka kepada semua peserta.

Selain itu, juga ada dendangan lagu rakyat oleh Dato’ Aripin Said dan dendangan puisi khas oleh delegasi dari negeri Sabah. Sambil mendengar puisi, bayu laut yang menerpa wajah seolah-olah memberikan kelembutan yang menambahkan keasyikan dalam alun penyampain puisi. Seperti biasa juga, sesi baca puisi oleh para penulis dimanfaatkan sepenuhnya untuk ‘berpuisi’ juga dari tempat duduk. Smile with tongue out

DSCN8532

Pada sesi sebelah malam, saya tidak berkesempatan mengambil apa-apa gambar. Jadi, saya kira mungkin ceritanya anda boleh dapati dari blog-blog lain. Tetapi, apa yang saya ingat adalah ia telah diserikan oleh YB Menteri Besar Perak – Dr Zambri yang telah juga mendeklamasikan sebuah sajak karya beliau sendiri. Saya kira, ada bakat juga beliau menjadi seorang deklamator. Suara sedap, sajak yang ditulisnya pun boleh tahan!

Ahmad Fedtri Yahya, pengacara TV3 telah menakhoda majlis baca puisi tersebut.

Pandangan & Cadangan

  • Meskipun acara ini dinamakan ‘Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa”, tetapi dari segi penyampaian seminar – tidak ada satu pun pembentangan yang membicarakan mengenai puisi atau lagu rakyat secara khusus. Agak menghampakan bagi mereka yang datang untuk mendekati dua genre tersebut. Mungkin selepas ini, boleh gunakan tajuk yang umum, atau pun pengisian seminar yang melambangkan tajuk program.
  • Sebagai sebuah program yang dinamakan “antarabangsa”, pengisian sewaktu seminar ada yang lebih menekankan pembangunan negara di Malaysia secara khusus – sehinggakan apabila saya bertanya kepada beberapa peserta dari Thailand, mereka mengatakan bahawa mereka tidak faham apa yang dibentangkan. Pengisian program selepas ini mungkin boleh mengambil kira tetamu-tetamu kita yang datang dari jauh ini.
  • Secara keseluruhan, pengisian dan pendekatan program ini baik, tetapi longgar. Mungkin juga untuk memberikan peluang kepada para peserta berkenal-kenalan dan mencari ilham dalam berkarya. Apa-pun, mungkin kalau diusahakan lagi, aktiviti-aktiviti festival ini boleh dikreatifkan lagi!

Bagaimanapun, secara keseluruhannya, saya sifatkan program ini sebagai berjaya. Dengan lokasi yang sangat indah dan menyamankan, pasti semangat para pengkarya akan berkobar-kobar untuk kembali menyiapkan gubahan yang indah untuk masyarakat. Kelancaran program juga teratur, dan tidak ada apa-apa masalah besar. Malah, kepantasan urusetia mengubah pentas sesi baca puisi sebelah malam lantaran hari yang kehujanan juga menunjukkan bahawa telah ada Plan B yang dirangka. Tahniah!

Penghargaan

Dengan itu, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada para penganjur dan urusetia program yang telah bertungkus-lumus menjayakan acara ini. Malah, lebih-lebih lagi kerana penajaan para peserta dari segi pengangkutan, penginapan, dan makanan. Sesungguhnya amat kami hargai. Catatan kecil ini adalah sebagai sumbangan kecil terhadap usaha keras kalian.

Seandainya ada yang tersalah ucap atau tersilap gerak, ampun dan maaf saya pinta, juga bagi pihak Kelab Alumni MPR yang saya wakili. Semoga akan ketemu di lain masa dan ketika, selagi hayat masih dikandung badan.

Selamat Tahun Baru 2011!

Sekian, wassalam.

3 komentar:

Unknown berkata...

Ehem~
Macam tahu festival ni.
Semoga terus 'berjuang'.
:P

Liza berkata...

your BM is so good, ajar akak boleh?

Azree Ariffin berkata...

Attokz; Hehe, dah kita pergi bersama-sama, pastilah tahu, kan?

Kak Liza; Mestilah boleh. :)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan