Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

16 Jun 2009

Bengkel Apresiasi Puisi ( Sajak & Syair)

Asalnya saya hanya diberitahu bahawa saya akan menghadiri bengkel syair. Tidak sangka pula bahawa ia juga turut menyelitkan bengkel deklamasi puisi. Sudah lama saya berharap untuk menyertai mana-mana bengkel deklamasi puisi tetapi kerana ia jarang diadakan, saya tidak pernah belajar deklamasi secara formal. Maka, umpama pucuk dicita ulam mendatang, bersempena musim Sayembara Deklamasi Puisi Merdeka 2009 yang bakal menjelang tiba, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Kuala Lumpur (JKKNKL) dengan kerjasama Dewan Bahasa & Pustaka (DBP) telah mengadakan Bengkel Apresiasi Puisi (Sajak & Syair) pada 14 Jun 2009.



Lebih mengujakan tentunya pembimbing untuk deklamasi puisi ialah Dr Lim Swee Tin, penulis puisi Malaysia yang tidak asing lagi. Saya pertama kali bertemu dengan beliau sewaktu bengkel penulisan di Perpustakaan Komuniti Taman Tun Dr. Ismail pada tahun 2005, sejurus sebelum saya menyertai Minggu Penulis Remaja. Pembentangan beliau mengenai deklamasi puisi benar-benar mengubah perspektif saya mengenai cara deklamasi yang betul. Beliau telah menerangkan mengenai aspek-aspek pemarkahan seperti suara, gaya, teknik, penampilan diri, dan juga etika ketika membuat persembahan. Sesekali para peserta hangar-bingar dengan gelak-ketawa dek kerana terhibur dengan cara penyampaiannya yang bersahaja dan ceria.




Slot kedua menampilkan Dr Zurinah Hassanyang telah memberikan pengenalan kepada puisi tradisional dengan pengkhususan kepada syair. Dari situlah saya mengenali irama-irama syair seperti Selendang Delima, Dandan Setia, dan Irama Narasi. CD beliau yang telah saya beli dan dengar terlebih dahulu sewaktu Seminar Kebangsaan Puisi Melayu Tradisional telah banyak memberi saya ilmu dan pengetahuan mengenai jenis-jenis dan melodi lagu-lagu puisi Melayu tradisional. Turut diberitahu adalah persedian membaca syair yang saya pasti harus dimanfaatkan oleh mereka yang ingin menyertai Sayembara Syair Merdeka yang julung-julung kali diadakan pada tahun ini.




Bengkel diteruskan dengan pembimbing yang ketiga iaitu Tuan Roslan Madun. Sebetulanya ini baru kali pertama bertemu dengan beliau. Sebelum ini selalu mendengar namanya sebagai penggiat lagu-lagu rakyat. Sempat juga membeli CD beliau iaitu Puisi Warisan bagi melengkapkan koleksi lagu-lagu puisi. Dalam slot beliau, saya banyak belajar mengenai cara bersyair yang betul. Beliau juga telah memperkenalkan irama Syair Sarawak yang pertama kali saya dengar. Begitu laju juga temponya, lain dengan irama-irama syair lain yang saya pernah dengar sebelum ini. Sesi ini lebih interaktif di mana Tuan Roslan telah berganding dengan Dr Zurinah untuk membetulkan cara bersyair para peserta.

Bengkel ini sangat seronok. Saya tidak menyesal menyertainya, walaupun pada asalnya agak berkira-kira lantaran kesibukan dengan tugas-tugas lain. InsyaAllah ilmu yang diperoleh akan digunakan dan disebarkan kepada masyarakat agar generasi kita lebih mengenal dan menghargai seni berpuisi.


1 komentar:

D'Rimba berkata...

Terima kasih atas ruang dan peluang............Adik-adik smk berhampiran juara hari ini lagu dan puisi peringkat K.L. Bulan Ogos peringkat kebangsaan di Sabah.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan