Subscribe

29 Ogos 2009

Nikmat Berkawan

Baru sebentar tadi saya telah menghantar seorang teman ke mahallah (asrama) beliau. Teman saya ini seorang perempuan. Beliau telah sakit selama beberapa hari. Lemah sahaja saya lihat cahaya di wajahnya.

Beliau kelihatan kurus jika hendak dibandingkan dengan kali terakhir kami berjumpa. Kami bertemu dalam satu mesyuarat yang dikendalikan oleh kami berdua. Saya kagum, walaupun sakit-sakit, tetapi beliau masih tetap teguh meneruskan perancangan yang telah kami lakukan berbulan-bulan. Terasa serba salah pula melihat beliau bekerja dalam keadaan yang kurang sihat.

Sebelum menghantar beliau balik, saya ada bertanyakan kepada beliau - siapa kawan baik beliau. Maklumlah, dalam keadaan sakit-sakit ini, penting untuk ada seorang teman setia yang sentiasa ada di sisi.

"Awaklah kawan baik saya," jawabnya ringkas.

"Oh saya kawan baik awak? Tidak adakah kawan perempuan yang rapat?"

"Saya tak ramai kawan di kampus ini. Yang paling rapat pun, awak. Sebab itu awak selalu nampak saya berseorangan." Beliau membalas sambil mata sedikit berkaca.

Selepas beberapa ketika, kami pun bersurai dan saya menuju ke Mahallah saya. Dalam perjalanan tersebut, saya mengingati kembali jawapan teman saya tadi. Ia membuatkan saya tersedar akan satu perkara. Satu nikmat yang saya miliki, tetapi kadang-kadang terlupa untuk menghargainya.

Nikmat Berkawan.

Begitu banyak nikmat yang telah dikurniakan oleh ilahi. Dikurniakan dengan kawan yang baik dan mengambil berat, yang selalu ada di sisi sewaktu saya memerlukan. Menjadi peneman sewaktu saya kesepian. Oh, betapa saya terlupa bahawa itu semua adalah nikmat!

Bayangkanlah anda satu hari nanti semua itu direngguk dan diambil balik oleh Allah S.W.T. dan kita tertinggal bersendirian sahaja di muka bumi ini. Apalah makna hidup tanpa ikatan persaudaraan dan persahabatan.

Lantas, saya pun tiba di Mahallah sambil fikiran larut di dalam jiwa.


0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan