Subscribe

05 Ogos 2011

Eurotrip 2 : Dubai Kotaraya Yang Menakjubkan!

image

:: Sambil menunggu, tukar waktu di jam tangan mengikut zon waktu tempatan. ::

Ketika menunggu van mengambil kami di lapangan terbang, kami sempat berkenalan dengan beberapa pensyarah dari Kulliyyah Sains Kemanusiaan UIA dari penerbangan yang sama dari Kuala Lumpur. Mereka ada seminar di Istanbul yang sepatutnya sudah bermula, tetapi sayangnya mereka terlewat kerana penerbangan yang ditunda. Kelihatan mereka agak kecewa dengan penangguhan itu. Tambahan pula waktu transit mereka di Dubai lebih lama dari kami.

Kami ditempatkan di Hotel Copthorne, yang hanya 5 minit perjalanan dari lapangan terbang. Selain hotel ini, para penumpang Emirates juga ditempatkan di Hotel Millenium yang tidak berjauhan.

Selesai proses daftar masuk, kami diberikan dua bilik yang sangat cantik, luas dan selesa. Untuk sesuatu yang percuma, memang saya tidak ada apa-apa komplen. Meskipun begitu, hotel ini tidak ada perkhidmatan internet tanpa wayar percuma. Kalau hendak bayar, khabarnya kadar caj internet di hotel ini leboh mahal dari kadar yang biasa.

image

:: Keadaan di lobi Hotel Copthorne Dubai ::

image

:: Untuk sesuatu yang diberikan percuma, biliknya memang cukup bagus!  ::

Di ruang lobi hotel ini, ada satu kaunter khas disediakan untuk para pelawat mendaftar pakej tour keliling Dubai. Ia memang direka khas untuk mereka yang dalam transit, supaya dapat memanfaatkan kunjungan ke Dubai. Pakej yang ditawarkan adalah tour 2 jam keliling Dubai dengan harga 20 pound satu kepala. Khidmat ini disediakan oleh Sun Tours. Pakej wisata malam itu akan bermula pada pukul 7.30 malam sehingga 9.30 malam.

Oleh kerana masih ada sedikit senggang waktu sebelum tour bermula, kami pergi makan kudapan dahulu. Ada dua jenis voucher yang diberikan iaitu untuk snek dan juga makan malam. Untuk snek, mereka akan berikan kita pilihan sandwich ayam atau daging, yang dihidang bersama kepingan potato chips, dan pilihan minuman tanpa batasan. Voucher ini boleh ditebus pada bila-bila masa sepanjang penginapan di sini.

image

:: Hidangan menu kudapan sebagai mengalas perut sebelum berjalan keliling Dubai ::

Kami memilih untuk makan malam selepas bersiar di Dubai, kerana mengenangkan kami masih ada beberapa jam untuk berehat selepas itu. Takut pula kalau makan terlalu awal, nanti akan kelaparan pabila menunggu penerbangan awal pagi.

Bas yang membawa kami bersama para penumpang lain yang berjumlah lebih kurang 15 orang kesemuanya. Kami dibawa berjalan-jalan sekitar Dubai, sambil menikmati pemandangan waktu senja. Mujurlah kami sedang bermusafir, jadi bolehlah berjamak takhir.

Sayangnya, bas bergerak terlalu laju, sehingga gambar yang diambil dari dalam bas tidak begitu menjadi. Semuanya bergoyang-goyang. Tambahan pula keadaan di luar semakin gelap. Tetapi saya ada ambil video sedutan perjalanan.

Terlalu kagum dengan kecanggihan bandar ini. Tidak seperti apa yang saya bayangkan tentang sebuah bandar di negara Timur Tengah. Jauh dari sangkaan, ia adalah bandar yang termoden yang pernah saya lawati. Senibina yang futuristik membuatkan saya merasa sedang berada di dalam mesin masa menuju masa depan.

Apa yang menarik, stesen LRT di sini pun desainnya sudah setaraf lapangan terbang! Sepanjang perjalanan dapat melihat stesen monorel ini dan ia ada di mana-mana. Pasti kos membuatnya sangat mahal.

image

:: Stesen LRT di Dubai yang rekaannya umpama sebuah lapangan terbang! ::

Apa yang saya perhatikan, di sini memang ramai warga asing terutamanya dari negara Asia Tenggara seperti Filipina dan Indonesia. Mereka kebanyakannya bekerja dalam sektor perkhidmatan kerana orang Arab tidak begitu ramai dalam sektor tersebut.

Kota ini begitu international, dan tidak ada masalah untuk tinggal di sini kerana penggunaan bahasa Inggeris yang agak dominan, seimbang dengan Bahasa Arab. Cukup berbeza keadaan dibanding ketika saya di Jeddah, Arab  Saudi.

Apabila pemandu pelancong yang berasal dari Pakistan itu mengumumkan bahawa kami sudah berada di atas kepulauan pohon palma atau Palm Jumeira, saya begitu terkejut. Dari dalam gambar, saya andaikan Palm Jumeira ini kecil sahaja kerana menempatkan rumah-rumah banglo persendirian. Tidak sangka pula ketika sepanjang jalan di Palm Jumeira, rupanya dibina bangunan kondominium yang besar-besar dan sungguh mewah sehingga mata tak jemu memandang.

image

:: Sepanjang jalan di Palm Jumeira ::

Kepada yang tidak tahu, Palm Jumeira adalah sebuah kepulauan buatan manusia yang letaknya di pesisir pantai Teluk Arab, yang mana ia dibentuk menyerupai sebuah pohon palma. Ia dikatakan sebuah projek hartanah yang paling kreatif dan mahal di dunia.

Di atas Palm Jumeira itu, kami berhenti di hadapan hotel Atlantis, sebuah landmark di Dubai ini. Senibinanya hampir menyamai rekabentuk hotel Atlantis di Bahamas. Ketika kami keluar sahaja dari bas, cermin mata saya terus disambut dengan kabus, lantaran perubahan cuaca di luar yang sangat berbahang.

Hotel Atlantis yang menghadap teluk Arab itu tampak kelihatan begitu gah di waktu malam, ditambah pula dengan sinar bulan purnama yang menghiasi langit malam ketika itu. Oh ya, itu adalah petanda nisfu syaaban!

image

:: Hotel ini menghadap Teluk Arab. Walaupun malam, tetapi panasnya membahang ::

Selepas  itu, kami singgah pula berhampiran di Burj Al-Arab, mercu tanda Dubai yang terkenal sekali. Tak lengkap datang ke Dubai kalau tidak sempat menatap bangunan hotel bertaraf 7 bintang ini. Bas dihentikan jauh sedikit dari hotel supaya kami dapat bergambar berlatar belakangkan bangunan itu. Sekali lagi, cermin mata saya disambut hawa panas dari teluk Arab.

image

:: Walaupun dari jauh, gambar perlu diambil sebagai bukti kunjungan ::

Pemandu pelancong tersebut memberitahu bahawa selepas ini, kami akan ke perkarangan Burj Khalifa, untuk menyaksikan persembahan muzikal air pancut di situ yang akan bermula pada pukul 9 malam. Burj Khalifa adalah bangunan yang paling tinggi di dunia, mengatasi Taipei 101 dan KLCC. Sebuah mercu tanda terbaru Dubai dan Emiriah Arab Bersatu.

Berhampiran Burj Khalifa, ada The Dubai Mall yang menurut beliau kini adalah mall yang paling besar di dunia. Bas kami diparkir di situ, sambil pemandu pelancong itu membawa kami berjalan kaki ke kolam di perkarangan Burj Khalifa.

Ketika itu, baru saya dapat rasakan bagaimana pengalaman pelancong asing yang datang ke Kuala Lumpur untuk menatap KLCC, begitulah saya ke Dubai dan menatap Burj Khalifa. Malah, kawasan di sekitar kolam di situ pun memang lebih kurang KLCC kerana ada gedung beli belah berhampiran.

image

:: Berlatarbelakangkan bangunan tertinggi di dunia, Burj Khalifa ::

Persembahan air pancut dimulakan tepat pada pukul 9 malam dan berlanjutan selama lima minit. Ketika kami sampai, sudah ada ramai orang yang menanti di sekitar kolam untuk menyaksikan persembahan tersebut.

Muzik kontemporari Arab dimainkan mengiringi persembahan. Sangat menasyikkan, dengan sistem bunyi yang sangat sedap. Saya ada rakam seluruh persembahan itu. Mari kita saksikan :

:: Video persembahan pancutan air di Burj Khalifa yang telah saya rakamkan ::

Sebenarnya sepanjang di sini, memang saya berpeluh. Entah kenapa, bahang waktu malam di sini lain macam betul. Mujur kami ke sini waktu malam. Kalau waktu siang, saya bayangkan tentu suhunya lebih panas.

Menyaksikan pesembahan air pancut di Burj Khalifa itu adalah hentian terkahir jam dan selepas itu, kami terus kembali ke hotel. Meluru terus ke kafe untuk makan malam. Walaupun ini sekadar hotel airport, tetapi seleksi buffetnya sangat menarik. Sangat berbaloi untuk sesuatu yang diberikan percuma. Mari kita lihat gambarnya :

image

:: Maaflah kepada sesiapa yang lihat gambar ini sewaktu berpuasa di siang hari ya! ::

Begitulah kisah di dubai. Selepas ini, saya akan tulis pula kisah apabila sudah mendarat di Manchester! Sebelum itu, saya tinggalkan anda dengan sisa-sisa gambar panorama di Dubai yang sempat saya rakamkan dari atas van.

image

:: Dubai sejurus sebelum senja ::

Selamat berpuasa semua!

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan