Subscribe

09 Januari 2011

Tahun Baru 2011 Di Pulau Pangkor

 image

Dalam entri yang lepas, saya telah menceritakan mengenai perjalanan program Festival Puisi & Lagu Rakyat Antarabangsa di Pulau Pangkor. Jadi, entri kali ini akan lebih bercorak santai di mana ia akan fokuskan kepada pengalaman menyambut tahun baru bersama rakan-rakan di sana.

Rombongan dari DBP bertolak dengan 3 buah bas, yang mana kami berada di dalam bas ASWARA yang juga dinaiki oleh Sasterawan Negara Dato’ Dr Anwar Ridhwan.

Kali terakhir saya ke sini adalah lebih kurang 5 tahun lepas, sewaktu saya di Pusat Matrikulasi UIAM. Mahallah Abu Bakar telah mengadakan sebuah perkhemahan di Pulau Pangkor selama 3 hari. Bagaimanapun, ketika itu kami berkhemah di tepi pantai, dan terpaksa mengharung hutan rimba untuk sampai ke pantai tersebut.

Maka, tidaklah saya begitu menikmati ketenangan pekan Pangkor ketika itu.

DSCN8393

Perjalanan menuju ke Lumut mengambil masa lebih kurang 4 jam. Di Lumut, ada sebuah jeti yang menghubungkannya dengan pulau-pulau berhampiran. Jauh beza dengan jeti yang saya ingat dahulu. Gaya bangunan sudah seperti sebuah lapangan terbang. Nampak sungguh ia baru siap, kerana masih ada beberapa kemasan yang belum sempurna. Proses menaiki bot juga teratur. Pembelian tiket diuruskan urus setia, jadi pastilah teratur. :)

Sebenarnya, dari Lumut ke Pulau Pangkor tidaklah jauh. Malah, pulau ini sudah nampak jelas dari Lumut. Dalam 15 minit perjalanan begitu. Tidaklah seperti hendak menaiki bot ke Pulau Langkawi atau Pulau Tioman. Sebab itu, kalau menaiki bot, kami memilih untuk berdiri di tingkat atas agar dapat menikmati pemandangan samudera dan angin yang menerpa muka.

 image

Pemandangan yang menyambut kami ketika semakin menghampiri Pulau Pangkor. Dari sini saya sudah nampak perkampungan nelayan di pesisiran pantai. Tenang dan indah sekali perasaannya. Semuanya perlahan dan tidak terburu-buru. Tidak seperti di kota.

image

Sampai di Jeti Pulau Pangkor, sebuah simbol besar “1Malaysia” menyambut kami. Nampak tak dari gambar sebelah atas ini? Haha pastinya tanda 1Malaysia yang paling besar saya pernah saksikan.

Selesai memunggah barang, kami menaiki van untuk ke hotel penginapan kami. Sebuah van boleh muat lebih kurang 10 orang dan kami membayar RM1 seorang. Hah lihatlah wajah girang kami sewaktu sampai. Alang-alang menyelam, boleh minum air. Alang-alang berfestival, boleh pergi bercuti. :)

image

Ada dua buah hotel yang digunakan sepanjang program ini berlangsung. Keduanya terletak di Pasir Bogak. Yang pertamanya adalah Hotel Bayu Puteri. Di sinilah diadakan seminar dan acara baca puisi. Manakala sebahagian daripada para peserta ditempatkan di Hotel Golden Beach yang letaknya di sebarang jalan sahaja. Termasuklah kami-kami ini. :)

Semasa kami mendaftar masuk hotel, jam sudah menunjukkan pukul 5 petang. Hari pertama tidak ada aktiviti sangat. Jadi, kami ambil masa sedikit untuk berehat dan solat jamak, sebelum berjalan-jalan sekitar kawasan pantai.

image

Kebetulan, senja itu adalah senja terakhir tahun 2010. Kami ambil kesempatan untuk berjalan-jalan di pantai Bogak sambil menghirup udara Pangkor yang nyaman. Pantai Pangkor masih lagi bersih, sesuai untuk bermandi-mandi. Saya lihat ramai yang melakukan aktiviti air. Tak kurang juga yang duduk bercanda sambil menikmati angin petang.

Hajat untuk menyaksikan matahari akhir tahun terbenam tidak kesampaian apabila kaki langit dilitupi awan. Sedikit kecewa, tetapi tak mengapalah tiada rezeki. Sambil mencicip air kelapa dan mengunyah cucur udang yang sangat sedap, kami pun berlalu kembali ke hotel. Dan senja pun berlabuh.

image

Pada waktu malam, tidak ada apa-apa aktiviti. Sepatutnya, ada acara baca puisi santai. Tetapi, tidak ada yang sukarela, ditambah pula tidak ada pengemudi acara, jadi kami andaikan sahaja acara itu tidak jadi. Sambil lepak-lepak di tepi pantai, kami pun berkenalan dengan rakan-rakan dari Universiti Malaya yang mewakili Kelab Bahasa Melayu dari sana.

Sempat juga untuk berjalan-jalan dan membeli-belah di beberapa kedai yang berhampiran. Apa yang saya suka tentang Pangkor ini adalah kerana ia bukanlah sebuah pekan yang mati meski terletak di tengah pulau. Hendak ke mana pun, senang kerana ada van yang tersedia. Malah, kalau tidak mahu, boleh saja jalan kaki kerana jarak yang tidaklah jauh.

Harganya pun, bolehlah tahan. Tetapi saya tidak menggolongkannya dalam kategori murah. Seperti key-chain, saya rasa kalau di Jeti Lumut mungkin lagi murah. Terserah kepada anda untuk membandingkan harga. Saya cadangkan, semasa di Lumut, cuma jalan-jalan dahulu untuk melihat harga barangan, dan kemudian nanti boleh bandingkan dengan harga di Pulau Pangkor.

image

Ketika detik 12 tengah malam, saya dan rakan-rakan sedang bersantai-santai di lobi hotel sambil berkongsi makanan laut yang dibeli dan menonton Harry Potter di komputer riba. Ingatkan, di tengah pulau ini tidak ada apalah yang akan disambut. Rupanya, ada juga bunga api yang mencakar langit. Lama juga, lebih kurang 15 minit. Saya cuba mengambil gambar, tapi kebanyakannya tak jelas. Yang atas ini sahaja yang boleh tahan.

image

Esoknya, selepas acara baca puisi, saya terserempak dengan rakan pemantun UIAM, Izwan. Rupanya, Abang Hisyam yang juga peserta rombongan yang mengajak dia ke sini yang kebetulan tinggal berdekatan. Aduhai maaflah Izwan, tak sempat nak fikir apa-apa. Lepas saja kelas, terus kemas barang dan berangkat ke Pangkor. Kalau boleh, nak ajak kesemua rakan-rakan Unit Kebudayaan UIAM. Sekurang-kurangnya, saya sudah buat hebahan di Facebook kan? Hehe.

image

Ini antara kenangan termanis di Pulau Pangkor. Berbasikal keliling pulau! Mana mungkin saya dapat lupakan pertama kali berbasikal secara berkonvoi dengan rakan-rakan seperjuangan dengan hajat mengelilingi pulau.

Sewa basikal juga tidak mahal. Hanya RM2 untuk satu jam. Boleh sangatlah tu. Malah, jika tak mahu berbasikal pun, anda boleh menyewa motor atau kereta dengan harga yang berpatutan di sekitar pulau ini. Seingat saya, saya pernah ke Pangkor dengan keluarga sekitar 7 atau 8 tahun lepas. Kami pernah sewa kereta untuk mengelilingi pulau dan ia mengambil masa lebih kurang 15 minit untuk buat satu pusingan lengkap. Besar tak besar, kecil tak kecil pulau ini.

image

Tetapi, kalau naik basikal, pastikan fizikal dan kecerdasan anda dalam keadaan yang baik. Kerana ada kawasan bukit yang memang payah hendak didaki. Kalau rasa-rasa mahu berbasikal santai sahaja, tak perlulah naik bukit tu. Tak pasal-pasal ada yang pitam pula nanti. :)

image

Penat berbasikal, bersantai pula di tepi pantai di sebuah gerai makan. Kerang bakar dan keropok ikan menjadi pilihan. Saya pula memesan jus timun susu sebagai pelepas dahaga. Tak pernah rasa, bila lihat dalam menu, terus saya pesan. Bila di tempat orang, selera nak cuba sesuatu yang baru tiba-tiba muncul. Padahal jus timun tentu ada sahaja di tempat lain. Di tempat orang jugak yang sedap. :)

Malam itu, ada acara baca puisi bersama Menteri Besar Perak. Butirannya boleh anda dapati dari blog-blog lain atau pun laporan akhbar dan televisyen. Serius, malam itu memang saya tak begitu fokus kepada bacaan puisi kerana dari tempat duduk, saya tak dapat melihat pembaca puisi dengan jelas.

image

image

Esoknya, tibalah waktu untuk kami berangkat pulang. Kami harus pulang awal ke Kuala Lumpur, kerana bas kami membawa orang VIP. Dapat sekapal dengan Sasterawan Negara memang ada untungnya. Lihatlah gambar di atas. Sporting sungguh Dato’. Bila lagi boleh berjalan-jalan dengan Sasterawan Negara, kan?

image

Ketika dalam bot, hujan lebat turun membelah samudera. Jadi kali ini tidak dapat kami hendak bersuka-sukaan di tingkat atas merasa nyaman angin laut. Semua harus duduk di tingkat bawah. Tapi, tak mengapalah sebab dah puas melihat-lihat semasa perjalanan datang ke sini. Gambar pun sudah diambil.

image

Tiba di Lumut, sempat singgah di sini sebentar. Kami diberi kesempatan selama 20 minit untuk membeli produk-produk laut dari Pangkor untuk diri sendiri atau orang tersayang. Macam-macam ada. Ikan bilis, keropok ikan, sotong gula, dan lain-lain. Untuk saya ini yang tak tahu sangat nak beli ikan bilis, banyak beli makanan berbungkus. Rasanya banyak lagi gerai-gerai sebegini sekitar Lumut. Dari pemerhatian kasar saya, harga lebih kurang dengan di Pangkor. Tetapi kalau pandai cari, tentu dapat tempat yang lagi murah.

image

Begitulah kisah saya di Pangkor. Entah bila akan ke sana lagi. Tempatnya sangat tenang dan nyaman. Kalau hendak berehat dan melapangkan fikiran, saya memang cadangkan anda untuk ke Pulau Pangkor. Pengangkutan juga sangat senang untuk ke sana. Dengar khabar, perancangan sedang dilakukan untuk menganjurkan Perhimpunan Penulis Muda Nasional 2011 di sini. Menarik!

Jumpa Lagi! Wassalam.

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan