Shuhaimi Baba bukanlah nama yang asing dalam bidang perfileman di Malaysia. Namanya sudah terukir sebagai pengarah tersohor di arena pembikinan filem tempatan. Bermula dari karya hebatnya seperti Selubung, Ringgit Kassorga, Layar Lara, sehinggalah ke era Pontianak Harum Sundal Malam 1 & 2, Waris Jari Hantu, dan 1957 : Hati Malaya – sesungguhnya beliau sudah meninggalkan jejak langkahnya yang tersendiri.
Saya sendiri meminati karya Shuhaimi Baba dan filemnya Pontianak Harum Sundal Malam 1 & 2 merupakan antara filem tempatan kegemaran saya kerana garapan cerita yang menggambungkan elemen Pontianak yang begitu mistik itu dengan unsur Gamelan dan Kuda Kepang dalam kedua filem Pontianak itu. Maka, saya perasan satu gaya Shuhaimi bahawa beliau suka menyatukan dua unsur yang berbeza menjadi satu di dalam filem. Hal ini saya kesani juga melalui filem Waris Jari Hantu yang menggabungkan isu Saka dan Maknyah.
Oleh sebab itu, saya begitu mempertahankan filem Tanda Putera yang diselubungi kontroversi itu walaupun sebelum ia ditayangkan. Menjadikan filem Hati Malaya sebagai premis untuk dijadikan sandaran, sesungguhnya Tanda Putera bukanlah filem sejarah pertama yang diarahkan oleh beliau. Dan saya tidak melihat sebarang masalah dengan fakta sejarah yang ditampilkan di dalam filem pertama itu.
Kontroversi Tanda Putera
Bagaimanapun, apabila filem Tanda Putera telah menjadi perbualan masyarakat sehinggakan penayangannya terpaksa ditunda sehingga satu tempoh yang lama, saya menjadi hairan mengapa perkara sebegini boleh berlaku? Tambahan pula ramai yang mengkritik itu dikatakan belum pernah melihat filem itu dan berkokok bagaikan seorang pengkritik filem professional pula, walhal sebelum ini mereka itu tak pernah ‘peduli’ tentang jatuh bangun industri filem Melayu.
Kerana itu, saya telah ambil kesempatan waktu senggang yang ada dengan pergi menonton tayangan pertama slot pertama Tanda Putera pada hari Khamis 29 Ogos yang lalu, pada pukul 12 tengahari. Segala tanggapan dan kritikan berkenaan filem itu mahu saya leraikan dengan menonton sendiri dan membuat penilaian berdasarkan pemahaman sendiri.
Lagu Negaraku Di Pawagam
Tak lengkap kalau saya tidak bercerita tentang pengalaman menyanyikan lagu kebangsaan Negaraku di dalam panggung wayang sebelum tayangan dimulakan. Saya adalah orang yang pertama sampai ke dalam pawagam dan itu buat saya agak cemas kerana akan berasa sangat pelik kalau saya berdiri sendirian menyanyikan Negaraku di dalam tempat yang gelap. Tetapi selepas itu datanglah juga dalam 4-5 orang penonton lain. Saya faham, tayangan semasa waktu bekerja begitu tentu tak ramai orang.
Sejurus panggung digelapkan, terpapar satu tayangan video terbitan Kementerian Komunikasi & Multimedia berkenaan jasa pahlawan negara yang mempertahankan nusa terutamanya ketika terjadinya tragedi di Lahad Datu. Satu produksi yang wajar dipuji.
Semasa lagu kebangsaan Negaraku dimainkan, saya telah bangun dengan rasa bangga sambil memerhatikan sekeliling. Dalam hati ada sedikit rasa pelik kerana panggung itu gelap dan tak ramai. Tiba-tiba kena berdiri pula. Tetapi pedulikan semua itu. Sedangkan apabila menonton teater di Istana Budaya juga ada nyanyian Negaraku, tetapi tak pernah menjadi isu pun, kan?
Antara Fakta & Fiksyen
Filem bagi saya adalah satu interpretasi suatu cerita yang memaparkannya dari sudut pandang tertentu dan disulami dengan perasaan. Filem bukanlah dokumentari yang bersifat fakta sepenuhnya. Filem adalah interpretasi. Oleh yang demikian, saya merasa tidak ada masalah dengan interpretasi yang ditonjolkan di dalam filem Tanda Putera kerana saya percaya pasukan Pesona Pictures tentu sudah membuat penyelidikan yang teliti apatah lagi filem ini mengisahkan mengenai dua orang tokoh besar negara.
Bahagian awal filem ini agak laju rentaknya. Tanda Putera dibuka dengan drama 13 Mei yang dipaparkan dengan pelbagai babak yang kurang menyenangkan. Kalaulah saya ajak rakan saya berbangsa Cina untuk datang menonton bersama di sebelah, memang saya akan rasa tak selesa sebab babak perkauman ditonjolkan agak ketara. Namun, persoalannya adakah kita bersedia untuk melihat realiti masa dahulu demi belajar dari kesilapan untuk masa depan?
Premis utama Tanda Putera adalah kisah persahabatan di antara Tun Razak & Tun Dr Ismail ketika mereka mentadbir negara dalam keadaan kedua-duanya sedang sakit serius. Itu adalah kisah utama yang ingin disampaikan. Tapi entah bagaimana cerita utama ini tenggelam. Jujur, saya tak merasakan “persahabatan” yang ingin ditonjolkan itu. Dalam tempoh dua jam filem ini, terlalu banyak perkara yang ingin dimasukkan sampaikan unsur perasaan seolah-olah hilang dalam gerombolan fakta yang diketengahkan.
Lakonan
Saya tak pasti orang lain merasakan perkara yang sama atau tidak, tetapi saya agak kecewa dengan lakonan kedua-dua teraju utama dalam filem ini. Lakonan Rusid Ramli sebagai Tun Razak kelihatan tidak begitu karismatik dan terkadang agak ‘kayu’. Begitu juga dengan Zizan Nin yang membawa watak Tun Dr Ismail. Terasa seperti ada sesuatu yang tak kena. Saya tak pasti samada lakonan itu sendiri atau aspek tatarias yang masih menunjukkan pelakon itu lebih muda dari watak yang dilakonkan.
Antara yang menyelamatkan bahagian lakonan dalam filem ini tentulah Ce’kem yang sekali lagi berjaya membawa watak Tunku Abdul Rahman mengulangi kecemerlangannya di dalam Hati Malaya. Ida Nerina juga walaupun hanya memegang watak sampingan Kak Jah tetapi begitu memorable! Teringat saya watak cameo beliau sebagai kerani kerajaan di dalam filem Waris Jari Hantu.
Arahan Seni
Pujian harus diberikan kepada filem ini dari sudut arahan seni dan aspek teknikal terutamanya yang melibatkan CGI. Tanpa aspek ini, sangat sukar untuk menghasilkan filem period seperti ini yang sangat remeh dan leceh dalam ketelitian penggunaan props dan latar tempat. Sebagai sebuah filem yang 60% menggunakan CGI, saya fikir filem ini ada peningkatan berbanding Hati Malaya. Cuma ada satu babak yang saya lihat kurang cantik iaitu babak pengeboman Tugu Negara yang terlalu obvious penggunaan CGI yang tak berapa menjadi. Tapi selain itu, saya fikir set latarnya bagus.
Kesimpulan
Kalau hendak diulas secara keseluruhannya, ada banyak lagi perkara yang hendak saya komen tentang perkara yang saya suka dan tidak suka mengenai filem ini. Tetapi saya bukanlah pengkritik filem professional dan ulasan ini sekadar mendokumentasikan perasaan saya sebagai seorang penonton filem layman.
Menurut apa yang saya perhatikan, ramai yang tak puas hati dengan pembikinan filem Tanda Putera sebelum penayangannya adalah kerana kononnya fakta sejarah yang terpesong. Tetapi selepas penayangannya – tak ramai yang mempersembahkan fakta sejarah untuk membetulkan apa yang kononnya dikatakan salah itu.
Sebaliknya, apa yang diperkatakan adalah aspek kualiti filem ini iaitu asas kepada setiap filem – jalan ceritanya yang menjadi kritikan ramai. Dan saya setuju dengan pendapat ini, filem Tanda Putera terlalu mahu melonggokkan fakta sejarah sehingga ia kelihatan sekadar on the surface sahaja dan tidak deep.
Apakah saya mencadangkan anda untuk menonton Tanda Putera? Ya, tentu sekali! Orang selalu mempertikaikan aspek teknikal sampai terlupa untuk menghayati intipati utama yang ingin disampaikan. Tontonlah filem ini bukan sebagai pengkritik filem, tetapi sebagai rakyat Malaysia yang ingin ‘membaca’ satu perspektif mengenai sejarah negara.
Filem Tanda Putera ini akan berjaya mencapai objektifnya andai selepas menontonnya, kita akan lebih berminat untuk mengkaji lebih lanjut mengenai Tun Abdul Razak, Tun Dr Ismail, dan peristiwa 13 Mei!
Wassalam!
1 komentar:
Salam Sdra Azree.
Saya tertarik dengan ulasan
Sdra mengenai filem "Tanda Putera".
Izinkan saya memindahkannya
ke blog saya: Filem Klasik Malaysia
(filemklasikmalaysia.blogspot.com)
- Mustafar.
Catat Ulasan