Tindakan “Israel” menawan kapal Mavi Marvara dan Rachel Corrie ternyata telah membuka mata dunia betapa kejamnya negara zionis itu. Saya meletakkan tanda “-“ adalah kerana negara itu hanyalah khayalan belaka lantaran berpijak di bumi yang bukan milik mereka – bumi yang telah dirampas dengan licik dan zalim.
Sebelum ini, saya bukanlah seorang yang begitu mengikuti perkembangan konflik Palestin - “Israel” ini. Ya, saya mendengar dan melihat di kaca TV, namun bahu yang memikul lebih berat dari mata yang memandang. Kita hanya berada dari kejauhan ini, tak boleh membayangkan betapa peritnya penderitaan yang ditanggung oleh saudara-saudara kita di Palestin, terutamanya di Semenanjung Gaza. Namun, tragedi ini telah memberi kesedaran betapa kita perlu bangkit dari lena.
Tindakan yang dilakukan Israel terhadap para anak kapal Mavi Marvara sangat kejam dan sebetulnya adalah satu perlakuan jenayah antarabangsa. Bayangkanlah, sebuah kapal yang membawa misi bantuan kemanusiaan, tanpa sebarang niat buruk untuk menceroboh “Israel”, telah ditawan dan diserang bertubi-tubi hingga ada yang terbunuh dan ramai yang tercedera.
Apa hak mereka? Tanpa sebarang hak dan kuasa, malah Mavi Marvara itu sedikit pun tidak melintas perairan “Israel”. Betapa mereka begitu takut dan trauma dengan bayang-bayang sendiri. Gaza itu telah mereka kepung, bagaikan sebuah sangkar derita – nyawa penduduk Palestin dan kemarahan dunia umpama mainan sahaja.
Seperti biasa, PBB bagaikan naga yang kehilangan api berbisa. Hanya besar pada rupa, tapi tak mampu berbuat apa-apa. Di saat-saat begini, PBB bagaikan sungguh tak berguna. Apalah gunanya kita ada badan dunia yang tak daya hendak menyelesaikan konflik sebegini. Dayus sungguh.
Jangan biarkan mereka terlepas lagi! Jangan biarkan mereka mengganas lagi! Jangan berikan mereka kepuasan dek tidak ada sesiapa berani mengusik apatah menghukum perilaku tak berperikemanusiaan ini.
Allahuakbar!
1 komentar:
if only all muslim countries come together and fight this regime! May Allah show us the way....Amin...
Catat Ulasan