Pernahkah kau merasakan jiwa dan ragamu tak mampu lepas bebas dari terkurung di dalam jasad? Ketika itu, kau bagaikan mahu meronta-ronta untuk keluar dari segala belenggu yang membuat kau terasa bagai dalam sangkar. Cubalah kurung dirimu, dan rasakan betapa sakitnya hidup dalam penafian.
Kau lihat seluruh alam riang gembira, senyum tertawa, tetapi kau tak mampu untuk turut serta, kerana kau berada dalam dunia lain, di dalam sebuah sangkar. Tiap kali kau hendak menggapai tanganmu di antara jeriji-jeriji besi sangkar itu, kau akan terluka - lantaran begitu banyak duri yang melingkar di sekelilingnya. Kalau dapat kau hulurkan tanganmu ke luar, kamu tak akan pernah sampai menggapai dunia luar itu.
Aneh, tetapi benar. Sebuah sangkar yang dari luar kelihatan bagaikan sebuah mahligai baiduri, tetapi sebetulnya adalah teratak berduri.
Dan kau cuba senyum dan tertawa, menyembunyikan segala rawan di dalam jiwa. Tak mungkin siapa pun akan mengerti, kerana mereka mana mungkin pernah melihat isi di dalam sangkar tersebut. Ternyata, hiasan luaran sangkar itu bak istana. Seni binanya cukup melambangkan sebuah kehidupan yang sempurna.
Tetapi, hanya kau yang tahu itu semua hanya sebuah logamaya. Pandang mata kadang tersilau kerana di dalamnya penuh kaca yang sudah retak seribu. Hancur berderai kerana ia memantulkan ilusi dari sebuah mimpi. Mimpi yang tak mungkin sesiapa akan mengerti.
Dan kau tak pernah mengharapkan sesiapa untuk melihat apa yang terkandung di dalam sangkar itu. Kerana kau hanya makhluk tuhan yang redha akan setiap ketentuan. Kalau diberikan kau sangkar, maka bersangkarlah engkau. Orang lain tak mungkin mampu memahaminya. Lantas kau pun menjaga sangkarmu, bagai menatang minyak yang penuh.
Sehingga ada yang menemui kuncinya, dan melepaskan kau dari kurungan.
Lepas dan bebas.
0 komentar:
Catat Ulasan