Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

08 Jun 2009

The Other Boleyn Girl

Ketika pulang ke Muar, Johor pada hujung minggu lepas bagi menziarahi sanak saudara sebelah ibu, saya berkesempatan untuk menonton filem The Other Boleyn Girl yang sedang ditayangkan di saluran HBO di rumah bapa saudara saya. Sebetulnya, kesudahan filem ini pernah saya tonton beberapa minggu lepas bersama ibu. Saya telah tonton filem ini sekali lagi dari permulaannya bagi mendapatkan kefahaman mengenai peristiwa tragis yang menimpa Anne Boleyn, Permaisuri England – isteri kepada Raja Henry yang telah dihukum pancung atas kesalahan melakukan zina dan sumbang mahram.

Saya merasa begitu terkesan terhadap kisah ini – sekurang-kurangnya melalui penceritaannya dalam filem. Betapa kerana kuasa dan pangkat, seseorang sanggup melakukan apa sahaja hatta menggunakan ahli keluarga sendiri untuk mengejar kenikmatan dunia. Ini kisah adik beradik Boleyn, iaitu Anne dan Mary yang telah diminta oleh bapa mereka untuk mendapatkan perhatian Raja Henry bagi melebarkan pengaruh keluarga. Raja Henry yang ketika itu dalam kerunsingan mencari pewaris takhta – seorang anak lelaki sering sahaja kecewa kerana Permaisurinya tidak mampu memberikan zuriat kepada baginda.

Perkenalan antara Raja Henry dan Mary Boleyn telah membolehkan mereka dikurniakan anak lelaki – namun disebabkan tiada perkahwinan antara mereka – bayi tersebut tidak boleh mewarisi takhta England. Lalu, Anne Boleyn telah berusaha mempengaruhi perhatian Raja sehingga membuatkan baginda menjadi tidak keruan. Disebabkan peristiwa inilah Istana England telah terputus hubungan dengan Gereja Rom. Akhirnya, Anne telah berkahwin dengan Raja England dan sekaligus menjadi Permaisuri England.

Seterusnya, Anne telah hamil dan melahirkan seorang anak perempuan. Atas kehendak memberikan waris lelaki, Anne telah hamil sekali lagi dan kemudian keguguran. Akibat tertekan terhadap kemungkinan reputasinya tercalar, dalam diam-diam Anne telah meminta adik lelakinya sendiri untuk menghamilkan Anne. Walaupun akhirnya, tiada sumbang mahram berlaku antara mereka, tetapi peristiwa mereka berdua-duaan telah diperhatikan oleh seorang pengintip – lalu dilaporkan kepada Raja Henry.

Mereka didapati bersalah terhadap tuduhan berzina dan sumbang mahram, maka telah dihukum pancung. Tentunya, babak hukuman pancung inilah kemuncak dalam filem ini, begitu menyayat hati sekali. Filem ini telah menggerakkan rasa ingin tahu saya untuk mendalami sejarah keluarga diraja England yang pastinya menarik untuk diterokai.

Fakta di atas mungkin ada kesilapannya, maka saya berbesar hati jika ada yang boleh membetulkannya. Kalau ada juga yang sudi berkongsi pengetahuan mengenai perkara ini, saya juga amat mengalu-alukan.

Sumber Gambar : http://www.femalefirst.co.uk/image-library/port/376/b/boleyn.jpg

1 komentar:

rai berkata...

Salam Azree,

Yup,akak pun suka filem ni. Fakta sejarah sebenarnya tidak mesti 100 tepat kerana siapa yang betul-betul tahu sebenarnya apa yg terjadi 400-500 tahun lalu?

Yang penting, berdasarkan fakta dan maklumat yang kukuh, kita boleh manipulasi semula sejarah mengikut perspektif baru.Banyak karya yg baik, terutama dari Barat menunjukkan bahawa ending tetap sama mcm dalam buku sejarah. Cuma plot dan perjalanannya boleh difiksyenkan, asalkan munasabah. Filem ini tentang manipulasi kuasa sangat mengesankan.

Filem/drama Melayu masih paparkan dengki tahap cipan,malah sangat predictable.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan