Subscribe

02 November 2013

Pesta Pantun BBK Negeri Sembilan 2013

Dari deklamasi ke berbalas pantun,

DEKMAL bertandang mewarna budaya,

Bermadah puisi penuh bersantun,

Hajat nak menang menjadi juara!

IMAG2833_1

Sudah lama sangat saya tak melibatkan diri sebagai pemantun di dalam Pertandingan Berbalas Pantun. Terakhir, saya ikut serta dalam Pesta Pantun Sezaman pada tahun 2011. Sebelum itu, saya banyak terlibat dari segi pengurusan pertandingan dan pasukan.

Jadinya, peluang untuk menyertai Pesta Pantun sempena Bulan Bahasa Kebangsaan peringkat Negeri Sembilan saya terima dengan tangan terbuka, walaupun mengetahui tentangnya pada saat akhir. Harus saya ucapkan terima kasih kepada Tuan Norhisyam Razali kerana beriya-iya benar mahu saya bertanding.

Memilih untuk mewakili DEKMAL, saya bergandingan sepasukan dengan Safwan Yusof, rakan pemantun dari UiTM yang juga ahlis DEKMAL. Pasukan kedua DEKMAL pula disertai oleh Tuan Norhisyam dan Haikal.

Asalnya, saya sangka pertandingan diadakan di Seremban, tetapi pada pagi pertandingan itu – ketika saya sudah sampai di Nilai, barulah saya tahu rupanya tempat acaranya sebenarnya adalah di Seri Menanti, Kuala Pilah, Negeri Sembilan!

Secara tak semena-menanya, sampailah saya ke Seri Menanti. Kali terakhir saya berada di sini adalah ketika Perkampungan Budaya UIAM 2009. Memang membangkitkan kenangan manis apabila saya terpandang sekitar Perkampungan Budaya Terachi yang betul-betul berada di pintu gerbang menuju ke Seri Menanti.

Tema berbalas pantun bagi pertandingan kali ini adalah Nilai-Nilai Murni, Bahasa Kebangsaan, dan Patriotik. Tema yang sama telah diulang pada setiap pusingan. Ada 8 buah pasukan yang bertanding – antaranya daripada MAS, Kolej Komuniti Jelebu, UiTM Kuala Pilah, Institut Pendidikan Guru, dan DEKMAL sendiri.

Pada peringkat saringan, kami telah bertemu dengan Kolej Komuniti Jelebu, dan seterusnya melangkah ke separuh akhir bersama pasukan MAS yang sememangnya saya akui sangat sengit kerana mereka sendiri sudah lama berada di arena pantun tempatan. Markah kami akhirnya seri, namun markah bahagian isi telah menyelamatkan saya dan Wan.

Alhamdulillah, saya dan Wan mendapat rezeki untuk bertanding di peringkat akhir. Sememangnya ini kali pertama saya melangkah ke pusingan akhir pertandingan berbalas pantun dan pengalaman ini akan saya jadikan bekalan bagi masa-masa akan datang. Kami bertemu Institut Perguruan Kuala Pilah. Tuan Haji Chuari Selamat telah menjadi jurupantunnya!

Pasukan DEKMAL telah mendapat Naib Johan, dan saya sendiri telah mendapat rezeki menjadi Pemantun Terbaik pada pertandingan tersebut. Alhamdulillah! Moga-moga menjadi penguat semangat untuk saya terus berjuang di landas seni budaya, insyaAllah!

2 komentar:

Al-Manar berkata...

Pemantun terbaik! My congratulations on your prowess.

Azree Ariffin berkata...

Thank you, Tuan Al-Manar!

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan