Subscribe

Perkhidmatan Pengacaraan Majlis Perkahwinan

06 Ogos 2013

Berkopiah ke Masjid

Setiap kali ke masjid, bonda dan ayahanda selalu berpesan kepada saya dan adik-adik untuk tidak lupa mengenakan kopiah. Kadang-kadang sampai tak mahu beri saya keluar rumah selagi saya tak membawa kopiah untuk diletakkan di atas jemala ini.

Mulanya, saya rasa rimas juga. Terdetik juga kenapa harus ditekankan pemakaian kopiah ke masjid, sedangkan itu tidak menjadi syarat sah wajib solat? Kalau tak pakai kopiah pun masih boleh bersolat ke masjid lagi kan? Ramai rakan-rakan sebaya yang saya lihat tak memakai kopiah atau songkok atau apa-apa jugalah pakaian kepala.

Bukanlah saya tak suka memakai kopiah. Suka sebenarnya. Tetapi mungkin kerana kopiah yang ada dalam koleksi tidak menepati citarasa dan lebih kecil dari saiz kepala saya. Kopiah yang disukai pula selalu diletakkan merata-rata sampaikan bila waktu hendak guna, tak jumpa pulak.

Tapi itu cerita dulu-dulu. Ketika saya masih mungil dan keanak-anakan.

Semalam, ketika keluar bersolat terawih di masjid, saya telah memakai sepersalinan jubah berlengan pendek, tetapi tertinggal kopiah di rumah. Bukan kerana tak ingat – tetapi sebab sebelum itu saya berbuka puasa di luar dan tidak sempat singgah rumah. Yang ada hanya jubah arab lengan pendek itu yang sengaja saya tinggalkan di dalam kereta.

“Ada songkok atau kopiah untuk saya pinjam?” tanya saya kepada seorang teman.

“Kalau tak ada kopiah tak boleh pergi masjid?” tiba-tiba dia menjawab. Dia menyambung “Inilah masalah orang Melayu kita. Tak batal sembahyang pun kalau tak pakai kopiah.”

Saya sedikit tersentak. Lain yang ditanya – lain pula dijawab. Tetapi saya sekadar berdiam, dan tidak menjawab lebih lanjut. Dan pertanyaan pendek itu membuat saya terfikir sejenak.

Apabila sampai ke masjid – saya yang ketika itu tidak berkopiah – melihat hampir 95% para jemaah berkopiah dan berpakaian sempurna untuk beramal ibadah. Ketika itu saya rasakan betapa betulnya apa yang dipesan oleh bonda dan ayahanda saya. Tidak memakai kopiah membuatkan saya berasa sedikit janggal – walaupun saya tahu itu tidak menjadi kesalahan.

Apa yang diajar sebetulnya oleh Ayahanda dan Bonda adalah untuk menjaga adab ketika ke masjid atau tempat ibadah yang lain. Kita ke masjid adalah untuk bertemu tuhan. Apalah salahnya kita berhias cantik-cantik sedikit dan berpakaian seeloknya.

Kalau hendak menghadap Sultan pun kita punyalah hendak menjaga penampilan diri, inikan pula hendak menhadap Allah – raja segala raja?

Alhamdulillah, saya berterima kasih kepada teman saya itu kerana melalui dia – saya kembali teringat dan menyedari pesanan-pesanan ayahanda dan bonda walaupun sekecil atau seremeh mana saya merasakan, pasti ada hikmah yang mereka ingin sampaikan melalui pengalaman mereka yang lebih banyak makan garam.

Wassalam!

* kredit visual di atas dari : http://al-ikhwanbsb.blogspot.com/2010/09/songkok-dan-kopiah.html

2 komentar:

Al-Manar berkata...

Normally I put on my songkok to the mosque and often find myself one in fifty with songkok. As a traditional Malay I regard songkok is tthe one that carrries the value of formality. It is a matter of opinion that should nnot be an issue. Tiap tiap amalan bergantung kepada niat. Selamat Hari Raya

School Of Tots berkata...

Saya Pakai Kopiah
Nawaitu Kerana Allah

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Tapak Iklan