Dalam entri saya yang terdahulu di sini , saya sudah menulis tentang pengalaman kali pertama menjadi pengundi. Kali ini pula, saya hendak sambung dengan menceritakan pengalaman menjadi Ejen Tempat Mengundi di Pilihan Raya Umum ke 13!
Sejurus sahaja selesai menunaikan kewajipan mengundi pada lebih kurang pukul 11 pagi, saya terus bergegas ke SK Taman Sea, tempat tugasan untuk menjadi Ejen Tempat Mengundi. Pada awalnya, saya ditugaskan untuk hanya menjaga satu slot iaitu pukul 12.30 – 3 petang, tetapi harus memanjangkannya sehingga pukul 5 akibat perubahan saat akhir.
Bayangkanlah betapa terkejar-kejarnya saya hari itu sebab setelah beratur dan berdiri hampir 3 jam semata-mata untuk mengundi, selepas itu harus bergegas pula ke tempat lain. Makan tengahari pun di dalam kereta kerana takut tak sempat hendak sampai tepat pada masanya.
Masuk sahaja ke dalam Bilik Pengundian, saya tak sempat hendak bertegur sapa dengan ejen sebelumnya kerana waktu itu harus dengan segera meneruskan tugas. Skop tugas seorang Ejen Tempat Mengundi adalah untuk memastikan nama orang yang datang mengundi sama dengan daftar pemilih yang disediakan.
Apabila seorang pengundi masuk ke dalam Bilik Pengundian, kerani SPR akan memeriksa Kad Pengenalan mereka dan menyebut nombor Kad Pengenalan pengundi itu dengan kuat. Ejen setiap parti pula akan memeriksa sama ada nama pengundi tersebut ada di dalam daftar pemilih yang mereka ada dan menggariskan nama orang tersebut menandakan bahawa orang itu telah pun mengundi dan tidak boleh mengundi untuk kali kedua.
2 jam pertama memang agak sibuk sebab pengundi masuk mengundi tanpa henti. Jadi, saya harus sentiasa peka untuk memastikan nama mereka tertera dalam daftar pemilih. Kalau berlaku seorang yang telah mengundi masuk ke bilik mengundi buat kali kedua, Ejen Tempat Mengundi harus membantah dan di situlah terletaknya tugas dan tanggungjawab Ejen setiap parti untuk mengekang pengundi hantu.
Selepas pukul 4 petang, aliran pengundi sudah semakin reda. Waktu itu saya mengambil kesempatan untuk pergi menunaikan Solat Zohor kerana tak berkesempatan sebelum itu. Sayangnya, tidak ada orang lain untuk gantikan saya semasa pergi bersolat. Jadi terpaksalah redha sahaja dan meninggalkan bilik pengundian buat seketika untuk ke surau.
Sepanjang menjadi Ejen, saya tidak mempunyai sebarang masalah berhadapan dengan petugas Suruhanjaya Pilihan Raya mahu pun Ejen Tempat Mengundi dari parti lain. Semua memberikan kerjasama yang baik terutamanya Ejen dari parti lagi satu. Malah, kami saling berkenalan ketika senggang waktu lapang.
Tepat pukul 5 petang, secara rasmi waktu mengundi pun tamat dan pintu bilik pengundian ditutup oleh Ketua Tempat Mengundi (KTM). Kami telah diberikan rehat selama 30 minit dan pengiraan undi akan dimulakan pada pulul 5.30 petang bagi memberi laluan kepada petugas dan ejen untuk menunaikan solat Asar.
Sepatutnya, ada pegawai lain yang menggantikan saya untuk sesi pengiraan undi, tapi saya sukarela untuk berada di dalam bilik pengundian sehingga selesai pengiraan sebab ini adalah satu peluang yang jarang diperolehi. Tidak ada masalah sangat ketika proses pengiraan undi di dalam bilik kami, tetapi kami antara bilik yang terakhir menghabiskan pengiraan.
Satu perkara yang saya perhatikan adalah Ketua Tempat Mengundi di tempat saya itu sedikit kurang pasti mengenai prosedur pengiraan dan pengisian borang. Saya faham bahawa mereka adalah hanya penjawat awam yang dilantik oleh SPR dan barangkali juga kali pertama membuat kerja pilihanraya, tetapi sedikit hairan juga kerana sepatutnya mereka sudah diberikan latihan secukupnya.
Mujurlah Agen Tempat Mengundi pihak parti lagi satu mempunyai pengalaman dan tahu lebih banyak mengenai prosedur pengisian borang. Jadi, dialah yang banyak menolong dalam proses pengundian tersebut. Saya yang tak diberikan latihan ini, menjadi saksi dan memerhatikan serta belajar dari pengalaman.
Nak tahu saya keluar pukul berapa? Pukul 8 malam! Fuh, sangat lama kami mengira undi dan saya dapati bilik-bilik lain pun sudah siap. Di kawasan luar bilik pengundian, para polis bertugas menjaga kawasan dan bertanggungjawab mengiringi kotak pengundian ke pusat pengumpulan.
Aduhai begitulah serba sedikit pengalaman saya di baris hadapan PRU13. Sehari suntuk dihabiskan untuk PRU, bermula dari beratur untuk mengundi sehinggalah bertugas sebagai Agen Tempat Mengundi. Kalau dilihat dari pengalaman saya bertugas, Agen Tempat Mengundi memang punya tanggungjawab yang sangat besar dalam menentukan ketelusan Pilihan Raya.
Sehingga kita bertemu 5 tahun lagi di PRU14!
0 komentar:
Catat Ulasan