Satu perkara yang saya suka mengenai bangsawan adalah kerana konsepnya yang merupakan satu persembahan komprehensif, yang mana ada lakonan, nyanyian, tarian dan lawak jenaka semuanya dalam satu pementasan. Bangsawan biasanya mengetengahkan kisah raja-raja, putera-puteri, dah hikayat dulu-dulu yang akan dipersembahkan dengan diselang-seli dengan segmen extra-turn – iaitu selingan antara babak yang biasanya ada kena mengena dengan cerita yang disampaikan.
Saya pernah menonton bangsawan sebanyak 3 kali dan antara yang pernah saya tonton adalah Bangsawan Bawang Putih Bawang Merah yang pernah saya nukilkan di sini.
Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) adalah antara badan yang giat mempertahankan kesenian bangsawan ini yang semakin hanyut ditelan arus pemodenan. Di mana lagi tempat kita boleh menonton bangsawan? Sudah jarang kedengaran, bukan?
Mungkin ada yang mengatakan bangsawan ini tak jauh bezanya dengan teater konvensional yang biasa. Tapi, saya percaya – setelah mengamati beberapa bangsawan dan teater – bahawa bangsawan punya keistimewaannya tersendiri. Tak hairanlah ia menjadi bahan hiburan kepada rakyat jelata suatu ketika dahulu.
Bangsawan Megat Bulang Kuala – itulah tajuk pementasan bangsawan yang telah saya tonton baru-baru ini di Panggung Bandaraya.Tidak seperti kebiasaan yang mana kemasukan adalah percuma, pementasan kali ini mengenakan bayaran RM5.
Tak mahal langsung sebenarnya, malah saya sendiri setuju kalau selepas ini bayaran dikenakan untuk menonton bangsawan. Tak kan selama-lamanya nak menonton percuma kan? Sekurang-kurangnya rakyat akan dididik untuk lebih menghargai seni dan budaya. Bukan mudah nak pentaskan sesebuah karya. Orang ramai biasanya hanya tahu kritik sahaja, tetapi tidak merasa proses di sebalik persiapan sesebuah pementasan itu. Pementasan kali ini banyak disertai orang-orang lama, macam pakcik kita di atas ini. Saya tak mengenali kebanyakan mereka yang berlakon, tetapi yang pasti – Seniman Negara – Haji Abdul Rahman Haji Abu Bakar atau lebih dikenali sebagai Rahman B telah membuat penampilan istimewa.
Seboleh-bolehnya, saya ingin berikan info yang lebih tepat mengenai bangsawan ini, tetapi sayangnya saya telah tertinggal brosurenya di sana – dan membuatkan saya berasa amat ralat. Saya baru bercadang-cadang hendak menulis di sini nama-nama pelakon dan wataknya, tapi tak ada rezeki. Ceritanya juga saya masih kabur-kabur lagi mengenai butirannya, jadi saya akan cerita tentang apa yang saya ingat sajalah ya.
Ini babak permulaan. Yang baju merah itu Mak Inang. Si baju biru pula Kamsiah, dan yang tinggi lampai itu, Puteri Sharul Bariyah. (Saya rasa confirm nama ini salah. Mohon betulkan. :D) Masa ini babak menari-nari di taman larangan.
Biasalah tu, memang agak tipikal dalam mana-mana cerita hikayat Melayu bahawa sang puteri akan bersuka ria di taman larangan bersama dayang-dayang istana. Dan kemudian, dia akan menjadi mangsa pula untuk dikahwinkan dengan orang ini, dengan orang itu. Klise? Mungkin sudah tiba masanya untuk kita memperkasa watak wanita dalam hikayat-hikayat Melayu. Ini fiksyen. Bukan sejarah. Boleh diolah mengikut kesesuaian zaman, kan?Babak extra-turn. Saya tak berapa ingat lagu apa ini. Kurang popular agaknya. Senikata juga saya tak berapa dengar sebab sebutan tak berapa jelas.
Akhirnya muncul Seniman Negara kita – Rahman B. di pentas sebagai Sultan Terengganu. Oh, yang sebelahnya juga merupakan orang lama. Tapi saya tak pasti namanya – sebabnya saya tak ada brosur dengan saya. Huhu.
Set pentas untuk babak di istana. Oh ini extra-turn seterusnya. Kalau anda mengantuk, memang akan terus terjaga bila menonton persembahan ini! Permaisuri menyanyi. Sekali lagi, saya tak dengar butir-butir seni katanya. Babak antara Megat Terawih dan bapanya, Mufti negeri yang berasal dari Acheh. Dipendekkan cerita, Megat Teraweh harus menceraikan isterinya, Kamsiah kerana hendak disatukan dengan putera raja.Pertelingkahan antara anak beranak yang akhirnya menyebabkan Megat Sareh, adinda Megat Teraweh berdendam dan ingin menuntut bela penceraian kekandanya itu. Sedikit ralat berlaku di sini sebab watak Megat Sareh selalu tersasul menyebut perkataan abang, kakak, dan saya. Sepatutnya kekanda dan hamba. Megat Sareh sedang memukau seisi istana untuk menculik sang puteri. Paduka Sultan menyiasat akan kehilangan puterinya. Puteri dijumpai di dalam gua. Megat Teraweh telah berkonflik dengan Megat Sireh. Akhirnya, Megat Sireh membunuh diri, tetapi Mega Teraweh telah dituduh membunuh adindanya sendiri.
Babak terakhir di istana. Mufti telah dititahkan untuk membunuh anaknya sendiri, Megat Teraweh atas kesalahan membunuh Megat Sareh. Ada sedikit emosi di sini. Akhirnya Puteri Shahrul Bariyah telah mencelah dan menyatakan kebenaran. Megat Teraweh telah dianugerahkan gelaran Megat Bulang Kuala.
Akhir cerita. Banyak yang saya langkau sebenarnya. Tapi, lebih kurang beginilah ceritanya.
Berikut adalah beberapa perkara yang saya lihat dan sempat hadamkan :
- Betapa Sultan begitu cepat terpedaya mendengar sesuatu tuduhan dan menjatuhkan hukuman tanpa usul periksa.
- Wanita diperdagangkan bagai harta yang tak bernyawa. Suka hati sahaja diceraikan dan diserahkan kepada orang lain bagaikan tak punya perasaan.
- Hasad dengki yang sentiasa beraja dalam hati manusia yang akhirnya mencetuskan porak peranda.
Begitulah pengalaman saya menonton bangsawan ini. Secara keseluruhannya, tidak menghampakan, tetapi saya dan beberapa orang teman sependapat bahawa banyak perkara boleh dipertingkatkan lagi. Mudah-mudahan seni bangsawan dapat diangkat dengan lebih tinggi lagi selebih ini.
Wassalam.
0 komentar:
Catat Ulasan