Subscribe

26 Jun 2009

Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008

Selepas Malam Puisi Utusan dan Mana Setangginya, saya sekali lagi ke Istana Budaya untuk menghadiri majlis penyampaian Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2008 (HSKU). HSKU adalah satu-satunya hadiah sastera yang paling tekal memberikan penghargaan kepada para sasterawan Malaysia yang giat berkarya menghasilkan kerja-kerja yang bermutu.

Kalau sebelum ini, HSKU diadakan di majlis tertutup di hotel-hotel mewah Kuala Lumpur, kali ini HSKU diadakan secara terbuka kepada orang ramai. Maka, saya pun telah mengambil peluang ini untuk merasai bahang dan kemeriah HSKU bersama rakan-rakan seperjuangan. Manalah tahu, mendapat semangat dan berkat, lalu kembali lagi tahun depan sebagai pemenang!

Pentas HSKU kali ini menggunakan set teater Mana Setangginya yang sedang dipentaskan di Panggung Sari. Masuk saja, kami telah meluru ke bahagian hadapan Panggung Sari untuk mendapatkan pandangan yang terbaik. Pertama kali berpeluang ke ruang hadapan Panggung Sari, perasaan begitu teruja. Tampak pula kelibat nama-nama besar dalam arena sastera negara.


Tun Mahathir Muhammad telah menjadi tetamu kehormat pada acara ini. Apabila Sasterawan Negara A. Samad Said menaiki pentas untuk mendeklamasikan puisi, beliau telah memilih sebuah puisi bertajuk "Peludah Bahasa". Wah, mendengar tajuknya saja, sudah tahu kepada siapa ia ditujukan.

Anuar Zain

Misha Omar

Turut dipersembahkan adalah petikan-petikan daripada teater Mana Setangginya. Bertuah juga dapat menonton buat kali kedua beberapa adegan tersebut. Tentunya kali ini dari tempat duduk yang lebih dekat. Selain itu, majlis turut dimeriahkan dengan persembahan Anuar Zain dan Misha Omar yang nyata begitu bertenaga.

Bersama pemenang kategori cerpen remaja, Puan Sri Rahayu Mohd Yusop

Oh, tentunya "bintang" sebenar majlis ini adalah para pemenang; masing-masing dalam kategori novel remaja, cerpen, cerpen remaja, puisi, kajian sastera, dan rencana sastera. Tahniah kepada semua. Semoga kejayaan kalian menjadi perangsang kepada penulis-penulis muda untuk turut menjejaki kecemerlangan dalam alam sastera Melayu.

Gambar sumbangan Ainunl Muaiyanah Sulaiman

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan