Subscribe

03 Februari 2011

Kembali Ke Tahun Arnab

**Entri Sempena Tahun Baru Cina 2011

konijn

Setelah 12 tahun, hari ini tiba juga kita kembali ke tahun horoskop Cina kelahiran saya – tahun arnab! Memandangkan putaran tahun ada 12 haiwan dalam kalender orang Cina, maka ini adalah kali kedua saya memasuki tahun arnab setelah berumur 12 tahun, pada tahun 1999. Dan kini, kembali lagi menjengah pada tahun 2011.

Oh tidak, saya tidaklah mempercayai konotasi horoskop tahun tersebut. Sama ada zodiak cina atau barat, keduanya saya lihat hanya memberi satu gambaran yang tersangat-sangat umum dan sesiapa sahaja boleh merasakan dia yang dimaksudkan dalam tafsiran berkenaan. Tetapi, saya sekadar menyatakannya sebagai satu pengetahuan am.

Bercerita tentang perayaan Tahun Baru Cina, kebiasaannya saya hanya duduk di rumah dan  menikmati cuti yang panjang. Meskipun saya tinggal di kawasan majoriti orang Cina, tetapi harus diingat bahawa mereka juga balik kampung waktu-waktu begini. Malah, saya sendiri tak dapat mengunjungi kawan baik berbangsa Cina saya, Chan Leng Zhong kerana beliau sudah awal-awal lagi berangkat ke kampung laman di Kampar, Perak.

Sejak memasuki UIAM, saya agak kurang bergaul dengan bangsa lain. Bukan kerana tidak mahu, tetapi atas faktor saya tidak berada di dalam persekitaran berbilang bangsa. Benar, di UIAM ada pelajar dari seluruh dunia, tetapi orang bukan Melayu yang berasal dari Malaysia sangat sedikit. Ditambah pula, di kulliyyah undang-undang boleh dibilang dengan jari berapa orang pelajar antarabangsa.

Kenangan saya bergaul dengan pelajar berbilang bangsa pastinya ketika berada di sekolah menengah. Sekolah saya ketika itu saya sifatkan punya komposisi bangsa yang sangat seimbang. Ada orang Melayu, Cina, India, Pakistan, Indonesia, Sarawak, malah ada juga Orang Asli yang datang dari kawasan Bukit Lanjan berhampiran.

Keadaannya sangat-sangat 1Malaysia. Di dalam kelas saya sendiri, kami sama-sama belajar dalam keadaan harmoni. Lihatlah wajah-wajah ceria rakan-rakan saya di entri Tingkatan 5 Bersih SMKBU ‘04 ini. Dan mereka semua adalah rakan sebaya. Sama-sama bersemangat arnab.

Sekarang ingatannya semakin samar-samar. Masing-masing sudah menuju haluan masing-masing. Tetapi kami masih berkongsi satu kenangan yang sama. Kalaulah kami dapat bersatu semula, dan melupakan segala perbezaan yang memisahkan, menumpukan hanya pada persamaan yang menyatukan.

Kepada rakan-rakan saya yang berbangsa Tiong Hua, saya ucapkan Selamat Tahun Baru Cina 2011 kepada anda! Semoga tahun baru ini lebih membawa keceriaan dan kemakmuran kepada anda. Kalau ada buat rumah terbuka tu, jangan lupa jemput ya'?

Kepada yang lain, selamat bercuti!

*Ambilan imej dari sini.

0 komentar:

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan