Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

13 Jun 2009

Malam Puisi Utusan 2009

Pertembungan antara peminat sastera dan peminat hiburan - begitulah apa yang saya dapat lihat di Malam Puisi Utusan 2009 yang diadakan semalam di Laman Seni, Istana Budaya. Inilah kali pertama saya menghadiri program sebegini yang menggabungkan kedua-dua aliran ini menjadi satu. Antara ratusan yang menghadiri acara tersebut; ada kelibat penyair ternama, pelakon-pelakon drama tivi, deklamator, ahli kelab-kelab peminat artis realiti, tidak dilupakan juga wartawan hiburan, malah ibu bapa yang membawa anak-anak menikmati puisi pada malam hujung minggu. Semuanya bersatu atas nama seni.

Saya lihat situasi sebegini sebagai sesuatu yang sihat - apabila puisi dimasyarakatkan kepada khalayak yang lebih luas, dan tidak lagi menjadi milik eksklusif penyair semata-mata. Tahniah kepada Kumpulan Utusan yang saban tahun tekal mengadakan acara-acara sebegini.

Saya datang sedikit awal pada hari tersebut lantaran kebimbangan tidak mendapat tempat untuk parkir kereta memandangkan jangkaan bahawa acara ini akan manjadi begitu meriah disebabkan promosi yang begitu meluas oleh media terutamanya di Utusan Malaysia dan Astro.

Acara yang semi-formal ini saya hadiri untuk mendapatkan ilham bagaimana untuk menguruskan sebuah majlis baca puisi di kampus saya kelak. Ternyata banyak yang saya belajar dari pengurusan acaranya.

Ramai penyair dan artis yang telah menjayakan Malam Puisi Utusan. Berikut antara beberapa intipati yang menarik minat saya :

  1. Persembahan oleh Nik Saffiyyah atau lebih dikenali sebagai Mek. Saya sangat suka apabila beliau mendendangkan lagu makyung dengan iringan rebab. Terasa sangat syahdu dan berkesan.
  2. Puisi Kota Silap Mata - karya Syukri Abdullah yang dideklamasikannya sendiri. Ahh, cukup benar sekali apa yang dikatakannya mengenai kota Kuala Lumpur. Rakyat telah disihir pemimpin dengan retorika belaka. Sangat suka.
  3. Dr Faiz - bakal angkasawan negara juga telah dijemput hadir untuk membaca sebuah puisi berkenaan Tun Teja. Wah, ternyata angkasawan juga ada bakat untuk menjadi deklamator. Sangat bersemangat dan terkesan di jiwa. Saya berkesempatan untuk berbicara dengan dia selepas acara berakhir. Ternyata beliau merupakan seorang yang sangat baik dan merendah diri. Malah, beliau tekun mendengar penerangan dari kami mengenai dunia puisi.
  4. Sajak oleh Pyanhabib - oh betapa benar, sajak sememangnya menyatakan tentang kebenaran. Antara bait yang saya ingat lebih kurang begini - "Orang semakin sibuk dengan One Malaysia, dan semakin lupakan Islam Hadhari."
  5. Dato' Siti Nurhaliza! Sikap merendah diri sudah menjadi darah dagingnya. Saya tabik usahanya untuk tetap membaca puisi karya Rozais Al-Anamy. Disusuli pula dengan nyanyian lagu Penantian - tribute kepada Zubir Ali.
Ramai lagi yang membuat persembahan, tetapi yang 5 di atas ini masih tetap tersimpan dalam ingatan saya - sebagai persembahan yang mengesankan. Tahniah kepada semua pihak yang menjayakan acara ini. Terima kasih atas segala hiburan dan inspirasi yang telah diberikan. Semoga acara-acara sebegini akan diteruskan pada masa akan datang.

8 komentar:

HarlymYeo berkata...

Malam tadi saya juga berkesempatan menyaksikan Malam Puisi Utusan. Pertama kali kaki menjejak Laman Beringin, Istana Budaya dan amat terpesona dengan suasana yang santai lagi unik itu. Suatu yang berlainan daripada acara yang pernah saya hadiri sebelum ini. Syabas kepada IB & UM. Kepada ASTRO AWANI (apa pun agenda mereka), tahniah saya ungkapkan kerana memasyarakatkan acara puisi yang tak seglamor rancangan TV realiti.

D'Rimba berkata...

Tahniah semuanya..................Saya makin mengagumi perjuangan kental Pak Samad tentang bahasa Melayu kita.

Aidil Khalid berkata...

Gambar-gambar ketika malam tersebut tidak adakah? Kepingin nak tengok, hehe, sebab saya tak ikut serta menyaksikan acara malam itu.

bayan berkata...

pendapat yang agak berlainan dengan akak.

Sekadar pendapat.

Tapi Siti Nurhaliza maveles malam itu - kecomelannya dan persembahan puisinya.

D'Rimba berkata...

Pinggan yang boleh dimanfaatkan. Huhuhu.............

D'Rimba berkata...

Azree, jangan lupa hantarkan lagu Roslan Madun dekat orang ya........

ODE berkata...

melihat kepada hadirin di sekeliling, saya cuba bezakan antara peminat puisi dan artis.
tapi mesti orang lain ingat kita juga peminat artis seperti mereka.
hahaha....
sbb kita datang tanpa ciri2 itu.

Harris Shah Abd Hamid berkata...

Bila pulak Azreee nak buat persembahan kat IB? ;-)

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan