Subscribe

19 Ogos 2009

Selamat Hari Ulangtahun ke-22, Azree




Alhamdullillah, syukur kepada Allah. Dengan segala kurniaan daripadaNYA, dapatlah kau menjejakkan kaki di bumi bertuah ini, menghirup udara yang segar, dan berbahagia bersama-sama orang yang menyayangi dirimu. Pada hari ulang tahun kelahiranmu yang ke 22 ini, wajarlah kamu panjatkan rasa kesyukuran kepada yang maha kuasa.

Merenung kembali kehidupan ini, rasanya masih banyak lagi yang harus kau kejar. Begitu jauh lagi perjalanan yang harus kau tempuhi sebelum sampai ke destinasi yang diidam-idamkan. Kamu jangan leka, harus sentiasa menumpukan pada matlamat perjuangan hidup ini. Aku tahu, kamu mudah terbuai dengan perkara-perkara yang mengasyikkan dan melenakan diri. Tetapi sedarlah kamu harus menjadi insan yang berjiwa besar, kuatkan hati, tabahkan diri.

Bila diimbas kembali, aduhai bertuah sungguh hidup yang kamu lalui berbanding orang lain. Dilahirkan dalam keluarga yang bahagia dan amat mengasihi dirimu. Ingatlah kamu bahawa sejak kecil lagi kamu telah ditatang bagai minyak yang penuh. Maka sewajarnya janganlah kamu mengeluh, atau pun membanding-bandingkan tuah orang dengan nasib sendiri. Ingatlah, tuhan tak akan mengubah nasib diri kamu kecuali kamu berusaha mengubahnya. Apa pun, dengan segala kurniaan yang telah diberikan ini, datanglah pelbagai tanggungjawab untuk kamu pikul.

Kamu sudah berusia 22 tahun, sudah bukan budak-budak lagi. Alam remaja sudah semakin ditinggal pergi. Sekarang ini kamu harus berhadapan dengan alam dewasa yang sangat mencabar. Tidak mengapalah kalau ada sedikit kesusahan itu. Bukankah itu semua mengajar kamu menjadi manusia yang matang? Belajar dan teruslah belajar. Biarlah kamu hidup dalam kesederhanaan - kerana sesungguhnya kesederhanaan itu adalah kesempurnaan.

Sentiasa rendah diri. Bak resmi padi, makin berisi makin tunduk. Begitu juga resmi ubi, diam-diam berisi. Jangan sombong, jangan sesekali meninggi diri. Ingatlah, kalau kita tinggi - ada orang yang lebih tinggi daripada kita. Kerana itu, tidak rugi orang yang merendah diri. Orang lain akan sentiasa senang dengan kehadiran kita.

Dalam bidang pelajaran, kamu harus lipat-gandakan usaha. Kamu mahu menjadi seorang peguam bukan? Menegakkan keadilan dan mempertahankan hak-hak bangsa dan agama kamu, juga melindungi warisan seni dan budaya melalui undang-undang. Sebelum kamu boleh lakukan semua itu, belajarlah bersungguh-sungguh, harapan ayahanda dan bonda sangat tinggi terhadap kamu - lebih-lebih lagi sebagai anak sulung. Janganlah kecewakan mereka. Ini perjuangan kamu.

...dan juga tentang rindu kamu, janganlah difikirkan sangat. Doakanlah semoga kerinduan ini satu hari akan terubat juga. Tak mengapalah, kamu fikirkan begini - biar kita hilang cinta manusia, tetapi jangan sampai kita hilang cinta tuhan. Kalau benar kamu ikhlas, satu hari apa yang kamu lakukan akan terbalas juga. Sabar sentiasa dalam apa juga yang kamu lakukan.

Hidup ini, walaupun di tengah ramai, tetapi sebenarnya kita keseorangan. Kerana itu, kamu kena kuat.

When things get tough, only the tough gets going.

Selamat Hari Ulangtahun ke-22, duhai diri.

Azree Ariffin
AIKOL, UIAM
2.30PM 19 Ogos 2009

3 komentar:

Ahada Aihara berkata...

Azree,
Very long birthday speech but I like it...
A little reminder for me too...
Again, happy 22nd birthday!!!

PENA CELORENG berkata...

Wowww, satu ucapan intrapersonal yang hebat. Baguslah kalau berazam yang begitu. Macam saya ni, orang kampung, ulu plak tu. Kami di kampung tak biasa sambut 'birthday'. Nak sebutpun tak reti. Jadi dalam kehidupan saya tidak ada signifikannya birthday, ianya seperti hari-hari biasa jeee. Saya cemburu juga sebab tak boleh merasainya tetapi janggal sangat sebab dah di didik begitu.

Azree Ariffin berkata...

Terima kasih, kak ahada... saja je buat ucapan.. sebagai tanda ingatan diri....

Tuan Radzi, saya pun bukanlah jenis yang sambut sangat birthday ni. Saban tahun, harijadi disambut biasa saja, tapi penuh dgn kesyukuran kerana dilimpahi dengan palbagai nikmat dan kurnia..

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan