Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

10 April 2010

Pindah Bilik Lagi

Keadaan di kampus sekarang sudah makin sunyi sepi. Saya anggarkan lebih kurang hampir 70% pelajar telah pulang ke kampung halaman masing-masing setelah berakhirnya examination period pada hari Khamis lepas. Yang tinggal kebanyakannya sekarang adalah pelajar-pelajar antarabangsa yang masih berlegar-legar di kawasan kolej kediaman.
.
Berakhirnya semester 2 setiap tahun, bermaknanya akan bermulalah sebuah proses yang amat saya tak suka - reshuffling. Ini ialah satu polisi yang diamalkan UIAM dalam pengurusan kolej kediaman di sini - yang kami panggil Mahallah. Setiap pelajar dikehendaki untuk mengosongkan bilik masing-masing melalui proses check-out, dan kemudian akan diberikan sebuah bilik baru pada semester kemudiannya.
.
Satu perkara yang amat leceh adalah untuk membungkus barang-barang dan berpindah bilik ke baru. Satu proses yang kadang-kadang saya rasa tak perlu pun dilakukan.
.
Ya, saya tahu. Ada pro dan kontranya. Bilik di Mahallah itu bukanlah milik mutlak pelajar untuk digunakan sesuka hati walaupun ketika waktu cuti semester. Ada ketikanya perlu juga digunakan kemudahan di Mahallah untuk menampung keperluan program-program yang memerlukan penginapan di dalam kampus. Saya faham.
.
Tetapi, proses untuk berpindah bilik semata-mata untuk mematuhi polisi tersebut kadang-kadang menyusahkan pelajar. Tak bolehkah kalau pelajar diberikan pilihan untuk menetap di bilik yang sama sepanjang tempoh pengajian? Hal ini pasti akan menyenangkan kerja banyak pihak. Kalau pelajar tersebut itu sendiri yang nak pindah bilik, biar dia sendiri yang memohon dan berpindah. Tak perlulah nak melibatkan kesemua sekali warga kampus. Saya pasti, tiap semester pasti ada pelajar yang akan menamatkan pengajian. Jadi, tentu ada bilik baru yang dikosongkan.
.
Malah, pre-registration mahallah yang baru dikuatkuasakan semester ini melalui sistem online juga banyak memberikan masalah kepada pelajar. Hasil daripada sistem baru ini, ramai pelajar mengadu tak dapat mendaftar dalam talian kerana masalah teknikal dan sebagainya. Hasilnya, bilik-bilik mereka telah direbut dan didaftarkan bawah nama orang lain. Melalui sistem ini juga, pelajar susah hendak menentukan siapa rakan sebilik mereka. Hal ini kerana, melalui sistem online - ia mengamalkan konsep "siapa cepat dia dapat". Pelajar sepatutnya ada hak untuk memilih rakan sebilik mereka - kerana ia akan mempengaruhi kesejahteraan hidup mereka di dalam kampus.
.
Oleh yang demikian, saya cadangkan saja kepada pihak yang sepatutnya - gunakanlah kembali sistem yang digunakan di Pusat Asasi dahulu. Caranya adalah pelajar akan memberikan senarai nama-nama rakan sebilik mereka, dan terpulanglah kepada pihak Mahallah untuk meletakkan mereka. Tak perlulah pelajar nak pening-pening kepala nak pilih bilik mana mereka mahu. Ia pasti akan menjimatkan masa dan melancarkan proses pendaftaran Mahallah setiap semester.
.
P/s : Belum angkut barang lagi bawa balik rumah. Esok akan bercuti bersama keluarga. Hari Ahad baru balik. InsyaAllah Isnin nanti akan teruskan proses pemunggahan. :)

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan