Assalamualaikum.
Seingat saya, rasanya belum pernah lagi saya menjejakkan kaki ke Bandaraya Ipoh di Perak. Memang selalu terdengar betapa ramai yang memperkatakan tentang kota ini, tapi tak pernah ada kesempatan untuk menziarahinya. Maka, jemputan oleh Ainunl Muaiyanah Sulaiman untuk menemaninya ke Ipoh bagi menghadiri majlis perkahwinan rakan sekolahnya saya terima dengan rasa gembira. Alang-alang sedang cuti ini, boleh juga pergi mengembara ke tempat orang.
Kami memilih untuk ke Ipoh dengan menaiki Keretapi Tanah Melayu dari KL Sentral ke KTM Ipoh. Dah lama sangat saya tak naik KTM. Satu pengalaman yang pastinya berbeza. Tak perlu untuk menyesakkan kepala memandu mengharungi lebuh raya. Tambahan pula, kami tidak tahu jalan di Ipoh. Maka tentunya pilihan untuk menaiki kenderaan awam lebih praktikal.
Tren ke Ipoh bertolak pada pukul 5.30 pagi. Sangat awal, sehinggakan saya tak sempat tidur sebelum perjalanan kerana sibuk menguruskan sesuatu – ditambah dengan sebab saya ini memang jenis burung hantu!
Hendak dijadikan cerita, Ainunl Muaiyanah (Yana) juga begitu – tidak tidur sepanjang malam, tapi saya tak pasti lah apa pula sebabnya. Mungkin khuatir tak sempat bangun untuk sampai di KL Sentral tepat pada masanya.
Perjalanan mengambil masa selama 3 jam. Kesempatan yang ada, kami gunakan untuk qada’kan tidur kami yang tertinggal, tetapi tidak terlelap pun, sebab masing-masing teruja untuk berjalan jauh. Di dalam KTM tiada surau, jadi solat subuh harus dilakukan sambil duduk.
Sampai di Ipoh sekitar jam 8.30 pagi. Setelah bersiap-siap membersihkan diri, kami pun bersarapan pagi di sebuah kafe di bangunan KTM Ipoh. Sarapan biasa-biasa sahaja sebenarnya. Sekadar hendak mengisi perut. Lagi pun, kafe di situ tidak berapa menarik seleksi makanannya.
Yana telah membeli buku di atas sebagai hadiah kepada pasangan mempelai. Sangat menarik isinya – himpunan ungkapan-ungkapan romantis mengenai cinta dan kasih sayang. Pasti bikin sang pengantin tersenyum manja. Di KTM itu jugalah kami beli pembalut kertas, pelekat, dan gunting untuk membalut buku ini.
Rumah pengantin tidaklah jauh sangat dari Bandar Ipoh. Kalau naik teksi, lebih kurang 15 minit sahaja. Kalau tak silap, kediaman mereka di Taman Kledang. Sambil menuju ke rumah mempelai, sempat saya membuang pandangan ke arah persekitaran kota Ipoh.
Memang benar, Ipoh ada magisnya yang tersendiri. Saya melihat Ipoh, seperti kota yang membangun pada tahun 70-an. Suasananya sangat old-style, tapi masih lagi segar. Ada aroma klasik di sekitarnya. Sekurang-kurangnya, itulah yang saya rasakan sebagai pengunjung kali pertama.
Sebelum terlupa, pasangan yang berkahwin ini namanya Napisah dan Khairul Shahri. Napisah adalah teman Yana sewaktu di MRSM. Pasangan ini keduanya berumur 23 tahun – sebaya dengan saya! Mereka baru sahaja tamat pengajian dari UiTM dan UTM. Kebetulan, kedua-duanya bertugas di daerah yang sama. Maka, cinta yang terikat sejak sekolah menengah ini pun disatukan tidak lama selepas itu.
Ketika kami tiba, waktu sudah menunjukkan pukul 11 pagi. Majlis nikah bermula tidak lama selepas itu. Saya sebagai tukang teman, bertugas sebagai jurugambar kepada Yana – yang menjadi pengapit Napisah. Majlis diadakan cukup mudah dan ringkas. Upacara pernikahan diadakan di rumah pengantin perempuan.
Selesai nikah, ada sesi bergambar sekejap, dan terus pengantin bersalin baju. Ada khemah didirikan di luar untuk para tetamu menjamu selera. Kemunculan pengantin seterusnya dengan persalinan kedua adalah untuk makan beradab dan kemudian bermesra dengan para tetamu. Mudah dan ringkas. Pertama kali saya hadiri majlis perkahwinan yang tiada persandingan. Tentunya satu pengalaman baru.
Selepas majlis berakhir, waktu sudah menginjak ke Zohor. Setelah bersolat di masjid berdekatan, kami memutuskan untuk ke bandar Ipoh. Namun, disebabkan kami tiada kenderaan, kami memilih untuk terus ke Ipoh Parade dahulu untuk melepaskan lelah.
Hajat di hati, ingin meneroka bandar Ipoh ini sepuas hati. Tetapi, atas sebab masing-masing sedang tiada tenaga kerana tidak tidur malam sebelumnya, dan tidak ada kereta yang memudahkan pergerakan kami, akhirnya melepaklah kami di Ipoh Parade.
Sebab utama di Ipoh Parade adalah untuk ke Novel Hut. Khabarnya, di sini terkenal dengan jualan buku terpakai yang murah. Ada banyak buku yang boleh dipilih situ. Namun, kebanyakan masih lagi dalam kategori mahal lagi, kerana susut nilainya hanya sedikit. Harus pandai cari untuk mendapatkan buku-buku yang benar murah dan bermutu. Tetapi maaf ya, saya tak sempat nak ambil gambar di sana. Maklumlah sudah mabuk dengan buku!
Kenal makanan di atas? Haa, di Ipoh Parade ini saya terjumpa dorayaki. Selalu terbaca makanan ini di dalam komik Doraemon. Macam sedap sangat bila Nobita dan Doraemon selalu bergaduh untuk mendapatkannya. Jadi, saya pun beli lah untuk cuba. Rasanya seperti pan-cake dan juga bahulu. Boleh didapati dengan pelbagai inti. Kami beli inti Kaya dan Peanut Butter.
Bila masing-masing dah tak larat nak jalan, kami pun putuskan untuk tonton wayang. Ya! Tonton wayang di Ipoh. Haha, begitu ironi sekali apabila jalan jauh-jauh, tapi sekadar nak tonton wayang. Tapi, apakan daya. Itu sahaja aktiviti yang mampu dilakukan. Nak berjalan, tak ada kereta. Maka, kami pun beli tiket wayang untuk Harry Potter 7.
Ulasan mengenai pengalaman menonton wayang di Ipoh, anda boleh baca di sini.
Tren balik ke Kuala Lumpur adalah pada pukul 9.30 malam. Jadi selepas habis menonton wayang, kami ada sisa masa 1 jam untuk berjalan-jalan sebentar menghirup udara Ipoh, di hadapan bangunan KTM. Boleh lah, daripada tak berjalan langsung kan. Tapi tak ambil gambar banyak pun.
Begitulah perjalanan saya ke Ipoh. Selepas ini, harus merancang lagi sekali untuk ke sana untuk betul-betul mengunjungi tempat bersejarah yang menarik di sana. Tiket ke sana menaiki KTM pun tidak lah mahal mana. Ada tempat menarik yang anda ingin cadangkan? Meh ajukan di ruangan komen.
Terima kasih kerana membaca!
2 komentar:
tak pernah naik kete api balik kg..
tak pernah makan dorayaki!
ermmm
hahaha. :) next time boleh jumpa tempat lain pula. :)
Mr syazwan : sesekali travel tak pakai kereta pun best juga :0
Catat Ulasan